PERKATAAN HARI INI
وَكَلَ Wakil, dipercayai, digantungkan harapan
70 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Sejumlah nikmat Allah SWT kepada manusia (17: 67-70)
Keadaan manusia dengan para pemimpin mereka pada hari kiamat (17: 71-72)
Upaya orang Musyrik memfitnah Nabi Muhammad SAW dan mengusir baginda dari Mekah (73-75)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita bertemu hari ini pada halaman 289 bagi melihat panduan daripada surah al-Isra' yang diturunkan kepada Nabi SAW dan para sahabat di hujung fasa Mekah untuk berjuang menuju kemenangan di sini sampai ke akhirat nanti.
Hari ini kita akan lihat ayat tentang psikologi manusia. Semoga mesej hidayah sampai kepada kita dan semua rakan-rakan. Pada halaman lepas, cerita kapal belayar di lautan muncul selepas kisah perjuangan Adam dan iblis. Iblis tidak mahu menghormati kepada Adam dan menggoda Adam dan Hawa.
Ayat 17: 67
وَإِذَا مَسَّكُمُ ٱلضُّرُّ فِى ٱلْبَحْرِ ضَلَّ مَن تَدْعُونَ إِلَّآ إِيَّاهُ فَلَمَّا نَجَّىٰكُمْ إِلَى ٱلْبَرِّ أَعْرَضْتُمْ وَكَانَ ٱلْإِنسَٰنُ كَفُورًا
Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).
Pengajaran
Pada ayat ini Allah membawa mengenai perjuangan di lautan.
Inilah psikologi manusia. Orang yang tidak beriman atau yang bergantung kepada selebriti, mengidolakan tok gurunya, tetapi ketika susah dia akan menyeru kepada Tuhan yang sebenar-benarnya yang menyelamatkannya.
Bila sudah selamat, ramai manusia berpaling daripada kebenaran. Bila berada di lautan dalam kepayahan dia akan ingat Tuhan. Bila sudah selamat sampai ke darat, dia berpaling daripada Tuhan yang satu.
Perkataan al-Insan dalam al-Quran itu adalah ilmu berkaitan psikologi.
Ayat 17: 68
أَفَأَمِنتُمْ أَن يَخْسِفَ بِكُمْ جَانِبَ ٱلْبَرِّ أَوْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا ثُمَّ لَا تَجِدُوا۟ لَكُمْ وَكِيلًا
Adakah kamu - (sesudah diselamatkan ke darat) - merasa aman (dan tidak memikirkan), bahawa Allah akan menggempakan sebahagian dari daratan itu menimbus kamu, atau dia akan menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung kamu?
Pengajaran
Allah SWT memberi amaran, apakah mereka sudah merasa aman apabila berada di daratan?
Daratan juga boleh menelan/membenamkan (يَخْسِفَ) mereka atau Allah SWT boleh hantar angin kencang untuk menghancurkan mereka. Pada waktu itu tidak ada sesiapa pun boleh menjadi pelindung. Bencana, cabaran yang Allah SWT turunkan adalah kenyataan. Fenomena-fenomena ini yang kita perlu ingat, jangan kita rasa aman dengannya.
Ayat 17: 69
أَمْ أَمِنتُمْ أَن يُعِيدَكُمْ فِيهِ تَارَةً أُخْرَىٰ فَيُرْسِلَ عَلَيْكُمْ قَاصِفًا مِّنَ ٱلرِّيحِ فَيُغْرِقَكُم بِمَا كَفَرْتُمْ ثُمَّ لَا تَجِدُوا۟ لَكُمْ عَلَيْنَا بِهِۦ تَبِيعًا
Atau adakah kamu merasa aman (dan tidak memikirkan) bahawa Allah akan mengembalikan kamu sekali lagi ke laut, kemudian Ia menghantarkan kepada kamu angin ribut yang memecah belahkan segala yang dirempuhnya, lalu Ia mengaramkan kamu dengan sebab kekufuran kamu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang boleh menuntut bela tentang itu terhadap Kami?
Pengajaran
Kita tidak boleh rasa selesa selagi belum sampai ke syurga. Kita tidak boleh rasa selesa kita boleh buat apa sahaja kepada orang lain.
Jika hendak selamat, kita kena mengikut hidayah daripada Allah SWT. Ada orang menghargai peluang dapat membaca al-Quran. Ramai yang dapat langit tuhan, daratan tuhan tetapi tidak mahu kembali kepada Tuhan.
