PERKATAAN HARI INI
سَكَنَ Mendiami, menetap.
69 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Beberapa bukti petunjuk tauhid, pelbagai nikmat dan anugerah Ilahi (16:80-83)
- Ancaman kepada kaum musyrik, keadaan mereka pada hari kiamat, membangkitkan saksi atas mereka dan kaum mukmin, tidak ada keringanan azab, dilipat gandakannya azab dan berbagai sesembahan mereka mendustakan mereka (16:84-87)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita bertemu hari ini untuk meneruskan pembelajaran pada halaman 276. Kita bersyukur kepada Allah SWT yang menghadiahkan kepada Nabi Muhammad SAW dan al-Quran yang tiada kebengkokan di dalamnya.
Semoga Allah kurniakan kita penghijrahan kepada yang lebih baik ketika kita diuji ini agar kita selalu menghargai nikmat-nikmat daripada Allah SWT sebagaimana kita baca daripada surah al-Nahl hari ini.
Pada halaman lepas kita telah belajar, جَعَلَ maknanya Allah SWT menjadikan sesuatu dengan fungsi. Pendengaran, penglihatan dan hati kita Allah jadikan dengan fungsi agar kita makin bersyukur. Bila kita mendengar perkara-perkara sam'iyyat, dengar perkara kebaikan kita rasa amat bersyukur dengan apa yang kita ada. Contoh: Bila dengar cerita ada orang terpaksa mencuri sekeping maggie untuk memberi keluarga makan, kita berasa bersyukur dengan makanan yang kita ada dan berusaha membantu orang yang susah.
Ayat 16: 80
وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنۢ بُيُوتِكُمْ سَكَنًا وَجَعَلَ لَكُم مِّن جُلُودِ ٱلْأَنْعَٰمِ بُيُوتًا تَسْتَخِفُّونَهَا يَوْمَ ظَعْنِكُمْ وَيَوْمَ إِقَامَتِكُمْ وَمِنْ أَصْوَافِهَا وَأَوْبَارِهَا وَأَشْعَارِهَآ أَثَٰثًا وَمَتَٰعًا إِلَىٰ حِينٍ
Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal; dan Ia menjadikan bagi kamu dari kulit binatang-binatang ternak: khemah-khemah (tempat berteduh), yang kamu mendapatinya ringan (di bawa ke mana-mana) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti; dan (Ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.
Pengajaran
- Allah SWT menjadikan bagi kita rumah-rumah sebagai tempat tinggal untuk mendapat ketenangan. Dengan rumah yang kita ada, jangan merasa kita yang hebat kerana Allah SWT yang sebenarnya memberi ilham untuk kita mampu ada rumah.
- Allah SWT jadikan kulit binatang untuk dibuat khemah/rumah. Bulu biri-biri, unta dan kambing boleh dijadikan perkakas, perhiasan seperti karpet dan sofa. Nikmat-nikmat ini sementara sahaja. Janganlah kita sayang sangat sampai rasa hendak bawa masuk ke kubur.
- Perkataan سَكَنًا (rumah-rumah) ada kaitan dengan 'sakinah' dan 'siqqin (pisau)'. Rumah adalah untuk bertenang. Kita bersyukur ada rumah dan diharapkan kita akan lebih komited menjadi تُسْلِمُونَ, orang yang menyerah diri kepada Allah SWT.
Ayat 16: 81
وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّمَّا خَلَقَ ظِلَٰلًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ ٱلْجِبَالِ أَكْنَٰنًا وَجَعَلَ لَكُمْ سَرَٰبِيلَ تَقِيكُمُ ٱلْحَرَّ وَسَرَٰبِيلَ تَقِيكُم بَأْسَكُمْ كَذَٰلِكَ يُتِمُّ نِعْمَتَهُۥ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْلِمُونَ
Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya.
Pengajaran
- Allah SWT jadikan tempat di gunung-gunang untuk manusia berlindung.
- Allah SWT juga jadikan pakaian untuk melindungi manusia daripada panas dan semasa perang.
- Allah SWT ceritakan tentang bayang-bayang, rumah, perabut, perkakasan, pakaian dan lain-lain nikmat supaya manusia menyerah diri kepada peraturan Allah SWT, supaya kita bersyukur dan semakin komited untuk melakukan kebaikan.
Ayat 16: 82
فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ ٱلْبَلَٰغُ ٱلْمُبِينُ
Kemudian, jika mereka masih berpaling ingkar maka sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanya bertanggung jawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan cara yang jelas nyata.
Pengajaran
- Allah SWT ingatkan kepada Nabi SAW bahawa baginda hanya bertanggungjawab menyampaikan dengan hujjah yang nyata. Hujjah itu sudah siap sedia ada dalam al-Quran.
Ayat 16: 83
يَعْرِفُونَ نِعْمَتَ ٱللَّهِ ثُمَّ يُنكِرُونَهَا وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْكَٰفِرُونَ
Mereka mengetahui nikmat Allah (yang melimpah-limpah itu), kemudian mereka tergamak mengingkarinya; dan kebanyakan mereka pula ialah orang-orang yang kufur ingkar.
Pengajaran
- Orang-orang kafir sentiasa mengetahui nikmat (نِعْمَتَ) Allah SWT yang melimpah-limpah, kemudian mereka mengingkarinya. Kebanyakkan mereka ialah orang-orang yang kufur kepada Allah SWT.
