PERKATAAN HARI INI
بَادَ / بَيَدَ Binasa, hancur, rosak
1 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Kisah pemuda yang ada 2 kebun bersama sahabatnya yang beriman (18:35-44)
Perumpamaan kehidupan di dunia (18:45)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 298. Hari Malaysia adalah lambang kesatuan dan semoga kita pelihara kesatuan ini dengan kembali kepada Allah SWT dan semoga Allah SWT terus pelihara bumi, negara ini. Semoga kita diberkati hingga sampai ke syurga.
Ayat 18: 35
وَدَخَلَ جَنَّتَهُۥ وَهُوَ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِۦ قَالَ مَآ أَظُنُّ أَن تَبِيدَ هَٰذِهِۦٓ أَبَدًا
Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.
Pengajaran
Pemuda yang mempunyai dua kebun hanya menzalimi dirinya sendiri kerana percakapannya yang sombong dan merendah-rendahkan orang lain.
Dia merasakan semua hartanya akan kekal selama-lamanya. Ini lah mindset materialism yang hendak kita rungkaikan daripada pemikiran kita. Kalau kita ada duit berbilion-bilion ianya bukan tanda Allah SWT memuliakan kita. Kalau kita kurang duit, kurang harta tidak bermakna Allah SWT hina kita.
Ayat 18: 36
وَمَآ أَظُنُّ ٱلسَّاعَةَ قَآئِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُّ إِلَىٰ رَبِّى لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِّنْهَا مُنقَلَبًا
Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.
Pengajaran
Pemilik dua kebun ini, menurut perbincangan ulamak adalah orang Islam tetapi dia mempunyai konsep hari akhirat yang salah. Dia merasakan kelebihannya adalah dari usahanya sendiri dan Allah akan berikan yang lebih baik di akhirat.
Apa yang ada di dunia ini, kaya miskin tidak ada kaitan dengan apa yang ada di sana kelak. Dunia ini adalah ujian untuk kita sama-sama uruskan dengan cara pandang yang benar berdasarkan surah al-Kahf ini.
Ayat 18: 37
قَالَ لَهُۥ صَاحِبُهُۥ وَهُوَ يُحَاوِرُهُۥٓ أَكَفَرْتَ بِٱلَّذِى خَلَقَكَ مِن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ سَوَّىٰكَ رَجُلًا
berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: "Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?
Pengajaran
Kawannya mengingatkan pekebun hakikat diri yang sebenarnya.
Dia diingatkan supaya jangan kufur kepada Allah SWT yang menciptakannya yang menjadikannya seorang lelaki yang sempurna.
Ayat 18: 38
لَّٰكِنَّا۠ هُوَ ٱللَّهُ رَبِّى وَلَآ أُشْرِكُ بِرَبِّىٓ أَحَدًا
Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.
Pengajaran
Kawannya menyatakan yang dia tidak akan mensyirikkan Allah SWT dengan sesuatu pun.
Lelaki pemilik dua kebun itu tidak menyembah berhala tetapi dia meletakkan harta dan pengikutnya sebagai sumber kemuliaan. Itu adalah syirik kepada Allah SWT.
Hendaklah kita berhati-hati semasa berborak kerana ia boleh menimbulkan syirik kepada Allah kalau ada 4 unsur kezaliman seperti yang dinyatakan oleh Imam Juzair:
Kufur
Bangga diri
Sombong
Merendahkan orang lain
Ayat 18: 39
وَلَوْلَآ إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ إِن تَرَنِ أَنَا۠ أَقَلَّ مِنكَ مَالًا وَوَلَدًا
Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu,
Pengajaran
Perkataan Masya Allah, Insya Allah amat penting di akhir zaman ini untuk kita mengingatkan diri bahawa Allah SWT yang berkuasa.
Kalau kita bertemu sesuatu yang hebat, perkara yang baik atau tidak, ucapkan مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ . Contoh: Kalau kita lihat anak comel, janganlah kita kata 'wow', katakan مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ agar tidak kena penyakit ain kepada anak tersebut.
