PERKATAAN HARI INI
سَوِيَ = Membentuk dengan kesamaan, menyamakan.
83 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Jangan sembah selain daripada yang memberi rezeki iaitu Allah SWT (16:73-74)
- Dua perumpamaan untuk berhala dan arca (16:75-76)
- Pengetahuan Allah SWT tentang perkara ghaib, penciptaan manusia dan burung (16:77-79)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita bertemu hari ini untuk meneruskan pembelajaran pada halaman 275. Kita doakan Allah SWT menerima segala amalan kita pada hari Asyura ini.
Kita ingat bagaimana peristiwa kemenangan diberikan kepada Nabi Musa AS apabila baginda gelisah dan dalam keadaan perit bersama dengan kaumnya, tetapi Allah memberikan pertolongan, kelegaan kepada baginda, begitu juga kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada kita. Ketika ada kegelisahan, kepayahan, Allah SWT pasti memberikan hari Asyura berkali-kali untuk kita mendapat kemenangan.
Dalam kegawatan yang berlaku, kita masih ada yang Maha Besar, Maha Tinggi. Jangan bergantung kepada orang besar, orang tinggi. Orang besar kadang-kadang jadi orang kecil. Orang tinggi kadang-kadang jadi orang rendah ataupun merendahkan orang lain. Allah yang Maha Tinggi tetap bersama dengan kita semua apabila kita meninggikan Allah SWT.
Ayat 16: 73
وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَمْلِكُ لَهُمْ رِزْقًا مِّنَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ شَيْـًٔا وَلَا يَسْتَطِيعُونَ
Dan mereka menyembah benda-benda yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberikan mereka sebarang rezeki pemberian dari langit dan bumi, dan mereka pula tidak berdaya sama sekali mendapat kuasa itu.
Pengajaran
- Allah SWT menemplak kepada orang yang kufur kepada nikmat Allah. Mereka menyembah kepada selain daripada Allah.
- Berhala yang mereka sembah tidak dapat memberi rezeki. Mereka tidak berkuasa buat apa-apa pun.
- Allah SWT sudah memberi nikmat, mengapa menyembah kepada selain daripada Allah SWT?
Ayat 16: 74
فَلَا تَضْرِبُوا۟ لِلَّهِ ٱلْأَمْثَالَ إِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Oleh itu, janganlah kamu mengadakan sesuatu yang sebanding dengan Allah, kerana sesungguhnya Allah mengetahui (setakat mana buruknya perbuatan syirik kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.
Pengajaran
- Allah SWT melarang daripada mengadakan perbandingan dengan-Nya. Allah sahaja yang boleh membuat persamaan.
- Mereka membuat perumpamaan contohnya, bila hendak jumpa menteri, kena melalui pengawal dahulu. Hendak jumpa Allah SWT kena melalui kain kuning, ayam golek dan sebagainya. Perbandingan yang dibuat begitu adalah logik yang tidak dibenarkan.
- Nabi SAW memimpin dengan ketauhidan dan orang musyrik memimpin dengan syirik. Kesan memimpin dengan tauhid atau syirik itu berbeza. Kita mahukan pemimpin yang mentauhidkan Allah SWT kerana syirik merosakkan cara berfikir.
Ayat 16: 75
ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا عَبْدًا مَّمْلُوكًا لَّا يَقْدِرُ عَلَىٰ شَىْءٍ وَمَن رَّزَقْنَٰهُ مِنَّا رِزْقًا حَسَنًا فَهُوَ يُنفِقُ مِنْهُ سِرًّا وَجَهْرًا هَلْ يَسْتَوُۥنَ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba abdi yang menjadi milik orang, yang tidak berkuasa melakukan dengan bebasnya sesuatupun; dan seorang lagi (yang merdeka) yang Kami kurniakan kepadanya pemberian yang baik (harta kekayaan) dari Kami, maka dia pun membelanjakan hartanya dengan bebasnya, sama ada secara bersembunyi atau terbuka, adakah kedua orang itu sama? Segala puji tertentu bagi Allah (dan Allah jualah yang berhak disembah), tetapi kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid itu).
Pengajaran
- Ini adalah perumpamaan yang Allah SWT beri tentang seorang hamba. Hamba dikuasai, tidak berkuasa walau sedikit.
