PERKATAAN HARI INI
زَان / زَيَنَ = Menghias, mencantikkan.
46 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Beberapa bentuk kuasa Allah SWT berupa penciptaan langit dan bumi, peniupan angin, menghidupkan dan mematikan, pengetahuan yang komprehensif dan "Hasyr" (15:16-25)
- Awal mula penciptaan manusia, perintah kepada malaikat untuk bersujud kepada manusia (Nabi Adam AS), sikap Iblis yang menolak sujud kepada Nabi Adam AS (15:26-31)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT pada hari yang berbahagia ini, kita sama-sama dapat meneruskan pelajaran daripada Surah Al-Hijr, halaman 263.
Semoga kita dapat menghargai betapa seriusnya Allah SWT menjaga al-Quran dan para makhluk, serta dapat memahami tentang perkara ghaib yang memerlukan bantuan ilmu daripada Allah SWT. Bersyukur Allah SWT memberi kita hidayah untuk terus berinteraksi dengan al-Quran.
Ayat-ayat dalam surah al-Hijr ini adalah surah Makkiyyah yang membina keimanan di dalam diri kita sebagaimana ia turun ketika Nabi SAW berdakwah di Mekah untuk menguatkan keimanan kepada sahabat-sahabat dan juga disampaikan kepada orang-orang musyrik Mekah.
Pada halaman lepas Allah SWT menyatakan kalau sekiranya dibuka salah satu pintu langit, kalaupun boleh terus naik, orang-orang kafir akan terus mendustakan ayat-ayat Allah SWT. Allah SWT suruh kita berfikir untuk menguatkan keimanan.
Ayat 15:16
وَلَقَدْ جَعَلْنَا فِى ٱلسَّمَآءِ بُرُوجًا وَزَيَّنَّٰهَا لِلنَّٰظِرِينَ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.
Pengajaran
- Allah SWT menggunakan perkataan جَعَلْنَا menunjukkan Dia jadikan setiap sesuatu itu dengan ada tujuan tertentu.
- Allah SWT menjadikan gugusan bintang bukan sekadar cantik pada pandangan tetapi ia ada fungsi.
Ayat 15:17
وَحَفِظْنَٰهَا مِن كُلِّ شَيْطَٰنٍ رَّجِيمٍ
Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam.
Pengajaran
- Allah SWT menjaga urusan langit daripada syaitan yang dilaknat oleh Allah SWT.
- Bintang itu cantik seninya dan ada fungsinya.
- Bacaan Quran juga ada seni dan fungsinya iaitu untuk menenangkan hati serta menjadi sumber hidayah kepada kita. Yang cantik itu mesti ada fungsi. Umpama langsir, bukan hanya cantik tetapi fungsinya ialah untuk menutup.
Ayat 15:18
إِلَّا مَنِ ٱسْتَرَقَ ٱلسَّمْعَ فَأَتْبَعَهُۥ شِهَابٌ مُّبِينٌ
Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata kelihatan.
Pengajaran
- Ini menunjukkan ada syaitan dalam kalangan jin yang mencuri dengar maklumat daripada malaikat untuk diberikan kepada bomoh dan tukang sihir.
- Syaitan akan diburu dan diikuti dengan rejaman api yang menyala daripada meteor/tahi bintang.
- Apa yang berlaku di angkasa raya ada tujuan. Bukan sekadar dicipta begitu sahaja tetapi tujuannya adalah untuk memastikan berita dan pelaksanaan para malaikat itu dalam keadaan yang teratur. Tidak dicuri maklumat dan disalah gunakan oleh syaitan.
- Pelajarannya, kita juga jangan suka menghendap berita-berita rahsia dan membocorkannya. Jangan 'tajassus' dan suka mencari-cari kesilapan orang untuk disebar-sebarkan kecuali untuk membawa kepada kebaikan.
Ayat 15:19
وَٱلْأَرْضَ مَدَدْنَٰهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَٰسِىَ وَأَنۢبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ شَىْءٍ مَّوْزُونٍ
Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya.
Pengajaran
- Allah SWT menyatakan pula apa yang ada di bumi.
- Allah SWT hamparkan bumi, pancangkannya dengan gunung-ganang dan tumbuhkan segala tumbuh-tumbuhan padanya mengikut ukuran (مَّوْزُونٍ).
