Thursday, August 3, 2023

Halaman 296 : Al-Kahf, 21-27

PERKATAAN HARI INI  

عَثَرَ  Menjumpai, membukakan


2  kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS 

  

  1. Diskusi tentang Ashabul Kahf (18:21-22)

  2. Perancangan ke depan dengan menyebut Insya-Allah (18:23-24)

  3. Masa Ashabul Kahf (18:25-26)

  4. Anjuran tilawah al-Quran dan tawakal kepada Allah SWT (18:27)



Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 296 surah al-Kahf. Kita bersyukur kerana dipilih untuk mendapat hidayah. Semoga kita dapat amalkan hidayah dalam kehidupan. 


Ayat 20 menceritakan kaedah perjuangan. Bila berdakwah kita kena berhati-hati, berlemah lembut. Kalau kita tidak ada strategi, kita kasar maka ia akan dizahirkan. Maka ramai orang akan tahu yang mungkin mereka akan mendenda/menghukum atau mengembalikan kepada gaya hidup mengikut kepada cara yang tidak bertepatan dengan tauhid Allah SWT. 



Ayat 18: 21


وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ ٱلسَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَآ إِذْ يَتَنَٰزَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ فَقَالُوا۟ ٱبْنُوا۟ عَلَيْهِم بُنْيَٰنًا رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ قَالَ ٱلَّذِينَ غَلَبُوا۟ عَلَىٰٓ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًا


Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka"


Pengajaran


  1. Akhirnya terbongkar juga tentang pemuda-pemuda gua itu. Janji Allah SWT adalah benar. Allah boleh tidurkan orang 309 tahun, kemudian bangkit balik. Allah boleh sahaja tidurkan lama lagi kemudian bangkitkan di akhirat nanti itu adalah satu janji daripada Allah SWT yang benar dan perlu kita yakini. 

  2. Pemuda Al-Kahf akhirnya meninggal di dalam gua tersebut. Orang kampung mahu membuat binaan di tepi gua itu untuk mengingati mereka.  Menurut Imam At-Thobari, ada yang menyatakan binaan itu adalah dibuat oleh mereka yang bertauhid. Membuat masjid di kawasan orang sudah meninggal adalah amalan yang ditegah di dalam agama. 

  3. Pengajarannya, dalam kehidupan kita, janji Allah SWT  itu benar, terutama bab akhirat. Allah SWT boleh bantu segala urusan kita. 

  4. Janji Allah SWT itu pasti. Pemuda Al-Kahf bersedia untuk akhirat dan kita juga kena bersedia. Mesti ada 'me time' beribadah di dalam 'gua' kita.



Ayat 18: 22


سَيَقُولُونَ ثَلَٰثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًۢا بِٱلْغَيْبِ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ قُل رَّبِّىٓ أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَآءً ظَٰهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًا


(Sebahagian dari) mereka akan berkata: "Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka dan setengahnya pula berkata:"Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka" - secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: "Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka". Katakanlah (wahai Muhammad): "Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit". Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).


Pengajaran


  1. Hanya Allah SWT Maha Mengetahui jumlah mereka yang sebenarnya. Janganlah berbantah-bantah tentangnya. 

  2. Pengajaran yang penting ialah mereka lari ke dalam gua kerana mempertahankan iman. Kita boleh masuk gua ilmu untuk menguatkan iman. 

  3. Jangan minta fatwa daripada ahli kitab kerana mereka tidak dapat maklumat yang betul. Merujuk kepada orang yang salah, kita akan salah. Kita kena berjaga-jaga kerana kadang-kadang kita google sahaja untuk mendapatkan hukum. Pastikan sumber hukum itu betul.

  4. Yang patut kita fikirkan ialah bagaimana hendak jadi seperti pemuda-pemuda itu. Walaupun mereka orang berharta, masih muda tetapi memilih untuk meninggalkan kemewahan bagi menyelamatkan iman.



Ayat 18: 23


وَلَا تَقُولَنَّ لِشَا۟ىْءٍ إِنِّى فَاعِلٌ ذَٰلِكَ غَدًا


Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti".


Pengajaran


  1. Perkara yang kita tidak tahu, jangan didebatkan. 

  2. Kita tidak tahu samada masih hidup esok, jadi jangan berjanji tanpa kata insya Allah. 



Ayat 18: 24


إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ وَٱذْكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَىٰٓ أَن يَهْدِيَنِ رَبِّى لِأَقْرَبَ مِنْ هَٰذَا رَشَدًا


Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini".


Pengajaran


  1. Apa-apa yang kita hendak buat di masa depan mesti ucap insya Allah. Ia melambangkan kita tidak tahu. Kemahuan yang sebenar-benarnya adalah daripada Allah SWT. Kita hendak macam-macam tapi kita tidak ada kekuatan pun. Yang merelaisasikanya adalah Allah SWT. 

  2. Jika kita tidak menyebut insya Allah, kita akan rasa kitalah yang hebat. Penting menyebut insya Allah terutama di akhir zaman ini. Janganlah kita rasa lebih yakin daripada Tuhan sehingga tidak kata insya Allah.

