PERKATAAN HARI INI
3 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Ciri orang yang terlambat menyahut seruan Allah SWT (14:43)
- Keadaan orang yang diazab serta bergantinya langit dan bumi (14:44-52)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT pada hari yang berbahagia ini kita dapat meneruskan halaman terakhir Surah Ibrahim yang mempunyai banyak cahaya. Setiap ayat dalam al-Quran adalah untuk mengeluarkan kita dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya, nur Allah SWT sehingga kita dipimpin di jalan al-Aziz al-Hameed.
Kita akan lihat bagaimana janji Allah SWT kepada insan yang beriman, kepada Nabi SAW, para sahabat dan kita dalam memperjuangkan cahaya Allah dalam diri, keluarga dan masyarakat. Kita juga akan melihat akibat kepada orang-orang yang menyiksa dan tidak bersyukur.
Banyak doa di dalam surah ini yang boleh kita amalkan bagi mengharapkan bantuan daripada Allah SWT. Surah ini turun di Mekah ketika umat Islam ditindas dan dipandang hina tetapi mereka tetap bersama al-Quran dan tetap bersama kebenaran walaupun ditindas dan disiksa. Perjuangan merekalah yang menyebabkan al-Quran sampai kepada kita yang membolehkan kita mendapat nikmat paling tinggi.
Ayat 14:43
مُهْطِعِينَ مُقْنِعِى رُءُوسِهِمْ لَا يَرْتَدُّ إِلَيْهِمْ طَرْفُهُمْ وَأَفْـِٔدَتُهُمْ هَوَآء
(Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).
Pengajaran
- Allah SWT menggambarkan keadaan orang-orang yang tidak bersyukur semasa di akhirat nanti. Mereka akan menjadi pengecut dan penakut. Hati mereka tidak bersemangat kerana berdepan dengan azab daripada Allah SWT.
Ayat 14:44
وَأَنذِرِ ٱلنَّاسَ يَوْمَ يَأْتِيهِمُ ٱلْعَذَابُ فَيَقُولُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ رَبَّنَآ أَخِّرْنَآ إِلَىٰٓ أَجَلٍ قَرِيبٍ نُّجِبْ دَعْوَتَكَ وَنَتَّبِعِ ٱلرُّسُلَ أَوَلَمْ تَكُونُوٓا۟ أَقْسَمْتُم مِّن قَبْلُ مَا لَكُم مِّن زَوَالٍ
Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan supaya kami menurut ugama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu". Dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka): "Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan?
Pengajaran
- Ini adalah dialog orang yang diberi azab. Ini adalah peringatan penting kepada semua manusia, bukan hanya kepada orang beriman.
- Peringatan ini penting agar kita tidak merasa selamat. Allah SWT memberi peringatan kepada orang yang tidak mengikut panduan daripada-Nya.
- Mereka memohon untuk ditangguhkan azab. Mereka berjanji jika dapat kembali ke dunia, mereka akan melakukan kebaikan dan menjawab segera (نُّجِبْ) seruan Allah SWT dan rasul-rasul.
- Kalau Allah SWT panggil, hendaklah kita jawab secepat mungkin. Jangan bertangguh.
- Hendaklah kita sama-sama ambil pelajaran, menaruh harapan kepada Allah SWT dan membuat pengurusan risiko supaya kita tidak bertangguh dalam melakukan kebaikan.
Ayat 14:45
وَسَكَنتُمْ فِى مَسَٰكِنِ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ وَتَبَيَّنَ لَكُمْ كَيْفَ فَعَلْنَا بِهِمْ وَضَرَبْنَا لَكُمُ ٱلْأَمْثَالَ
"Padahal kamu telah mendiami tempat-tempat tinggal orang-orang yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, serta telah ternyata kepada kamu dengan bukti-bukti yang jelas bagaimana Kami telah mengubah keadaan mereka (dengan menimpakan mereka berbagai bencana), dan Kami pula telah nyatakan kepada kamu berbagai contoh perbandingan (di dalam Al-Quran dan melalui sabda Rasul)".
Pengajaran
- Allah SWT mengingatkan lagi yang orang-orang zalim dahulu diberi tempat tinggal dan masih ada bukti-bukti mereka pernah tinggal di situ. Contoh: Tempat kaum Madyan.
- Penduduk Taif ada orang yang degil, Nabi SAW doakan untuk mereka dan akhirnya mereka menyokong seruan nabi. Ada pula mereka yang tetap degil hingga akhirnya Allah SWT hancurkan mereka.
- Allah SWT membawakan perumpamaan di dalam al-Quran untuk kita ambil pelajaran.
- Kita semua akan sampai ke penghujung kehidupan bila-bila masa sahaja. Kalau tidak berteraskan panduan daripada Allah SWT kita pasti akan kecewa.
Ayat 14:46
وَقَدْ مَكَرُوا۟ مَكْرَهُمْ وَعِندَ ٱللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِن كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ ٱلْجِبَالُ
Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun.
Pengajaran
- Orang-orang kafir telah menjalankan rancangan jahat mereka untuk menentang Islam, sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka.
- Walaupun rancangan jahat mereka itu dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun, Allah SWT Maha Berkuasa menguruskan segala perkara ini. Bila-bila masa sahaja Allah SWT boleh menggagalkan rancangan jahat mereka dan melenyapkan mereka.
Ayat 14:47
فَلَا تَحْسَبَنَّ ٱللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِۦ رُسُلَهُۥٓ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ ذُو ٱنتِقَامٍ
Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkiri janjiNya kepada Rasul-rasulNya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Sedia Membalas (orang-orang yang menderhaka kepadaNya).
