PERKATAAN HARI INI
جَنَبَ = Menjauhkan, menolak.
33 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Orang kafir menggunakan takdir sebagai alasan dan sikap mereka yang mengingkari Ba'ts serta keserupaan misi para rasul (16:35-40)
- Ganjaran orang Muhajirin, para rasul adalah manusia, tugas Nabi Muhammad SAW dalam menerangkan al-Quran (16:41-42)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 271. Surah al-Nahl penuh dengan nikmat daripada Allah SWT. Allah bawakan satu persatu nikmat untuk kita merasai kebesaran bahawa layaknya Allah itu satu-satunya untuk disembah dan jangan beribadah menghambakan diri selain daripada Allah SWT.
Pada ayat 34 Allah SWT mengatakan bahawa orang yang memperolok-olokkan kebenaran akan menderita ditimpa azab akibat perbuatan mereka. Jangan memperolok-olokan ayat-ayat al-Quran seperti Abu Jahal. Tidak setuju, kita cakap betul-betul. Abu Jahal telah diazab dalam peperangan Badar.
Allah SWT telah membawa bukti-bukti yang jelas tentang kehebatanNya supaya kita tidak mensyirikkanNya. Jangan syirikkan atau ragu-ragu dengan Allah SWT. Ingat, tanpa izin daripada Allah SWT tidak akan berlaku sesuatu mudharat yang ada di dalam dunia ini.
Ayat 16: 35
وَقَالَ ٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟ لَوْ شَآءَ ٱللَّهُ مَا عَبَدْنَا مِن دُونِهِۦ مِن شَىْءٍ نَّحْنُ وَلَآ ءَابَآؤُنَا وَلَا حَرَّمْنَا مِن دُونِهِۦ مِن شَىْءٍ كَذَٰلِكَ فَعَلَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَهَلْ عَلَى ٱلرُّسُلِ إِلَّا ٱلْبَلَٰغُ ٱلْمُبِينُ
Dan berkatalah orang-orang kafir musyrik: "Kalaulah Allah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah selain daripadanya sesuatupun, - (tidak) kami dan tidak juga datuk nenek kami; - dan tentulah kami tidak mengharamkan sesuatu pun dengan ketiadaan perintahnya". Demikianlah juga yang telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada mereka. (Apa yang mereka katakan itu adalah salah semata-mata) kerana bukankah Rasul-rasul semuanya tidak bertanggungjawab selain daripada menyampaikan (kehendak dan hukum Allah) dengan cara yang jelas nyata?
Pengajaran
- Ini berkaitan dengan qada' qadar. Orang musyrik salahkan Allah SWT atas segala maksiat dan kesilapan mereka. Inilah sifat iblis yang menyalahkan Allah SWT.
- Kalau kita berbuat salah, minta ampun daripada Allah SWT sebagaimana doa yang Allah ajarkan kepada Nabi Adam dan Hawa.
- Allah SWT mahu kita berusaha untuk mendapatkan hidayah. Rasul-rasul diutuskan untuk menyampaikan peringatan sahaja. Hidayah itu perlu diusahakan.
Ayat 16: 36
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِى كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولًا أَنِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَٱجْتَنِبُوا۟ ٱلطَّٰغُوتَ فَمِنْهُم مَّنْ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنْهُم مَّنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ ٱلضَّلَٰلَةُ فَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلْمُكَذِّبِينَ
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.
Pengajaran
- Rasul diutuskan untuk menyeru manusia mentauhidkan Allah dan menjauhi taghut. Rasul-rasul tidak mampu memberi hidayah. Hanya Allah SWT yang mampu memberi hidayah. Semua orang ada peluang untuk mendapat hidayah. Kalau lahir dalam agama lain juga ada peluang.
- Allah SWT menyuruh manusia berjalan dan melihat kesan manusia yang telah dihancurkan kerana mendustakan rasul-rasul.
- Jangan mendustakan kebaikan. Ini lah yang berlaku kepada Abu Jahal, Abu Lahab sehingga mereka dihina sehina-hinanya. Mereka diberi peluang hidayah tetapi mereka mendustakan.
