PERKATAAN HARI INI
أَمَلَ Mengharapkan, angan-angan, cita-cita
2 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Realiti dunia dan apa yang kekal (18:46)
Dijalankannya gunung, dikumpulkannya manusia di Padang Mahsyar dan ditunjukkannya buku amal perubatan manusia di Hari Kiamat (18:47-49)
Kisah sujud kepada Nabi Adam (18:50-53)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 299, surah al-Kahfi. Al-Quran membetulkan cara kita berfikir dan berperasaan. Kita akan lihat komentar Allah SWT tentang kisah dua kebun yang hancur sebab kesombongan pemilik kebun itu.
Semoga kita tidak tersilap alamat untuk balik kampung suatu hari nanti, merentas dunia menuju ke akhirat Allah SWT.
Kisah pertama ialah mengenai pemuda al-Kahf tentang pengurusan iman/agama. Salah satu daripada perhiasan di atas muka bumi ini adalah kehidupan beragama dan kita perlu menyelamatkan iman dengan agama. Kita akan selalu tilawah al-Quran, maka kita akan bersabar bersama dengan rakan-rakan yang kaya, miskin, ada pangkat atau tidak ada pangkat, kerana iman itu yang lebih utama.
Apabila kita jelas agama atau iman itu menjadi neraca penting, kisah kedua pula bercerita tentang cabaran bila ada harta.
Ayat 18: 46
ٱلْمَالُ وَٱلْبَنُونَ زِينَةُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَٱلْبَٰقِيَٰتُ ٱلصَّٰلِحَٰتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.
Pengajaran
Harta dan anak pinak adalah perhiasan hidup di dunia. Jika tidak ada, kita rasa tidak lengkap. Semuanya tidak kekal. Jangan tertipu dengan materialism iaitu ideologi tentang dunia.
Dunia adalah sesuatu yang rendah. Allah SWT tidak memandang dunia. Ada anak, tidak ada anak, ada harta tidak ada harta, bukan lambang kemuliaan di sisi Allah. Itu adalah kurniaan daripada Allah.
Yang kekal adalah amal soleh. Itu lebih baik di sisi Allah SWT dan itu adalah harapan untuk kita beri perhatian. Kita boleh berangan-angan, boleh merancang bagaimana hendak membanyakkan amal soleh.
Kalau ada harta, rancang bagaimana hendak tukar harta itu jadi amal soleh, untuk sedekah banyak-banyak sebagai legasi yang akan kita dapat ganjarannya di sisi Allah, bukan hanya di dunia tetapi di akhirat juga. Pelaburan akhirat adalah amat untung.
Janganlah kita banyak angan-angan di dunia ini. Kita bukan sekadar mahu syurga tetapi perlu disusuli dengan amalan-amalan (وَخَيْرٌ أَمَلًا). Kita tidak mahu mengikut skrip orang yang berdosa. Jom kita merancang agar dapat untung yang banyak di akhirat.
ٱلْبَنُونَ tidak semestinya anak-anak tetapi termasuk pekerja dan follower. Tidak penting jumlah staf, sedikit atau ramai kerana ada orang yang bangga ada staf ramai. Yang lebih penting ialah amalan soleh sebagai staf atau bos. Semua itu akan dicatat. Tidak kira orang miskin, hulu atau hilir, semua akan dipersoal di akhirat nanti.
Ayat 18: 47
وَيَوْمَ نُسَيِّرُ ٱلْجِبَالَ وَتَرَى ٱلْأَرْضَ بَارِزَةً وَحَشَرْنَٰهُمْ فَلَمْ نُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَدًا
Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.
Pengajaran
Ini adalah transisi ke akhirat. Surah ini membanteras kepada kefahaman keduniaan/materialism. Mereka tidak percaya kepada hari akhirat. Kalau percaya kepada hari akhirat pun mereka rasa akan tetap jadi VIP di sisi Allah SWT tanpa beramal soleh. Mereka sombong, mengumpul lagi harta dan merasakan Allah sayang kepada mereka. Yang sebenarnya itu tidak benar.
Orang yang banyak harta, banyak anak tidak ada kaitan langsung dengan kemuliaannya di akhirat nanti.
