Wednesday, August 2, 2023

Halaman 277 : Al-Nahl, 88-93

 

PERKATAAN HARI INI 

فَسَدَ  =  Merosakkan, memusnahkan.

50 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   

  1. Ditambah azab kepada pembuat kerosakan (16:88-89)
  2. Ayat dalam al-Quran yang paling komprehensif tentang kebaikan dan keburukan, pemenuhan janji, hidayah dan penyesatan (16:90-93)


Mukadimah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 277. Kita sama-sama melihat kalam Ilahi untuk bersyukur dengan nikmat tidak terperi untuk menuju syurga abadi. 


Ayat 16: 88

ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَصَدُّوا۟ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ زِدْنَٰهُمْ عَذَابًا فَوْقَ ٱلْعَذَابِ بِمَا كَانُوا۟ يُفْسِدُونَ

Orang-orang yang kafir dan menghalangi (dirinya serta orang lain) dari jalan Allah, Kami tambahi mereka azab seksa di samping azab (yang menimpa mereka), disebabkan mereka membuat kerosakan.

Pengajaran

  1. Orang-orang yang mensyirikkan Allah SWT, mereka itu kufur. Mereka bukan hanya kufur seorang tetapi mereka juga menghalang orang lain dari jalan Allah SWT. Maka, Allah SWT akan menambah azab demi azab bagi mereka kerana kerosakan yang mereka buat. 
  2. Ayat ini pujukkan Allah SWT kepada Nabi SAW, para sahabat dan kita juga. Seperti anak yang mengadu kepada ayah bila bergaduh dengan abang dan ayah mententeramkan anak yang mengadu. Orang yang berbuat kerosakan, Allah pasti akan diberi azab atas azab. Siapa yang buat lebih, akan diazab lebih. Siapa yang buat kurang, azabnya kurang. Seperti di dalam syurga juga, ada tingkatannya mengikut amal. Orang yang bekerja baik di organisasi dunia ini, akan  dapat bonus lebih.


Ayat 16: 89

وَيَوْمَ نَبْعَثُ فِى كُلِّ أُمَّةٍ شَهِيدًا عَلَيْهِم مِّنْ أَنفُسِهِمْ وَجِئْنَا بِكَ شَهِيدًا عَلَىٰ هَٰٓؤُلَآءِ وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ ٱلْكِتَٰبَ تِبْيَٰنًا لِّكُلِّ شَىْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ

Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.

Pengajaran

  1. Allah SWT bawakan hakikat hari kebangkitan dan saksi-saksi termasuklah Nabi Muhammad SAW. Nabi SAW akan jadi saksi amalan kita. Tidak ada alasan yang boleh diberikan jika tidak boleh membaca al-Quran kerana sibuk, banyak cabaran hidup kerana orang lain pun sibuk dan ada cabaran tetapi boleh membacanya. Bila ada saksi, kebenaran akan terserlah. 
  2. Bila kita dapat al-Quran, ia menjelaskan segala perkara . Tidak ada alasan untuk kita tidak tahu peraturan. Kita berada di bumi Allah, sila ikut peraturan Allah SWT. Makin kita membaca al-Quran, makin kita dapat pencerahan, kita rasa Allah SWT sayang kepada kita, walaupun dalam keadaan gawat, banyak cabaran, kita sentiasa rasa gembira dan positif. Menyerah diri, mengikut peraturan Allah SWT.
  3. Sebenarnya, tidak rugi mengikut peraturan Allah SWT. Semua makhluk, bayang-bayang, air,  menyerah diri kepada Allah SWT. Jin dengan manusia sahaja yang kadang-kadang tidak mahu mengikut. 
  4. Ujian tidak lama. Yang akan menjadi azab selamanya ialah bila tidak beriman kepada al-Quran dan menghalang orang lain dari berbuat kebaikan. Jika kita sudah baca al-Quran, mengajak keluarga dan tidak menghalang orang berbuat kebaikan, bermakna kita sudah mendapat hidayah dan teruslah memohon hidayah.


Ayat 16: 90

إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلْإِحْسَٰنِ وَإِيتَآئِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ وَٱلْبَغْىِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.

Pengajaran

  • Inilah seruan daripada Allah SWT dalam ayat ini. Ada 3 perkara yang disuruh:
    • Berlaku adil
    • Berbuat kebaikan (ٱلْإِحْسَٰنِ)
    • Memberi bantuan kepada kerabat
  • 3 perkara yang dilarang:
    • Melakukan perbuatan keji
    • Mencegah kemungkaran
    • Melakukan kezaliman atau melampau batas
  • Allah SWT menyeru kita untuk berlaku adil, minima sekadar yang diperlukan. Ihsan ialah memberi yang terbaik kepada keluarga, terutama ibu ayah. Ihsan juga bermaksud buat yang terbaik sesama manusia.
  • Yang paling utama adalah mereka yang dekat dengan kita. Mengikut Imam Qurtubi, ada orang tidak kisah kepada yang dekat,  mereka lebih utamakan kepada yang jauh. Kita kena beri perhatian tentang ini.
  • ٱلْفَحْشَآءِ  ialah perkara keji seperti seperti zina, homosex, fitnah, nusyuz, arak.
  • ٱلْمُنكَرِ ialah perkara yang tidak baik seperti menipu. 
  • Jika setiap ayah menjaga hal ini, insyaAllah masyarakat akan jadi terbaik. Jika dalam rumah tidak dijaga, ia akan membawa kepada organisasi, malah hingga ke peringkat parlimen akan terkesan. Ibu menunaikan janji, kita mendapat manfaatnya. Maka, suami kena menjaga isterinya, ibu kepada anak-anak di rumah. Apa yang berlaku sekarang adalah bermula dari rumah.