  3. Kalau sudah betul berazam hendak buat, baru cakap insya Allah. Jangan gunakan Allah untuk berlepas diri. 

  4. Ingatlah Allah SWT ketika kita lupa. Lupa adalah daripada syaitan.  Ingat Allah syaitan akan lari. Kalau lupa, ingat Allah, selawat kepada Nabi SAW. 

  5. Akhir zaman ini, kita menghadapi kemelut yang berbagai. Perkataan insya Allah adalah untuk meyakinkan diri kita ini sebagai hamba, supaya kita tidak kecewa. Kalau kita kata Insya Allah, Allah akan pimpin kita kerana itu pun adalah zikir. Kita doakan semoga Allah pimpin kita di jalan yang lurus. Inilah yang kita baca dalam ayat 10 surah al-Kahf. 

  6. Urusan kita banyak, yang sekarang, yang akan datang. Urusan kita itu kita harap untuk mendapat petunjuk daripada Allah SWT. 

  7. Hidayah ialah kita baru rancang, kita dapat panduan. Petunjuk pula ialah hidayah yang matang. Kita boleh membuat keputusan yang sesuai dengan apa yang Allah SWT inginkan, bukan sahaja ikut kehendak kita.

  8. Ingatlah dua perkara pada akhir zaman: 

    1. Tidak tahu, tanya pada yang tahu. Jangan gaduh-gaduh buat teori sendiri.

    2. Katakan insya Allah bila merancang untuk buat sesuatu.



Ayat 18: 25


وَلَبِثُوا۟ فِى كَهْفِهِمْ ثَلَٰثَ مِا۟ئَةٍ سِنِينَ وَٱزْدَادُوا۟ تِسْعًا


Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dengan kiraan Ahli Kitab), dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu).


Pengajaran


  1. Allah SWT beritahu berapa lama pemuda-pemuda tersebut berada di dalam gua. Mereka duduk di dalam gua selama 300 tahun solar, di tambah 9 tahun. 

  2. Bila Allah SWT tidak beritahu, jangan pandai-pandai. Orang-orang Yahudi suka buat macam-macam teori. Kita kena jaga agar tidak terlibat. Akhir zaman, dajjal akan tipu akidah. Cara hendak jaga akidah, jangan percaya kepada sumber-sumber yang tidak daripada Tuhan termasuk numerologi, astrologi, zodiak dan sebagainya.  



Ayat 18: 26


قُلِ ٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثُوا۟ لَهُۥ غَيْبُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ أَبْصِرْ بِهِۦ وَأَسْمِعْ مَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِىٍّ وَلَا يُشْرِكُ فِى حُكْمِهِۦٓ أَحَدًا


Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNya lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya.


Pengajaran


  1. Allah SWT yang mengetahui tentang masa mereka tidur. Allah tahu segala rahsia langit dan bumi.

  2. Allah SWT Maha Mendengar perkataan-perkataan pemuda-pemuda tersebut, dan Allah Maha Melihat keadaan mereka walaupun mereka berada di dalam gua yang gelap.

  3. Allah pernah dengar keadaan pemuda-pemuda al-Kahf, Allah yang sama dengar keadaan kita. Jangan syirikkan Allah SWT. Allah SWT beri perlindungan kepada orang beriman. Ini janji Allah. Allah dengar, Allah lihat. Yang penting kita jaga iman.



Ayat 18: 27


وَٱتْلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ مِن كِتَابِ رَبِّكَ لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَٰتِهِۦ وَلَن تَجِدَ مِن دُونِهِۦ مُلْتَحَدًا


Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya.


Pengajaran


  1. Salah satu cara kita jaga iman ialah dengan tilawah al-Quran. Inilah cara untuk kita ini dapat perlindungan daripada pelbagai ancaman di akhir zaman. 



RESOLUSI


Ingat!


  1. Yakini hari kiamat yang pasti berlaku dengan melaksanakan dakwah kebaikan (18:21)

  2. Elakkan terlibat perkara kecil yang tidak menambah iman (18:22)

  3. Berkata Insya-Allah apabila ingin buat sesuatu perkara (18:24)


Saya berasa lega, Allah SWT akan lindung kalau saya jaga iman dengan tilawah al-Quran.


Saya jelas untuk yakini hari kiamat yang pasti berlaku dengan melaksanakan dakwah kebaikan. Saya jelas saya mesti elakkan terlibat perkara kecil yang tidak menambah iman. Saya jelas untuk berkata Insya-Allah apabila ingin buat sesuatu perkara.


Ya Allah, pimpin kami untuk melaksanakan dakwah kebaikan sebagai tanda kami yakin hari kiamat yang pasti berlaku. Ya Allah, elakkan kami daripada terlibat perkara kecil yang tidak menambah iman. Ya Allah, ingatkan kami untuk berkata Insya-Allah apabila ingin buat sesuatu perkara.


Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama. 


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...