Wednesday, August 2, 2023

Halaman 273 : Al-Nahl, 55-64

 

PERKATAAN HARI INI

شَهَا  /  شَهَوَ  :  Kehendak, keinginan. 

13 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   

  1. Berbagai ideologi kaum musyrikin dan amal buruk mereka (16:55-62)
  2. Kebiasan umat dalam mendustakan para rasul, tugas Nabi Muhammad SAW dalam menjelaskan al-Quran serta menjadikannya sebagai petunjuk dan rahmat (16:63-64)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 273 untuk sama-sama kita melihat bagaimana ideologi-ideologi atau cara berfikir songsang yang tidak bertepatan dengan apa yang Allah SWT ciptakan. 

Pada halaman lepas Allah SWT memberitahu sifat-sifat orang yang tidak bersyukur di dalam ayat 54. Mereka meminta pertolongan Allah apabila ditimpa azab. Kemudian apabila Allah telah tolong, mereka kembali mensyirikkan Allah SWT.


Ayat 16: 55

لِيَكْفُرُوا۟ بِمَآ ءَاتَيْنَٰهُمْ فَتَمَتَّعُوا۟ فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

(Mereka melakukan yang demikian) kerana mereka kufur, tidak bersyukur akan nikmat-nikmat yang kami berikan kepada mereka. Oleh itu, bersenang-senanglah kamu (dengan nikmat-nikmat itu bagi sementara di dunia), kemudian kamu akan mengetahui (balasan buruk yang akan menimpa kamu).

Pengajaran

  1. Mereka melakukan yang demikian kerana mereka kufur, tidak bersyukur akan nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada mereka. 
  2. Allah SWT menyatakan biarlah mereka buat apa yang mereka mahu. Satu hari nanti mereka akan tahu hakikat sebenarnya apa yang mereka cuba main-mainkan itu adalah sesuatu yang membinasakan mereka.
  3. Pelajaran bagi kita, ketika berhadapan masalah COVID19 ini, kita sudah kembali kepada al-Quran. Kita berdoa kepada Allah SWT supaya kita ini sentiasa ingat dan bersyukur kepada Allah. Jangan sampai kita kembali kepada perkara-perkara yag mensyirikkan Allah. Syirik bukan sekadar sembah berhala, tetapi juga ideologi-ideologi yang songsang daripada al-Quran yang kita hendak tengok pada halaman ini. 

 

Ayat 16: 56

وَيَجْعَلُونَ لِمَا لَا يَعْلَمُونَ نَصِيبًا مِّمَّا رَزَقْنَٰهُمْ تَٱللَّهِ لَتُسْـَٔلُنَّ عَمَّا كُنتُمْ تَفْتَرُونَ

Dan mereka (yang musyrik itu) menentukan untuk keperluan benda-benda yang mereka tidak mengetahui hal keadaannya, sebahagian dari harta-benda yang kami kurniakan kepada mereka. Demi Allah! Sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu ada-adakan secara dusta itu.

Pengajaran

  1. Allah SWT menceritakan tentang ideologi songsang orang-orang kafir. Mereka mendapat rezeki daripada Allah SWT, tetapi mereka persembahkan kepada berhala mereka. Mereka guna rezeki untuk berbuat dosa.  
  2. Kita hari ini, kalau sudah dapat rezeki tetapi kita tidak solat, itu dosa. Kalau dapat rezeki untuk rasuah supaya dapat lebih lagi, itu adalah dosa. 
  3. Allah SWT amat murka dengan perbuatan mereka. Allah SWT akan tanya tentang perbuatan mereka yang menggunakan rezeki untuk berbuat dosa dan syirik kepada Allah SWT.


Ayat 16: 57

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ ٱلْبَنَٰتِ سُبْحَٰنَهُۥ وَلَهُم مَّا يَشْتَهُونَ

Dan mereka mengatakan Allah mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Ia. Sedang bagi mereka pula mereka sediakan apa yang mereka sukai (anak-anak lelaki).

Pengajaran

  1. Mereka mengatakan Allah mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Allah.
  2. Mereka hanya mahu anak lelaki sahaja. 


Ayat 16: 58

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِٱلْأُنثَىٰ ظَلَّ وَجْهُهُۥ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ

Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.

