PERKATAAN HARI INI
عَمِهَ = Menerawang.
7 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Sambungan kisah Nabi Lut AS dan kaumnya (15:71-77)
- Kisah penduduk Aikah, kaum Nabi Syu'aib AS dan penduduk Al-Hijr (Bangsa Tsamud) (15:78-86)
- Sejumlah anugerah Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW (15:87-90)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita bersyukur dapat meneruskan pengajian pada halaman 266 dalam surah al-Hijr. Semoga kita terus dipimpin oleh Allah SWTdengan panduan daripada al-Quran.
Pada ayat 51 Allah SWT menyuruh Nabi SAW menyampaikan berita besar tentang kedatangan tetamu Nabi Ibrahim AS.
Ayat 15 71
قَالَ هَٰٓؤُلَآءِ بَنَاتِىٓ إِن كُنتُمْ فَٰعِلِينَ
Nabi Lut berkata: "Di sini ada anak-anak perempuanku, kalaulah kamu mahu melakukan (secara halal).
Ayat 15:72
لَعَمْرُكَ إِنَّهُمْ لَفِى سَكْرَتِهِمْ يَعْمَهُونَ
Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka.
Ayat 15: 73
فَأَخَذَتْهُمُ ٱلصَّيْحَةُ مُشْرِقِينَ
Akhirnya merekapun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit.
Ayat 15:74
فَجَعَلْنَا عَٰلِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ
Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar.
Ayat 15:75
إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّلْمُتَوَسِّمِينَ
Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya.
Ayat 15:76
وَإِنَّهَا لَبِسَبِيلٍ مُّقِيمٍ
Dan sesungguhnya negeri kaum Lut yang telah dibinasakan itu, terletak di jalan yang tetap (dilalui orang).
Ayat 15:77
إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَةً لِّلْمُؤْمِنِينَ
Sesungguhnya keadaan yang demikian, mengandungi satu tanda yang memberi kesedaran kepada orang-orang yang beriman.
Pengajaran Ayat 71-77
Menyambung Kisah Nabi Lut AS dan Kaumnya
- Pada ayat lepas, Allah SWT menceritakan bahawa apabila malaikat pergi ke rumah Nabi Lut AS, kaumnya mengganggu malaikat untuk melakukan perbuatan homoseks. Nabi Lut AS melarang mereka tetapi dibidas oleh kaumnya.
- Nabi Lut AS memberikan alternatif kepada kaumnya. Baginda memberi pilihan بَنَاتِىٓ iaitu menurut satu kefahaman, untuk mengambil anaknya atau yang kedua, mengambil wanita yang halal buat mereka. Nabi Lut AS memberikan pilihan yang halal untuk mereka. Perbuatan mereka adalah satu jenayah besar yang menjadi ikutan manusia sampai ke zaman ini. Sekarang ada kumpulan LGBTQ yang berlawanan fitrah yang diajar oleh Allah SWT.
- Pada ayat 72, Allah SWT bersumpah dengan umur Nabi Muhammad SAW. Ini adalah satu kemuliaan kepada Nabi SAW. Allah SWT menyebut kepada baginda SAW bahawa mereka itu bergelumang dengan dosa dalam keadaan mabuk kerana buta mata hati. Bila buta mata hati, malaikat tetamu nabi pun mahu dirosakkan oleh mereka.
- Akibat perbuatan dosa itu, mereka dihancurkan dengan satu suara keras pada waktu menjelang terbit matahari. Mereka dihujani batu-batu yang dibakar dan panas. Negeri mereka hancur diterbalikkan.
- Menurut Imam Qurtubi, مُتَوَسِّمِينَ adalah orang yang bersih hatinya, jaga daripada maksiat, kemahuan yang bagus, lapangkan hati daripada perkara-perkara keduniaan dan menyucikan hati daripada akhlak yang buruk. Mereka dapat baca signal daripada Allah SWT dalam kehidupan.
- Kalau LGBTQ berleluasa, peranan bagi orang yang ingin kebaikan kena tegur. Jangan bersekongkol. Jika mereka perlu bantuan, bawa mereka bertemu pakar psikiatri dan lain-lain. Malah jangan berasa kasihan kepada mereka seperti isteri Nabi Lut AS yang pandang ke belakang semasa diperintah untuk hijrah juga kena azab.
