Wednesday, August 2, 2023

Halaman 272 : Al-Nahl, 43-54

 

PERKATAAN HARI INI 

فَكَرَ  = Berfikir, menekuni. 

18 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   

  1. Rasul dan al-Quran (16:43-44)
  2. Ancaman terhadap orang kafir (16:45-50)
  3. Mematahkan berbagai ideologi kaum musyrikin dan amal buruk mereka (16:51-54)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 272. Hari ini kita ingin melihat kepada lebih banyak lagi kebesaran-kebesaran dan nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita dalam surah al-Nahl ini. 


Ayat 16: 43

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِىٓ إِلَيْهِمْ فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.

Pengajaran

  1. Pada halaman lepas, kita telah belajar bahawa mereka yang bersabar dan bertawakal, tidak mudah marah-marah. Pengurusan sabar itu amat penting. 
  2. Cara untuk menjadi orang yang bersabar dan bertawakal, Allah SWT menghantar rasul membawa wahyu. Kalau kita ada masalah dalam hidup seperti isu tidak sabar, sombong, tidak tawakal kepada Allah SWT, itu yang menyebabkan dalam organisasi staf buat kerja kerana takut bos marah. Perkara itu menyebabkan ia dibuat bukan kerana Allah, tetapi mensyirikkan Allah dalam keluarga atau di tempat kerja yang berpunca daripada ayah ibu atau pemimpin. Solusinya ialah kembali kepada wahyu.
  3. Puncak kepada ilmu ialah zikir. Bertanya kepada ahli zikr (orang yang berpengetahuan agama). Menurut Imam As-Sya'di, sebaik-baik ulamak ialah mereka  yang dekat dengan al-Quran. 


Ayat 16: 44

بِٱلْبَيِّنَٰتِ وَٱلزُّبُرِ وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.

Pengajaran

  1. Allah SWT utuskan rasul-rasul membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata yang membuktikan kebenaran mereka dan kitab-kitab suci yang menjadi panduan.
  2. Allah SWT turunkan kepada Nabi Muhammad SAW al-Quran yang memberi peringatan. 
  3. Dengan mendekati al-Quran kita mampu untuk meneruskan mata rantai kitab-kitab terdahulu. 
  4. Allah SWT memberikan kitab sebagai solusi kepada masalah manusia yang sifatnya kurang sabar dan tidak tawakal kepada Allah. Hendaklah kita tawakal setinggi-tingginya kepada Allah SWT.


Ayat 16: 45

أَفَأَمِنَ ٱلَّذِينَ مَكَرُوا۟ ٱلسَّيِّـَٔاتِ أَن يَخْسِفَ ٱللَّهُ بِهِمُ ٱلْأَرْضَ أَوْ يَأْتِيَهُمُ ٱلْعَذَابُ مِنْ حَيْثُ لَا يَشْعُرُونَ

(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah orang-orang yang merancang dan melakukan kejahatan-kejahatan itu merasa aman daripada ditimbuskan oleh Allah akan mereka ke dalam bumi, atau mereka didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya?

Pengajaran

  1. Bila seseorang kembali kepada al-Quran, dia tidak mudah melakukan kerosakan dan keburukan. 
  2. Allah menceritakan yang Dia boleh bagi azab kepada orang-orang yang merancang untuk melakukan kejahatan. 


Ayat 16: 46

أَوْ يَأْخُذَهُمْ فِى تَقَلُّبِهِمْ فَمَا هُم بِمُعْجِزِينَ

Atau Ia membinasakan mereka secara mengejut dalam masa mereka berulang alik melakukan kerja masing-masing? Kerana sebenarnya mereka tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah.

Pengajaran

  1. Allah SWT boleh mengazab secara tiba-tiba. 
  2. Pandemik COVID-19 boleh menjadi ujian bila kita semakin hampir dengan Allah SWT. Ia adalah azab sekiranya kita semakin jauh daripada Allah SWT.
  3. Orang-orang yang merancang kejahatan tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah SWT.

Ayat 16: 47

أَوْ يَأْخُذَهُمْ عَلَىٰ تَخَوُّفٍ فَإِنَّ رَبَّكُمْ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Atau Ia membinasakan mereka (dan harta benda mereka) sedikit demi sedikit? Kerana sesungguhnya Tuhan kamu Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya.

Pengajaran

  1. Allah SWT boleh mengazab sedikit demi sedikit. 
  2. Allah SWT amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya, Allah tidak azab kita sebegitu.
  3. Allah SWT bagi peluang untuk kita lakukan macam-macam.


Ayat 16: 48

أَوَلَمْ يَرَوْا۟ إِلَىٰ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ مِن شَىْءٍ يَتَفَيَّؤُا۟ ظِلَٰلُهُۥ عَنِ ٱلْيَمِينِ وَٱلشَّمَآئِلِ سُجَّدًا لِّلَّهِ وَهُمْ دَٰخِرُونَ

Tidakkah mereka melihat dan memikirkan segala yang telah dijadikan oleh Allah, yang beredar (berpindah-randah) bayang-bayangnya ke kanan dan ke kiri (pada pagi dan petang), dengan keadaan tunduk menurut peraturan dan kehendak Allah, sedang mereka merendah diri? 

Pengajaran

  1. Bayang-bayang adalah satu kebesaran Allah SWT. Allah SWT sebut tentang bayang-bayang beberapa kali dalam al-Quran. 
  2. Dengan bayang-bayang kita tahu bila masa hendak solat. Isu bayang-bayang boleh menjadikan bumi kemarau atau terlalu sejuk.
  3. Bayang-bayang diatur oleh Allah SWT bersujud ikut peraturan sebagai tanda mereka merendah diri (دَٰخِرُونَ). 
  4. Dengan melihat kepada bayang-bayang, ia sepatutnya membuatkan kita berfikir apa yang kita perlu buat kerana kita sudah mendapat manfaat daripada bayang-bayang.