Ayat 17: 70
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ وَحَمَلْنَٰهُمْ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ وَرَزَقْنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلْنَٰهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.
Pengajaran
Allah SWT mengingatkan kembali realiti kita. Setiap kali bertemu perkataan Adam, ini sejarah kita.
Salah satu tanda Allah SWT memuliakan kita ialah dengan memberi kita akal sehingga kita boleh memproses tiga perkara yang ada dalam ayat ini. Jika diproses dengan akal yang betul, insyaAllah kita akan menjadi orang yang bersyukur. Jika akal disalah gunakan oleh Bani Adam, maka kita akan jauh daripada Allah SWT.
Allah SWT membawakan bukti-bukti bahawa Dia memuliakan bani Adam:
Diangkut mereka di daratan dan di lautan. Allah SWT menjaga hambaNya seperti ibu hamil menjaga bayi dalam kandungannya. Allah SWT betul-betul sayang dengan memberikan kita daratan yang selesa. Kita tidak jatuh ketika berjalan, tidak berduri-duri atau bergelombang seperti ombak di lautan. Jika kita belajar lebih mendalam ilmu sains, kita akan dapat merasakan bahawa Allah SWT betul-betul sayang, jaga, beri keselesaan kepada kita dengan daratan yang ada.
Lautan. Banyak manfaatnya. Ada ikan, sungai yang mengalir sampah ke lautan, jadi tidaklah busuk kerana diproses oleh air garam dalam lautan. Kita boleh berada di atas lautan menaiki kapal yang terapung kerana Allah SWT menjaga kita ketika berada di lautan. Semua hukum fizik ini berfungsi dengan rahmat Allah SWT.
Diberi rezeki yang baik-baik. Jika kita yang kena proses semua bahan-bahan yang untuk jadikan makanan, tentu susah hidup kita. Allah SWT memuliakan kita dengan direzekikan kebaikan kepada kita. Allah berikan keutamaan atas segala makhluk yang ada. Kita boleh tunggang kuda, makan lembu dll.
Kita bertawakkal hanya kepada Allah SWT kerana Allah SWT yang memberi kita macam-macam. Kita hanya berikan ketaatan kepada Allah dan bergantung hanya kepada yang layak sahaja.
Dalam hidup kita, hendak jadi orang yang berlemah lembut ini, kita kena tahu dekat mana hendak berhenti. Kita harap kita diberi rahmat oleh Allah SWT sehingga kita mampu bersifat lemah lembut dalam kehidupan. Ia bukannya milik kita. Ia adalah anugerah rahmat daripada Allah SWT. Hendaklah kita selalu mendengar al-Quran betul-betul agar kita mendapat rahmat Allah SWT.
Ayat 17: 71
يَوْمَ نَدْعُوا۟ كُلَّ أُنَاسٍۭ بِإِمَٰمِهِمْ فَمَنْ أُوتِىَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُو۟لَٰٓئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَٰبَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا
(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun.
Pengajaran
Allah SWT akan memanggil kita di akhirat dengan nama imam-imam kita atau pemimpin-pemimpin yang berbuat kebaikan atau yang berbuat keburukan. Jika kita memilih pemimpin yang baik, yang berimamkan al-Quran, kita akan berada di belakang mereka.
Sesiapa yang akan diberi kitab amalan dengan tangan kanan, ia akan membacanya berkali-kali dengan sukacita.
Di dunia ini jika kita selalu membaca al-Quran, ia akan memberi kesan kepada amal kita sehingga ia dicatat dalam kitab yang akan diberikan di akhrat nanti.
Allah SWT tidak akan menzalimi walau sedikit pun.
Ayat 17: 72
وَمَن كَانَ فِى هَٰذِهِۦٓ أَعْمَىٰ فَهُوَ فِى ٱلْءَاخِرَةِ أَعْمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلًا
Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.
Pengajaran
Sebaliknya sesiapa yang berada di dunia ini dalam keadaan buta mata hatinya, maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.
Jika kita lihat pemimpin tidak membaca al-Quran dan tidak kisah pun tentang al-Quran tetapi kita ikut juga, di akhirat nanti, kita akan menjadi buta dan lebih sesat. Tidak nampak syurga, dihumban ke dalam azab Allah SWT.
