Tuesday, August 1, 2023

Halaman 259 : Ibrahim, 14:25-33

PERKATAAN HARI INI


ضَرَبَ  Pukul, membuat misal. 
58 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS 

  

  1. Perumpamaan kalimah yang baik daripada golongan yang berbahagia dan gambaran kalimah yang buruk dari golongan yang celaka (14:25-27)
  2. Sikap kufur nikmat dan mengadakan tandingan terhadap Allah SWT, ancaman terhadap orang kafir dengan bersenang-senang dengan kesenangan dunia, serta perintah kepada orang mukmin untuk menegakkan solat dan infak (14:28-31)
  3. Bukti & petunjuk bahawa Allah SWT itu wujud dan tauhid yang terdapat di alam semesta dan diri manusia (14:32-33)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT di hari Jumaat ini diberi peluang untuk melihat sumber hidayah al-Quran al-Kareem yang menjadi satu tanda bahawa Allah amat menyayangi kita. Allah mengatakan ar-Rahman 'allamal Quran dalam surah ar-Rahman. Allah mengajarkan al-Quran dan kita diizinkan pada hari ini untuk meneruskan pembelajaran di halaman 259. 

Untuk terus istiqomah, di antaranya ialah kita kena lihat kebaikan dan kelebihan yang Nabi SAW janjikan kepada orang yang bersama al-Quran sebagai motivasi. Bila kita melakukan yang salah, kita lihat pula  ancaman-ancaman yang diberikan.


Ayat 14:25


تُؤْتِىٓ أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍۭ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ ٱللَّهُ ٱلْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).


Pengajaran

  1. Kalimah toyyibah ialah umpama seperti sebatang pohon yang baik. Akarnya amat teguh sehingga boleh mencari air yang turun daripada langit. 
  2. Pohon itu rendang, meneduhkan orang-orang di sekelilingnya dan memberi buah-buahan dengan izin Tuhannya. 
  3. Dengan perumpamaan ini Allah SWT mahu memukul hati-hati manusia yang fitrahnya seperti pohon itu. 
  4. Sahabat-sahabat Nabi SAW dibina kalimah toyyibah dalam diri mereka dengan memakan masa yang panjang. Inilah yang perlu dibuat oleh ibu ayah iaitu kita perlu tarbiyah anak-anak kita dalam masa yang panjang. Biji benih itu kena siram dan kemudian, dipindah ke tempat yang sesuai. 
  5. Jika kalimah toyyibah ini dimasukkan ke dalam hati, ia umpama mendapat buah yang tanpa musim. Kalimah ini, perlu disebarkan umpama biji durian ditanam, tumbuh, berbuah  dan dapat memberi manfaat kepada semua. 
  6. Kita dapat iman, hendaklah kita sebarkan seperti dakwah Nabi SAW, Nabi Ibrahim, Nabi Musa. Ketika iman sudah masuk dalam diri sahabat-sahabat, mereka memberi manfaat kepada orang lain. 
  7. Kalau ramai yang bersifat seperti pokok yang rendang ini, masyarakat dan negara akan menjadi amat baik.


Ayat 14:26


وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ ٱجْتُثَّتْ مِن فَوْقِ ٱلْأَرْضِ مَا لَهَا مِن قَرَارٍ

Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.


Pengajaran

  1. Kalimah yang خَبِيثَةٍ, iaitu kalimah syirik. Contohnya: Suka keji, suka fitnah di facebook, kalimah kufur, materialistik atau berkaitan dengan nasionalisme, hanya mengutamakan negara sendiri sahaja, rasis. 
  2. Ini umpama pohon yang buruk yang telah dicabut daripada permukaannya, tiada tetap berdiri. Bila-bila boleh tercabut, tiada buah. Hanya menyemak sahaja dan kadang-kadang ada ular pula. 
  3. Untuk mendapat pohon yang baik, kena dididik, ditanam. Kalau ada pohon yang tidak baik, kena ada tukang kebun yang membersihkannya dahulu dan ditanam semula dengan tanaman yang memberi manfaat. Kalau tidak dibersihkan, akan membahayakan keluarga dan masyarakat. Tugas membersihkan ialah tugas para rasul yang menyampaikan risalah daripada kegelapan-kegelapan kepada cahaya.
  4. Bila kita mengajak kepada kebaikan, kita sebenarnya sedang membuang keburukan dalam manusia. Ini adalah buih-buih dan semak samun yang mesti dibuang. 


