Wednesday, August 2, 2023

Halaman 265 : Al-Hijr, 15:52-70

 

PERKATAAN HARI INI 

وَجِلَ  = Rasa takut. 

5 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   

  1. Kisah tetamu Nabi Ibrahim A.S dan berita penting (15:52-56)
  2. Informasi pembinasaan kaum Nabi Lut AS (15: 57-70)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita bersyukur dapat berinteraksi dengan al-Quran, meneruskan pengajian pada halaman 265. Semoga Allah lindungi kita daripada jangkitan COVID19 yang sudah melebihi 20 ribu kes.

Pada ayat 51 Allah SWT perintahkan Nabi Muhammad SAW menyampaikan berita besar tentang kedatangan tetamu Nabi Ibrahim AS. 


Ayat 15:52

إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَٰمًا قَالَ إِنَّا مِنكُمْ وَجِلُونَ

Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Selamat sejahtera kepadamu!" Ia berkata: "Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu".

Pengajaran

  1. Ketika tetamu Nabi Ibrahim AS masuk lalu memberi salam, baginda menyatakan perasaan takut kepada tetamunya kerana mereka datang pada waktu malam. 


Ayat 15:53

قَالُوا۟ لَا تَوْجَلْ إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلَٰمٍ عَلِيمٍ

Mereka menjawab: "Janganlah engkau takut, sebenarnya kami hendak mengembirakanmu dengan berita bahawa engkau akan beroleh seorang anak lelaki yang bakal menjadi seorang yang berilmu".

Pengajaran

  1. Tetamunya memberitahu supaya jangan takut kerana mereka membawa khabar gembira bahawa baginda akan dikurniakan anak lelaki yang bijaksana, iaitu Nabi Ishak.


Ayat 15:54

قَالَ أَبَشَّرْتُمُونِى عَلَىٰٓ أَن مَّسَّنِىَ ٱلْكِبَرُ فَبِمَ تُبَشِّرُونَ

Nabi Ibrahim berkata: "Betulkah kamu mengembirakan daku (dengan berita yang demikian), padahal aku telah tua; maka dengan jalan apakah kamu mengembirakan daku?"

Pengajaran

  1. Nabi Ibrahim AS bertanya kembali kerana baginda dan isteri sudah sangat tua. 


Ayat 15:55

قَالُوا۟ بَشَّرْنَٰكَ بِٱلْحَقِّ فَلَا تَكُن مِّنَ ٱلْقَٰنِطِينَ

Mereka menjawab: "Kami mengembirakanmu dengan jalan yang sungguh benar; oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang berputus asa".

Pengajaran

  1. Malaikat memberitahunya yang mereka membawa berita yang benar dan menasihatkan Nabi Ibrahim AS supaya tidak berputus asa.


Ayat 15:56

قَالَ وَمَن يَقْنَطُ مِن رَّحْمَةِ رَبِّهِۦٓ إِلَّا ٱلضَّآلُّونَ

Nabi Ibrahim berkata: "Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat".

Pengajaran

  1. Nabi Ibrahim AS tidak putus asa daripada rahmat Allah SWT. 
  2. Hendaklah kita jaga perkataan kita bila mendengar sesuatu perkara yang mustahil. Teruskan berdoa.
  3. يَقْنَطُ maksudnya sangat melampau-lampau putus asanya.
  4. Dalam hidup ini jangan kita rasa takut kalau kita buat baik. Malaikat akan datang kepada orang buat baik untuk membawa khabar baik. 
  5. Orang yang mendapat hidayah akan mengeluarkan kata-kata yang penuh harapan.
  6. Bila Allah SWT mahu memberi, umur sudah 100 tahun boleh lagi mendapat anak. Tiada yang mustahil.
  7. Allah SWT berkuasa menjadi segalanya kembali bahagia.


Ayat 15:57

قَالَ فَمَا خَطْبُكُمْ أَيُّهَا ٱلْمُرْسَلُونَ

Nabi Ibrahim bertanya pula: "Apa hal kamu wahai Utusan Tuhan?"