- Bila Allah SWT beri peringatan, itu tandanya Allah SWT sayang. Kalau tidak ikut peringatan, sehinggalah satu masa, Allah SWT akan turunkan azab.
- Kesan tempat yang dibinasakan itu tetap ada dan dilalui oleh para pedagang Mekah ke Madinah. Tanda itu wujud sehingga sekarang untuk kita ambil pelajaran. Jangan main-main dengan jenayah homoseksual yang dinyatakan dalam ayat-ayat ini.
- Pada ayat 77 Allah SWT mengatakan bahawa orang beriman akan sedar tentang kebenaran peristiwa tersebut. Al-Quran adalah satu mukjizat kebenaran yang menunjukkan kekuasan dan kesucian Allah SWT, Subhanallah.
Ayat 15:78
وَإِن كَانَ أَصْحَٰبُ ٱلْأَيْكَةِ لَظَٰلِمِينَ
Dan sebenarnya penduduk kampung "Aikah" adalah orang-orang yang berlaku zalim.
Ayat 15:79
فَٱنتَقَمْنَا مِنْهُمْ وَإِنَّهُمَا لَبِإِمَامٍ مُّبِينٍ
Maka Kami membalas kezaliman mereka itu dengan azab yang membinasakan; dan sesungguhnya kedua-duanya itu terletak di jalan yang terang (yang masih dilalui orang).
Ayat 15:80
وَلَقَدْ كَذَّبَ أَصْحَٰبُ ٱلْحِجْرِ ٱلْمُرْسَلِينَ
Dan demi sesungguhnya penduduk "Al-Hijr" telah mendustakan Rasul-rasul.
Ayat 15:81
وَءَاتَيْنَٰهُمْ ءَايَٰتِنَا فَكَانُوا۟ عَنْهَا مُعْرِضِينَ
Dan Kami telah berikan kepada mereka tanda-tanda (yang membuktikan kebenaran ugama dan Rasul Kami); dalam pada itu, mereka terus juga berpaling (mengingkarinya).
Ayat 15:82
وَكَانُوا۟ يَنْحِتُونَ مِنَ ٱلْجِبَالِ بُيُوتًا ءَامِنِينَ
Dan mereka memahat sebahagian dari gunung-ganang, sebagai tempat tinggal dengan keadaan aman (dari sesuatu bahaya).
Ayat 15:83
فَأَخَذَتْهُمُ ٱلصَّيْحَةُ مُصْبِحِينَ
Meskipun demikian, mereka dibinasakan juga oleh letusan suara yang menggempakan pada bumi waktu pagi.
Ayat 15:84
فَمَآ أَغْنَىٰ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
Maka apa yang mereka telah usahakan itu, tidak dapat menolong mereka sedikit pun.
Pengajaran Ayat 15 : 78-84
- Pada ayat 78, Allah SWT membawa cerita kaum Aikah yang didakwah oleh Nabi Shuaib AS. Mereka membuat masalah ekonomi seperti rasuah dan menipu. Puncak kezaliman mereka ialah mereka menyembah kepada pokok. Syirik dengan menipu dalam ekonomi itu saling berkait. Kalau orang Islam sanggup rasuah, tipu dan mereka tidak rasa bersalah, sebenarnya keimanan mereka itu dipersoalkan.
- Dalam keadaan pandemik sekarang hendaklah kita semak balik pendapatan kita ada unsur-unsur yang tidak betul atau tidak. Kalau ada yang tidak betul, hendaklah kita uruskan, bagi balik kepada orang yang berkaitan. Jangan sampai kita dibinasakan oleh Allah SWT.
- Ayat 79, Allah SWT amat marah kepada orang yang rasuah dan menipu dalam ekonomi kerana ini ada kaitan dengan syirik mereka. Mereka dibinasakan. Orang yang beriman dan menyembah Allah SWT tidak mungkin melakukan apa yang dibuat oleh kaum Aikah.