Pengajaran
- Allah SWT mengingatkan kepada rasul-rasulNya supaya jangan menyangka Allah SWT memungkiri janji kepada mereka. Allah SWT memberi perhatian kepada rasul-rasulNya yang membawa mesej kebenaran.
- Jika kita mengikut Rasul, Allah SWT juga tidak akan memungkiri janji kepada kita.
- Konteks ayat ini adalah ketika Nabi SAW dan sahabat-sahabat diherdik dan disiksa di Mekah. Pada waktu itu mereka tidak boleh buat apa-apa.
- Allah SWT menyatakan Dia Maha Kuasa lagi Sedia Membalas orang yang menderhaka kepadaNya. Allah SWT beri peluang kepada orang-orang yang degil yang menyiksa orang-orang yang beriman. Allah SWT tetap memberi peluang untuk hambaNya bertaubat.
Ayat 14:48
يَوْمَ تُبَدَّلُ ٱلْأَرْضُ غَيْرَ ٱلْأَرْضِ وَٱلسَّمَٰوَٰتُ وَبَرَزُوا۟ لِلَّهِ ٱلْوَٰحِدِ ٱلْقَهَّارِ
(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa.
Ayat 14:49
وَتَرَى ٱلْمُجْرِمِينَ يَوْمَئِذٍ مُّقَرَّنِينَ فِى ٱلْأَصْفَادِ
Dan engkau akan melihat orang-orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu.
Ayat 14:50
سَرَابِيلُهُم مِّن قَطِرَانٍ وَتَغْشَىٰ وُجُوهَهُمُ ٱلنَّارُ
Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar), dan muka (serta seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka.
Ayat 14:51
لِيَجْزِىَ ٱللَّهُ كُلَّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ إِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ
(Keluarnya manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang ia telah usahakan; sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya.
Pengajaran Ayat 48-51
- Allah SWT ingatkan bahawa mereka akan dibangkitkan untuk menghadap Allah SWT yang Maha Esa lagi Maha Kuasa.
- Langit dan bumi ini akan diganti dengan yang lain.
- Mereka yang berdosa akan di belenggu.
- Mereka disiksa dengan pakaian daripada tembaga panas dan wajah-wajah mereka ditutup dengan api neraka. Allah SWT akan membuat mereka rasa apa yang dahulu mereka buat kepada para nabi dan rasul, malah siksanya lebih dahsyat.
- Yang berbuat zalim akan dibalas, yang berbuat baik juga akan dibalas. Inilah pembelaan Allah SWT kepada para nabi dan rasul.
- Hitungan Allah SWT amat cepat. Allah SWT tidak memungkiri janji.
- Ini adalah pujukan kepada kita juga. Orang yang mengganggu kita berbuat baik akan diadili. Kita tidak perlu balas. Teruskan istiqamah berbuat kebaikan.
Ayat 14:52
هَٰذَا بَلَٰغٌ لِّلنَّاسِ وَلِيُنذَرُوا۟ بِهِۦ وَلِيَعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا هُوَ إِلَٰهٌ وَٰحِدٌ وَلِيَذَّكَّرَ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَٰبِ
(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujjah-hujjah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf.
Pengajaran
- Al-Quran ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi peringatan dan diberi nasihat dengannya.
- Juga supaya manusia mengetahui dengan hujjah-hujjah yang tersebut di dalamnya bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa.
- Peringatan-peringatan ini adalah supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf.
- Inilah kesimpulan akhir surah ini. Semoga peringatan-peringatan ini masuk sehingga ke lubuk hati. Ucapan yang paling baik adalah daripada al-Quran.
- Akhirnya, yang paling penting ialah Allah SWT adalah tuhan yang Maha Esa. Baiklah kita kembali kepada Tuhan yang Maha Esa, ikut perintahNya kerana ini yang paling berbaloi.
- Peringatan-peringatan ini hanya disedari oleh orang yang ulul albab yang melihat melalui mata hati dan sentiasa berfikir dengan akal yang sihat untuk mengambil pelajaran daripada segala apa yang Allah bekalkan.
RESOLUSI
Ingat!
- Biar malu di sini, berbanding malu dan kecewa di sana (14:43)
- Manfaatkan peluang yang ada sekarang dan jangan bertangguh (14:44)
- Manfaatkan nasihat yang paling berkesan iaitu al-Quran dalam mendidik diri dan orang sekeliling (14:52)
Saya berasa lega, Allah SWT tidak akan malukan saya diakhirat sekiranya saya manfaatkan nasihat daripada al-Quran untuk mendidik diri dan orang sekeliling.
Saya jelas untuk tidak mahu malu dan kecewa di akhirat. Saya jelas saya mesti manfaatkan peluang yang ada sekarang dan jangan bertangguh. Saya jelas saya mesti manfaatkan nasihat yang paling berkesan iaitu al-Quran dalam mendidik diri dan orang sekeliling.
Ya Allah, janganlah Engkau malukan kami di dunia lebih-lebih lagi janganlah Engkau biarkan kami malu dan kecewa di akhirat. Ya Allah, pimpin kami untuk manfaatkan peluang yang ada sekarang dan janganlah Engkau biarkan kami bertangguh untuk membuat kebaikan. Ya Allah, bimbing kami untuk manfaatkan nasihat yang paling berkesan daripada al-Quran agar kami dapat mendidik diri dan orang sekeliling.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQuranTime Episod 351