- Jaga hati kita supaya tidak berkata-kata yang menjuruskan kepada mendustakan kebenaran. Semoga Allah pimpin kita dengan hidayah yang sebenar-benarnya.
Ayat 16: 37
إِن تَحْرِصْ عَلَىٰ هُدَىٰهُمْ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى مَن يُضِلُّ وَمَا لَهُم مِّن نَّٰصِرِينَ
Jika engkau (wahai Muhammad) terlalu tamak (inginkan mereka beroleh hidayah petunjuk, maka sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang berhak disesatkanNya; dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.
Pengajaran
- Ayat ini memberi motivasi kepada kita. Kita mahu orang disekitar kita mendapat petunjuk. Inilah kaedah Nabi SAW yang hendak sangat hidayah sampai kepada orang-orang di sekitarnya.
- Allah SWT tidak memberi hidayah kepada orang yang disesatkanNya dan tidak ada pertolongan kepada mereka.
- Ayat ini masih tentang qada' dan qadar. Yang memberi hidayah, Allah SWT. Yang berusaha, kita.
- Hendaklah kita terus menyampaikan hidayah hingga ke hujung hayat. Jangan mudah kecewa. Allah SWT tidak memberi petunjuk kepada orang yang disesatkanNya. Hidayah bukan milik kita.
- Kita dibekalkan dengan akal untuk kita berfikir dengan mesej yang disampaikan oleh risalah Nabi Muhammad SAW.
- Kalau kita tidak mahu disesatkan, jangan salahkan orang lain, jangan salahkan Tuhan ketika kita buat silap.
- Hendaklah kita yakin al-Quran telah membuat transformasi kepada umat-umat terdahulu maka al-Quran juga akan membawa perubahan dalam keluarga dan masyarakat kita.
- Orang-orang yang memilih untuk mendustakan risalah Nabi SAW sebenarnya mereka tidak mendapat pertolongan Allah SWT ketika pertolongan amat diperlukan.
Ayat 16: 38
وَأَقْسَمُوا۟ بِٱللَّهِ جَهْدَ أَيْمَٰنِهِمْ لَا يَبْعَثُ ٱللَّهُ مَن يَمُوتُ بَلَىٰ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh (sambil berkata): "Allah tidak akan membangkitkan semula orang-orang yang telah mati". (Itu tidak benar), bahkan janji Allah membangkitkan orang-orang yang telah mati) tetap benar; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui
Pengajaran
- Ini adalah sumpah daripada orang-orang yang mensyirikkan Allah SWT. Mereka tidak percaya bahawa manusia akan dibangkitkan semula setelah mati.
- Kita akan rasa amat kecewa melihat kematian kalau kita tidak percaya kepada hari akhirat. Dengan adanya hari akhirat itu, kita percaya bahawa kawan-kawan kita yang meninggal bukan sekadar pergi, mereka pergi sementara sahaja. Kita doakan kerahmatan kepada mereka yang telah meninggal. Insya Allah kita dapat bertemu lebih bahagia lagi di akhirat nanti.
- Orang-orang yang syirik tidak mahu percaya berita yang dibawakan oleh rasul. Rasul membawa berita yang benar dan jelas yang datangnya daripada Allah SWT.
- Sumber ilmu yang paling mantap datangnya daripada al-Quran. Kita nampak akhirat pasti berlaku dengan adanya ilmu daripada al-Quran. Kalau buah yang daripada tiada apa-apa pun Allah SWT boleh hidupkan, mudah sahaja untuk Allah bangkitkan balik kita yang telah pun dihidupkan sekarang ini.
Ayat 16: 39
لِيُبَيِّنَ لَهُمُ ٱلَّذِى يَخْتَلِفُونَ فِيهِ وَلِيَعْلَمَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَنَّهُمْ كَانُوا۟ كَٰذِبِينَ
(Allah menghidupkan semula orang-orang yang mati) untuk menerangkan kepada mereka apa yang mereka berselisihan padanya, dan supaya orang-orang kafir mengetahui bahawa mereka adalah orang-orang yang berdusta.
Pengajaran
- Ramai manusia tidak mengetahui. Peranan rasul diutuskan untuk menjelaskan perkara sam'iyyat. Tentang berita-berita yang kita tidak nampak, tetapi perkara itu kita dengar daripada Nabi yang datangnya daripada Allah SWT.
