Wednesday, August 2, 2023

Halaman 264 : Al-Hijr, 15:32-51

 

PERKATAAN HARI INI  

بَلَسَ  = Putus asa, dukacita. 

16 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   

  1. Iblis enggan sujud (15:32-44)
  2. Balasan bagi orang yang bertakwa pada hari Kiamat (15:45-48)
  3. Maghfirah dan azab (15:49-50)
  4. Kisah tetamu Nabi Ibrahim AS (15:51)


Mukadimah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana kita dapat bersama hari ini menatap al-Quran pada halaman 264. Allah SWT izinkan untuk kita baca, faham, amal.

 Pada halaman lepas kita telah belajar bahawa malaikat semuanya sujud kepada Nabi Adam AS kecuali iblis yang enggan sujud.


Ayat 15:32

قَالَ يَٰٓإِبْلِيسُ مَا لَكَ أَلَّا تَكُونَ مَعَ ٱلسَّٰجِدِينَ

Allah berfirman: Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?".


Ayat 15:33

قَالَ لَمْ أَكُن لِّأَسْجُدَ لِبَشَرٍ خَلَقْتَهُۥ مِن صَلْصَٰلٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ

Iblis menjawab: "Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya".


Ayat 15:34

قَالَ فَٱخْرُجْ مِنْهَا فَإِنَّكَ رَجِيمٌ

Allah berfirman: "Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.


Pengajaran Ayat 32-34 


Menyambung kisah iblis yang derhaka

  1. Allah SWT bertanya apa sebab iblis tidak mahu sujud bersama mereka yang sujud?
  2. Iblis menjawab yang dia tidak akan pernah bersujud kepada manusia (بَشَرٍ) yang dibuat daripada tanah. 
  3. Iblis memandang hina kepada Nabi Adam AS walaupun itu adalah perintah Allah SWT untuk dia sujud kepada Adam. 
  4. Allah SWT suruh sujud sekali sahaja sebagai penghormatan (sujud tashrif) kepada makhluk yang dimuliakan, bukan sujud ibadah setiap hari.
  5. Allah SWT mengusir iblis daripada syurga. Menurut Ibnu Katsir, iblis tidak mahu sujud kerana dia fokus kepada fizikal Nabi Adam AS. Allah SWT memberi fokus kepada roh yang ditiupkan ke dalam Nabi Adam AS, bukan sekadar fizikal yang perlu dimuliakan. 
  6. Jangan kita fokus kepada perkara fizikal. Menurut Hamka, memberi fokus hanya kepada perkara fizikal orang lain adalah teknik iblis.
  7. Iblis merasakan yang ia senior yang sudah banyak berbuat taat. Janganlah rasa kita senior, kita lebih bagus dan mudah memandang hina kepada orang. Perangai itulah yang menyebabkan iblis dilaknat


Ayat 15:35

وَإِنَّ عَلَيْكَ ٱللَّعْنَةَ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلدِّينِ

"Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat".


Ayat 15:36

قَالَ رَبِّ فَأَنظِرْنِىٓ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Iblis berkata:" Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat)".


Ayat 15:37

قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ ٱلْمُنظَرِينَ

Allah berfirman: "Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh.


Ayat 15:38

إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْوَقْتِ ٱلْمَعْلُومِ

"Hingga ke hari - masa yang termaklum".


Ayat 15:39

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,


Pengajaran Ayat 35-39 


Jangan tiru perangai iblis

  1. Iblis dilaknat oleh Allah SWT hingga ke hari kiamat.
  2. Iblis pula doa kepada Allah SWT minta ditangguhkan hingga ke hari kiamat.
  3. Allah SWT menjawab doa iblis. Dia diberikan penangguhan. Doa iblis pun Allah SWT jawab. Kalau kita ada apa-apa keperluan, berdoalah kepada Allah SWT. Jangan kita jadi teruk daripada iblis. 
  4. Iblis memang degil. Dia menyalahkan Allah SWT dan berazam untuk menyesatkan orang lain. Suka menyalahkan orang lain adalah ciri iblis.
  5. Nabi Adam AS mengaku silapnya, kembali bertaubat. Iblis sombong, tidak mahu bertaubat.


Ayat 15:40

إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِينَ

"Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik".


Ayat 15:41

قَالَ هَٰذَا صِرَٰطٌ عَلَىَّ مُسْتَقِيمٌ

Allah berfirman: "Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya.


Ayat 15:42

إِنَّ عِبَادِى لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَٰنٌ إِلَّا مَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلْغَاوِينَ

"Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).


Ayat 15:43

وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمَوْعِدُهُمْ أَجْمَعِينَ

"Dan sesungguhnya neraka Jahannam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu).


Ayat 15:44

لَهَا سَبْعَةُ أَبْوَٰبٍ لِّكُلِّ بَابٍ مِّنْهُمْ جُزْءٌ مَّقْسُومٌ

"Ia mempunyai tujuh pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu)".


