Wednesday, August 2, 2023

Halaman 279 : Al-Nahl, 103-110

 

PERKATAAN HARI INI 

لَحَدَ   =  Merosakkan, menguburkan, mencela. 

6 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   

  1. Al-Quran dalam Bahasa Arab sebagai sumber kebenaran (16:103-105)
  2. Orang yang murtad dari Islam dan orang Muhajirin setelah mereka mengalami ujian dan fitnah (16:106-110)


Mukadimah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 279. Surah al-Nahl menceritakan kepada kita betapa perlunya kita bersyukur kepada nikmat-nikmat yang Allah SWT berikan. Kita tahu bahawa lebah mendapat ilham untuk memberi manfaat kepada dunia, maka kita juga sama-sama perlu berteraskan kepada wahyu agar kehidupan kita ini benar-benar memberi manfaat kepada dunia, bukan jadi sumber perosak yang mengkucar-kacirkan sebuah organisasi, negeri dan negara. 

Mari kita baca, faham, amal al-Quran di setiap rumah. Kerana apabila setiap rumah telah dikuatkan dengan al-Quran, maka itu adalah formula transformasi ke arah kebaikan untuk negeri dan negara kita. Kalau kita mengharapkan formula-formula lain, akhirnya ia lingkup di tengah jalan. Al-Quran adalah sumber yang telah terbukti sepanjang sejarah kehidupan manusia kepada umat Nabi SAW. 


Ayat 16: 103

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّهُمْ يَقُولُونَ إِنَّمَا يُعَلِّمُهُۥ بَشَرٌ لِّسَانُ ٱلَّذِى يُلْحِدُونَ إِلَيْهِ أَعْجَمِىٌّ وَهَٰذَا لِسَانٌ عَرَبِىٌّ مُّبِينٌ

Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: 

"Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia". (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.

Pengajaran

  • Pada halaman lepas, kita telah belajar bahawa al-Quran diturunkan melalui Jibril untuk menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira bagi meneguhkan orang-orang yang beriman.
  • Orang-orang musyrik di Mekah menuduh Nabi SAW bahwa al-Quran bukanlah wahyu daripada Allah SWT yang dibawa oleh malaikat tetapi ia adalah sesuatu yang diajarkan oleh manusia biasa. Mereka menuduh al-Quran itu sumbernya bukan dari orang Arab, yang Nabi SAW ubah-ubah jadi al-Quran. Mereka juga mengatakan yang Nabi SAW membawa sihir.
  • Mereka sebenarnya mengiktiraf al-Quran ini mempunyai kesan luar biasa. Sihir memang membawa sesuatu yang luar biasa, tetapi sihir tidak diizinkan oleh Allah SWT untuk kita belajar dan sebar.  Ilmu daripada al-Quran memang mereka iktiraf amat berkesan. Lebih daripada itu mereka dapati ada sumber-sumber luar. Mereka tidak biasa bercakap tentang alam ghaib, cakerawala, dan lain-lain. Memang betul dalam al-Quran ini ada sumber luar, tetapi sumber itu bukanlah daripada manusia, dan bukan juga bahasa luar tetapi ia adalah daripada bahasa arab yang jelas nyata. Bahasa Arab al-Quran menjadi bahasa yang standard selepas zaman Nabi SAW sehingga sekarang. 
  • Bila belajar al-Quran kita akan dapat:
    • Ilmu yang amat istimewa 
    • Sumber yang tidak terbayangkan daripada Allah SWT
  • Perlu belajar Bahasa Arab al-Quran supaya dapat menghargai mesej yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.


Ayat 16: 104

إِنَّ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ لَا يَهْدِيهِمُ ٱللَّهُ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada mereka dan mereka pula beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.

Pengajaran

  1. Manusia yang tidak beriman, tidak akan diberi hidayah. Kalau kita tidak membaca al-Quran setiap hari, kesannya ialah iman kita akan rendah. Contoh: Kalau kita ada bisnes dan kita percaya ia akan untung, kita pasti lihat dan rancang hari-hari bagaimana untuk mendapat untung itu. 
  2. Kalau kita tidak membaca al-Quran setiap hari, kita boleh menjadi tamak, gila kuasa tetapi kita  tidak sedar pun. Kita rasa betul apa sahaja yang kita buat. 


Ayat 16: 105

إِنَّمَا يَفْتَرِى ٱلْكَذِبَ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْكَٰذِبُونَ

Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta.

Pengajaran

  1. Orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah SWT suka berdusta. 
  2. Pada halaman ini berkali-kali disebutkan tentang mendustakan. Allah SWT adalah sumber nikmat dan pemberi wahyu, maka kita kena menghargai wahyu. Jangan didustakan. Caranya ialah dengan kita beriman dengan ayat-ayat Allah SWT. Kita baca, faham, supaya kita dapat beramal dengannya supaya kita tidak mudah mendustakan kebenaran. Bila kita mendustakan kebenaran, seseorang itu akan merasakan al-Quran itu tidak penting dan mereka tidak kisah menjadi murtad. 
  3. Kita kena menunjukkan akhlak yang mulia. Peranan kita, baca al-Quran, cuba memahami dan mengamalkannya. 


Ayat 16: 106

مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ إِيمَٰنِهِۦٓ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُۥ مُطْمَئِنٌّۢ بِٱلْإِيمَٰنِ وَلَٰكِن مَّن شَرَحَ بِٱلْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِّنَ ٱللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.

Pengajaran

  1. Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman maka baginya kemurkaan dan azab daripada Allah. 
  2. Ayat ini menceritakan fenomena murtad. Merasa tenang dengan agama lain memang boleh wujud, terutama bagi yang murtad. Mereka itu tenang dengan kerosakan atau kebatilan. Mereka tenang dengan ideologi yang songsang daripada mentauhidkan Allah SWT. 