- Ayat 80-81, Allah SWT menegaskan bahawa penduduk Hijr iaitu Kaum Tsamud benar-benar mendustakan para rasul mereka. Allah SWT mendatangkan kepada mereka tanda-tanda kekusaanNya tetapi mereka sering berpaling daripadanya. Allah SWT memberi mukjizat kepada Nabi Saleh AS iaitu unta betina besar yang keluar daripada batu.
- Allah SWT memanggil mereka Ashabul Hijr kerana mereka membina rumah-rumah daripada batu gunung yang diukir. Allah SWT berikan mereka rumah yang aman. Mereka dapat hidup di rumah besar dan cantik, tetapi mereka mendustakan rasul-rasul yang membawa mesej tauhid.
- Pada ayat 83, Allah SWT memberitahu bahawa mereka itu dibinasakan oleh suara keras yang bergema pada waktu pagi. Mereka hancur walaupun berada dalam rumah yang amat kuat. Jelas bagi kita bahawa perlindungan Allah SWT bukan dengan tinggal di rumah batu yang kita kita rasa kuat, tetapi perlindungan Allah SWT ialah dengan wahyu iaitu beriman kepada Allah SWT.
- Pada ayat 84, Allah SWT mengingatkan kita bahawa binaan-binaan tinggi dan kuat itu tidak berguna. Kalau kita hendak usahakan betul-betul, usahakan wahyu masuk ke rumah kita.
Ayat 15:85
وَمَا خَلَقْنَا ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَآ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَإِنَّ ٱلسَّاعَةَ لَءَاتِيَةٌ فَٱصْفَحِ ٱلصَّفْحَ ٱلْجَمِيلَ
Dan (ingatlah) tiadalah Kami mencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu, melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat; dan sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang; oleh itu biarkanlah (golongan kafir yang mendustakanmu itu wahai Muhammad) serta layanlah mereka dengan cara yang elok.
Ayat 15:86
إِنَّ رَبَّكَ هُوَ ٱلْخَلَّٰقُ ٱلْعَلِيمُ
Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang menciptakan sekalian makhluk, lagi Yang Maha Mengetahui (akan hal mereka).
Ayat 15:87
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَٰكَ سَبْعًا مِّنَ ٱلْمَثَانِى وَٱلْقُرْءَانَ ٱلْعَظِيمَ
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.
Pengajaran Ayat 15 : 85-90
- Pada ayat 85, Allah SWT memberitahu bahawa setiap penciptanNya ada tujuan yang jelas. Hidup kita ini kalau hendak berekonomi, berpolitik dan bersosial hendaklah kembali kepada Allah SWT. Hari kiamat pasti akan datang dan semua usaha kita akan dipersoalkan. Adakah kita memanipulasi orang, rasuah dan sebagainya?
- Pelajaran pada ayat 86, walaupun ada orang yang buat perangai dengan kita, bukalah lembaran baru. Jangan marah-marah pada perkara yang lepas. Maafkan mereka. Kita akan merasa sejahtera. Jangan menuduh orang lain kerana itu tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Yang tahu segala-galanya ialah Allah SWT. Kembali kepada Allah kerana Dialah Tuhan kita yang Maha Pencipta Maha Mengetahui.
- Pada ayat 87, hadiah paling besar yang Allah SWT beri iaitu 7 ayat yang menurut para ulamak ialah Surah al-Fatihah. Inilah ayat yang Allah SWT bekalkan kepada Nabi SAW, para sahabat dan kita juga.
- Al-Fatihah akan menyebabkan kita makin bagus dalam aqidah, ibadah dan akhlak yang akan menyelesaikan isu ekonomi, politik dan sosial. Kalau seseorang itu tidak ada al-Fatihah, dia tidak beribadah kepada Allah dengan ibadah yang sebenarnya. Dia mungkin solat tetapi ketika bercakap bukan macam hamba Tuhan. Atau ketika berniaga, dia tidak kisah rasuah atau menipu.
- Al-Fatihah yang sebenarnya bukan sekadar dalam solat, ia perlu dibawa keluar solat sehingga dapat membawa kita dan masyarakat berjaya menjadi hamba Allah SWT. Al-Fatihah adalah surah yang amat istimewa. Ia menerangkan 113 yang ada selepasnya.
