PERKATAAN HARI INI
57 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Bukti kehebatan Allah SWT memberi nikmat tidak terkira (14:34)
- Doa Nabi Ibrahim AS (14: 35-41)
- Allah SWT beri peluang kepada kita (14:42)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT pada hari yang berbahagia ini kita dapat meneruskan pembelajaran ke halaman 260 surah Ibrahim. Surah ini menceritakan perjuangan mengeluarkan manusia daripada kegelapan-kegelapan kepada cahaya Allah yang terang yang membawa kepada jalan al-Aziz al-Hameed.
Sebelum ini, kita dibawa kepada kisah Nabi Muhammad SAW dan Nabi Musa AS. Di hujung surah ini kita dibawa kepada kisah Nabi Ibrahim AS yang paling awal menunjukkan contoh kalimah toyyibah. Dengan kalimah toyyibah itu baginda menjulang ke langit, selalu memohon kepada Allah SWT dengan doa dan solat.
Nabi Ibrahim AS adalah susuk tubuh yang menyebarkan buah-buahan dan benih-benih yang akhirnya sampai kepada zaman ini. Harapnya kitalah sebagai benih daripada legasi Nabi Ibrahim AS yang menyampaikan benih iman kepada seluruh alam bermula di kawasan Mekah.
Sebelum ini kita telah lihat bagaimana Allah SWT tundukkan matahari dan bulan untuk kita laksanakan tugas sebagai seorang hamba yang menyebarkan manfaat. Kita sepatutnya segan kalau tidak memberi manfaat kepada alam ini.
Ayat 14:34
وَءَاتَىٰكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ إِنَّ ٱلْإِنسَٰنَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ
Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.
Pengajaran
- Allah SWT memberi apa yang kita minta atau doa. Ada juga yang Allah SWT beri tanpa kita minta, contohnya air liur. Bayangkan macam mana kita hendak bercakap tanpa ada air liur. Kita perlukan oksigen tetapi kita tidak berdoa minta oksigen, namun Allah SWT tetap beri. Sekarang waktu pandemik, ada orang yang memohon untuk mendapat oksigen.
- Banyak sangat nikmat yang Allah SWT berikan tetapi manusia melampau-lampau zalim dan keengkarannya (لَظَلُومٌ كَفَّارٌ) kepada Allah SWT.
- Ramai yang tidak bersyukur, banyak merungut seperti kaum Nabi Musa AS yang diselamatkan daripada Firaun.
Ayat 14:35
وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِيمُ رَبِّ ٱجْعَلْ هَٰذَا ٱلْبَلَدَ ءَامِنًا وَٱجْنُبْنِى وَبَنِىَّ أَن نَّعْبُدَ ٱلْأَصْنَامَ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.
Pengajaran
- Nabi Ibrahim AS berdoa supaya Allah SWT jadikanlah negeri Makkah sebagai negeri yang aman, dan supaya Allah SWT jauhkan dia dan anak-anaknya daripada perbuatan menyembah berhala.
- Doa Nabi Ibrahim AS dikabulkan mengikut dua syarat iaitu mengikut syarak dan mengikut takdir. Mekah ada juga masa yang tidak aman seperti ketika tentera gajah menyerang kerana syarak dilanggar.
- ٱلْأَصْنَامَ adalah berhala yang dibuat daripada emas dan perak. Di sebalik berhala itu bukan sekadar ada syirik tetapi ada bisnes yang merosakkan tauhid.
- Semoga kita menjadi ibu bapa yang bersyukur dengan mengamalkan doa ini.
Ayat 14:36
رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِّنَ ٱلنَّاسِ فَمَن تَبِعَنِى فَإِنَّهُۥ مِنِّى وَمَنْ عَصَانِى فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi ugamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).
Pengajaran
- Ini doa yang lebih mantap. Nabi Ibrahim AS mengatakan berhala itu menyesatkan dan merosakkan. Siapa yang mengikut baginda, mereka adalah dari kalangannya. Sesiapa yang tidak ikut, baginda menyerahkannya kepada Allah SWT. Baginda tidak pula mengutuk orang yang derhaka.
- Pelajaran untuk kita, kalau orang tidak mengikut kita, janganlah kita mengutuk. Siapa kita untuk mengutuk orang lain padahal kita belum tentu berjaya.
Ayat 14:37
رَّبَّنَآ إِنِّىٓ أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِى بِوَادٍ غَيْرِ ذِى زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ ٱلْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجْعَلْ أَفْـِٔدَةً مِّنَ ٱلنَّاسِ تَهْوِىٓ إِلَيْهِمْ وَٱرْزُقْهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.
Pengajaran
- Ayat 36 Nabi Ibrahim berdoa dengan menyebut رَبِّ 'Wahai Tuhanku', doa seorang. Pada ayat ini baginda menyebut رَّبَّنَآ, doa untuk keluarganya.
- Perbincangan ulamak mengatakan bahawa asas Kaabah sudah dibina oleh Nabi Adam. Nabi Ibrahim AS meninggikan asas Kaabah. Nabi Ibrahim iktiraf perkara tersebut.