Pada hari akhirat nanti, gunung-ganang akan diterbangkan, bumi akan diratakan dan semua orang berkumpul di Mahsyar. Semua manusia akan dihalau ke situ. Tidak ada yang terlepas.
Ayat 18: 48
وَعُرِضُوا۟ عَلَىٰ رَبِّكَ صَفًّا لَّقَدْ جِئْتُمُونَا كَمَا خَلَقْنَٰكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍۭ بَلْ زَعَمْتُمْ أَلَّن نَّجْعَلَ لَكُم مَّوْعِدًا
Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): "Kamu sekarang telah datang kepada Kami - (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan)".
Pengajaran
Semua akan dikembalikan bersaf-saf bersama pemimpin masing-masing. Jika di dunia ini kita bersama pemimpin yang membawa kepada takwa, yang mengikut al-Quran, kita juga akan berada di dalam saf begitu. Begitu juga jika kita mengikut pemimpin yang tidak membaca, mengikut Quran, maka kita akan berada di dalam saf itu.
Kita dikumpulkan seperti waktu kita diciptakan, tanpa pakaian, harta, pangkat, anak. Kita akan ditanya apa yang kita buat di dunia.
Allah SWT sayang kita. Dia memberitahu kita awal-awal apa yang akan berlaku supaya kita bersedia dan terjauh daripada rugi kerana pada waktu itu kitab amal kita akan dibentangkan.
Kalau kita banyak kira-kira tentang saham pagi petang siang malam, hendak kaya hendak pangkat, khuatir kita lupa untuk kira apa bekalan kita ke akhirat. Hendaklah kita banyak kira-kira berapa amal soleh yang kita buat supaya tidak rugi di akhirat.
Ayat 18: 49
وَوُضِعَ ٱلْكِتَٰبُ فَتَرَى ٱلْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَٰوَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا ٱلْكِتَٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحْصَىٰهَا وَوَجَدُوا۟ مَا عَمِلُوا۟ حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.
Pengajaran
Ini adalah satu hentakkan daripada Allah SWT. Dihempaskan kitab catatan kepada orang-orang yang berdosa (ٱلْمُجْرِمِينَ). Mereka berkeluh kesah ketakutan di akhirat kerana di dunia ini mereka tidak berasa takut, mereka buat kacau dan buat bising. Di dunia, mereka langsung tidak bimbang dengan apa yang mereka buat.
Di dalam kitab itu, semua ada tertulis. Mereka menipu, buat bising, kacau orang, semuanya ada. Mereka rasa amat takut kerana semuanya terbongkar. Di dunia ini, dengan pengaruh yang ada, mereka boleh batalkan atau sembunyikan kes. Di sana, tidak boleh terlepas, walau sedikit. "What you did last dunia", semuanya muncul.
Manusia mencatat, malaikat juga mencatat. Mudah-mudahan kita akan mendapat buku amalan dari tangan kanan.
Ayat 18: 50
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِءَادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ ٱلْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِۦٓ أَفَتَتَّخِذُونَهُۥ وَذُرِّيَّتَهُۥٓ أَوْلِيَآءَ مِن دُونِى وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّۢ بِئْسَ لِلظَّٰلِمِينَ بَدَلًا
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.
Pengajaran
Ayat-ayat berikut mengingatkan tentang sejarah kita, tentang Nabi Adam dan iblis.
Surah al-Isra' banyak tentang orang Yahudi. Surah al-Kahf, banyak berhujjah tentang orang Kristian. Orang Kristian berkata iblis adalah dari kalangan malaikat, Lucifer. Dalam Islam, iblis adalah daripada kumpulan jin, bukan malaikat. Dalam Kristian, asal percaya kepada Jesus, boleh buat apa sahaja. Ini tidak dibenarkan oleh Allah SWT.
Iblis cuba ganggu kehidupan kita sehingga menyebabkan kita suka mengganggu perkara-perkara kebaikan. Orang-orang yang derhaka kepada Allah SWT suka menjadikan iblis sebagai pemimpin atau sahabat karib. Ini adalah penghujjahan kepada orang yang mengambil selain Allah SWT sebagai pelindung.