Pemimpin-pemimpin yang kita pilih, pastikan mereka mengikut panduan al-Quran. Baik di sisi manusia dan baik di sisi Allah berbeza kadang-kadang. Contoh: Tolong orang miskin itu baik tetapi menolong orang miskin dengan duit rasuah adalah tidak baik di sisi Allah.
Kita memerlukan pemimpin-pemimpin yang tidak buta al-Quran. Dia mesti baca, faham dan amal al-Quran. Kita doakan agar pemimpin-pemimpin kita sempat membaca al-Quran. Al-Quran jika tidak dibaca berulang kali, ia akan hilang. Jika hilang Quran itu, kita akan diserang oleh qarin bernama syaitan menjadi penasihat. Syaitan boleh jadi jin atau manusia.
Ayat 17: 73
وَإِن كَادُوا۟ لَيَفْتِنُونَكَ عَنِ ٱلَّذِىٓ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ لِتَفْتَرِىَ عَلَيْنَا غَيْرَهُۥ وَإِذًا لَّٱتَّخَذُوكَ خَلِيلًا
Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu (wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) baharulah mereka menjadikan engkau sahabat karibnya.
Pengajaran
Orang yang tidak baca al-Quran apatah lagi yang kufur kepada Allah SWT, mereka mahu kita jadi sahabat mereka. Jika mereka tidak baca wahyu, ke mana mereka Hendak membawa kita?
Psikologi manusia, mesti mahu mengikut orang yang mereka rapat. Jika mereka orang baik, sudah tentu dia akan bawa kepada kebaikan berasaskan wahyu. Tetapi jika tidak baca Quran, pakai ideologi kapitalism, marxism atau mana-mana ideologi tidak berasaskan Quran, maka sudah tentu kita akan gagal.
Keteguhan dalam hidup kita ini bukan kita yang bina. Ia adalah anugerah. Kita perlu minta daripada Allah SWT. Allah SWT yang meneguhkan. Semoga kita menjadi pengikut setia kepada al-Quran.
Ayat 17: 74
وَلَوْلَآ أَن ثَبَّتْنَٰكَ لَقَدْ كِدتَّ تَرْكَنُ إِلَيْهِمْ شَيْـًٔا قَلِيلًا
Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.
Pengajaran
Kalau kita berkawan dengan kawan yang tidak berasaskan al-Quran, walau sedikit, kita akan terkesan dengan cara berfikirnya sehingga menyebabkan kita tidak teguh di jalan yang lurus.
Kita perlu sangat menjaga al-Quran. Kalau tidak, kita boleh sahaja condong ke kiri atau ke kanan kerana tidak mendapat peneguhan daripada Allah SWT.
Ayat 17: 75
إِذًا لَّأَذَقْنَٰكَ ضِعْفَ ٱلْحَيَوٰةِ وَضِعْفَ ٱلْمَمَاتِ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ عَلَيْنَا نَصِيرًا
Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami.
Pengajaran
Orang-orang yang ada banyak kelebihan seperti harta, pangkat, tetapi cenderung kepada orang yang tidak berpandukan al-Quran, Allah SWT akan menggandakan azab bagi mereka di akhirat.
RESOLUSI
Ingat!
Jangan mendustakan tanda kebesaran Allah SWT apabila ia hadir agar tidak menjadi semakin zalim dalam kehidupan (17:59)
Sentiasa sedar iblis akan menggoda manusia setiap masa (17:62)
Kuatkan tawakal kepada Allah SWT agar terlindung daripada syaitan (17:65)
Saya berasa lega, Allah SWT akan lindungi saya daripada syaitan kalau saya kuatkan tawakal kepadaNya.
Saya jelas untuk tidak mendustakan tanda kebesaran Allah SWT apabila ia hadir agar tidak menjadi semakin zalim dalam kehidupan. Saya jelas saya mesti sentiasa sedar iblis akan menggoda manusia setiap masa. Saya jelas untuk kuatkan tawakal kepada Allah SWT agar terlindung daripada syaitan.
Ya Allah, jauhkan kami daripada mendustakan tanda kebesaran Mu apabila ia hadir agar tidak menjadi semakin zalim dalam kehidupan. Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa sedar iblis akan menggoda kami setiap masa. Ya Allah, kuatkan tawakal kami kepada Mu, lindungilah kami daripada syaitan.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.