Wednesday, August 2, 2023

Halaman 267 : Al-Hijr, 15:91-99 dan Al-Nahl, 1-6

 

PERKATAAN HARI INI 

عَضَّ  / عَضَضَ  = Menggigit, memisah-misahkan. 

1  kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   

  1. Ciri-ciri orang yang memilih-milih isi al-Quran serta anugerah Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW (15: 91-99)
  2. Penegasan tentang hari kebangkitan dan wahyu (16:1-2)
  3. Bukti kewujudan dan keesaan Allah SWT (16:3-6)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada hujung akhir Surah al-Hijr dan disambung ke surah yang banyak nikmat iaitu Surah al-Nahl, surah lebah. Lebah selalu mencari nikmat yang wangi-wangi dan cantik, tidak seperti lalat yang cari sampah. 


Ayat 15: 91

ٱلَّذِينَ جَعَلُوا۟ ٱلْقُرْءَانَ عِضِينَ

(Iaitu) mereka yang menjadikan Al-Quran terbahagi kepada beberapa bahagian (lalu mereka percaya kepada sebahagian dan menolak sebahagian yang lain).


Ayat 15: 92

فَوَرَبِّكَ لَنَسْـَٔلَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak), 


Ayat 15: 93

عَمَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Mengenai apa yang mereka telah lakukan.


Pengajaran Ayat 91-93

  1. Menurut Hamka, pada zaman Nabi SAW ada orang-orang seperti Abu Jahal, Walid b Mughirah, Utaibah, Syaibah, Al Nadr b Harith, mereka tidak beriman, tidak percaya pada al-Quran. Mereka membahagi-bahagikan wilayah di Mekah untuk manfaat bagi mereka. Inilah mentaliti orang-orang yang membahagi-bahagikan al-Quran. Mereka ambil mana-mana yang sesuai untuk mereka sahaja.
  2. Ada orang Islam yang memilih-milih surah untuk dibaca, meninggalkan yang lain. Contoh: ambil ayat tertentu untuk majukan bisnes, tapi bab riba, bab tipu ditinggalkan. Mereka mungkin baca secara menyeluruh tetapi dari segi kefahamannya terasing-asing atau istilah sekarang sekularism. Mereka asingkan al-Quran dengan kepimpinan, ekonomi, politik. Padahal semua itu adalah daripada al-Quran yang satu.  
  3. Allah SWT akan pasti bertanya mengapa mereka tidak mengambil al-Quran secara menyeluruh. Kita mestilah usahakan supaya faham al-Quran secara menyeluruh walaupun kita bukan ustaz-ustazah. Merendah diri pada tempat yang tidak betul itu adalah satu kezaliman.
  4. Semoga negeri dan negara ini dipimpin oleh orang yang memahami al-Quran secara menyeluruh. 
  5. Allah SWT akan tanya mengenai apa yang telah kita lakukan dahulu.


Ayat 15: 94

فَٱصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ ٱلْمُشْرِكِينَ

Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.


Ayat 15: 95

إِنَّا كَفَيْنَٰكَ ٱلْمُسْتَهْزِءِينَ

Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu, 


Ayat 15: 96

ٱلَّذِينَ يَجْعَلُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ

(Iaitu) mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama-sama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak (akibatnya).


Ayat 15: 97

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ

Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan.


Ayat 15: 98

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ ٱلسَّٰجِدِينَ

Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.


Ayat 15: 99

وَٱعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ ٱلْيَقِينُ

Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin.