Ayat 18: 51
مَّآ أَشْهَدتُّهُمْ خَلْقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَلَا خَلْقَ أَنفُسِهِمْ وَمَا كُنتُ مُتَّخِذَ ٱلْمُضِلِّينَ عَضُدًا
Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.
Pengajaran
Iblis bukan saksi. Mereka tidak terlibat dengan penciptaan langit dan bumi atau penciptaan diri mereka sendiri. Allah SWT ciptakan semua makhluk tanpa perlu bantuan sesiapa. Tidak perlu sebarang makhluk dijadikan sebagai sumber syirik kepada Allah SWT.
Allah SWT mengingatkan kita supaya tidak sepatutnya kagum kepada orang yang berbuat baik, sehingga diidolakan dia dan ada yang diukir patungnya sebagai sumber syirik.
Jangan terjebak dengan materialism dalam beragama.
Ayat 18: 52
وَيَوْمَ يَقُولُ نَادُوا۟ شُرَكَآءِىَ ٱلَّذِينَ زَعَمْتُمْ فَدَعَوْهُمْ فَلَمْ يَسْتَجِيبُوا۟ لَهُمْ وَجَعَلْنَا بَيْنَهُم مَّوْبِقًا
Dan (ingatkanlah) masa Allah berfirman: "Panggilah sekutu-sekutuKu yang kamu katakan itu (untuk menolong kamu); lalu mereka memanggilnya, tetapi sia-sia sahaja, kerana makhluk-makhluk itu tidak menyahut seruan mereka: dan kami jadikan untuk mereka bersama sebuah tempat azab yang membinasakan.
Pengajaran
Ini adalah panduan beragama, jangan sampai kita mendewa-dewakan sesama makhluk.
Di akhirat nanti, Allah SWT menyuruh mereka memanggil makhluk-makhluk yang dipuja dahulu. Makhluk-makhluk itu tidak akan dapat jawab walaupun sedikit.
Janganlah kita mengaitkan amalan agama dengan orang. Segala amalan mestilah berpandukan kebenaran daripada al-Quran dan sunnah Nabi SAW.
Ayat 18: 53
وَرَءَا ٱلْمُجْرِمُونَ ٱلنَّارَ فَظَنُّوٓا۟ أَنَّهُم مُّوَاقِعُوهَا وَلَمْ يَجِدُوا۟ عَنْهَا مَصْرِفًا
Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan untuk mengelakkan diri daripadanya.
Pengajaran
Ini adalah keadaan orang-orang yang berdosa. Apabila melihat neraka, maka yakinlah mereka bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya. Mereka tidak boleh lagi mengelak daripada neraka.
Di dunia mereka sudahpun menggunakan semua jalan keluar dengan kreativiti mereka untuk menidakkan kepada Allah SWT. Mereka rasa boleh buat macam-macam kerana tidak terkesan dengan al-Quran. Di akhirat nanti, tidak ada lagi peluang untuk mengelak hukuman daripada Allah SWT.
Gunakan kreativiti kita untuk berbuat amal soleh, bukannya untuk kreatif menjauhkan diri daripada Allah SWT.
RESOLUSI
Ingat!
Rancang dan jadikan harta dan anak sebagai pelaburan ke akhirat (18:46)
Buat persediaan untuk ke akhirat sana (18:48)
Selalu berwaspada pada musuh yang ingin memerangkap manusia iaitu iblis (18:50)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya saya rancang dan jadikan harta dan anak sebagai pelaburan ke akhirat.
Saya jelas untuk rancang dan jadikan harta dan anak sebagai pelaburan ke akhirat. Saya jelas saya mesti buat persediaan untuk ke akhirat sana. Saya jelas untuk selalu berwaspada pada musuh yang ingin memerangkap manusia iaitu iblis.
Ya Allah, bimbing kami untuk rancang dan jadikan harta dan anak sebagai pelaburan ke akhirat. Ya Allah, pimpin kami untuk buat persediaan ke akhirat sana. Ya Allah, lindungi kami untuk selalu berwaspada pada musuh yang ingin memerangkap manusia iaitu iblis.
Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.