- مَّوْزُونٍ bermaksud keseimbangan dalam penciptaan di bumi. Ada gunung-ganang, dan tumbuhan. Jika gunung-ganang ditarah, pokok-pokok ditebang secara tidak terancang ia akan mengganggu keseimbangan alam yang boleh mengakibatkan banjir dan lain-lain kerosakan. Ini adalah ayat perjuangan alam sekitar. Jika tidak dijaga alam sekitar, ia akan hancur.
Ayat 15:20
وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَٰيِشَ وَمَن لَّسْتُمْ لَهُۥ بِرَٰزِقِينَ
Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk yang kamu bukanlah orang yang sebenar menyediakan rezekinya.
Pengajaran
- Jika kita bimbang tentang rezeki, ini ayatnya. Ada mahkluk yang tidak perlu risaukan rezekinya kerana Allah SWT telah ciptakan rezeki buat mereka. Contohnya haiwan liar, cacing semua ada rezeki yang Allah sediakan untuk mereka.
- Zaman pandemik ini kita rasa sumber ekonomi terhad. Yang sebenarnya Allah SWT telah jadikan untuk kita sumber-sumber keperluan hidup.
Ayat 15:21
وَإِن مِّن شَىْءٍ إِلَّا عِندَنَا خَزَآئِنُهُۥ وَمَا نُنَزِّلُهُۥٓ إِلَّا بِقَدَرٍ مَّعْلُومٍ
Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu.
Pengajaran
- Sumber-sumber khazanah alam adalah milik Allah SWT. Contohnya air. Allah SWT tahu kadar untuk diberi di tempat-tempat yang berlainan. Hujan yang diturunkan di Malaysia, tidak sama kadarnya dengan di Mekah. Air hujan yang turun, ada yang masuk ke sungai, ke laut. Semua ada kadarnya. Bayangkan jika air itu tidak diserap oleh bumi atau tidak meruap semula menjadi awan.
- Allah SWT berikan semuanya berkadaran, sesuai untuk Allah SWT jaga bumi ini dan untuk kita fikirkan tentang kebesaran dan kekuasan-Nya.
- Allah SWT jadikan semuanya dengan cantik dan ada fungsi masing-masing. Cantikkan diri dengan amal untuk memberi manfaat kepada dunia sebagai kesan keberkesanan pemerhatian kita terhadap alam sekitar.
- Hijr bermakna batu. Kaum Nabi Soleh kononnya mahu berlindung daripada azab Allah SWT dengan duduk di batu-batu. Di antara batu dengan wahyu, wahyu Allah SWT lah yang dapat menyelamatkan kita.
Ayat 15:22
وَأَرْسَلْنَا ٱلرِّيَٰحَ لَوَٰقِحَ فَأَنزَلْنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَسْقَيْنَٰكُمُوهُ وَمَآ أَنتُمْ لَهُۥ بِخَٰزِنِينَ
Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.
Pengajaran
- Allah SWT hantarkan angin (ٱلرِّيَٰحَ) sebagai pembawa air dan pemindah benih.
- Allah SWT turunkan air hujan daripada langit untuk minuman kita. Kita tidak berkuasa menurunkan atau menyimpan hujan.
- Kitaran air di langit dan dibumi serta kitaran angin adalah khazanah Allah SWT untuk menghidupkan tumbuhan dan makhluk di bumi.
- Daripada langit turunnya wahyu untuk menghidupkan hati-hati manusia yang ingin menerima cahaya hidayah.
Ayat 15:23
وَإِنَّا لَنَحْنُ نُحْىِۦ وَنُمِيتُ وَنَحْنُ ٱلْوَٰرِثُونَ
Dan sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Kamilah yang kekal memiliki segala-galanya.
Pengajaran
- Allah SWT yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah SWT kekal mewarisi (ٱلْوَٰرِثُونَ) segala-galanya.
- ٱلْوَٰرِثُونَ - bermakna perpindahan. Contoh: Harta kita setelah mati akan dipindahkan kepada pewaris. Jika ada harta, jadikanlah pelaburan untuk membantu kita di akhirat kelak.
- Harta benda adalah pinjaman daripada Allah SWT. Orang yang bijak menggunakan harta untuk kekayaan di akhirat.