- Satu lagi perumpamaan, orang yang mendapat rezeki yang baik, dia menggunakannya dengan baik seperti infaq dan bantu orang. Orang kedua lebih mantap.
- Kalau beriman kepada berhala, berhala tidak boleh buat apa-apa pun. Kalau beriman kepada Allah SWT, dapat rezeki, dia boleh buat macam-macam.
- Semakin beriman, seseorang itu budayanya suka membantu orang. Dia akan tolong orang bukan menyusahkan lagi orang yang sudah susah.
- Kesan iman kepada pemimpin, ia tidak akan menyusahkan rakyat. Jika ia ketua organisasi, dia tidak akan akan menyusahkan pekerja di bawahnya. Bukan sekadar ritual, nampak seperti beriman, tetapi menyusahkan orang lain. Alhamdulillah kita diberikan iman, tetapi ramai yang tidak mengetahui hakikat perkara ini.
Ayat 16: 76
وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا رَّجُلَيْنِ أَحَدُهُمَآ أَبْكَمُ لَا يَقْدِرُ عَلَىٰ شَىْءٍ وَهُوَ كَلٌّ عَلَىٰ مَوْلَىٰهُ أَيْنَمَا يُوَجِّههُّ لَا يَأْتِ بِخَيْرٍ هَلْ يَسْتَوِى هُوَ وَمَن يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَهُوَ عَلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Dan Allah memberikan satu misal perbandingan lagi: Dua orang lelaki, salah seorangnya kelu pekak dari semulajadinya, tidak dapat menyatakan apa yang difikirkannya dan tidak dapat mendengar apa yang dikatakan kepadanya; dan ia pula menjadi beban kepada orang yang menjaganya; ke mana sahaja ia diarahkan pergi oleh penjaganya, tak dapatlah dia membawa sesuatu yang berfaedah; adakah dia (yang demikian sifatnya) sama seperti orang (yang boleh berkata-kata serta dapat) menyuruh orang ramai melakukan keadilan, dan ia sendiri pula berada di atas jalan yang lurus (jalan yang benar)?
Pengajaran
- Allah SWT membuat perumpamaan dua orang lelaki. Seorang bisu (أَبْكَمُ), tidak boleh buat apa-apa, tidak bermanfaat dan seorang lagi yang boleh berkata-kata serta dapat menyuruh orang ramai melakukan keadilan.
- Manusia mengharapkan ketua yang boleh bercakap dan boleh berbuat sesuatu untuk orang lain. Kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyeru kepada keadilan.
- Menyeru kepada keadilan ialah harapan daripada Allah SWT yang memberi rezeki, yang memberi nikmat kepada kita semua. Peranan kita, bila kita makin beriman, kita akan makin menyeru kepada keadilan.
- Lawan kepada bisu ialah bercakap. Memperjuangkan keadilan untuk ahli kita, untuk rakyat bukan memperjuangkan untuk diri kita sahaja. Kesan apabila seseorang beriman kepada Allah SWT dia akan terus menyeru kepada keadilan. Untuk bersama iman kita kena istiqomah.
- Keimanan kita boleh diganggu oleh punca-punca syirik dalam kehidupan seperti harta, kuasa atau pangkat. Perkara-perkara itu boleh mengganggu kepada istiqomah kita di dalam kehidupan.
Ayat 16: 77
وَلِلَّهِ غَيْبُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَآ أَمْرُ ٱلسَّاعَةِ إِلَّا كَلَمْحِ ٱلْبَصَرِ أَوْ هُوَ أَقْرَبُ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui segala rahsia langit dan bumi; tiadalah hal kedatangan hari kiamat itu melainkan seperti sekelip mata, atau ia lebih cepat lagi; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Pengajaran
- Salah satu ciri syirik ialah mahu mengetahui tentang alam ghaib dengan jalan yang salah. Hanya Allah SWT yang sebenar-benar tahu tentang yang ghaib.
- Peranan kita ialah membantu manusia, memudahkan hidup manusia dan menyeru kepada keadilan.
