Thursday, August 3, 2023

Halaman 297 : Al-Kahf, 28-34

PERKATAAN HARI INI   

عَدَا  / عَدَوَ  Melangkau, melanggar, melampau


106 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Arahan untuk Nabi Muhammad SAW dan kaum mukmin, agar senantiasa membaca al-Quran, bersabar menghadapi kaum fakir miskin dan menunjukkan bukti kebenaran daripada Allah SWT (18:28-31)

  2. Kisah pemilik dua kebun dan perumpamaan bagi orang kaya yang terpedaya oleh hartanya dan orang miskin yang bangga dengan akidahnya (18:32-34)



Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 297 untuk menyambung Surah al-Kahf yang merupakan salah satu daripada surah panduan menghadapi cabaran akhir zaman.


Kita berada dalam waktu yang genting untuk memahami panduan hidayah Allah bagaimana menguruskan keimanan agama kita, harta, ilmu dan kuasa melalui empat kisah yang ada dalam surah al-Kahf. 


Ayat 27 Allah SWT menyeru kepada kita untuk terus tilawah al-Quran kepada ahli kitab dan orang kafir kerana al-Quran mempunyai jawapan kepada semua persoalan yang dikemukakan. Apabila al-Quran dibaca, ia seperti tongkat Nabi Musa AS yang menelan segala kebatilan. 


Al-Quran dapat menjawab persoalan orang-orang intelek. Ikut silibus Quran, nanti kita akan bertemu dengan perkara-perkara yang berkaitan semua bidang dalam kehidupan manusia seperti psikologi, sosiologi, pengurusan, sains dan lain-lain lagi.



Ayat 18: 28


وَٱصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًا


Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.


Pengajaran


  1. Allah SWT menyeru Nabi SAW untuk berdamping dengan orang-orang biasa atau bukan golongan elit yang beribadat kepada Tuhan pada waktu pagi dan petang. Waktu pagi (ٱلْغَدَوٰةِ) adalah waktu mereka mula bisnes. Waktu petang tutup bisnes. Dalam kesibukan bekerja mereka tetap ingat kepada Allah SWT untuk mendapat keredaan-Nya

  2. Allah SWT menyeru Nabi SAW supaya bersabarlah bersama mereka. Mereka hanya orang biasa seperti Bilal b Rabbah dan Salman Al-Farisi. 

  3. Allah SWT memberi peringatan kepada Nabi SAW supaya tidak memandang hina kepada orang miskin. Di akhir zaman juga, kita  jangan pilih-pilih bulu walau di mana pun termasuk di masjid kerana ia akan menjadi fitnah kepada agama. Orang elit atau golongan bawah adalah sama taraf sekiranya mereka taat kepada Allah SWT.

  4. Nabi SAW pernah ditegur di dalam Surah Abasa kerana tidak melayani Abdullah Umi Maktum yang buta dan memerlukan perhatian kerana baginda SAW sibuk dengan orang elit.

  5. Ini adalah cara untuk menjaga agama kita. Kalau bersama golongan elit, akademik, intelek, maka teruskan tilawah al-Quran. Jangan rasa tidak ada hujah. Tengok sahaja apa al-Quran cakap, bacakan. 

  6. Jangan ujudkan kasta-kasta dalam beragama. Ini adalah satu perjuangan Nabi SAW. Awalnya memang Nabi SAW mendapat tentangan daripada golongan vip/elit. Agama ini adalah sama rata kepada semua pengikutnya, tidak mengira pangkat dan lain-lain. 

  7. Jangan beri perhatian kepada orang yang tidak taat kepada Allah SWT.

  8. Jangan melampau sukakan perhiasan di dunia seperti pangkat dan harta. Perkara-perkara tersebut kalau kita mahu, ia perlu diletakkan untuk agama. Bukannya melangkau daripada agama sehingga kita memandang lekeh kepada orang miskin, orang tidak berpangkat dan kita utamakan orang-orang elit.

  9. Cara menjaga agama pada akhirat zaman bukan sekadar kita berzikir sahaja seorang-seorang tetapi kita kena jaga juga hubungan kita dengan orang-orang yang ada dunia, jangan sampai kita tengok dunianya tetapi kita tengok agamanya. 



Ayat 18: 29 


وَقُلِ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ فَمَن شَآءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَآءَ فَلْيَكْفُرْ إِنَّآ أَعْتَدْنَا لِلظَّٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا وَإِن يَسْتَغِيثُوا۟ يُغَاثُوا۟ بِمَآءٍ كَٱلْمُهْلِ يَشْوِى ٱلْوُجُوهَ بِئْسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتْ مُرْتَفَقًا


Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang. 


Pengajaran


  1. Kebenaran datang daripada Tuhan. Siapa yang hendak beriman, silakan. Jika mahu kufur, juga silakan. 

  2. Nabi SAW tidak memberi tawaran, malah memberi amaran bahawa Allah SWT menyediakan balasan bagi orang-orang yang zalim itu neraka yang bergejolak apinya. Di dalam itu, umpama khemah yang tidak beratap. Api turun seperti hujan tembaga yang amat panas dan likat akan kena kepada wajah mereka,  juga masuk ke mulut mereka yang menjadi minuman yang amat buruk. Inilah tempat berehat yang paling teruk. 

  3. Ini adalah peringatan untuk golongan elit/vip yang sombong. Di pejabat, di sekolah dan lain-lain, memang ada VIP. Bila berada bersama masyarakat seperti di masjid, semuanya sama rata di sisi Allah SWT. 