Pengajaran Ayat 40-44 

  1. Allah SWT akan memimpin hamba-hamba Nya yang ikhlas (ٱلْمُخْلَصِينَ). Iblis tidak mampu menggoda mereka. 
  2. Allah SWT menegaskan bahawa sesungguhnya iblis tidak ada kuasa untuk menyesatkan hamba-hamba Allah kecuali sesiapa yang menurut iblis dengan pilihannya sendiri.
  3. Tanda seseorang itu berpaling daripada jalan yang betul ialah apabila dia sombong. 
  4. Jangan kita mendidik anak memandang fizikal sahaja.
  5. Siapa yang mengikut iblis, tempatnya adalah di neraka.
  6. Ada tujuh pintu ke neraka bergantung kepada dosa-dosa yang dilakukan dan tidak ditaubatkan.


Ayat 15:45

إِنَّ ٱلْمُتَّقِينَ فِى جَنَّٰتٍ وَعُيُونٍ

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya.


Ayat 15:46

ٱدْخُلُوهَا بِسَلَٰمٍ ءَامِنِينَ

(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): "Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman".


Ayat 15:47

وَنَزَعْنَا مَا فِى صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّ إِخْوَٰنًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُّتَقَٰبِلِينَ

Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.


Ayat 15:48

لَا يَمَسُّهُمْ فِيهَا نَصَبٌ وَمَا هُم مِّنْهَا بِمُخْرَجِينَ

Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam Syurga itu, dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya.


Pengajaran Ayat 45-48

  1. Allah SWT menawarkan syurga kepada orang-orang yang bertakwa. Iaitu mereka yang mengikut perintah Allah SWT. Bukan seperti iblis yang enggan mengikut perintah Allah SWT.
  2. Dalam hidup kita kalau ada ujian atau cabaran jangan sampai kita menyalahkan Tuhan.
  3. Tuhan amat baik, beri kita macam-macam tetapi kita kena tanya apa yang kita buat untuk Allah SWT.
  4. Ada banyak syurga dan banyak mata air dalam syurga. 
  5. Pada ayat 46 Allah SWT gunakan ganti nama 'kamu' sebagai motivasi bahawa kitalah orang yang akan disambut oleh malaikat disyurga dengan selamat dan sejahtera.
  6. Allah SWT akan cabut rasa dengki dan tidak selesa kepada penghuni syurga. Di dunia, di kalangan orang beriman pun ada yang tidak selesa sesama sendiri. Kita teruskan perjuangan untuk berbuat kebaikan. Nabi SAW pun, sebagai manusia, ada perasaan tidak selesa mahu berjumpa Wahsyi yang membunuh bapa saudaranya. 
  7. Untuk dapat syurga, di dunia ini kita cubalah cabut sedikit demi sedikit perasaan yang tidak baik itu. Jangan mudah membenci orang. Kita kena jaga-jaga jangan sampai ikut perangai iblis yang sombong.
  8. Di syurga walaupun sibuk buat macam-macam tetapi tidak ada penat dan ia adalah sesuatu yang kekal.


Ayat 15:49

نَبِّئْ عِبَادِىٓ أَنِّىٓ أَنَا ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).


Ayat 15:50

وَأَنَّ عَذَابِى هُوَ ٱلْعَذَابُ ٱلْأَلِيمُ

Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).


Ayat 15:51

وَنَبِّئْهُمْ عَن ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ

Dan khabarkanlah kepada mereka perihal tetamu Nabi Ibrahim.


Pengajaran

  1. Allah SWT memberitahu bahawa Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh.
  2. Jangan rasa selesa sangat yang kita akan masuk syurga. Pada masa yang sama, kita sentiasa mengharapkan keampunan dan kasih sayang daripada Allah SWT. 
  3. Allah SWT mengingatkan yang azabnya amat pedih bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya.
  4. Allah SWT beritahu Nabi Muhammad SAW supaya beritahu kepada orang yang derhaka tentang tetamu Nabi Ibrahim AS.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Ikut perintah Allah SWT dan jangan suka beri alasan atau mengikut logik sendiri (15:33)
  2. Sentiasa waspada dengan kurniaan Allah SWT agar kita tidak semakin jauh daripada-Nya (15:36)
  3. Tetap membuat kebaikan walau tidak selesa di dunia ini kerana balasannya amat hebat (15:47)

Saya berasa lega, Allah SWT beri motivasi untuk saya terus buat kebaikan walaupun ada rasa tidak selesa sesama sendiri dalam usaha buat kebaikan.

Saya jelas untuk ikut perintah Allah SWT dan jangan suka beri alasan atau mengikut logik sendiri. Saya jelas saya mesti sentiasa waspada dengan kurniaan Allah SWT agar kita tidak semakin jauh daripada-Nya. Saya jelas untuk tetap membuat kebaikan walau tidak selesa di dunia ini kerana balasannya amat hebat.

Ya Allah, bimbing kami untuk ikut perintah Mu. Ya Allah, jauhi kami daripada  suka beri alasan atau mengikut logik sendiri. Ya Allah, jadikan kami orang yang sentiasa waspada dengan kurniaan Mu agar kami tidak semakin jauh daripada Mu. Ya Allah, pimipin kami untuk tetap membuat kebaikan walau tidak selesa, kurniakan kami balasan yang hebat di akhirat.  

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...