Ayat 16: 107

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمُ ٱسْتَحَبُّوا۟ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا عَلَى ٱلْءَاخِرَةِ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْكَٰفِرِينَ

(Kekufuran mereka) yang demikian, ialah kerana mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari akhirat, dan kerana Allah tidak memberi hidayah petunjuk yang menyampaikan kaum yang kufur ingkar (kepada kebahagiaan di akhirat).

Pengajaran

  1. Ini adalah satu peringatan kepada kita. Orang musyrik di Mekah dahulu, diingatkan berkali-kali tetapi tetap tidak memilih Islam. Ada yang sudah mendapat iman, tetapi keluar daripada gaya hidup Islam kerana mereka merasakan ada sesuatu yang lain lebih menarik. 
  2. Mereka inginkan kehidupan di dunia, pangkat, harta, kuasa, populariti yang mereka letak lebih tinggi daripada akhirat. 
  3. Inilah sebabnya mereka merasa lapang dengan kekufuran. Mereka cuba memberi alasan apa yang mereka buat itu betul dan ia sesuatu yang perlu dikejar sedangkan di akhirat, perkara itu tidak dipersoalkan.
  4. Kalau kita tidak mengambil pelajaran, Allah SWT tidak akan memberi hidayah. Orang-orang yang mengutamakan dunia, akan suka mendustakan.


Ayat 16: 108

أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ طَبَعَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَسَمْعِهِمْ وَأَبْصَٰرِهِمْ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْغَٰفِلُونَ

Mereka itulah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah Taala hati mereka dan pendengaran mereka serta penglihatan mereka; dan merekalah orang-orang yang lalai.

Pengajaran

  1. Allah SWT menerangkan ciri-ciri orang kafir dalam ayat ini. Kita harap ia tidak berlaku kepada kita.
  2. Allah SWT akan memetrai (طَبَعَ) hati, pendengaran dan penglihatan mereka. Ini adalah kerana mereka tidak gunakan hati untuk memikir kembali mereka perlu tolong siapa, tidak mendengar ayat-ayat Allah SWT dan lebih mendengar perkataan manusia. Mereka tidak lihat kepada nikmat-nikmat ciptaan Allah SWT. Mereka tidak merasa kerdil melihat kebesaran-kebesaran Allah SWT dan tidak rasa yang mereka perlu tunaikan amanah di dunia ini.


Ayat 16: 109

لَا جَرَمَ أَنَّهُمْ فِى ٱلْءَاخِرَةِ هُمُ ٱلْخَٰسِرُونَ

Tidak syak lagi, bahawa mereka ialah orang-orang yang rugi pada hari akhirat kelak.

Pengajaran

  1. Di akhirat nanti, orang-orang yang terus lalai akan rugi.
  2. Semoga negara kita diharumi dengan bacaan dan kefahaman al-Quran. Betulkan mindset kita dan perbanyakkan membaca al-Quran.


Ayat 16: 110

ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ مِنۢ بَعْدِ مَا فُتِنُوا۟ ثُمَّ جَٰهَدُوا۟ وَصَبَرُوٓا۟ إِنَّ رَبَّكَ مِنۢ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan - adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Pengajaran

  1. Allah SWT memberi pertolongan kepada orang-orang yang berhijrah kepada kebaikan, berjihad serta bersabar. 
  2. Seperti sahabat-sahabat Rasulullah SAW dahulu berhijrah, semoga kita juga berhijrah kepada kebaikan. Gunakan kreativiti kita untuk menyebarkan al-Quran. 
  3. Setelah percaya kepada al-Quran, kita kena berjuang dengan harta, masa dan ilmu. Dalam usaha untuk berhijrah, kita kena bersabar kerana akan ada sahaja orang yang tidak setuju atau melawan. 
  4. Allah SWT akan mengampunkan orang yang berhijrah. 
  5. Kalau kita tidak hijrah, jihad dan sabar, ayat al-Quran yang kita baca akan duduk dalam diri kita sahaja sedangkan orang sekeliling mungkin masih berada dalam kekufuran, pergaduhan, kerosakan. Itu bukan respon orang yang beriman kepada ayatillah.
  6. Surah al-Nahl ini membawa semangat untuk berjuang kepada sahabat-sahabat bila mereka sudah pun melihat kebesaran Allah SWT, begitu juga dengan kita.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Bersungguh untuk beriman kepada al-Quran untuk mendapat hidayah daripada Allah SWT (16:104)
  2. Pertahankan keimanan dengan mendekati al-Quran sebenar-benarnya (16:106)
  3. Cintai akhirat agar hidayah al-Quran daripada Allah SWT sampai ke hati kita (16:107)

Saya berasa lega, Allah akan ampunkan dosa-dosa saya yang lalu sekiranya saya berhijrah kepada kebaikan, berjihad dan bersabar.

Saya jelas saya mesti bersungguh untuk beriman kepada al-Quran untuk mendapat hidayah daripada Allah SWT. Saya jelas untuk pertahankan keimanan dengan mendekati al-Quran sebenar-benarnya. Saya jelas untuk cintai akhirat agar hidayah al-Quran daripada Allah SWT sampai ke hati saya.

Ya Allah, bimbing kami untuk beriman bersungguh-sungguh kepada al-Quran. Ya Allah, kurniakan kami hidayah. Ya Allah, bantu kami untuk pertahankan keimanan dengan mendekati al-Quran sebenar-benarnya. Ya Allah, bimbing kami untuk cintai akhirat agar hidayah al-Quran sampai ke hati kami.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...