  4. Allah mulakan dengan memberi amaran kepada orang yang mempermainkan kebenaran dan merendahkan-rendahkan orang lain.

  5. Kadang-kadang, ada orang tidak mahu di VIP-kan tetapi orang lain pula yang lebih-lebih melayan. Kita harap ada lebih ramai VIP yang beriman,  yang suka tolong orang bawahan. 

  6. Kita bimbang kalau di dunia dilayan lebih-lebih, di akhirat dapat azab. Janganlah kita tengok orang dari sisi dunianya sahaja, yang lebih penting adalah agamanya.



Ayat 18: 30


إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا


Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.


Pengajaran


  1. Inilah tawaran yang sama rata dari  Allah SWT kepada kita semua. Pandai atau tidak pandai, ada pangkat atau tidak, asalkan beriman dan beramal soleh, maka Allah SWT tidak akan sia-siakan.

  2. Ganjaran untuk orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah ditetapkan oleh Allah SWT. 

  3. Allah SWT tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.



Ayat 18: 31


أُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمْ جَنَّٰتُ عَدْنٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهِمُ ٱلْأَنْهَٰرُ يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَيَلْبَسُونَ ثِيَابًا خُضْرًا مِّن سُندُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ مُّتَّكِـِٔينَ فِيهَا عَلَى ٱلْأَرَآئِكِ نِعْمَ ٱلثَّوَابُ وَحَسُنَتْ مُرْتَفَقًا


Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.


Pengajaran


  1. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh mendapat rahmat Allah SWT. Mereka jaga akhlak, tidak sombong atau membuat orang lain sombong. Disediakan untuk mereka syurga, ada sungai-sungai yang mengalir di bawahnya. 

  2. Mereka dihiaskan dengan gelang-gelang emas bagi lelaki juga perempuan. Pakaian ahli syurga ialah warna hijau, daripada sutera halus dan sutera tebal. Perkataan سُندُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ adalah istilah Parsi kerana dalam surah al-Kahf ini ada cerita Zulkarnian yang amat didambakan oleh orang Yahudi.

  3. Mereka duduk berehat di pelamin-pelamin indah. Ahli syurga, duduk memandang ke atas, dengan gembira melihat keindahan. Mereka tidak perlu bekerja kerana sudah bekerja kuat di dunia. Inilah tempat berehat yang sebaik-baiknya.



Ayat 18: 32


وَٱضْرِبْ لَهُم مَّثَلًا رَّجُلَيْنِ جَعَلْنَا لِأَحَدِهِمَا جَنَّتَيْنِ مِنْ أَعْنَٰبٍ وَحَفَفْنَٰهُمَا بِنَخْلٍ وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمَا زَرْعًا


Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.



Ayat 18: 33


كِلْتَا ٱلْجَنَّتَيْنِ ءَاتَتْ أُكُلَهَا وَلَمْ تَظْلِم مِّنْهُ شَيْـًٔا وَفَجَّرْنَا خِلَٰلَهُمَا نَهَرًا


Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai. 


Pengajaran Ayat 32-33


  1. Ini adalah contoh kisah antara dua darjat. Allah SWT membawakan kisah dua lelaki yang ada kebun. 

  2. Salah seorang daripada lelaki itu ada dua kebun anggur yang di kelilingi oleh pohon-pohon  tamar. Di antara keduanya Allah SWT jadikan jenis-jenis tanaman yang lain.

  3. Kedua-dua kebun lelaki itu mengeluarkan hasil yang banyak. Ada saliran air di tengah-tengahnya.

  4. Ini adalah satu aset yang amat berharga. Dia ada kekayaan. 



Ayat 18: 34


وَكَانَ لَهُۥ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَٰحِبِهِۦ وَهُوَ يُحَاوِرُهُۥٓ أَنَا۠ أَكْثَرُ مِنكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا


Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai".


Pengajaran


  1. Tuan kebun itu berborak dengan seorang lelaki lain dan dia merasa dirinya ada lebih banyak harta dan lebih ramai pengikut. Dia sombong dan memandang rendah kepada orang lain.

  2. Allah SWT menemplak orang-orang yang tidak dapat menguruskan hartanya dengan jalan agama. Walaupun dia baca Quran, tetapi cara bercakapnya itu menunjuk-nunjuk.

  3. Cara menguruskan harta:

    1. jangan sombong

    2. jangan sampai kita merasakan kita ada lebih banyak pada orang lain sehingga memandang rendah kepada orang yang kurang daripada kita.



RESOLUSI


Ingat!


  1. Bersabar bersama rakan yang berdoa dan menyeru kepada Allah SWT setiap masa (18:28)

  2. Bina keimanan dengan mendekati kebenaran dalam majlis ilmu (18:29)

  3. Yakin ganjaran daripada Allah SWT dan bersungguh-sungguh melaksanakan amal soleh walau kecil (18:30)


Saya berasa lega, Allah SWT akan berikan ganjaran yang baik kalau saya bersungguh-sungguh melaksanakan amal soleh walaupun kecil.


Saya jelas untuk bersabar bersama rakan yang berdoa dan menyeru kepada Allah SWT setiap masa. Saya jelas saya mesti bina keimanan dengan mendekati kebenaran dalam majlis ilmu. Saya jelas untuk yakin ganjaran daripada Allah SWT dan bersungguh-sungguh melaksanakan amal soleh walau kecil.


Ya Allah, jadikan kami orang yang bersabar bersama rakan yang berdoa dan menyeru kepada Allah SWT setiap masa. Ya Allah, pimpin kami untuk bina keimanan dengan mendekati kebenaran dalam majlis ilmu. Ya Allah, bantu kami untuk bersungguh-sungguh melaksanakan amal soleh walau kecil dan kurniakan kami ganjaran yang baik di dunia dan di akhirat. 


Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama. 


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...