Kalau bisnes seseorang berjaya, bukan orang itu yang hebat tetapi Allah SWT yang menyusun segala-galanya.
Penceramah-penceramah bisnes, saham hendaklah ajarkan mindset ini supaya tidak memasukkan pemikiran materialism kepada peserta sehingga kagum keterlaluan kepada sifu-sifu yang menampakkan harta benda kekayaan mereka. Untung atau rugi semuanya dengan izin daripada Allah SWT.
Kalau ada kekurangan atau kelebihan, jangan kagum kepada diri sendiri atau kagum kepada orang lain, kagumlah kepada Allah SWT.
Ayat 18: 40
فَعَسَىٰ رَبِّىٓ أَن يُؤْتِيَنِ خَيْرًا مِّن جَنَّتِكَ وَيُرْسِلَ عَلَيْهَا حُسْبَانًا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ فَتُصْبِحَ صَعِيدًا زَلَقًا
Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.
Ayat 18: 41
أَوْ يُصْبِحَ مَآؤُهَا غَوْرًا فَلَن تَسْتَطِيعَ لَهُۥ طَلَبًا
Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi".
Pengajaran Ayat 40-41
Pemuda yang beriman itu berbangga dengan keimanannya. Itu lebih tinggi berbanding dengan harta, anak dan lain-lain.
Janganlah bangga sangat memberitahu orang anak belajar ke UK, US kerana dikhuatiri melambangkan kesombongan. Jangan kita biasakan dengan borak-borak begitu.
Pemuda beriman mengingatkan pekebun yang sombong yang lupa diri bahawa dia bimbang Allah akan menimpakan bala bencana yang akan memusnahkan kebunnya.
Pemuda itu mengingatkan lagi yang jika air di kebun kering ditelan bumi, tidak akan dapat pekebun mencarinya lagi.
Di akhir zaman ini kalau kita ingatkan kawan kita yang sombong atau yang lupa diri, itu amat kritikal khuatir dia terjerumus dalam lembah kebinasaan.
Dunia ini akan hancur bila-bila. Yang kekal hanyalah amal soleh kita. Tukarlah mindset kepada wawasan hari akhirat dengan membanyakkan amal soleh.
Berborak-borak ini penting tetapi kita kena jaga-jaga jangan sampai mengeluarkan perkataan yang menzalimi diri sendiri.
Kalau kita ada bisnes yang berjaya, anak yang ramai/berjaya, ilmu yang tinggi, hendaklah kita ucapkan مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ ( Semuanya apa yang dikehendaki Allah, tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah).
Anak yang comel, yang baik, bisnes yang berjaya; tidak semestinya kekal begitu selamanya. Waktu pandemik ini, Allah SWT telah tunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT boleh ratakan macam-macam perkara yang ada di dalam bumi ini kerana ini adalah peluang untuk kita kembali.
Ayat 18: 42
وَأُحِيطَ بِثَمَرِهِۦ فَأَصْبَحَ يُقَلِّبُ كَفَّيْهِ عَلَىٰ مَآ أَنفَقَ فِيهَا وَهِىَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَيَقُولُ يَٰلَيْتَنِى لَمْ أُشْرِكْ بِرَبِّىٓ أَحَدًا
Dan segala tanaman serta harta bendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!"
Pengajaran
Harta kekayaan pekebun itu dibinasakan. Dia rasa terkejut bagai bermimpi yang hartanya boleh binasa sekelip mata. Dia menyesal. Inilah badai yang melanda pekebun ini.
Sekarang kita lihat syarikat-syarikat besar runtuh dengan keadaan pandemik yang melanda. Segala pelaburan yang membuat seseorang sombong, akhirnya habis seperti pemuda yang punya dua kebun itu.
Pekebun itu akhirnya bertaubat dan diterima oleh Allah SWT. Rupa-rupanya dalam keadaan kita menghadapi pendemik COVID-19 ini, bila Allah SWT menarik balik banyak nikmat yang telah kita dapati, Allah SWT hendak kita bertaubat.