Ayat 15:88
لَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِۦٓ أَزْوَٰجًا مِّنْهُمْ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَٱخْفِضْ جَنَاحَكَ لِلْمُؤْمِنِينَ
Janganlah engkau menujukan pandanganmu (serta menaruh hati) kepada nikmat kesenangan yang kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (yang kafir itu) dan janganlah engkau merasa dukacita terhadap mereka (kerana mereka tidak beriman dan tidak dapat menguatkan Islam sebagaimana yang engkau harapkan); dan sebaliknya hendaklah engkau merendah diri kepada orang-orang yang beriman (sekalipun mereka dari golongan fakir miskin).
Ayat 15:89
وَقُلْ إِنِّىٓ أَنَا ٱلنَّذِيرُ ٱلْمُبِينُ
Dan katakanlah: "Sesungguhnya aku ini, adalah seorang Rasul pemberi amaran dengan bukti-bukti yang nyata (tentang turunnya azab ke atas orang-orang yang ingkar)".
Ayat 15:90
كَمَآ أَنزَلْنَا عَلَى ٱلْمُقْتَسِمِينَ
(Kami berikan kepadamu Al-Fatihah dan Al-Quran) samalah seperti Kami menurunkan (Kitab-kitab) kepada orang-orang yang membahagi-bahagi.
Pengajaran Ayat 15 : 88-90
- Bila seseorang ada al-Fatihah dia tidak akan fokus kepada material kerana dia merasakan sudah rasa nikmat yang paling besar.
- Allah SWT mengingatkan kepada Nabi SAW dan juga kepada kita, tentang 3 perkara:
- Jangan fokus kepada kenikmatan hidup yang Allah SWT berikan kepada mereka yang kafir seperti pangkat, kesenangan dan kekayaan.
- Jangan terlalu bersedih hati dengan mereka yang tidak mengikut al-Quran.
- Merendah diri dengan semua orang-orang yang beriman tidak kira miskin atau kaya.
- Pada ayat 89, Allah SWT menyuruh Nabi SAW katakan kepada orang kafir bahawa baginda adalah pemberi peringatan yang jelas. Begitu juga peringatan kepada kita supaya menjadi orang yang meneruskan peringatan yang diberikan oleh Nabi SAW.
- Pada ayat 90, Allah SWT mengingatkan bahawa Dia berikan kepada kita Al-Fatihah dan Al-Quran, samalah seperti Allah SWT menurunkan kitab-kitab kepada orang-orang terdahulu tetapi mereka diazab kerana memilih-milih kitabNya iaitu mereka tidak menerima dan beramal sepenuhnya.
- Kita tidak mahu jadi orang yang suka membahagi-bahagikan al-Quran, ambil separuh-separuh. Kita hendak membawa kembali politik, sosial dan ekonomi ke landasan yang benar, sepenuhnya seperti yang Allah SWT berikan panduan di dalam al-Quran.
RESOLUSI
Ingat!
- Ambil pelajaran daripada kisah terdahulu (15:75)
- Walau bagus teknologi, tetap kena kembali kepada Allah SWT (15:82)
- Sentiasa berfikir bahawa setiap apa yang dijadikan oleh Allah SWT pasti ada tujuan dan membawa kepada kebenaran (15:85)
Saya berasa lega, Allah SWT berikan al-Fatihah untuk membimbing saya menjadi hamba yang fokus kepada kenikmatan hari akhirat dengan amalan taqwa.
Saya jelas untuk ambil pelajaran daripada kisah terdahulu. Saya jelas walau bagus teknologi, tetap kena kembali kepada Allah SWT. Saya jelas saya mesti sentiasa berfikir bahawa setiap apa yang dijadikan oleh Allah SWT pasti ada tujuan dan membawa kepada kebenaran.
Ya Allah, ajarkan kami untuk ambil pelajaran daripada kisah terdahulu. Ya Allah, bimbing kami untuk jadikan teknologi sebagai alat untuk kembali kepada Mu. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk sentiasa berfikir bahawa setiap apa yang Engkau jadikan ada tujuan dan membawa kepada kebenaran.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.