- Kita tidak mahu jadi orang yang tahu nikmat Allah SWT tetapi kita ingkar kepadaNya.
- Hendaklah kita gunakan nikmat yang Allah berikan untuk membantu mereka yang susah dan memerlukan bantuan.
Ayat 16: 84
وَيَوْمَ نَبْعَثُ مِن كُلِّ أُمَّةٍ شَهِيدًا ثُمَّ لَا يُؤْذَنُ لِلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ
Dan (ingatkanlah kepada mereka yang musyrik tentang) hari Kami bangkitkan dari tiap-tiap umat, seorang saksi; kemudian tidak diizinkan bagi orang-orang yang kafir (memberi sebarang alasan), dan mereka pula tidak diminta memohon keredaan Allah.
Pengajaran
- Di akhirat nanti, orang kafir tidak dibenarkan bercakap dan meminta maaf. Ini berlaku kerana di dunia lagi mereka menyembah kepada yang bisu dan tidak buat apa-apa untuk kebaikan.
- Kalau hendak minta maaf, lakukan semasa kita masih hidup di dunia. Banyakkan infaq dan menyeru kepada keadilan. Sampai di akhirat, sudah terlambat.
Ayat 16: 85
وَإِذَا رَءَا ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ ٱلْعَذَابَ فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمْ وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ
Dan apabila orang-orang yang melakukan kezaliman (dengan kekufurannya) itu melihat azab, maka tidak akan diringankan azab itu daripada mereka, dan mereka pula tidak diberi tempoh.
Pengajaran
- Orang-orang yang melakukan kezaliman tidak akan diringankan azab daripada mereka, dan mereka pula tidak diberi tempoh.
- Umpama warder penjara tidak akan ringankan dan tidak beri perhatian pun kepada orang dalam penjara kerana tidak mahu memberi rasa keamanan kepada banduan. Itu akan menambahkan siksaan di penjara.
- Di akhirat kelak, seseorang yang kufur tidak akan diperhatikan langsung kerana semasa di dunia mereka tidak perhatikan kepada orang lain dan tidak perhatikan peraturan Allah SWT.
Ayat 16: 86
وَإِذَا رَءَا ٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟ شُرَكَآءَهُمْ قَالُوا۟ رَبَّنَا هَٰٓؤُلَآءِ شُرَكَآؤُنَا ٱلَّذِينَ كُنَّا نَدْعُوا۟ مِن دُونِكَ فَأَلْقَوْا۟ إِلَيْهِمُ ٱلْقَوْلَ إِنَّكُمْ لَكَٰذِبُونَ
Dan apabila orang-orang musyrik melihat makhluk-makhluk dan benda-benda yang mereka jadikan sekutu-sekutu Allah, mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, inilah dia yang kami jadikan sekutu-sekutu (bagiMu), yang kami sembah mereka dengan meninggalkanMu". Maka dengan serta-merta makhluk-makhluk yang puja itu menolak dakwaan mereka dengan berkata: "Sesungguhnya kamu adalah berdusta".
Pengajaran
- Syirik ini boleh jadi kalau kita terlalu kagum kepada tokoh-tokoh.
- Di akhirat nanti sekutu-sekutu yang mereka samakan dengan Allah SWT di dunia, mengatakan mereka itu berdusta kerana mereka tidak pernah pun disuruh menyembah sekutu-sekutu tersebut.
Ayat 16: 87
وَأَلْقَوْا۟ إِلَى ٱللَّهِ يَوْمَئِذٍ ٱلسَّلَمَ وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَفْتَرُونَ
Dan pada hari itu mereka semua menyerah diri bulat-bulat kepada Allah, dan hilang lenyaplah dari mereka (yang musyrik itu) apa yang telah mereka ada-adakan (sebagai sekutu-sekutu Allah).
Pengajaran
- Pada hari akhirat, semuanya menyerah diri kepada Allah SWT. Apa sahaja yang mereka sembah akan lenyap. Kita tidak perlu perantaraan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kita mestilah mohon secara terus kepada Allah SWT.
- Orang yang تُسْلِمُونَ selalu berinfaq dan berlaku adil.
RESOLUSI
Ingat!
- Hargai nikmat rumah dan pakaian agar diri lebih berserah dan tunduk kepada peraturan Allah SWT (16:80-81)
- Apabila sudah sedar akan nikmat yang dikurniakan, elakkan daripada kufur dengan tidak beribadah kepada Allah SWT (16:83)
- Sentiasa tunduk dan menyerah diri kepada kebenaran kerana ia memberi manfaat sampai ke akhirat (16:86-87)
Saya berasa lega, Allah kurniakan rumah dan berbagai nikmat yang lain untuk ketenangan.
Saya jelas untuk menghargai nikmat rumah dan pakaian agar saya lebih berserah dan tunduk kepada peraturan Allah SWT. Saya jelas untuk elakkan daripada kufur dengan tidak beribadah kepada Allah SWT. Saya jelas saya mesti sentiasa tunduk dan menyerah diri kepada Allah SWT.
Ya Allah, jadikan kami orang yang menghargai nikmat rumah dan pakaian agar kami lebih berserah dan tunduk kepada peraturan Mu. Ya Allah, elakkan kami daripada kufur dengan tidak beribadah kepada Mu. Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa tunduk dan menyerah diri kepada Mu.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.