Ayat 15:24
وَلَقَدْ عَلِمْنَا ٱلْمُسْتَقْدِمِينَ مِنكُمْ وَلَقَدْ عَلِمْنَا ٱلْمُسْتَـْٔخِرِينَ
Dan sesungguhnya Kami telah mengetahui orang-orang yang segera (berbakti) di antara kamu, dan sesungguhnya Kami telah mengetahui orang-orang yang lambat.
Pengajaran
- Ada dua makna ayat ini:
- Allah SWT tahu orang yang terdahulu dan yang kemudian.
- Allah SWT tahu orang yang terdahulu dalam berbuat kebaikan dan orang yang bertangguh-tangguh.
- Allah SWT sudah memberi macam-macam. Maka hendaklah kita bersegera untuk buat kebaikan, jangan bertangguh-tangguh.
Ayat 15:25
وَإِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَحْشُرُهُمْ إِنَّهُۥ حَكِيمٌ عَلِيمٌ
Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang menghimpunkan mereka semuanya; sesungguhnya Ia Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui
Pengajaran
- Alah SWT akan kumpulkan semuanya di akhirat.
- Allah SWT ialah hakim yang penuh bijaksana dan apa yang Allah SWT buat memangnya tepat.
- Kita juga sedar yang Allah SWT banyak ilmu, maklum. Memang betul Allah SWT bijaksana, memberi dan melaksana keputusan dengan tepat.
Ayat 15:26
وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَٰنَ مِن صَلْصَٰلٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.
Pengajaran
- Allah SWT bawakan kepada sejarah penciptaan manusia.
- Allah SWT mencipta manusia iaitu Nabi Adam AS daripada tanah liat yang kering, dan tanah hitam yang diberi bentuk.
Ayat 15:27
وَٱلْجَآنَّ خَلَقْنَٰهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ ٱلسَّمُومِ
Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.
Pengajaran
- Jin pula diciptakan daripada api yang sangat panas.
Ayat 15:28
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّى خَٰلِقٌۢ بَشَرًا مِّن صَلْصَٰلٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.
Pengajaran
- Allah SWT mengingatkan kita lagi peristiwa semasa penciptaan Nabi Adam AS.
- Allah SWT mengulang bahawa manusia dicipta daripada tanah, berubah warna dan baunya
Ayat 15:29
فَإِذَا سَوَّيْتُهُۥ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِى فَقَعُوا۟ لَهُۥ سَٰجِدِينَ
"Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.
Pengajaran
- Allah SWT sempurnakan kejadian manusia dengan meniupkan roh ke dalamnya.
- Kemudian Allah SWT menyuruh malaikat dan jin sujud kepadanya.
Ayat 15:30
فَسَجَدَ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ كُلُّهُمْ أَجْمَعُونَ
(Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, -
Ayat 15:31
إِلَّآ إِبْلِيسَ أَبَىٰٓ أَن يَكُونَ مَعَ ٱلسَّٰجِدِينَ
Melainkan Iblis; ia enggan turut bersama mereka yang sujud.
Pengajaran Ayat 30-31
- Setelah selesai kejadian Nabi Adam AS maka sujudlah semua malaikat.
- Semua malaikat sujud memuliakan Adam seperti yang Allah SWT perintahkan.
- Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS kerana sombong.
- Iblis adalah daripada golongan jin. Tiada sumber daripada al-Quran yang mengatakan iblis asalnya daripada malaikat.
RESOLUSI
Ingat!
- Yakin pada Allah SWT dan terus berusaha mencari rezeki (15:20)
- Sedar semuanya milik dan akan kembali kepada Allah SWT (15:23)
- Selalu sujud agar tidak tergolong bersama makhluk yang sombong (15:31)
Saya berasa lega, Allah SWT sediakan rezeki untuk saya, maka saya mesti terus berusaha mencari rezeki.
Saya jelas untuk yakin pada Allah SWT dan terus berusaha mencari rezeki. Saya jelas saya mesti sedar semuanya milik dan akan kembali kepada Allah SWT. Saya jelas untuk selalu sujud agar tidak tergolong bersama makhluk yang sombong.
Ya Allah, kurniakan kami keyakinan yang tinggi pada Mu dan bimbing kami untuk terus berusaha mencari rezeki. Ya Allah, kurniakan kami kesedaran bahawa semuanya milik Mu dan akan kembali kepada Mu. Ya Allah, pimpin kami untuk selalu sujud agar tidak tergolong bersama makhluk yang sombong.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.