PERKATAAN HARI INI:
قَرَأَ = Membaca.
88 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Gambaran tentang al-Quran disertai dengan ancaman bagi orang kafir dan penderhaka (15:1-5)
- Beberapa pernyataan kaum Musyrikin menyangkut diri Nabi Muhammad SAW dan sanggahannya (15: 6-15)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT pada hari ini kita dapat meneruskan pada surah Al-Hijr, surah yang ke-15 pada halaman 262. Surah ini dikaitkan dengan kawasan berbatu tempat tinggal kaum Thamud.
Surah Makkiyyah ini memberi pujukan, kekuatan dan semangat kepada Nabi Muhammad SAW, para sahabat sekaligus memberi semangat kepada kita pada hari ini.
Ayat 15:1
الٓر تِلْكَ ءَايَٰتُ ٱلْكِتَٰبِ وَقُرْءَانٍ مُّبِينٍ
Alif, Laam, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab (yang lengkap sempurna) dan Al-Quran yang memberi penjelasan.
Pengajaran
- Surah ini dimulakan dengan huruf mukhoto'ah. Sikap kita tentang al-Quran perlu kita perbaharui iaitu mengaku kita tidak tahu dan yang tahu hanyalah Allah SWT.
- Berbagai ilmu terdapat di dalam al-Quran. Untuk akses ilmu itu kita perlu ada sikap merendahkan diri bila membaca al-Quran, bukan untuk berhujjah tetapi mencari hujjah untuk menguatkan diri kita.
- Al-Quran bukan buatan manusia tetapi ia terkait dengan apa yang tertulis di Loh Mahfuz sebagai sumber peraturan.
- Allah bersumpah sesungguhnya al-Quran ini sesuatu yang perlu dibaca berulang kali. Itu akan memberi kesan kepada ilmu kita.
- Quran daripada perkataan ق ر ا bermakna mengumpulkan beberapa perkara menjadi sesuatu yang bermakna. Baca bukan sekadar daripada aksara teks tetapi juga daripada alam. Contoh: Perhatikan pandemik COVID19, statistik kes dan kaitannya dengan Quran. Orang yang boleh membaca tahu bahawa ini adalah signal daripada Allah SWT supaya kita semakin baca perkataan daripada Allah SWT bukannya perkataan manusia. Perkataan manusia boleh merosakkan, boleh menyebabkan banyak negatif berbanding positif.
Ayat 15:2
رُّبَمَا يَوَدُّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَوْ كَانُوا۟ مُسْلِمِينَ
Ada masanya orang-orang yang kafir merasa ingin kalaulah mereka telah menjadi orang-orang Islam
Pengajaran
- Orang kufur berangan-angan mahu menjadi orang Islam di akhirat kelak tetapi sudah terlambat. Mereka hanya betul-betul yakin bila melihat orang Islam yang beriman dibawa masuk ke dalam syurga.
- Bila kita membaca ayat-ayat tentang orang kafir atau orang munafik, jangan ingat ia hanya untuk mereka. Sikap berinteraksi dengan al-Quran umpama kita tengok spektrum pelangi. Ada orang paling baik dan orang paling tidak baik. Jika kita berada di tengah-tengah, kita berdoa agar kita akan menjadi orang yang baik dan dijauhkan daripada menjadi orang yang tidak baik. Peringatan untuk kita hargai keislaman yang kita ada.
Ayat 15:3
ذَرْهُمْ يَأْكُلُوا۟ وَيَتَمَتَّعُوا۟ وَيُلْهِهِمُ ٱلْأَمَلُ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ
Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka).
Pengajaran
- Sifat orang kufur:
- mereka suka makan - tidak kisah halal ataupun haram.
- suka bersenang-senang - Contoh: jangan sampai kita tertipu dengan telefon canggih untuk berhibur sampai terabai tanggung jawab kepada keluarga dan kerja.