- Semasa hendak meninggalkan anaknya Nabi Ismail dan isterinya di Mekah, Nabi Ibrahim berdoa. Perkara utama dalam doa baginda ialah mendirikan solat, jadikan manusia jatuh cinta kepada bumi Mekah. Kemudian baru dimasukkan tentang rezeki di dalam doanya itu.
- Doa ini adalah untuk menghasilkan zuriat dan generasi yang sentiasa bersyukur kepada Allah SWT. Inilah ciri ayah yang bersyukur. Hendaklah kita amalkan doa ini untuk keluarga kita.
Ayat 14:38
رَبَّنَآ إِنَّكَ تَعْلَمُ مَا نُخْفِى وَمَا نُعْلِنُ وَمَا يَخْفَىٰ عَلَى ٱللَّهِ مِن شَىْءٍ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا فِى ٱلسَّمَآءِ
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah!
Pengajaran
- Ayat ini menyambung doa Nabi Ibrahim AS.
- Dalam hati kita ini Allah SWT sahaja yang tahu. Allah SWT Maha Mengetahui, tiada yang tersembunyi.
- Nabi Ibrahim AS seorang yang hebat tetapi masih mempunyai jiwa yang sensitif kepada Allah SWT. Itu lambang cahaya. Kalau hati ada serabut, itu yang menyebabkan sikit-sikit hendak marah, hendak kutuk.
- Kita doakan agar negara ini dipenuhi dengan orang-orang yang bersyukur mencontohi Nabi Ibrahim AS.
Ayat 14:39
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى وَهَبَ لِى عَلَى ٱلْكِبَرِ إِسْمَٰعِيلَ وَإِسْحَٰقَ إِنَّ رَبِّى لَسَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ
"Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan.
Pengajaran
- Nabi Ibrahim AS bersyukur baginda dikurniakan anak iaitu Nabi Ismail dan Ishak walaupun sudah tua.
- Baginda berdoa secara khusus kepada Tuhan yang Maha Mendengar dan Memperkenankan doa. Nabi Ibrahim amat positif Allah Dengar setiap masa. Allah SWT tidak hanya mendengar secara umum, tetapi secara khusus juga dari hambaNya.
- Bagi Allah SWT, mudah sahaja untuk memberi zuriat kepada Nabi Ibrahim AS yang sudah tua. Allah SWT boleh sahaja memberi kemenangan kepada perjuangan Nabi SAW dan Allah SWT juga mendengar doa kita tidak kira apa bahasa yang kita gunakan.
Ayat 14:40
رَبِّ ٱجْعَلْنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
Pengajaran
- Nabi Ibrahim AS memohon doa supaya Allah SWT jadikan baginda orang yang mendirikan solat, begitu juga zuriat keturunannya.
- Seorang ayah selalu berdoa berseorangan. Ayah doakan untuk dirinya dan mengajak ahli keluarga solat bersama. Lagi ayah bersyukur, lagi kejut anak untuk solat bersama tidak mahu anak disambar api neraka.
- Seorang ayah, umpama pohon yang menjulang ke langit, berdoa kepada Allah dengan mengutamakan solat.
Ayat 14:41
رَبَّنَا ٱغْفِرْ لِى وَلِوَٰلِدَىَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ ٱلْحِسَابُ
"Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"
Pengajaran
- Nabi Ibrahim AS memohon ampun bukan hanya untuk dirinya tetapi juga untuk ibu ayahnya dan orang-orang beriman pada hari dibangkitkan untuk perhitungan.
- Walaupun mungkin ada yang tidak puas hati, fokus kepada syukur. Tegur dengan baik kalau ada yang tidak betul dalam keadaan memohon keampunan dengan penuh kasih sayang.
- Kesan pohon yang menjulang, solat, dan buahnya itu memberi manfaat kepada sekitarnya. Inilah kaedah Nabi Ibrahim AS berdakwah.
Ayat 14:42
وَلَا تَحْسَبَنَّ ٱللَّهَ غَٰفِلًا عَمَّا يَعْمَلُ ٱلظَّٰلِمُونَ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ ٱلْأَبْصَٰرُ
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).
Pengajaran
- Allah SWT memujuk Nabi SAW bahawa Allah SWT tidak pernah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang zalim.
- Doa-doa ini menguatkan Nabi SAW. Begitu juga, doa-doa ini menguatkan kita.
- Allah SWT melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku.
RESOLUSI
Ingat!
- Sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah SWT dan tidak menzaliminya (14:34)
- Doakan zuriat kita istiqamah untuk solat (14:37)
- Selalu yakin dan positif pada Allah SWT ketika berdoa (14:39)
Saya berasa lega, Allah SWT ajarkan doa-doa untuk menjadikan saya orang yang bersyukur.
Saya jelas untuk sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah SWT dan tidak menzaliminya. Saya jelas untuk doakan zuriat istiqamah solat. Saya jelas saya mesti selalu yakin dan positif pada Allah SWT ketika berdoa.
Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa bersyukur dengan nikmat Mu dan tidak menzaliminya. Ya Allah, jadikan kami dan zuriat keturunan kami orang yang mendirikan solat. Ya Allah, ampunilah kami, ampunilah kedua ibu bapa kami serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQuranTime Episod 350