PERKATAAN HARI INI
عَزَلَ Menjauhi, meninggalkan, menyendiri
10 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Seruan meninggalkan kekufuran (18:16)
Tentera Allah SWT bersama pejuang (18:17-18)
Pergi mendapat makanan yang baik serta bersikap dengan lemah lembut (18:19-20)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 295, untuk menyambung Surah al-Kahf bagi memahami formula menghadapi cabaran akhir zaman. Surah ini disunnahkan kita baca pada setiap hari Jumaat supaya mendapat cahaya yang memimpin dalam kehidupan kita. Semoga Allah pimpin kita untuk baca, faham dan amal 10 ayat pertama yang ada senarai semak dalam kehidupan untuk memastikan kita tidak tertipu dengan cabaran akhir zaman.
Pada halaman lepas kita telah belajar formula bagaimana pemuda al-Kahf mendapat hidayah daripada Allah SWT: mereka beriman maka Allah SWT tambahkan hidayah dan teguhkan hati mereka.
Pada hari ini untuk kuatkan hati kita bagi berdepan dengan berbagai cabaran kita perlu dapat hidayah/idea untuk buat perkara-perkara yang makin dekat dengan Allah SWT. Untuk dapat hidayah ini bukan tugas kita. Kita perlu berusaha untuk menambahkan iman. Allah akan beri hidayah dan teguhkan hati kita.
Kita tidak boleh meneguhkan hati orang lain. Kita ajak orang lain ingatkan Allah SWT. Allah SWT yang meneguhkan.
Ayat 18: 16
وَإِذِ ٱعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأْوُۥٓا۟ إِلَى ٱلْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِۦ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًا
Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna".
Pengajaran
Ini adalah peristiwa pertama tentang beberapa pemuda yang lari daripada bandar masuk ke gua. Pemuda-pemuda itu akan dibunuh kerana memilih untuk beriman, maka mereka mendapat idea daripada Allah SWT untuk mengasingkan diri ke gua.
Mereka memilih untuk menjaga iman, maka Allah SWT berikan idea kepada mereka untuk beruzlah. Boleh ke kita beruzlah sekarang ini? Menurut Said Hawa, tidak boleh uzlah jasadiah kerana banyak syariat atau tanggung jawab yang tidak dapat dilaksanakan. Kalau ada isu di tempat kerja/rumah/organisasi, kita boleh uzlah syar'iyyah untuk beribadah kepada Allah SWT.
Pemuda al-Kahf adalah dari golongan kaya, disukai ramai tetapi kerana hendak menjaga iman mereka sanggup ke gua yang sempit. Walaupun sempit, kerana beriman mereka merasa lapang dengan rahmat Allah SWT.
Kerana beribadah kita akan mendapat rahmat. Kita jaga iman, Allah akan beri rahmat. Walaupun rumah sempit, dengan iman, kita akan jadi lapang. Lapangkan rumah-rumah kita dengan iman. Firaun walaupun istananya besar tetapi kerana iman tidak mengisi hati, kesannya dia berada dalam keadaan takut kepada Nabi Musa kerana iman tidak dibina maka dia tidak dapat hidayah, tidak dapat kekuatan dalam kehidupan.
Allah SWT sediakan untuk pemuda al-Kahf kemudahan hidup dan ketenteraman (أَمْرِكُم مِّرْفَقًا).
Ayat 18: 17
وَتَرَى ٱلشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَٰوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ ٱلْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ ٱلشِّمَالِ وَهُمْ فِى فَجْوَةٍ مِّنْهُ ذَٰلِكَ مِنْ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ مَن يَهْدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلْمُهْتَدِ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُۥ وَلِيًّا مُّرْشِدًا
Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.
Pengajaran
Salah satu cara Allah SWT memberi keselesaan kepada mereka, ialah apabila matahari terbit, cahaya akan condong ke sebelah kanan. Masa matahari terbenam, cahaya akan ke kiri.
Hidayah yang kita boleh ambil daripada ayat ini ialah Allah berikan matahari itu tidak terus langsung kepada pemuda-pemuda tersebut ketika mereka ditidurkan. Dalam gua itu dapat cahaya, tetapi tidak secara langsung. Ini membolehkan mereka tidur dengan selesa dan selamat (مِّرْفَقًا).
Semua yang berlaku adalah ayat-ayat Allah SWT sebagai susunan yang terbaik bagi mereka yang beriman dan komited mencari hidayah. Bagi sesiapa yang sesat dan tidak mencari hidayah, tiada siapa yang dapat menjadi penolong mereka.
Semoga Allah SWT pimpin kita untuk meningkatkan iman, memberi kita hidayah, ketenangan dan kelapangan dalam hidup sehingga sampai ke syurga.