- suka disibukkan dengan panjang angan-angan - Contoh: Hendak besarkan rumah, mengumpul kekayaan. Tidak salah mengumpul kekayaan untuk berinfaq. Menurut Imam Qurtubi, penyakit besar adalah panjang angan-angan. Kita tidak mahu terjerat dengan sifat ini dalam kehidupan seharian.
- Tanda kita tidak panjang angan-angan antaranya, kita rancang hidup ini untuk membuat persediaan ke akhirat bukannya untuk dunia semata-mata.
- Di dunia ini kalau buat tiga perkara ini, dalam sebuah keluarga akan berantakkan. Kesan besarnya ialah bila sampai ke akhirat nanti. Ini ada kaitan dengan amanah sebagai seorang hamba kepada Allah SWT.
Ayat 15:4
وَمَآ أَهْلَكْنَا مِن قَرْيَةٍ إِلَّا وَلَهَا كِتَابٌ مَّعْلُومٌ
Dan tiadalah Kami binasakan (penduduk) sesebuah negeri melainkan ada baginya tempoh yang tertentu dan termaklum.
Pengajaran
- Untuk memahami ayat ini kita guna kaedah spektrum pelangi. Kebinasaan yang paling teruk ialah apabila Allah SWT hancurkan semuanya. Allah SWT memberi tempoh sebelum dihancurkan sesuatu. Yang paling selamat ialah bila tidak hancur, dengan keadaan bahagia di dunia dan bahagia di akhirat.
- Kalau sesebuah keluarga atau negeri itu sudah dihancurkan, itu kerana sebelum itu individu atau keluarga itu sudah hancur sedikit demi sedikit. Kita harapkan keluarga dan, organisasi kita tidak dihancurkan.
- Pada zaman pandemik ini Allah SWT boleh hancurkan sesiapa sahaja. Syarikat yang besar tiba-tiba sahaja hancur. Bagi sesuatu negeri, Allah boleh hancurkan. Semuanya tercatat dalam kitab di Loh Mahfuz.
- Al-Quran ini adalah formula yang terkait dengan ketentuan yang ada di Loh Mahfuz. Kalau kita ikut betul-betul apa yang ada dalam al-Quran, kita akan dapat kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Sebaliknya, bersedia untuk dihancurkan.
Ayat 15:5
مَّا تَسْبِقُ مِنْ أُمَّةٍ أَجَلَهَا وَمَا يَسْتَـْٔخِرُونَ
Sesuatu umat itu tidak dapat mendahului tempohnya yang telah ditentukan, dan mereka juga tidak dapat mengundurkannya.
Pengajaran
- Sesuatu umat itu tidak dapat mendahului tempohnya yang telah ditentukan, dan mereka juga tidak dapat mengundurkannya.
- Sebenarnya ukuran/qadar hidup kita telah ditetapkan di Loh Mahfuz. Untuk mendapat qadar yang baik, kita mestilah ikut panduan daripada al-Quran dan berdoa memohon yang terbaik daripada Allah SWT dan dijauhkan daripada yang buruk.
Ayat 15:6
وَقَالُوا۟ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِى نُزِّلَ عَلَيْهِ ٱلذِّكْرُ إِنَّكَ لَمَجْنُونٌ
Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): "Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila".
Pengajaran
- Mereka yang ingkar mengatakan Nabi Muhammad SAW itu gila. Mereka rasa mereka betul dan yang gila Nabi Muhammad SAW.
- Sebenarnya hidup mereka sudah terbalik. Sepatutnya hidup bukan sekadar makan tidak kira halal haram. Itu seperti haiwan. Hidup juga bukan sekadar untuk berhibur semata-mata. Hidup ini ada tanggung jawab. Boleh berhibur apabila sampai di akhirat. Hidup juga bukan untuk panjang angan-angan kerana angan-angan paling panjang boleh dibuat bila sudah sampai syurga. Sekarang hidup tidak lama.
Ayat 15:7
لَّوْ مَا تَأْتِينَا بِٱلْمَلَٰٓئِكَةِ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّٰدِقِينَ
"Sepatutnya engkau membawakan malaikat kepada kami (untuk menjadi saksi tentang kerasulanmu), jika betul engkau dari orang-orang yang benar!"