Pengajaran Ayat 15 : 94-99

  • Allah SWT perintahkan baginda SAW untuk menyampaikan mesej al-Quran secara terang-terangan dan berpaling daripada orang-orang yang musyrik. Memang kadang kala memeningkan (فَٱصْدَعْ) kepala baginda Rasulullah SAW dengan perangai kaum musyrik. 
  • Mesej untuk kita: kalau kita berpegang pada al-Quran yang satu, ada masa kita pun pening kepala. Tetapi kita kena sampaikan sebaik mungkin, jangan sampai kita cuba hendak memberi hidayah. Bab hidayah serahkan kepada Allah SWT. 
  • Orang musyrik suka memperolok-olokkan Nabi Muhammad SAW dengan gelaran tukang sihir, gila, bomoh dan sebagainya. Orang-orang yang memperolok-olokkan Nabi Muhammad SAW dibinasakan dalam Perang Badar. 
  • Dalam kehidupan ini, kalau kita tidak setuju, kita marah, kita lawan, itu biasa tetapi jangan memperolok-olokkan kerana ini akan menyebabkan seseorang itu mengganggu orang lain dari segi kebenaran.
  • Cukuplah Allah ketika berinteraksi dengan orang-orang yang memperolok-olokkan ini. Biarkan dan jangan pedulikan mereka yang toksik. Inilah ubat kepada Nabi  Muhammad SAW dan kepada kita.  Allah SWT tetap memelihara dan mengawal Nabi Muhammad SAW dan kita juga dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakan.
  • Pada ayat 96, Allah SWT menyatakan bahawa orang-orang yang memperolok-olokkan Nabi Muhammad SAW itu ialah orang-orang yang menganggap adanya tuhan selain Allah SWT. Mereka membuat berhala, ada yang daripada emas. Diri mereka itu sendiri adalah berhala sebagai seteru kepada Allah SWT. Allah SWT memberi amaran, kelak mereka akan mengetahui akibatnya mengadakan  tuhan selain Allah SWT.
  • Ayat 97, Allah SWT pujuk lagi Nabi  Muhammad SAW. Allah SWT faham perasaan Nabi Muhammad SAW bila tertekan dengan fitnah dan kesusahan yang dibuat oleh orang musyrik. 
  • Jika kita tertekan dengan menguruskan keluarga, organisasi atau COVID19, ubatnya ada pada ayat 98 dan 99. Ubat ini mahal tetapi percuma. Kita perlu manfaatkannya dengan baca, faham dan amal.
  • Allah SWT bekalkan ubat kepada Nabi Muhammad SAW untuk terus istiqamah berhadapan dengan berbagai tentangan daripada kaumnya ketika baginda SAW mengajak kepada kebaikan. Allah SWT ajarkan Nabi Muhammad SAW agar :
    • Sucikan Allah SWT dengan bertasbih dan bertahmid memuji Allah. Sebagai manusia, kita tidak suci daripada perbuatan mengadakan tuhan selain Allah SWT. Bila kita bertasbih dan bertahmid dalam solat, itu adalah perkara yang amat menenangkan.
    • Jadilah orang yang bersujud secara berjemaah. Allah SWT galakkan kita untuk solat berjemaah kerana kita mahu keadaan yang ramai orang ingat kepada  Allah SWT.  Bila ingat Allah, Allah ingat kita. Kesannya, apa sahaja cabaran yang ada kita dapat hadapi dengan kekuatan yang dipinjamkan oleh Allah SWT.
  • Allah SWT asingkan tasbih dan tahmid, maksudnya tasbih dan tahmid bukan sekadar dalam sujud. Hendaklah kita tasbih dan memuji Allah SWT di luar solat juga. Bila kita tertekan, inilah ubatnya. Nabi SAW masih kuat sehingga umurnya 63, terus mengajak manusia kepada kebaikan sehingga dipanggil kembali kepada Allah SWT.
  • Teruslah beribadah sehingga sampai kepada kematian. Menurut Umar Abdul Aziz, tidak ada berita yang lebih diyakini selain berita kematian. Maka bila masih ada peluang, hendaklah kita betul-betul menghambakan diri kepada Allah SWT dan terus mengajak manusia kepada kebaikan.


Penutup: 

Perlindungan Allah adalah kepada mereka yang berlindung di bawah wahyu, bukan berlindung di bawah batu.


Surah ke-16 Al-Nahl (Lebah)

Hujung Surah al-Hijr dan awal Surah al-Nahl ada perkaitan yang menarik. Allah perintahkan kepada Nabi SAW dan kepada kita supaya beribadahlah kepada Tuhan sehingga sampai saat kematian. Kita akan amat yakin apabila berada di saat kematian. Kita sudah nampak alam seterusnya. Pada waktu itu tidak ada lagi yang ragu. Tiada pilihan lagi bagi kita selain dari terus menuju ke alam barzakh dan terus ke alam akhirat. Kita tidak boleh lagi hendak patah balik ke dunia.

Saat kematian tidak boleh ditangguh atau didahulukan. Seseorang itu bila sudah sampai saat kematiannya, sudah tidak boleh lagi beribadah. Ada orang yang umur pendek, ada yang panjang. Lagi banyak birthday kita, lagi pendeklah masa kita untuk beribadah. 


Ayat 16: 1

أَتَىٰٓ أَمْرُ ٱللَّهِ فَلَا تَسْتَعْجِلُوهُ سُبْحَٰنَهُۥ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu minta disegerakan. Maha suci Allah dan Maha tinggilah Ia dari perbuatan syirik yang mereka lakukan.

Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan kita bahawa ketetapan Allah pasti akan datang (أَتَىٰٓ), maka janganlah kita minta agar dipercepatkan. Semua urusan dalam hidup kita telah ditentukan oleh Allah. 
  2. Apa yang penting ialah kita banyakkan ibadah dalam semua keadaan, susah atau senang seperti Nabi Muhammad SAW. Jangan jadi seperti orang musyrik yang semua hendak cepat sahaja (isti'jal), sehinggakan azab pun mereka minta cepat. 
  3. Ada perkara yang kita hendak cepat tetapi tidak dapat kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Tugas kita ialah beribadah dan berdoa. Sebagai hamba, kita serahkan kepada Allah yang lebih Mengetahui.
  4. Allah SWT Maha Suci (سُبْحَٰنَهُۥ) dan Maha Tinggi (وَتَعَٰلَىٰ) daripada apa yang mereka syirikkan. Apa yang mereka syirikkan itu adalah penuh dengan masalah, amat rendah, lebih rendah dari manusia sendiri, sesuatu yang tidak boleh melihat, tidak boleh bercakap dan tidak boleh mendengar. 


