PERKATAAN HARI INI
عجب kagum, takjub,hairan
27 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Seruan dakwah Nabi Muhammad SAW dan hakikat dunia (18:5-8)
Kisah Ashabul Kahfi (18:9-15)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 294, surah al-Kahf. Dalam surah ini dinyatakan dengan jelas bagaimana hendak menguruskan cabaran iman, harta, ilmu dan kuasa.
Ayat 18: 5
مَّا لَهُم بِهِۦ مِنْ عِلْمٍ وَلَا لِءَابَآئِهِمْ كَبُرَتْ كَلِمَةً تَخْرُجُ مِنْ أَفْوَٰهِهِمْ إِن يَقُولُونَ إِلَّا كَذِبًا
(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.
Pengajaran
Pada Ayat 4, Allah SWT memberi amaran kepada mereka yang menyatakan Tuhan ada anak. Mereka itu sedikit pun tidak ada ilmu tentang apa yang mereka katakan. Mereka membuat pengakuan yang tidak berasas.
Di akhir zaman juga, ada orang yang menyatakan sesuatu tanpa berasaskan ilmu. Puncaknya ialah membuat kesyirikan kepada Allah SWT.
Kalimah yang keluar daripada mulut mereka adalah kalimah buruk yang besar. Allah murka kerana mereka bercakap tidak berasaskan ilmu pengetahuan.
Apa yang mereka sebut itu adalah semuanya penipuan. Inilah cabaran akhir zaman.
Orang Kristian banyak buat baik. Itu semua kita terima. Jangan kita terima pendustaan bab agama.
Ayat 18: 6
فَلَعَلَّكَ بَٰخِعٌ نَّفْسَكَ عَلَىٰٓ ءَاثَٰرِهِمْ إِن لَّمْ يُؤْمِنُوا۟ بِهَٰذَا ٱلْحَدِيثِ أَسَفًا
Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.
Pengajaran
Nabi SAW berasa sangat kecewa kesan daripada perkataan dan ideologi yang dibawakan oleh orang-orang yang mengatakan Tuhan ada anak.
Bila orang Nasrani membawa ideologi keduniaan, ia akan merebak kepada seluruh manusia. Kesannya, bila mereka bercakap tentang dunia orang tidak lagi mahu berbincang tentang Quran.
Bila kita makin membaca Quran, ingat kepada Allah SWT, ini akan menyebabkan cara fikir yang bengkok seperti dengki, suka bergaduh akan diluruskan kembali. Itu lebih produktif. Al-Quran menjadikan kita bijak.
Ayat ini menunjukkan psikologi Nabi SAW berdakwah. Nabi SAW amat gembira kalau orang menerima hidayah daripada Allah SWT. Tetapi apabila orang-orang Kristian bercakap yang teruk, manusia terlalu suka keduniaan, Nabi SAW merasa amat sedih kerana ia merosakkan dunia.
Ayat 18: 7
إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى ٱلْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.
Ayat 18: 8
وَإِنَّا لَجَٰعِلُونَ مَا عَلَيْهَا صَعِيدًا جُرُزًا
Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.
Pengajaran Ayat 7-8
Ayat 7 dan 8 adalah asas untuk kita melihat iman, harta, ilmu dan kuasa. Kita mesti memahami cara beragama yang lebih baik ataupun sesuatu yang hancur.
Iman, harta, ilmu dan kuasa adalah perhiasan kepada manusia. Semua perkara ini mesti membawa kepada أَحْسَنُ عَمَلًا. Kalau tidak, hidup manusia akan jadi gersang.
Manusia yang gersang tidak bermanfaat malah mungkin menyusahkan pula. Kita tidak mahu diri kita yang telah dibekalkan dengan macam-macam perhiasan agama, ilmu, harta dan kuasa menjadi gersang. Orang yang gersang tidak mampu menjadi tempat berteduh dan tidak berbuah kerana tidak berasaskan ilmu yang tepat daripada Allah SWT.
Ayat 18: 9
أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَـٰبَ ٱلْكَهْفِ وَٱلرَّقِيمِ كَانُوا۟ مِنْ ءَايَـٰتِنَا عَجَبًا
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan "Ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?
Ayat 18: 10
إِذْ أَوَى ٱلْفِتْيَةُ إِلَى ٱلْكَهْفِ فَقَالُوا۟ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama"
Pengajaran Ayat 9-10
Allah SWT menceritakan tentang kisah pemuda yang lari berselindung digua. Kisah mereka yang tidur 309 tahun mengkagumkan kita. Bila tenguk anak kita tidur, kita tidak pula kagum. Kita takjub bila tengok ada kalimah Allah SWT pada tembikai atau pada daging yang dipotong. Tembikai atau daging biasa kita tidak pula rasa takjub kejadiannya.
Ini adalah keimanan terpilih yang perlu kita elakkan. Orang Kristian terseleweng kerana mereka suka takjub kepada perkara yang pelik-pelik.
Walaupun berada di gua mereka masih lagi diberi rahmah oleh Allah SWT. Orang yang dapat kasih sayang daripada Allah SWT walaupun kena COVID-19 atau ujian-ujian lain, orang itu masih tenang.