Ayat 15:58

قَالُوٓا۟ إِنَّآ أُرْسِلْنَآ إِلَىٰ قَوْمٍ مُّجْرِمِينَ

Mereka menjawab: "Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka)".


Pengajaran Ayat 15:57-58

  1. Nabi Ibrahim AS bertanya apa lagi agenda mereka datang. Baginda dapat rasakan malaikat datang kerana ada sesuatu yang tidak baik.
  2. Malaikat menjawab bahawa mereka diutuskan kepada kaum yang berdosa yang akan mendapat azab daripada Allah SWT.
  3. Orang-orang yang beriman akan dijaga oleh malaikat. Teruskan sebar kebaikan supaya kita dijaga oleh malaikat.


Ayat 15:59

إِلَّآ ءَالَ لُوطٍ إِنَّا لَمُنَجُّوهُمْ أَجْمَعِينَ

"Melainkan keluarga Nabi Lut; sesungguhnya kami akan menyelamatkan mereka semuanya, 


Ayat 15:60

إِلَّا ٱمْرَأَتَهُۥ قَدَّرْنَآ إِنَّهَا لَمِنَ ٱلْغَٰبِرِينَ

"Kecuali isterinya; kami telah tentukan (menurut keputusan Tuhan) sesungguhnya ia dari orang-orang yang tinggal (menerima kebinasaan)".


Pengajaran Ayat 15:59-60

  1. Malaikat memberitahu keluarga Nabi Lut AS akan diselamatkan, kecuali isterinya. 
  2. Allah SWT telah menentukan yang isterinya akan ditinggalkan dan akan diazab bersama kaumnya yang berdosa.


Ayat 15:61

فَلَمَّا جَآءَ ءَالَ لُوطٍ ٱلْمُرْسَلُونَ

Maka apabila (malaikat-malaikat) utusan itu datang kepada kaum Nabi Lut,


Ayat 15:62

قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ

Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya kamu suatu kaum yang tidak dikenali (serta tidak diketahui baiknya kedatangan kamu)"


Ayat 15:63

قَالُوا۟ بَلْ جِئْنَٰكَ بِمَا كَانُوا۟ فِيهِ يَمْتَرُونَ

Mereka menjawab: "(Kedatangan kami bukan untuk mendukacitakanmu) bahkan kami datang kepadamu untuk membawa azab yang mereka ragu-ragukan kebenarannya.


Ayat 15:64

وَأَتَيْنَٰكَ بِٱلْحَقِّ وَإِنَّا لَصَٰدِقُونَ

"Juga membawa kepadamu perkara yang benar (tentang kebinasaan mereka); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar ".


Ayat 15:65

فَأَسْرِ بِأَهْلِكَ بِقِطْعٍ مِّنَ ٱلَّيْلِ وَٱتَّبِعْ أَدْبَٰرَهُمْ وَلَا يَلْتَفِتْ مِنكُمْ أَحَدٌ وَٱمْضُوا۟ حَيْثُ تُؤْمَرُونَ

"Oleh itu, bawalah pergi keluargamu pada waktu malam serta ikutlah di belakang mereka; dan janganlah seseorang pun di antara kamu berpaling (ke belakang); serta pergilah terus ke arah yang diperintahkan kamu menujunya".