- Peranan Nabi adalah untuk menerangkan kepada orang-orang kafir perkara yang mereka perselisihkan iaitu kewujudan hari pembalasan/kiamat.
- Orang-orang kafir bersumpah dengan nama Allah SWT tetapi mereka tidak percaya kepada hari akhirat. Bila tidak percaya kepada hari akhirat, sebenarnya mereka tidak betul-betul beriman kepada Allah SWT. Akibatnya mereka tidak melihat kepada apa yang mereka buat itu serius ataupun kesan apa yang mereka buat. Mereka tidak kisah untuk buat dosa, tipu orang, buat komplot dan lain-lain kemungkaran. Mereka tidak kisah kerana tidak percaya kepada hari pembalasan bahawa semua perbuatan mereka akan dipersoalkan.
- Kesan mereka bertelingkah itu boleh dilihat di dunia ini lagi. Orang yang buat silap, kadang-kadang tidak sedar tentang kesilapan mereka. Sebaliknya orang yang berdusta tahu dia menipu. Orang-orang yang bergaduh dan berdusta tidak putus-putus. Pertelingkahan itu di peringkat keluarga, negeri, negara tidak bertepian. Mereka bergaduh berebut hak dan tidak mahu beralah. Mereka merasakan pergaduhan itu tiada kaitan dengan hari akhirat.
Ayat 16: 40
إِنَّمَا قَوْلُنَا لِشَىْءٍ إِذَآ أَرَدْنَٰهُ أَن نَّقُولَ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ
Sesungguhnya perkataan Kami kepada sesuatu apabila Kami kehendaki, hanyalah Kami berkata kepadanya: "Jadilah engkau! ", maka menjadilah ia.
Pengajaran
- Allah SWT boleh sahaja memberi hidayah dan menjadikan hari kiamat, kerana itu mudah bagi Allah.
- Allah SWT beri peluang kepada kita untuk bertaubat dan kembali kepada-Nya. Jangan dustakan. Janganlah bergaduh. Bincang elok-elok untuk manfaat orang ramai.
Ayat 16: 41
وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ فِى ٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا۟ لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً وَلَأَجْرُ ٱلْءَاخِرَةِ أَكْبَرُ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ
Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.
Pengajaran
- Inilah ayat yang menceritakan tentang bila kita mendapat hidayah, kita akan sanggup berubah kepada yang lebih baik. Berhijrah daripada kezaliman kepada yang lebih baik.
- Kesan kepada orang yang hijrah, di dunia lagi Allah SWT akan berikan kebaikan. Diri, keluarga dan negara akan menjadi lebih mulia apabila kita berhijrah dari segi keburukan, budaya, bergaduh dan juga mendustakan kepada budaya al-Quran.
- Di akhirat nanti lebih besar lagi ganjarannya kalau mereka mengetahui.
Ayat 16: 42
ٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
Mereka itu ialah) orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya.
Pengajaran
- Tanda seseorang itu tahu ialah mereka sabar dan tawakal kepada Allah SWT. Bukan tawakal kepada diri, tetapi ikutlah Allah supaya mendapat kebaikan di dunia dan kebaikan diakhirat.
RESOLUSI
Ingat!
- Beramallah dengan hidayah, bukan dengan tekaan atau nafsu (16:35)
- Berusaha untuk mendapatkan hidayah setiap masa (16:37)
- Berusaha untuk hijrah kepada kebaikan di dunia dan akhirat (16:41)
Saya berasa lega untuk terus sabar dan tawakal kerana Allah akan berikan ganjaran kebaikan di dunia sampai ke akhirat.
Saya jelas untuk beramal dengan hidayah, bukan dengan tekaan atau nafsu. Saya jelas saya mesti berusaha untuk mendapatkan hidayah setiap masa serta berusaha untuk hijrah kepada kebaikan di dunia dan akhirat.
Ya Allah, pimpin kami untuk beramal dengan hidayah, bukan dengan tekaan atau nafsu. Ya Allah, bimbing kami untuk berusaha bagi mendapatkan hidayah setiap masa serta berusaha untuk hijrah kepada kebaikan di dunia dan akhirat.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.