Menurut Imam As-Syaadi, hukuman yang dikenakan kepada pekebun itu adalah satu kebaikan. Dia disedarkan bahawa nikmat itu semuanya daripada Tuhan.
Jika kita terkesan dengan pandemik ini, surah al-Kahf ini menyebabkan kita makin bertaubat setiap hari apabila kita membaca surah ini saban minggu.
Ayat 18: 43
وَلَمْ تَكُن لَّهُۥ فِئَةٌ يَنصُرُونَهُۥ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَمَا كَانَ مُنتَصِرًا
Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan ia pula tidak dapat membela dirinya sendiri.
Pengajaran
Tidak ada siapa yang boleh menolong selain Allah SWT.
Dia juga tidak dapat membela dirinya sendiri.
Ayat 18: 44
هُنَالِكَ ٱلْوَلَٰيَةُ لِلَّهِ ٱلْحَقِّ هُوَ خَيْرٌ ثَوَابًا وَخَيْرٌ عُقْبًا
Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).
Pengajaran
Bila kita dapat sesuatu, jangan rasakan ia atas usaha kita. Kerana ia akan menyebabkan kita akan terkena virus materiaism. Iaitu melihat sesuatu dalam bentuk fizikal bukan dalam bentuk hakikat sebenarnya bahawa semuanya datang daripada Allah SWT.
Kalau kita ambil vaksin, ia satu usaha sahaja. Tetap ucapkan مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ. Serah kepada Allah SWT yang berkuasa di atas segalanya.
Allah SWT sebaik-baik pemberi pahala terbaik dan pemberi kesudahan terbaik kepada hamba-hambanya yang taat (خَيْرٌ ثَوَابًا وَخَيْرٌ عُقْبًا).
Ayat 18: 45
وَٱضْرِبْ لَهُم مَّثَلَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا كَمَآءٍ أَنزَلْنَٰهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ فَٱخْتَلَطَ بِهِۦ نَبَاتُ ٱلْأَرْضِ فَأَصْبَحَ هَشِيمًا تَذْرُوهُ ٱلرِّيَٰحُ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ مُّقْتَدِرًا
Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Pengajaran
Inilah hakikat kehidupan dunia. Kehidupan dunia ini seperti air yang menyerap ke dalam bumi. Hakikatnya, dunia akan masuk ke dalam hati manusia dan menganggu-gugat hati kecuali ada penebat iman.
Dapat ilmu, harta, kuasa hendaklah cepat dikeluarkan untuk beri manfaat kepada orang lain. Jangan sampai kita dapat air, menyerap ke dalam diri, tidak dialirkan keluar, kesannya akan membusuk dan akhirnya akan hancur juga. Akhirnya jadi debu yang berterbangan.
Jaga-jaga dengan dunia ini kerana ia boleh masuk ke dalam hati, samada kita menjadi lebih manfaat atau lebih membawa mudarat kepada diri kita.
RESOLUSI
Ingat!
Elakkan sombong dan terlampau yakin (overconfidence) (18:35)
Sentiasa sedar hakikat diri yang lemah dalam menguruskan kejayaan (18:37-38)
Berhati-hati dengan banyaknya harta apabila ia menggelincirkan iman (18:39)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya manfaatkan harta dan ilmu kepada orang lain agar tidak mudaratkan diri saya.
Saya jelas untuk elakkan sombong dan terlampau yakin (overconfidence). Saya jelas saya mesti sentiasa sedar hakikat diri yang lemah dalam menguruskan kejayaan. Saya sedar saya mesti berhati-hati dengan banyaknya harta apabila ia menggelincirkan iman.
Ya Allah, elakkan kami daripada menjadi sombong dan terlampau yakin (overconfidence). Ya Allah bimbing kami untuk sentiasa sedar hakikat diri yang lemah dalam menguruskan kejayaan. Ya Allah, pimpin kami supaya berhati-hati dengan banyaknya harta apabila ia menggelincirkan iman.
Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.