Pengajaran

  1. Bila mendapat perkhabaran tentang anak perempuan, muka mereka muram dan mereka marah. Bagi mereka, anak lelaki sahaja yang bagus kerana dapat terus membina keluarga. Pendapat-pendapat begitu menyebabkan mereka marah dengan ketentuan Allah.
  2. Allah menegur perbuatan itu kerana mereka kaitkan anak perempuan untuk tuhan dan anak lelaki untuk mereka.


Ayat 16: 59

يَتَوَٰرَىٰ مِنَ ٱلْقَوْمِ مِن سُوٓءِ مَا بُشِّرَ بِهِۦٓ أَيُمْسِكُهُۥ عَلَىٰ هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُۥ فِى ٱلتُّرَابِ أَلَا سَآءَ مَا يَحْكُمُونَ

Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.

Pengajaran

  1. Mereka malu bila mendapat anak perempuan. Hendaklah kita sedar bahawa apa sahaja yang Allah SWT beri adalah baik. Dalam pandemik ini walau kita rasa susah, sebenarnya Allah SWT sedang menyusun yang terbaik. Syaratnya kita buat yang terbaik untuk berdepan dengan cabaran ini.
  2. Mereka merasa hina bila dapat anak perempuan. Zaman jahiliah, mereka menganggap perempuan adalah komoditi, boleh dijual beli atau diambil oleh mana-mana lelaki. Islam mengangkat martabat wanita. 
  3. Mereka terpaksa menahan malu dengan kelahiran anak perempuan sehingga sanggup menanamnya hidup-hidup.
  4. Islam mengajar kita cara berfikir dengan tepat dalam hidup. Hendaklah kita bersyukur atas segala pemberian Allah SWT. 


Ayat 16: 60

لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْءَاخِرَةِ مَثَلُ ٱلسَّوْءِ وَلِلَّهِ ٱلْمَثَلُ ٱلْأَعْلَىٰ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

Bagi mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, sifat yang buruk, dan bagi Allah jualah sifat yang tertinggi; dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Pengajaran

  1. Orang-orang yang tidak beriman mempunyai cara berfikir yang buruk. Mereka suka menyamakan sesuatu dengan benda yang buruk. Contoh: Mereka kaitkan perempuan untuk Tuhan, yang lelaki untuk mereka. Inilah kesannya apabila cara berfikir mereka tidak fokus kepada hari akhirat. Mereka buat perumpamaan dan cara fikir yang tidak betul. 
  2. Bagi Allah jualah sifat yang tertinggi. Contoh: Allah SWT sifatnya al-Aziz, amat berkuasa. Kalau kita parking kereta, kita tidak bayar. Bila kita nampak penguat kuasa kita rasa gelabah. Allah SWT Maha Tinggi. Penguat kuasa pun kita takut, maka dengan Allah SWT tentu kita lebih takut lagi.
  3. Cara berfikir orang beriman adalah amat baik dan mereka mentauhidkan Allah SWT dengan perumpamaan yang amat mulia. Allah SWT Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Ayat 16: 61

وَلَوْ يُؤَاخِذُ ٱللَّهُ ٱلنَّاسَ بِظُلْمِهِم مَّا تَرَكَ عَلَيْهَا مِن دَآبَّةٍ وَلَٰكِن يُؤَخِّرُهُمْ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَـْٔخِرُونَ سَاعَةً وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.

Pengajaran

  1. Allah SWT menerangkan kepada kita kalau Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka tentu Allah tidak membiar tinggal sesuatu makhluk yang bergerak.
  2. Allah SWT tangguhkan hukuman kepada satu masa nanti. Ketentuan ajal ialah kematian atau ia juga bermaksud, hari pembalasan. 
  3. Ayat ini menjelaskan bahawa seseorang yang melakukan kezaliman ataupun dosa sebenarnya dia menzalimi diri dan keluarganya. Dosa amat bahaya di dalam kehidupan kita. 
  4. Allah SWT, dengan sifat  ٱلْحَكِيمُ Nya,  memberi peluang untuk kita beristighfar maka janganlah tunggu sehingga hujung usia kerana kita tidak tahu bila hujung tersebut. 