Pengajaran Ayat 15:61-65

  1. Selepas memberi khabar gembira kepada Nabi Ibrahim AS, malaikat pergi kepada kaum Nabi Lut AS yang berbuat dosa.
  2. Nabi Lut AS mengatakan kaumnya itu tidak dikenali.  
  3. Mereka selalu sangat diingatkan oleh Nabi Lut tetapi mereka tetap degil maka malaikat datang untuk membawa azab kepada mereka.
  4. Mereka membawa kebenaran kepada orang yang derhaka kepada Allah iaitu pasti mereka akan diazab. Kalau ada orang-orang yang berada di situ yang buat baik, akan diselamatkan. Syaratnya mestilah berdakwah menegur, tidak hanya berdiam diri ataupun tidak kisah maksiat yang sedang berlaku.
  5. Malaikat menyuruh Nabi Lut AS untuk pergi bersama keluarganya pada bahagian akhir waktu malam. Ini supaya langkah mereka tidak disedari oleh kaumnya. 
  6. Hijrah mesti mengikut strategi seperti yang diajarkan kepada Nabi Lut AS dan juga Nabi Muhammad SAW. 
  7. Nabi Lut AS disuruh mengikuti keluarganya di belakang. Diarahkan untuk berjalan terus dan tidak memandang ke belakang. Ketika berhijrah kita kena pandang ke depan. 


Ayat 15:66

وَقَضَيْنَآ إِلَيْهِ ذَٰلِكَ ٱلْأَمْرَ أَنَّ دَابِرَ هَٰٓؤُلَآءِ مَقْطُوعٌ مُّصْبِحِينَ

Dan Kami wahyukan kepadanya tentang kesudahan perkara itu; iaitu mereka akan dibinasakan pada waktu pagi, sehingga mereka punah ranah dan terputus keturunannya.


Ayat 15:67

وَجَآءَ أَهْلُ ٱلْمَدِينَةِ يَسْتَبْشِرُونَ

Dan (semasa kedatangan mereka) datanglah penduduk bandar itu dengan gembira.


Ayat 15:68

قَالَ إِنَّ هَٰٓؤُلَآءِ ضَيْفِى فَلَا تَفْضَحُونِ

Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku".


Ayat 15:69

وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلَا تُخْزُونِ

"Dan takutlah kamu kepada Allah serta janganlah kamu menghinakan daku".


Ayat 15:70

قَالُوٓا۟ أَوَلَمْ نَنْهَكَ عَنِ ٱلْعَٰلَمِينَ

Mereka menjawab: "Bukankah kami telah melarangmu jangan menerima sebarang tetamu dari orang ramai (atau memberi perlindungan kepada mereka)?"


Pengajaran Ayat 15:66-70

  1. Tempat itu akan dibinasakan pada waktu subuh.
  2. Kedatangan malaikat ke rumah Nabi Lut AS diketahui juga oleh kaumnya yang gembira melihat mereka.  
  3. Nabi Lut AS mengingatkan kaumnya untuk tidak memalukannya di hadapan tetamunya. Baginda menggunakan pendekatan manusiawi. Memujuk kaumnya kerana baginda berada dalam masyarakat.
  4. Nabi Lut AS mengingatkan mereka supaya bertaqwa kepada Allah SWT dan tidak menghinanya.
  5. Nabi Lut AS diberitahu oleh kaumnya yang baginda tidak sepatutnya melindungi tetamunya. 
  6. Semoga kita terus hijrah mengikut pedoman kisah Nabi Lut AS.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Jangan berputus asa dalam perkara yang nampak mustahil bagi manusia (15:55)
  2. Selalu melakukan kebaikan agar malaikat yang hadir membawa khabar baik juga (15:64)
  3. Sentiasa lindungi orang lain untuk kebaikan (15:70)

Saya berasa lega, Allah SWT beri harapan tiada yang mustahil, jangan putus asa daripada rahmatNya.

Saya jelas untuk tidak berputus asa dalam perkara yang nampak mustahil bagi manusia. Saya jelas saya mesti selalu melakukan kebaikan agar malaikat yang hadir membawa khabar baik juga. Saya jelas untuk sentiasa lindungi orang lain untuk kebaikan.

Ya Allah, pimpin kami supaya tidak berputus asa dalam perkara yang nampak mustahil bagi manusia. Ya Allah, bantu kami untuk selalu melakukan kebaikan agar malaikat yang hadir membawa khabar baik juga. Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa lindungi orang lain untuk kebaikan.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...