Ayat 16: 2

يُنَزِّلُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةَ بِٱلرُّوحِ مِنْ أَمْرِهِۦ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦٓ أَنْ أَنذِرُوٓا۟ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱتَّقُونِ

Ia menurunkan malaikat membawa wahyu dengan perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (yang layak menjadi Rasul); (lalu Ia berfirman kepada Rasul-rasul): "Hendaklah kamu menegaskan kepada umat manusia bahawa tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepadaku".

Pengajaran

  1. Allah SWT menurunkan para malaikat membawa wahyu dengan perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya. 
  2. بِٱلرُّوحِ  ada yang menyatakan ia merujuk kepada Jibril. Ada juga yang menyatakan bahawa ia merujuk kepada wahyu. 
  3. Tugas rasul adalah untuk memberi penerangan atau amaran bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah SWT untuk kita takut dan bertakwa kepadaNya. Inilah isi kehambaan yang kita baca dalam ayat 15:99.
  4. Wahyu ialah satu nikmat yang besar. Surah al-Nahl juga dikenali sebagai surah al-Nikm kerana banyak menyebutkan tentang nikmat-nikmat daripada Allah SWT. Satu nikmat yang paling besar ialah diturunkan al-Quran kepada hamba yang Allah pilih untuk melaksanakan tugas kepada manusia.
  5. Bila kita ikut rasul, kita ingat al-Quran, ajak kawan-kawan membaca al-Quran, itulah nikmat paling besar yang Allah sudah kurniakan kepada kita.


Ayat 16: 3

خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ بِٱلْحَقِّ تَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Ia menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat; Maha Tinggilah Ia dari perbuatan syirik yang mereka lakukan.


Ayat 16: 4

خَلَقَ ٱلْإِنسَٰنَ مِن نُّطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُّبِينٌ

Ia menciptakan manusia dari air benih, (setelah sempurna kejadiannya), tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya.


Ayat 16: 5

وَٱلْأَنْعَٰمَ خَلَقَهَا لَكُمْ فِيهَا دِفْءٌ وَمَنَٰفِعُ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ

Dan binatang-binatang ternak itu, Ia juga menciptakannya untuk kamu; terdapat padanya benda-benda yang memanaskan tubuh dari sejuk dan beberapa faedah yang lain; dan daripadanya juga kamu makan.


Ayat 16: 6

وَلَكُمْ فِيهَا جَمَالٌ حِينَ تُرِيحُونَ وَحِينَ تَسْرَحُونَ

Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak itu, keindahan (yang menarik hati) ketika kamu membawanya balik untuk berehat (pada waktu petang), dan ketika kamu membawanya keluar (pada waktu pagi).


Pengajaran Ayat  16 : 3-6

  1. Selepas menceritakan tentang malaikat yang membawa wahyu, Allah SWT menyebut yang Dia menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran, ada tujuannya.
  2. Ayat ke-4 pendek tetapi memberi tamparan yang hebat kepada kita. Allah SWT ingatkan kita yang Dia menciptakan manusia daripada air mani, namun nyata manusia suka membantah.
  3. Allah SWT menjadikan binatang-binatang ternakan yang menarik hati manusia tetapi manusia masih juga berbantah-bantah.
  4. Allah SWT menemplak manusia yang menerima manfaat daripada Allah SWT tetapi mereka masih berbantah-bantah.
  5. Allah SWT bawakan cerita nikmat yang banyak ini supaya manusia taat kepada Allah, tauhid kepada Allah, baca al-Quran, jangan degil hendak solat dan sebagainya kerana manusia ini hina sebenar-benarnya. Manusia mulia apabila dimuliakan oleh Allah dengan kembali kepada wahyu Allah SWT.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Jika rasa sempit, banyakkan bertasbih dan sujud pada Allah SWT (15:98)
  2. Jangan tergesa-gesa ingin mendapatkan sesuatu daripada Allah SWT (16:1)
  3. Perhatikan alam, binatang dan semua makhluk ciptaan Allah SWT untuk menjadikan kita lebih insaf (16:6)

Saya berasa lega, Allah berikan nikmat al-Quran yang memberikan ketenangan kepada saya.

Saya jelas untuk banyakkan bertasbih dan sujud pada Allah SWT jika rasa sempit. Saya jelas untuk tidak tergesa-gesa ingin mendapatkan sesuatu daripada Allah SWT. Saya jelas saya mesti perhatikan alam, binatang dan semua makhluk ciptaan Allah SWT untuk menjadikan saya lebih insaf.

Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa bertasbih dan sujud kepada Mu. Ya Allah jauhkan kami daripada rasa sempit. Lapangkan dada dan fikiran kami, lapangkan rezeki kami. Ya Allah, jauhkan kami daripada sifat tergesa-gesa ingin mendapatkan sesuatu daripada Mu. Ya Allah, bimbing kami untuk perhatikan alam, binatang dan semua makhluk ciptaan Allah SWT agar kami menjadi orang yang lebih insaf.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...