Thursday, August 3, 2023

Halaman 287 : Al-Isra', 50-58

 PERKATAAN HARI INI

فَطَرَ Mencipta, membelah

20 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Pengingkaran orang Musyrik terhadap hari kebangkitan dan bantahan terhadap mereka (17:50-52)

  2. Mendebat orang yang berbeza pendapat secara lembut dan dengan cara yang terbaik (17:53-55)

  3. Bantahan lain terhadap kesilapan berfikir orang Musyrik (17:56-58)



Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 287. Hari ini kita akan belajar bahawa keimanan kepada Allah SWT mesti dibuktikan dengan keimanan kepada hari akhirat juga. Orang-orang kafir menafikan hari akhirat.



Ayat 17: 50


 قُلْ كُونُوا۟ حِجَارَةً أَوْ حَدِيدًا


Katakanlah (wahai Muhammad):" Jadilah kamu batu atau besi -


Pengajaran


  1. Orang musyrik itu degil sangat dan Allah SWT menyuruh mereka menjadi batu atau besi.

  2. Inilah jawapan Allah SWT kepada orang yang degil setelah melihat bukti-bukti kebenaran di alam ini. Menurut Hamka, batu kalau dipecahkan ada juga manfaat. Besi pula boleh dipanaskan dan ditempa untuk memberi manfaat. Manusia kalau dihancurkan, kalau tidak memberi manfaat di dunia ini memang tidak berguna.  



Ayat 17: 51


أَوْ خَلْقًا مِّمَّا يَكْبُرُ فِى صُدُورِكُمْ فَسَيَقُولُونَ مَن يُعِيدُنَا قُلِ ٱلَّذِى فَطَرَكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ فَسَيُنْغِضُونَ إِلَيْكَ رُءُوسَهُمْ وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هُوَ قُلْ عَسَىٰٓ أَن يَكُونَ قَرِيبًا


Atau lain-lain makhluk yang terlintas di hati kamu sukar hidupnya, (maka Allah berkuasa menghidupkannya)!" Mereka pula akan bertanya: "Siapakah yang akan mengembalikan kita hidup semula?" Katakanlah: "Ialah Allah yang menjadikan kamu pada mulanya!" Maka mereka akan menganggukkan kepala mereka kepadamu sambil bertanya secara mengejek: Bila berlakunya?" Katakanlah: "Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi!"


Pengajaran


  1. Mereka bertanya siapa yang akan menghidupkan mereka kembali sesudah mati? Nabi SAW diajar oleh Allah SWT untuk berkata, yang menghidupkan mereka kali kedua ialah yang menghidupkan mereka kali pertama dahulu. 

  2. Mereka menyindir dan merendah-rendahkan Nabi SAW.

  3. Mereka bertanya bila berlaku kiamat? Allah ajarkan supaya jawab kiamat sudah dekat.



Ayat 17: 52


يَوْمَ يَدْعُوكُمْ فَتَسْتَجِيبُونَ بِحَمْدِهِۦ وَتَظُنُّونَ إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا قَلِيلًا


(Ingatlah akan) hari Ia menyeru kamu lalu kamu menyahut sambil memuji kekuasaanNya, dan kamu menyangka, bahawa kamu tinggal (dalam kubur) hanya sebentar


Pengajaran


  1. Pada hari kiamat, semua orang akan memuji Allah SWT. 

  2. Mereka dahulu merasakan dunia adalah segalanya. Sebenarnya hidup di dunia ini hanya sebentar.



Ayat 17: 53


وَقُل لِّعِبَادِى يَقُولُوا۟ ٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ كَانَ لِلْإِنسَٰنِ عَدُوًّا مُّبِينًا


Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang)


Pengajaran


  1. Allah SWT mengajar Nabi SAW, para sahabat dan kepada kita, supaya berkata dengan perkataan yang lebih baik daripada apa yang mereka katakan. 

  2. Ayat ini mengajar Nabi SAW dan para sahabat untuk tidak termakan oleh hasutan syaitan. Kadang-kadang kita mahu bercakap baik dengan seseorang tetapi ada syaitan yang akan merosakkan hubungan dengan membuat orang itu berprasangka terhadap niat kita. 

  3. Siapa yang melayan kemarahannya, habis adabnya. Syaitan akan cuba merosakkan hubungan manusia. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata. 



Ayat 17: 54


رَّبُّكُمْ أَعْلَمُ بِكُمْ إِن يَشَأْ يَرْحَمْكُمْ أَوْ إِن يَشَأْ يُعَذِّبْكُمْ وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ عَلَيْهِمْ وَكِيلًا


Tuhan kamu lebih mengetahui akan keadaan kamu; jika Ia kehendaki, Ia akan memberi rahmat kepada kamu; atau jika Ia kehendaki, Ia akan menyeksa kamu. Dan Kami tidak mengutusmu kepada mereka (wahai Muhammad), sebagai wakil yang menguasai urusan mereka.


Pengajaran


  1. Allah SWT mengetahui apa sebenarnya yang kita ingin capai. Bila kita buat kerana Allah SWT, kita buat secara أَحْسَنُ

  2. Dengan rahmat Allah SWT kita dapat berlembut. Allah juga boleh mengazab jika Dia kehendaki.

  3. Allah SWT tidak utuskan Nabi SAW sebagai penjaga mereka.  Para nabi dan kita juga hanya menyampaikan. Allah SWT yang menentukan.