Pengajaran
- Mereka berhujjah dengan Nabi SAW supaya membawakan malaikat kepada mereka untuk menjadi saksi tentang kerasulan baginda.
- Ini adalah kaedah orang-orang yang tidak berteraskan kepada kebenaran.
- Kita juga tidak selamat daripada perangai yang tidak berteraskan kebenaran. Oleh itu hendaklah kita berdoa mohon Allah bimbing kita dengan cahaya daripada al-Quran.
Ayat 15:8
مَا نُنَزِّلُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةَ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَمَا كَانُوٓا۟ إِذًا مُّنظَرِينَ
Tiadalah Kami menurunkan Malaikat melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan pada ketika itu mereka (yang ingkar) tidak akan diberi tempoh lagi.
Pengajaran
- Allah SWT menjawab, Dia menurunkan Malaikat dengan kebenaran-Nya (بِٱلْحَقِّ)
- Malaikat diturunkan untuk membawa wahyu kepada rasul. Tetapi kalau Malaikat turun kepada orang yang tidak benar, ia membawa azab.
- Orang yang cabar Nabi Muhammad SAW supaya Malaikat diturunkan sebenarnya mereka mencabar untuk mendapat azab. Ini adalah kerana mereka jahil, tidak tahu hakikatnya yang betul.
- Kalau kita hendak minta sesuatu, mintalah dengan ilmu yang betul. Minta sesuatu tanpa ilmu ia mungkin mengundang bala kepada kita.
Ayat 15:9
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ
Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.
Pengajaran
- Allah SWT menegaskan bahawa Dia-lah yang menurunkan al-Quran sebagai peringatan kepada siapa yang hendak ambil peringatan dan Dia-lah yang memelihara dan menjaganya.
- Ada orang yang tidak mahu ambil peringatan. Bila datang wahyu, dapat baca al-Quran ada yang rasakan ini adalah satu anugerah. Ada orang yang tidak rasa apa-apa pun. Mereka lebih suka dapat duit, gaji naik dan sebagainya.
- Kalau kita jaga al-Quran, kita juga akan dijaga oleh Allah SWT. Sesiapa sahaja yang terlibat dalam proses menjaga al-Quran, maka Allah akan muliakan dan Allah akan jaga kita, insya-Allah.
- Semoga Allah SWT jauhkan kita daripada perangai orang kafir yang mencabar Allah dan rasul-Nya.
Ayat 15:10
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ فِى شِيَعِ ٱلْأَوَّلِينَ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah utuskan Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), dalam kalangan kaum-kaum yang telah lalu.
Ayat 15:11
وَمَا يَأْتِيهِم مِّن رَّسُولٍ إِلَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ
Dan tiadalah seseorang Rasul pun yang datang kepada mereka, melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya.
Ayat 15:12
كَذَٰلِكَ نَسْلُكُهُۥ فِى قُلُوبِ ٱلْمُجْرِمِينَ
(Sebagaimana hati kaum-kaum yang telah lalu dimasuki perasaan mempersendakan Rasul-rasul) demikianlah pula Kami masukkan perasaan yang seperti itu ke dalam hati orang-orang yang berdosa (yang menentangmu).
Ayat 15:13
لَا يُؤْمِنُونَ بِهِۦ وَقَدْ خَلَتْ سُنَّةُ ٱلْأَوَّلِينَ
Mereka tidak percaya kepada Al-Quran yang engkau bawa, padahal telahpun berlaku undang-undang membinasakan orang-orang yang telah lalu (yang mendustakan Rasul-rasulnya).