Ayat 14:27


يُثَبِّتُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱلْقَوْلِ ٱلثَّابِتِ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَفِى ٱلْءَاخِرَةِ وَيُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلظَّٰلِمِينَ وَيَفْعَلُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ

Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.


Pengajaran

  1. Apabila kita sudah sedar yang proses menanam itu memakan masa, kita kena siram air setiap hari. Begitulah juga kita kena siram hati kita dengan al-Quran setiap hari. 
  2. Ibu-ibu, ayah-ayah dan guru-guru yang sudah memberi manfaat tetap perlu disiram lagi. Jika tidak disiram, pokok akan kering, layu dan habis hancur. Tidak ada lagi rendang pohon 'sajarah' di dalam hati kita. Semakin rendang pokok, semakin banyak perlu disiram kerana pokok yang besar memerlukan mineral-mineral dan vitamin yang banyak. Begitulah diri kita perlu disirami dengan al-Quran sebagai penenang dari al-Quran agar kita juga dapat memberi manfaat kepada umum secara berterusan. 
  3. Apabila kita telah membuang semak samun di dalam diri dan keluarga kita, Allah SWT akan teguhkan kehidupan kita di dunia dan di akhirat. 
  4. Menurut Imam As-Sa'adi, teguh kalau di dunia ini jauh dari perkara syubahah dan akan sentiasa mendapat hidayah kepada keyakinan. Itulah yang Allah SWT teguhkan. Di dunia ini dia sentiasa mendahului perkara yang Allah SWT suka melebihi daripada kehendak daripada hawa nafsu. Allah SWT lebih penting dari nafsu. Dia meninggal dalam husnul khotimah dan dapat menjawab soalan-soalan malaikat di dalam kubur dengan baik dan benar. Inilah kesan kalimah toyibbah yang ditanam dalam diri kita dan sentiasa disiram dengan air al-Quran.


Ayat 14:28


أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ بَدَّلُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ كُفْرًا وَأَحَلُّوا۟ قَوْمَهُمْ دَارَ ٱلْبَوَارِ

Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang-orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran, dan yang telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan?


Ayat 14:29


جَهَنَّمَ يَصْلَوْنَهَا وَبِئْسَ ٱلْقَرَارُ

(Iaitu) neraka Jahannam yang mereka akan menderita bakarannya; dan (ingatlah), seburuk-buruk tempat tetap ialah neraka Jahannam.


Pengajaran Ayat 28-29

  1. Inilah ayat tentang orang yang tidak menjaga kalimah toyyibah. Diutus rasul, mereka tidak mahu mendengar. Mereka ini sedang menyiapkan tempat ke lembah kebinasaan.
  2. Nabi SAW diutuskan untuk menjadi guru kepada kita. Guru-guru kita sekarang adalah penerus legasi daripada Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW sebagai penerus kebaikan. 
  3. Orang-orang yang tidak menjaga kalimah toyyibah tempat mereka ialah di neraka jahannam. 