Ayat 18: 18
وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ ٱلْيَمِينِ وَذَاتَ ٱلشِّمَالِ وَكَلْبُهُم بَٰسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِٱلْوَصِيدِ لَوِ ٱطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا
Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.
Pengajaran
Semasa tidur yang panjang itu, mereka kelihatan seperti jaga padahal mereka tidur yang berkualiti. Akhir zaman ini, kita doakan agar dapat tidur yang berkualiti supaya bila bangun kita berasa segar.
Allah SWT bolak-balikkan badan mereka semasa tidur selama 309 tahun itu dengan dihantarNya malaikat-malaikat untuk menggerakkan mereka ke kiri dan ke kanan.
Ada anjing di depan gua yang membentangkan kedua tangan membuat orang takut untuk masuk ke dalamnya.
Allah SWT ceritakan tentang anjing itu sebagai tanda kemuliaan. Walaupun seekor anjing tetapi ia bersama orang beriman wali Allah, maka Allah muliakan. Apatah lagi jika kita bersama iman, bersama al-Quran, Allah SWT tidak akan hina kita. Allah SWT akan angkat kita. Syaratnya ialah kita mesti bersama dengan orang-orang yang soleh, orang-orang yang baik seperti anjing ini. Anjing walaupun asyik menjelir, tapi sebab dia berkawan dengan orang baik, Allah muliakan.
Orang akan rasa takut dengan keadaan itu. Itulah perlindungan Allah kepada ashabul kahfi agar mereka tidak diserang, aman di dalam gua tersebut.
Ayat 18: 19
وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَٰهُمْ لِيَتَسَآءَلُوا۟ بَيْنَهُمْ قَالَ قَآئِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ قَالُوا۟ رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَٱبْعَثُوٓا۟ أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَٰذِهِۦٓ إِلَى ٱلْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَآ أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا
Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.
Pengajaran
Apabila mereka terjaga selepas 309 tahun, mereka bersoal-jawab dalam kalangan mereka. "Berapa lama kamu tidur?"
Daripada perbualan ini kita dapat tahu ada 7 orang semuanya. Tiga orang atau lebih mengatakan mereka tidur sehari atau lebih. Yang lain menyatakan hanya Tuhan yang tahu.
Mereka setuju untuk utuskan salah seorang pergi membeli makanan yang bagus dengan wang perak yang mereka ada. Utusan untuk membeli makanan itu dingatkan supaya berlemah lembut dengan bersungguh-sungguh dan tidak menceritakan hal mereka kepada sesiapa pun.
Ini adalah formula berjuang membawa kebenaran di akhir zaman:
Kalau tidak tahu, serah kepada Allah SWT. Jangan jadi profesor serba tahu. Nabi Yusuf AS tidak bersedia untuk menjadi pemimpin tetapi baginda bersedia membuat ehsan dalam hidup dan akhirnya dia diangkat menjadi pemimpin.
Cari makanan yang bersih dan baik.
Bawa sebahagian sahaja dari rezeki yang ada. Jangan gelojoh dan membazir.
Perkara ini penting kerana ia ada kaitan dengan وَلْيَتَلَطَّفْ. Kita akan jadi orang yang berlemah lembut dalam kehidupan kita bila bab makan kita dapat jaga. Kalau tidak kita akan jadi amat rakus; makan sahaja apa-apa atau 'nak makan siapa'.
Ayat 18: 20
إِنَّهُمْ إِن يَظْهَرُوا۟ عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِى مِلَّتِهِمْ وَلَن تُفْلِحُوٓا۟ إِذًا أَبَدًا
"Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya".
Pengajaran
Pemuda-pemuda itu sangat berjaga-jaga khuatir kalau orang kampung sedar siapa mereka, tentu mereka akan dibunuh atau dipaksa kembali kepada agama mereka.
RESOLUSI
Ingat!
Perlu cari masa untuk menyendiri dan beribadah kepada Allah SWT (18:16)
Yakin Allah SWT akan bantu dengan tenteranya apabila kita membuat kebaikan (18:17-18)
Sentiasa bersikap dengan lemah lembut terutamanya ketika membawa kebaikan (18:19)
Saya berasa lega, Allah SWT akan hantar tenteraNya untuk membantu apabila saya membuat kebaikan.
Saya jelas saya mesti cari masa untuk menyendiri dan beribadah kepada Allah SWT. Saya jelas dan yakin Allah SWT akan bantu dengan tenteranya apabila kita membuat kebaikan.
Saya jelas untuk sentiasa bersikap dengan lemah lembut terutamanya ketika membawa kebaikan.
Ya Allah, kurniakan hidayah dan peluang kepada kami meyendiri dan beribadah kepada Mu. Ya Allah, bantu kami dengan tentera-Mu dalam usaha kami membuat kebaikan. Ya Allah, bimbing kami untuk bersikap dengan lemah lembut terutamanya ketika membawa kebaikan.
Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.