Ayat 16: 62

وَيَجْعَلُونَ لِلَّهِ مَا يَكْرَهُونَ وَتَصِفُ أَلْسِنَتُهُمُ ٱلْكَذِبَ أَنَّ لَهُمُ ٱلْحُسْنَىٰ لَا جَرَمَ أَنَّ لَهُمُ ٱلنَّارَ وَأَنَّهُم مُّفْرَطُونَ

Dan mereka mengadakan bagi Allah apa yang mereka sendiri tidak menyukainya; dalam pada itu, lidah mereka memperkatakan perkara yang dusta, (kononnya) bahawa mereka akan beroleh kesudahan yang baik di sisi Allah. Tidak syak lagi, bahawa bagi merekalah api neraka, dan bahawa merekalah orang-orang yang disegerakan (masuknya ke dalam neraka).

Pengajaran

  1. Allah SWT amat murka dengan mereka. Mereka mahu yang baik-baik sahaja untuk mereka. 
  2. Kita banyak kekurangan, kita mohon Allah ampunkan kita, tolong kita dan kita kena dekat dengan Allah. Bukannya yang baik kita fikirkan untuk kita, yang buruk-buruk kita berikan kepada Alah. Ada orang marah-marah kepada Allah SWT kerana pandemik ini. Allah SWT masih memberi kita peluang untuk kembali padaNya. 
  3. Orang yang buat dosa dengan membiarkan anak-anak perempuan mereka dipadang pasir atau ditanam, nanti mereka sendiri-sendiri masuk ke neraka (مُّفْرَطُونَ). 
  4. Dalam hadis menyebut apabila seseorang mendapat 3 orang anak perempuan dan dijaga elok-elok, akan masuk ke syurga. Di negara Arab, ada  yang merasakan mendapat 3 anak perempuan tidak bertuah. 


Ayat 16: 63

تَٱللَّهِ لَقَدْ أَرْسَلْنَآ إِلَىٰٓ أُمَمٍ مِّن قَبْلِكَ فَزَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيْطَٰنُ أَعْمَٰلَهُمْ فَهُوَ وَلِيُّهُمُ ٱلْيَوْمَ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Demi Allah! Sesungguhnya kami juga telah mengutus Rasul-rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad), lalu Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu; maka dia lah menjadi pemimpin mereka pada hari ini; dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Pengajaran

  1. Allah SWT telah mengutus rasul-rasul kepada umat sebelum ini. Tetapi mereka memilih syaitan sebagai pemimpin mereka. Syaitanlah yang menggalakkan mereka berfikiran songsang seperti tanam anak perempuan dan menjual perempuan. 
  2. Orang yang memipin tanpa mengikut panduan daripada al-Quran, sebenarnya mereka mengikut kepada syaitan. 


Ayat 16: 64

وَمَآ أَنزَلْنَا عَلَيْكَ ٱلْكِتَٰبَ إِلَّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ ٱلَّذِى ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Pengajaran

  1. Untuk menjauhkan kita daripada mengikut syiatan, hendaklah kita mengikut a-Quran sebagai petunjuk. Al-Quran akan membetulkan cara kita berfikir. 
  2. Al-Quran menjelaskan segala perselisihan. Menurut Ibnu Asyur, al-Quran mengeluarkan daripada kejahilan dan menjauhi daripada kesesatan. Inilah yang diperlukan oleh generasi hari ini untuk memimpin. Tanpa al-Quran, kita akan terus bertelingkah yang akan menjauhkan kita daripada rahmat Allah SWT. 
  3. Inilah al-Quran yang kita perjuangkan. Semoga Allah kuniakan kita hidayah dan rahmah selama kita hidup di atas muka bumi ini.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Gunakan rezeki untuk mengesakan Allah SWT, bukan sebaliknya (16:56)
  2. Jangan bersifat diskriminasi jantina dengan fahaman yang songsang (16:57-58)

Saya berasa lega Allah turunkan al-Quran bagi membetulkan cara fikir yang songsang.

Saya jelas saya mesti gunakan rezeki untuk mengesakan Allah SWT, bukan sebaliknya. Saya jelas untuk tidak bersifat diskriminasi jantina dengan fahaman yang songsang.

Ya Allah, pimpin kami untuk gunakan rezeki yang Engkau kurniakan bagi mengesakan Mu. Ya Allah, jauhkan kami daripada bersifat diskriminasi jantina dengan fahaman yang songsang.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...