Ayat 16: 49

وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ مِن دَآبَّةٍ وَٱلْمَلَٰٓئِكَةُ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya).

Pengajaran

  1. Segala apa yang ada di langit dan di bumi sentiasa bersujud kepada Allah SWT. Mereka tidak sombong. Malaikat juga bersujud. 
  2. Dengan bersujud, itu tandanya kita ini tidak sombong. Kita akan menjadi orang yang sabar dan bertawakal kepada Allah. Orang sombong dia bertawakal kepada diri sendiri. Itu yang menyebabkan dia suka marah, suka fitnah, suka kutuk orang lain. Ubatnya ialah dengan kita bersujud. 
  3. Matahari, bumi, pohon-pohon, semuanya bersujud mengikut peraturan Allah. Kita pun perlu bersujud kerana kita hendak konsisten dengan alam ini. Jika tidak, alam ini sujud, kita sahaja yang hendak tunjuk sombong, itu tanda kita cuba melawan sistem alam ini maka itu bukan tanda orang yang takut kepada Allah. 


Ayat 16: 50

يَخَافُونَ رَبَّهُم مِّن فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ۩

Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan.

Pengajaran

  1. Orang yang takut kepada Allah SWT akan buat apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.
  2. Jika kita tidak ikut perintah untuk bersujud pada waktu yang ditentukan, kita mungkin akan membuat kerosakan kepada keluarga dan negara. 


Ayat 16: 51

وَقَالَ ٱللَّهُ لَا تَتَّخِذُوٓا۟ إِلَٰهَيْنِ ٱثْنَيْنِ إِنَّمَا هُوَ إِلَٰهٌ وَٰحِدٌ فَإِيَّٰىَ فَٱرْهَبُونِ

Dan Allah berfirman: "Janganlah kamu bertuhankan dua tuhan, kerana sesungguhnya Tuhan itu hanyalah Tuhan yang satu; maka kepada Akulah sahaja hendaknya kamu gerun gementar.

Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan supaya jangan menyembah dua tuhan. Ini merujuk kepada konsep triniti dalam agama Kristian. 
  2. Allah SWT ingatkan kita bahawa Tuhan itu Esa.
  3. Takut dan harap mestilah kembali kepada Allah SWT.


Ayat 16: 52

وَلَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَلَهُ ٱلدِّينُ وَاصِبًا أَفَغَيْرَ ٱللَّهِ تَتَّقُونَ

Dan bagiNyalah (hak milik) segala yang ada di langit dan di bumi; dan kepadaNya sahaja tertentu ibadat dan ketaatan selama-lamanya; (sesudah kamu mengetahui yang demikian) maka tidaklah patut kamu takut kepada yang lain dari Allah.

Pengajaran

  1. Segala yang ada di langit dan bumi adalah milik Allah SWT.
  2. Hanya kepada Allah SWT kita beribadah dan taat, maka tidaklah patut kita takut kepada yang lain daripada Allah.


Ayat 16: 53

وَمَا بِكُم مِّن نِّعْمَةٍ فَمِنَ ٱللَّهِ ثُمَّ إِذَا مَسَّكُمُ ٱلضُّرُّ فَإِلَيْهِ تَجْـَٔرُونَ

Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta pertolongan.

Pengajaran

  1. Allah SWT ingatkan kita bahawa segala nikmat yang ada pada kita adalah daripada-Nya.
  2. Apabila kita ditimpa kesusahan maka kepada-Nyalah kita meminta pertolongan.
  3. Inilah ayat yang menceritakan psikologi manusia. Hakikat nikmat datangnya daripada Allah SWT. Bila ada kepayahan, manusia akan kembali kepada Allah untuk minta pertolongan.


Ayat 16: 54

ثُمَّ إِذَا كَشَفَ ٱلضُّرَّ عَنكُمْ إِذَا فَرِيقٌ مِّنكُم بِرَبِّهِمْ يُشْرِكُونَ

Kemudian, apabila Ia menghapuskan kesusahan itu daripada kamu, tiba-tiba sepuak di antara kamu mempersekutukan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka.

Pengajaran

  1. Apabila Allah SWT hapuskan kesusahan mereka, ada yang kembali membuat perkara syirik dalam kehidupan.
  2. Semoga kita terlindung daripada perkara ini.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Sentiasa mencari pakar membawa kepada al-Quran (16:43)
  2. Berhati-hati dengan ujian beransur-ansur daripada Allah SWT disebabkan kerosakan yang kita buat (16:67)
  3. Elakkan daripada melakukan syirik atau dosa selepas Allah SWT bantu kita keluar dari kesulitan (16:54)

Saya berasa lega Allah SWT berikan al-Quran sebagai panduan untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Saya jelas untuk sentiasa mencari pakar membawa kepada al-Quran. Saya jelas untuk berhati-hati dengan ujian beransur-ansur daripada Allah SWT disebabkan kerosakan yang saya buat. Saya jelas untuk elakkan daripada melakukan syirik atau dosa selepas Allah SWT bantu saya keluar dari kesulitan.

Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa mencari pakar yang membawa kepada al-Quran. Ya Allah, jadikan kami orang yang berhati-hati dengan ujian beransur-ansur daripada Mu. Jauhkan kami daripada azab yang disebabkan kerosakan yang kami buat. Ya Allah, jauhkan kami daripada melakukan syirik atau dosa selepas Engkau bantu kami keluar dari kesulitan.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...