Semoga kita dapat beramal dengan doa pemuda-pemuda al-Kahfi bagi mendapat rahmat dan perlindungan Allah bagi menghadapi ujian akhir zaman.
Ayat 18: 11
فَضَرَبْنَا عَلَىٰٓ ءَاذَانِهِمْ فِى ٱلْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا
Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangan
Pengajaran
Allah luluskan mereka daripada ujian iman dengan menidurkan mereka di gua beberapa tahun. Tidak dinyatakan berapa tahun secara spesifik kerana yang penting bukan nombor itu. Tidak payah kita persoalkan tentang itu, atau tentang anjing mereka.
Mereka berada di gua dengan selamat kerana rahmat Allah SWT. Kita belajar al-Quran dan lain-lain untuk lulus dan mendapat rahmat.
Ayat 18: 12
ثُمَّ بَعَثْنَٰهُمْ لِنَعْلَمَ أَىُّ ٱلْحِزْبَيْنِ أَحْصَىٰ لِمَا لَبِثُوٓا۟ أَمَدًا
Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu).
Pengajaran
Allah SWT bangkitkan mereka dari tidur yang lama.
Mereka berselisih pendapat tentang berapa lama mereka tidur.
Ayat 18: 13
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِٱلْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَٰهُمْ هُدًى
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
Pengajaran
Lokasi sebenar al-Kahfi tidak dapat ditentukan samada di Jordan atau Turki. Apa yang tidak tersebut di dalam al-Quran, tidak perlu dikaji. Apa yang kita mahukan adalah pengajaran daripada kisah ini untuk menguatkan jati diri dan mendapat rahmat darpada Allah SWT.
Mereka adalah فِتْيَةٌ (pemuda). Mereka beriman kepada Tuhan mereka. Allah SWT sebut perkataan pemuda dua kali memberi semangat kepada Nabi SAW bahawa orang yang mudah menerima dakwah Nabi SAW adalah dalam kalangan orang muda. Di Mekah itu orang-orang yang sudah berumur degil.
Allah SWT angkat orang muda ini kerana mereka memilih iman. Merekalah orang-orang yang diharapkan kerana tenaganya banyak, ada kesungguhan, ada kekuatan.
Mereka ditidurkan lama menunjukkan bahawa hendak mendidik pemuda itu memakan masa yang lama. Mereka kekal dalam iman. Mereka lari/berhijrah untuk menyelamatkan iman mereka. Dengan keimanan mereka, Allah SWT menambah hidayah/ilham.
Ada masanya kita rasa tidak yakin untuk membuat sesuatu keputusan. Teruskan bina iman dan berdoa. Allah SWT akan menambah hidayah untuk mendapat ilham yang hebat.
Bukan mudah untuk istiqomah dalam melakukan sesuatu tanpa bantuan Allah SWT. Kekuatan emosi akan ditambah oleh Allah SWT selepas kita bina iman tahap demi tahap.
Ayat 18: 14
وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا۟ فَقَالُوا۟ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَا۟ مِن دُونِهِۦٓ إِلَٰهًا لَّقَدْ قُلْنَآ إِذًا شَطَطًا
Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
Pengajaran
Pemuda-pemuda itu dikuatkan hati mereka dan berani bangkit mengatakan Tuhan mereka adalah Tuhan seluruh alam.
Mereka yakin yang mereka berada di jalan yang benar.
Ayat 18: 15
هَٰٓؤُلَآءِ قَوْمُنَا ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ ءَالِهَةً لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَٰنٍۭ بَيِّنٍ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا
(Mereka berkata pula sesama sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.
Pengajaran
Mereka menegur dengan perasaan kasih sayang.
Mereka berkata sesama sendiri bahawa kaum mereka tidak mengemukakan keterangan yang jelas tentang tuhan yang mereka sembah.
Tiada yang lebih zalim daripada orang-orang yang berdusta terhadap Allah SWT.
RESOLUSI
Ingat!
Cari ilmu untuk bercakap atau mengambil tindakan (18:5)
Buat penilaian apa yang dibuat atau tidak agar tidak sia-sia amalan (18:7)
Bina iman agar Allah SWT tambah hidayah dan teguhkan hati kita (18:13-14)
Saya berasa lega, Allah SWT akan tambah hidayah dan teguhkan hati saya sekiranya saya bina iman.
Saya jelas untuk cari ilmu untuk bercakap atau mengambil tindakan. Saya jelas untuk buat penilaian apa yang dibuat atau tidak agar tidak sia-sia amalan. Saya jelas saya mesti bina iman agar Allah SWT tambah hidayah dan teguhkan hati saya.
Ya Allah, bimbing kami untuk cari ilmu untuk bercakap atau mengambil tindakan. Ya Allah, pimpin kami untuk buat penilaian apa yang dibuat atau tidak agar tidak sia-sia amalan. Ya Allah, bantu kami bina iman agar Allah SWT tambah hidayah dan teguhkan hati saya.
Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.