Ayat 15:14
وَلَوْ فَتَحْنَا عَلَيْهِم بَابًا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ فَظَلُّوا۟ فِيهِ يَعْرُجُونَ
Dan kalau Kami bukakan kepada mereka mana-mana pintu langit, kemudian mereka dapat naik melalui pintu itu (pada siang hari yang membolehkan mereka menyaksikan segala kenyataan yang ada):
Ayat 15:15
لَقَالُوٓا۟ إِنَّمَا سُكِّرَتْ أَبْصَٰرُنَا بَلْ نَحْنُ قَوْمٌ مَّسْحُورُونَ
Tentulah mereka akan (mengingkari kenyataan yang benar itu dengan) berkata: "Hanya mata kami telah disilapkan penglihatannya bahkan kami adalah kaum yang telah disihirkan (oleh Muhammad)".
Pengajaran Ayat 10-15
- Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menghantar rasul-rasul untuk membawa risalah kepada umat-umat terdahulu.
- Orang kufur memperolok-olokkan para rasul. Mereka buat silap dan tidak mahu mengaku kesilapan. Ciri-ciri orang kafir, mereka suka menidakkan seseorang. Mereka akan cuba memperolok-olokkan, mempermainkan karakter orang tersebut.
- Sebagaimana hati kaum-kaum yang telah lalu dimasuki perasaan mempersendakan Rasul-rasul, demikianlah pula Allah SWT masukkan perasaan yang seperti itu ke dalam hati orang-orang yang berdosa.
- Apabila kita mula memperolok-olokan orang lain, lama-lama kita akan jadi orang yang memperolok-olokkan kebenaran. Lama-lama nanti hati akan jadi seperti hati orang-orang yang berdosa.
- Mereka tidak percaya kepada al-Quran yang dibawa oleh Nabi SAW, padahal telahpun berlaku undang-undang membinasakan orang-orang yang telah lalu yang mendustakan rasul-rasul.
- Orang yang mengikut peraturan Allah SWT akan diselamatkan. Orang yang terlibat dengan kekufuran akan dimusnahkan di dunia sampai ke akhirat.
- Balasan kepada cabaran mereka, Allah SWT beritahu bahawa sekiranya Allah SWT bukakan pintu langit untuk manusia masuk, mereka akan jadi mabuk, kabur. Pintu langit hanya layak untuk Malaikat. Pergerakan malaikat amat laju. Jika bukan dengan anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya Nabi Muhammad SAW semasa peristiwa isra', Nabi SAW akan hancur semasa naik ke langit.
- Mereka mengatakan mereka seolah-olah kena sihir. Mereka mengakui ada kesan yang hebat daripada al-Quran yang dibacakan. Al-Quran sememangnya mempunyai kesan yang besar kepada orang terdahulu dan kepada kita juga. Sebenarnya al-Quran adalah mukjizat yang akan memberi manfaat kepada kita.
- Semoga kita tidak menjadi orang yang menutupi kebenaran dengan kita hanya makan, berhibur dan panjang angan-angan. Untuk menguruskan perkara ini, kita ada al-Quran sebagai panduan untuk kita beramal dengannya.
RESOLUSI
Ingat!
- Elakkan berangan-angan, beramallah dengan isi al-Quran (15:1-2)
- Jadi pejuang al-Quran untuk sentiasa dijaga Allah SWT (15:9)
- Elakkan memperolok-olokkan ayat Allah SWT (15:11-12)
Saya berasa lega, Allah SWT akan jaga saya kalau saya jadi pejuang al-Quran.
Saya jelas untuk elakkan berangan-angan. Saya jelas untuk beramal dengan isi al-Quran. Saya jelas saya mesti jadi pejuang al-Quran untuk sentiasa dijaga Allah SWT. Saya jelas untuk elakkan memperolok-olokkan ayat Allah SWT.
Ya Allah, janganlah Engkau biarkan kami hidup hanya untuk makan, berhibur dan berangan-angan. Ya Allah, bimbing kami untuk beramal dengan isi al-Quran. Ya Allah, bantu kami untuk jadi pejuang al-Quran agar kami sentiasa mendapat penjagaan dari-Mu. Ya Allah, elakkan kami daripada memperolok-olokkan ayat-ayat Mu.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.