Ayat 16: 91

وَأَوْفُوا۟ بِعَهْدِ ٱللَّهِ إِذَا عَٰهَدتُّمْ وَلَا تَنقُضُوا۟ ٱلْأَيْمَٰنَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ ٱللَّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلًا إِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ

Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.

Pengajaran

  1. Ini berkaitan dengan seruan untuk orang yang menyatakan sumpah janji kepada Allah SWT di alam roh. Kita mengucapkan kalimah syahadah. Tiada tuhan yang disembah, selain Allah SWT.
  2. Bila kita berjanji dengan Allah SWT, maka kita kena sempurnakan. Begitu juga janji dengan manusia juga mesti disempurnakan.


Ayat 16: 92

وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّتِى نَقَضَتْ غَزْلَهَا مِنۢ بَعْدِ قُوَّةٍ أَنكَٰثًا تَتَّخِذُونَ أَيْمَٰنَكُمْ دَخَلًۢا بَيْنَكُمْ أَن تَكُونَ أُمَّةٌ هِىَ أَرْبَىٰ مِنْ أُمَّةٍ إِنَّمَا يَبْلُوكُمُ ٱللَّهُ بِهِۦ وَلَيُبَيِّنَنَّ لَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ مَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ

Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya.

Pengajaran

  1. Orang Yahudi berkata mereka akan menang bila berpegang kepada rasul yang diutuskan. Tetapi bila rasul datang, mereka tidak mahu beriman kerana bukan dari kalangan mereka. Mereka menjadi seperti benang yang dihuraikan (نَقَضَتْ). Mereka kecewa.
  2. Allah SWT akan menjelaskan siapa yang betul, siapa yang salah dan apa yang diperselisihkan oleh mereka. Mereka sudah membaca Taurat tetapi kerana ego, mereka tidak mahu tunduk kepada kebenaran. 
  3. Pelajaran untuk kita yang tidak habis-habis bergaduh. Psikologi manusia memang bias, diskrimasi, berpihak kepada satu-satu kumpulan sahaja. Ini perkara yang Allah tegur. Ini menyebabkan negara kita rosak kerana ada panduan tetapi mereka cuba meleraikan ikatan benang-benang yang dianyam. 
  4. Tanda dipimpin hidayah, kita tidak bergaduh tentang perkara-perkara yang benar.


Ayat 16: 93

وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَٰحِدَةً وَلَٰكِن يُضِلُّ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ وَلَتُسْـَٔلُنَّ عَمَّا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama Allah yang satu); akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan.

Pengajaran

  1. Sebenarnya, Allah SWT menyesatkan orang yang memilih untuk sesat. Sesiapa yang menolak hidayah, Allah izinkan dia untuk sesat. Sesiapa yang inginkan hidayah, Allah SWT akan berikan hidayah kepadanya. Hidayah mestilah diusahakan.
  2. Orang yang suka bergaduh tidak kisah tentang hidayah. Mereka buat apa sahaja asalkan dapat apa yang mereka hendak. 
  3. Kita sebagai ibu ayah pun akan ditanya tentang keluarga kita. Kita didik atau tidak. Di akhirat Allah SWT pasti akan tanya apa yang dilakukan. 


RESOLUSI

Ingat!

  1. Jangan terlibat dengan sesiapa yang melaksanakan kerosakan (16:88)
  2. Belajar al-Quran dan as-Sunnah kerana ini menjadi bukti kebenaran amalan kita (16:89)
  3. Sempurnakan janji dengan siapa jua (16:91)

Saya berasa lega, Allah SWT akan beri hidayah sekiranya saya berusaha untuk dapatkan hidayah.

Saya jelas untuk tidak terlibat dengan sesiapa yang melaksanakan kerosakan. Saya jelas saya mesti belajar al-Quran dan as-Sunnah kerana ini menjadi bukti kebenaran amalan saya.

Saya jelas untuk sempurnakan janji dengan siapa jua.

Ya Allah, jauhkan kami daripada terlibat dengan sesiapa yang melaksanakan kerosakan. Ya Allah, bimbing kami untuk belajar al-Quran dan as-Sunnah kerana kami sedar ia menjadi bukti kebenaran amalan kami. Ya Allah, bimbing kami untuk sempurnakan janji dengan siapa jua.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...