Ayat 17: 55


وَرَبُّكَ أَعْلَمُ بِمَن فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَلَقَدْ فَضَّلْنَا بَعْضَ ٱلنَّبِيِّۦنَ عَلَىٰ بَعْضٍ وَءَاتَيْنَا دَاوُۥدَ زَبُورًا


Dan Tuhanmu (wahai Muhammad) lebih mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi; dan sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas setengahnya yang lain; dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Daud.


Pengajaran


  1. Allah SWT lebih mengetahui semua makhluk yang ada di langit dan bumi. 

  2. Allah SWT melebihkan sebahagian nabi daripada nabi yang lain. Allah SWT tidak menyatakan siapa yang lebih baik, ianya umum. Semua Nabi seperti bintang. Semuanya indah, semuanya tinggi.

  3. Dalam kehidupan, jangan kita bandingkan kumpulan kita dengan kumpulan lain sekiranya tidak ada manfaat.

  4. Allah SWT mengangkat Nabi Daud dengan diberikan kitab Zabur. Kalau Nabi Daud dapat Zabur, apa masalah Allah hendak turunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW? Ini adalah diskriminasi di peringkat sejarah yang dibangkitkan oleh kaum Yahudi.

  5. Kita tidak dibenarkan diskriminasi.



Ayat 17: 56


قُلِ ٱدْعُوا۟ ٱلَّذِينَ زَعَمْتُم مِّن دُونِهِۦ فَلَا يَمْلِكُونَ كَشْفَ ٱلضُّرِّ عَنكُمْ وَلَا تَحْوِيلًا


Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberi pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya".


Pengajaran


  1. Ahli kitab amat yakin dengan perkara yang mereka syirikkan. Seperti orang Kristian yakin bahawa Nabi Isa itu tuhan. 

  2. Mereka kagum dengan Firaun. Jika dilihat dengan mata hati, Firaun hanya tinggalkan batu sahaja, tetapi ia tidak membawa Firaun selamat di dalam laut ketika mengejar Nabi Musa.

  3. Allah SWT hendakkan kita fokus kepada Allah, bukan kepada manusia. 

  4. Nabi-nabi sebagai pembawa risalah. 



Ayat 17: 57


أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ يَبْتَغُونَ إِلَىٰ رَبِّهِمُ ٱلْوَسِيلَةَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ وَيَرْجُونَ رَحْمَتَهُۥ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُۥٓ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحْذُورًا


Orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti.


Pengajaran


  1. Orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya dengan berbuat ibadat.

  2. Mereka mengharapkan rahmat Allah SWT dan gerun takut akan azab Allah SWT.

  3. Sesungguhnya azab Tuhan adalah perkara yang semestinya ditakuti.

  4. Janganlah kita terlalu kagum dengan manusia seperti tokoh agama atau selebriti. Orang yang dikagumi itu juga mencari redha dan rahmat  Allah SWT. Mereka takut kepada azab.

  5. Bani Israel atau kaum sebelum ini hancur kerana mereka fokus kepada tokoh manusia, bukannya kembali balik kepada Allah SWT. 



Ayat 17: 58


وَإِن مِّن قَرْيَةٍ إِلَّا نَحْنُ مُهْلِكُوهَا قَبْلَ يَوْمِ ٱلْقِيَٰمَةِ أَوْ مُعَذِّبُوهَا عَذَابًا شَدِيدًا كَانَ ذَٰلِكَ فِى ٱلْكِتَٰبِ مَسْطُورًا


Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz).


Pengajaran


  1. Allah SWT memberitahu bahawa sesebuah negeri akan dibinasakan atau Allah siksa penduduknya dengan siksaan yang sangat keras kerana penduduknya menderhaka. 

  2. Orang yang belajar agama juga boleh menjadi ancaman. Mereka belajar, membaca buku-buku dan ajaran guru mereka sahaja dan tidak mahu mengikut al-Quran. 



RESOLUSI


Ingat!

  1. Ucapkan perkataan baik dan jangan sokong syaitan yang menimbulkan permusuhan (17:53)

  2. Fokus ibadah yang ikhlas kepada Allah SWT dan jangan ada pengantara (17:57)

  3. Jaga amalan dan perbuatan kita agar negara tidak diazab (17:58)


Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya bercakap perkataan yang baik walaupun berdepan dengan provokasi.


Saya jelas untuk ucapkan perkataan baik dan tidak sokong syaitan yang menimbulkan permusuhan. Saya jelas saya mesti fokus ibadah yang ikhlas kepada Allah SWT dan jangan ada pengantara. Saya jelas untuk jaga amalan dan perbuatan saya agar negara tidak diazab.


Ya Allah, bimbing kami untuk ucapkan perkataan baik dan tidak sokong syaitan yang menimbulkan permusuhan. Ya Allah, pimpin kami untuk fokus ibadah yang ikhlas kepada Mu dan jauhkan kami daripada mengambil pengantara. Ya Allah, bantu kami untuk jaga amalan dan perbuatan kami agar negara tidak diazab.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...