Ayat 14:30


وَجَعَلُوا۟ لِلَّهِ أَندَادًا لِّيُضِلُّوا۟ عَن سَبِيلِهِۦ قُلْ تَمَتَّعُوا۟ فَإِنَّ مَصِيرَكُمْ إِلَى ٱلنَّارِ

Dan mereka mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan manusia dari jalanNya. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara di dunia), kerana sesungguhnya kesudahan kamu ke neraka"


Pengajaran

  1. Allah SWT memberi amaran kerana kasih sayangNya. Seperti ibu yang memberi amaran kepada anak kerana kasih sayangnya


Ayat 14:31


قُل لِّعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ يُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُنفِقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ يَوْمٌ لَّا بَيْعٌ فِيهِ وَلَا خِلَٰلٌ

Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang beriman hendaklah mereka mendirikan sembahyang dan mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka; sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan).


Pengajaran

  1. Jika sudah ada kalimah toyyibah, kenalah beramal dengan amalan menuju ke langit, iaitu dengan bersolat. 
  2. Dengan solat setiap hari, buah daripada diri kita yang baik akan menyebabkan kita selalu hendak infaq kepada masyarakat.
  3. Al-Quran yang kita baca setiap hari akan membuang segala semak samun dan buih-buih yang ada. 


Ayat 14:32


ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزْقًا لَّكُمْ وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْفُلْكَ لِتَجْرِىَ فِى ٱلْبَحْرِ بِأَمْرِهِۦ وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْأَنْهَٰرَ

Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya).


Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan kita bahawa Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi, menurunkan hujan dari langit dan mengeluarkan buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kita. 
  2. Allah SWT memberi kemudahan kepada kita menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga Allah SWT memudahkan sungai-sungai untuk kita mengambil manfaat darinya.


Ayat 14:33


وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ دَآئِبَيْنِ وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ

Dan Ia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu"


Pengajaran

  1. Allah SWT juga jinakkan matahari dan bulan untuk kepentingan kita. Jika tidak, kesannya mungkin kita terbakar kerana matahari terlalu dekat atau beku kerana tidak ada cahaya matahari. Allah SWT menjadikan malam dan siang untuk faedah hidup kita.
  2. Kita ada tugas yang besar iaitu untuk menjadi hamba kepada Allah SWT dan menyebarkan risalah-Nya. Itulah pohon toyyibah, menjulang ke langit, minta cahaya daripada Allah SWT dan sebarkan kebaikan sesama manusia bukannya menyebarkan keburukan, kebencian atau menyebarkan kata-kata nista di dalam kita hendak menolong orang lain.
  3. Hendaklah kita tanya kepada diri kita; "Kalau Allah SWT sudah mudahkan untuk kita dapat manfaat, apakah manfaat yang sedang kita sebarkan hari ini, semalam dan hari akan datang?"
  4. Allah SWT telah memberikan kita segala kemudahan seperti buah-buahan dan air, maka kita mestilah memberi pula manfaat kepada orang lain. Jangan menyusahkan. Jangan menderitakan rakyat dan orang-orang di sekitar kita kerana kita pentingkan kalimah yang buruk tetapi hendaklah kita pilih air siraman daripada Allah, kalimah toyyibah. 


RESOLUSI

Ingat!

  1. Beramal dengan kalimah yang baik yang akan memberi manfaat sepanjang masa (14:25)
  2. Dapatkan bantuan Allah SWT melalui beramal dengan ucapan yang baik (14:27)
  3. Jaga solat dan infak sebelum terlambat (14:31)

Saya berasa lega, Allah berikan peluang untuk saya mendapat siraman al-Quran untuk membolehkan saya menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain.

Saya jelas untuk beramal dengan kalimah yang baik yang akan memberi manfaat sepanjang masa. Saya jelas saya mesti dapatkan bantuan Allah SWT melalui beramal dengan ucapan yang baik. Saya jelas untuk jaga solat dan infak sebelum terlambat.

Ya Allah, pimpin kami untuk beramal dengan kalimah yang baik yang akan memberi manfaat sepanjang masa. Ya Allah, bantu kami untuk beramal dengan ucapan yang baik. Ya Allah, bantu kami untuk jaga solat dan infak, matikan kami dalam husnul khotimah.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 348

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...