Thursday, August 3, 2023

Halaman 288 : Al-Isra', 59-66

PERKATAAN HARI INI

خَوَّفَ   Menakutkan

124 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Bantahan lain terhadap kesilapan berfikir orang musyrik (17:59-60)

  2. Kisah Nabi Adam dengan Iblis dan perintah Allah SWT kepada para malaikat untuk bersujud kepada Nabi Adam AS (17:61-65)

  3. Sejumlah nikmat Allah SWT kepada manusia (17:66)



Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 288. Surah al-Isra' adalah salah satu daripada tujuh surah Musabbihat, iaitu surah yang bermula dengan tasbih. Surah ini memujuk kepada Nabi SAW ketika dua orang insan yang disayangi dipanggil oleh Allah SWT iaitu isterinya Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.



Ayat 17: 59


وَمَا مَنَعَنَآ أَن نُّرْسِلَ بِٱلْءَايَٰتِ إِلَّآ أَن كَذَّبَ بِهَا ٱلْأَوَّلُونَ وَءَاتَيْنَا ثَمُودَ ٱلنَّاقَةَ مُبْصِرَةً فَظَلَمُوا۟ بِهَا وَمَا نُرْسِلُ بِٱلْءَايَٰتِ إِلَّا تَخْوِيفًا


Dan tiada yang menghalang Kami dari menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu melainkan kerana jenis mukjizat itu telah didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu; dan di antaranya Kami telah pun memberikan kepada kaum Thamud unta betina sebagai mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka berlaku zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat itu melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman).


Pengajaran


  1. Bila orang Quraish atau Yahudi meminta dihantar mukjizat lain, Allah SWT mengatakan tiada yang menghalang-Nya menurunkan sebarang jenis mukjizat.   

  2. Kaum sebelum itu telah mendustakan mukjizat yang Allah turunkan. Kaum Thamud, iaitu kaum Nabi Soleh diberi unta sebagai mukjizat dan mereka menzalimi unta itu. Orang Mekah boleh tengok tempat peninggalan Kaum Thamud yang diazab kerana kedudukan tempat itu dalam perjalanan dagang ke Syam. 

  3. Allah SWT tidak akan mengirim sesuatu ayat selain untuk menakutkan. Kita dalam keadaan sekarang, janganlah minta lebih-lebih bukti kebesaran Allah SWT. Kitalah yang sepatutnya menghambakan diri kepadaNya dan mengikut peraturan Allah SWT. Jangan mencabar Allah SWT dan jangan mencabar Rasul SAW.



Ayat 17: 60


وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِٱلنَّاسِ وَمَا جَعَلْنَا ٱلرُّءْيَا ٱلَّتِىٓ أَرَيْنَٰكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ وَٱلشَّجَرَةَ ٱلْمَلْعُونَةَ فِى ٱلْقُرْءَانِ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَٰنًا كَبِيرًا


Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.


Pengajaran


  1. Ada manusia yang merasakan mereka hebat, boleh membuat plot, komplot dan settle apa sahaja dan boleh memusnahkan Nabi SAW waktu itu.

  2. Ilmu Allah SWT meliputi segala penjuru. Ilmu kita sedikit sahaja. 

  3. Menurut sebahagian ulama, لرُّءْيَا ialah mimpi Nabi SAW. Ada yang menyatakan yang Nabi nampak peristiwa Isra' dan Mikraj. Peristiwa itu menjadi ujian kepada manusia. Ada yang menjadi lebih beriman dan ada yang kufur setelah beriman. 

  4. Nabi SAW membawakan kisah zaqqum dalam neraka, mereka tidak takut pun malah makin melampau/derhaka dan sombong. Itu adalah psikologi manusia dahulu dan sekarang juga. Ada orang yang makin diingatkan tentang neraka mereka makin degil.

  5. Semoga kita jadi orang yang tidak degil bila dengar al-Quran.



Ayat 17: 61


وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِءَادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ قَالَ ءَأَسْجُدُ لِمَنْ خَلَقْتَ طِينًا


Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: "Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?"


Pengajaran


  1. Dalam al-Quran ada 7 tempat cerita tentang Nabi Adam AS dan iblis. 

  2. Perkataan bashar, insan dan Adam ada kaitan dengan manusia. Perkataan Adam, Allah SWT mengingatkan kita bahawa itulah sejarah manusia untuk kita ingat. 

  3. Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS kerana sombongnya, ia tidak mahu mengikut perintah Allah SWT. 

  4. Orang yang sombong, tidak mahu menghormati orang lain. Hendaklah kita sedar bahawa kita adalah makhluk yang perlu merendah diri kepada Allah SWT.



Ayat 17: 62


قَالَ أَرَءَيْتَكَ هَٰذَا ٱلَّذِى كَرَّمْتَ عَلَىَّ لَئِنْ أَخَّرْتَنِ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَٰمَةِ لَأَحْتَنِكَنَّ ذُرِّيَّتَهُۥٓ إِلَّا قَلِيلًا


Ia berkata lagi: "Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)".