- Allah SWT berkata, kiamat ini amat mudah. Itu sebagai satu peringatan kepada kita, bahawa kita kena buat tugas kita dengan mengikut kaedah yang betul dan jangan dikaitkan dengan ilmu yang salah atau kita cuba untuk mensyirikkan Allah SWT.
- Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Sekelip mata sahaja boleh banjir, boleh ranap sesuatu syarikat yang untung disebabkan oleh COVID19. Ini adalah tanda Allah yang sama boleh menjadikan akhirat itu tiba-tiba.
- Peranan kita sebagai hamba mestilah melakukan tugas ketauhidan dengan melaksanakan infaq, memudahkan urusan manusia, dan juga menyeru kepada keadilan.
Ayat 16: 78
وَٱللَّهُ أَخْرَجَكُم مِّنۢ بُطُونِ أُمَّهَٰتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْـًٔا وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمْعَ وَٱلْأَبْصَٰرَ وَٱلْأَفْـِٔدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.
Pengajaran
- Allah menerangkan tentang hakikat diri kita. Daripada embrio kita diberi pendengaran, penglihatan dan hati.
- Tiga perkara ini hendaklah digunakan untuk kita semakin bersyukur kepada Allah. Kesannya, kita dapat mengetahui sesuatu tentang alam ghaib dan alam maya pada ini melalui al-Quran. Ia memberi kesan pada ‘fuad’, iaitu bahagian hati kita yang berkait dengan perasaan juga mengambil faedah.
- Kesan mendengar dan melihat perkara yang betul, kita akan mendapat faedah di alam maya pada ini. Jika kita dengar perkara yang tidak betul, hati hanya berfikir kepada perkara yang menyusahkan orang, tidak kisah adil atau tidak, janji kita dapat apa yang kita mahu. Itu bukan ciri orang yang bersyukur.
Ayat 16: 79
أَلَمْ يَرَوْا۟ إِلَى ٱلطَّيْرِ مُسَخَّرَٰتٍ فِى جَوِّ ٱلسَّمَآءِ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا ٱللَّهُ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.
Pengajaran
- Allah SWT membawa kita untuk memerhatikan rama-rama dan burung-burung. Allah SWT memudahkan burung terbang di angkasa. Allahlah yang menstabilkan burung terbang. Dalam keadaan kemelut kesihatan, ekonomi dan politik yang melanda kita sekarang, tidak ada yang dapat membantu kita menjadi stabil kecuali Allah SWT.
- Pelajaran daripada angkasa, kalau kita tengok burung, kita bawa dalam diri kita. Ini adalah ayat-ayat yang banyak menunjukkan kebesaran Allah. Kalau Allah boleh jaga burung itu, kita minta doa agar Allah juga jaga kita yang berada di darat dalam keadaan yang penuh dengan cabaran. Kita yakin Allah akan bantu kalau kita menyerah diri kepada Allah yang menjaga burung.
- Orang yang beriman apabila tengok burung dia tahu dalam kemelut ini Allah akan jaga kita jika jaga apa yang Allah perintah.
RESOLUSI
Ingat!
- Tingkatkan kesungguhan mengabdikan diri kepada Allah SWT yang mengurniakan rezeki (16:73)
- Bina jati diri dengan mentauhidkan Allah SWT dan memberi manfaat pada manusia lain (16:75)
- Manfaatkan telinga, mata dan hati untuk bersyukur (16:78)
Saya berasa lega, Allah kurniakan telinga, mata dan hati untuk bersyukur.
Saya jelas untuk tingkatkan kesungguhan mengabdikan diri kepada Allah SWT yang mengurniakan rezeki. Saya jelas saya mesti bina jati diri dengan mentauhidkan Allah SWT dan memberi manfaat pada manusia lain. Saya jelas untuk manfaatkan telinga, mata dan hati untuk bersyukur.
Ya Allah, tingkatkan kesungguhan kami untuk mengabdikan diri kepada Mu, sesungguhnya Engkau yang mengurniakan rezeki. Ya Allah, bimbing kami untuk bina jati diri dengan mentauhidkan Mu, bantu kami untuk menjadi orang yang memberi manfaat pada manusia lain. Ya Allah, pimpin kami untuk manfaatkan telinga, mata dan hati untuk bersyukur kepada Mu.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.