Pengajaran


  1. Iblis mempersoalkan Allah SWT dan tidak suka orang lain dimuliakan.

  2.  لَأَحْتَنِكَنَّ bermakna semua anak Adam ditahnik oleh iblis kecuali sedikit sahaja. Menurut Ibnu Jazair, tahnik iblis ialah umpama binatang yang diikat tali dan ditarik, seperti binatang untuk korban.



Ayat 17: 63


قَالَ ٱذْهَبْ فَمَن تَبِعَكَ مِنْهُمْ فَإِنَّ جَهَنَّمَ جَزَآؤُكُمْ جَزَآءً مَّوْفُورًا


Allah berfirman (kepada iblis): "Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.


Pengajaran


  1. Iblis berazam untuk menggoda setiap zuriat Bani Adam. Allah SWT mengusir iblis dan sesiapa yang mengikut iblis akan di sediakan neraka jahannam. 

  2. Allah SWT sangat marah kepada orang yang sombong dan mengikut iblis.

  3. Sifat sombong iblis yang merasakan diri lebih mulia.



Ayat 17: 64


وَٱسْتَفْزِزْ مَنِ ٱسْتَطَعْتَ مِنْهُم بِصَوْتِكَ وَأَجْلِبْ عَلَيْهِم بِخَيْلِكَ وَرَجِلِكَ وَشَارِكْهُمْ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَٰدِ وَعِدْهُمْ وَمَا يَعِدُهُمُ ٱلشَّيْطَٰنُ إِلَّا غُرُورًا


Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)". Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.


Pengajaran


  1. Iblis diberi keizinan oleh Allah SWT untuk apa yang dimintanya.  Jika kita mohon dan Allah beri, tidak bermakna kita dimuliakan.

  2. Iblis boleh melemahkan, menakutkan dengan mewas-waskan manusia. Iblis akan mensyirikkan manusia dengan harta benda dan anak pinak dengan janji-janji palsu. Iblis menghantar bala tentera untuk cuba melemahkan manusia di muka bumi ini. 

  3. Allah SWT menyatakan bahawa iblis akan buat tipu daya supaya manusia lemah sehingga hilang pendirian yang tetap. Sukar untuk kita bezakan hasutan syaitan sehingga kita mudah terperangkap.

  4. Bina kekuatan dan bina formula untuk mengelakkan godaan iblis yang sudah berazam dan  tahnikkan anak Adam. 

  5. Hendaklah kita jawab bila azan dan iqomah. Kalau tidak jawab, syaitan akan melalaikan kita hingga lambat atau lupa solat.



Ayat 17: 65


إِنَّ عِبَادِى لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَٰنٌ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ وَكِيلًا


Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).


Pengajaran


  1. Orang yang tidak dapat dikuasai oleh syaitan ialah mereka yang menjadi hamba Allah.

  2. Hamba ialah orang yang merendah diri, sujud, baca al-Quran, bila buat silap mengaku silap dan tawakal hanya kepada Allah SWT.



Ayat 17: 66


رَّبُّكُمُ ٱلَّذِى يُزْجِى لَكُمُ ٱلْفُلْكَ فِى ٱلْبَحْرِ لِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦٓ إِنَّهُۥ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا


Tuhan kamulah yang menjalankan untuk kamu kapal-kapal di laut, supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengasihani kepada kamu.


Pengajaran


  1. Allah SWT menggerakkan kapal-kapal di lautan untuk manusia mencari rezeki. 

  2. Allah SWT Maha Mengasihani terhadap manusia.



RESOLUSI


Ingat!

  1. Jangan mendustakan tanda kebesaran Allah SWT apabila ia hadir agar tidak menjadi semakin zalim dalam kehidupan (17:59)

  2. Sentiasa sedar iblis akan menggoda manusia setiap masa (17:62)

  3. Kuatkan tawakal kepada Allah SWT agar terlindung daripada syaitan (17:65)


Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya saya jadi hamba yang tunduk dan tawakal kepada-Nya agar terhindar daripada godaan syaitan.


Saya jelas untuk tidak mendustakan tanda kebesaran Allah SWT apabila ia hadir agar tidak menjadi semakin zalim dalam kehidupan. Saya jelas saya mesti sentiasa sedar iblis akan menggoda manusia setiap masa. Saya jelas saya mesti kuatkan tawakal kepada Allah SWT agar terlindung daripada syaitan.


Ya Allah, bimbing kami supaya tidak mendustakan tanda kebesaran Mu apabila ia hadir agar tidak menjadi semakin zalim dalam kehidupan. Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa sedar iblis akan menggoda manusia setiap masa. Ya Allah, kuatkan tawakal kami kepada Mu agar terlindung daripada syaitan.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...