Friday, August 4, 2023

Halaman 306 : Maryam, 12-25

PERKATAAN HARI INI  

حَنَّ / حَنَنَ  Sayang, rindu.

1 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   


  1. Nabi Yahya AS diangkat menjadi nabi dan diberi hikmah ketika masih kecil (19:12-15)

  2. Kisah Maryam mengandungkan Nabi Isa AS (19:16-22)

  3. Kelahiran Nabi Isa dan peristiwa yang menyertainya (19:23-25)




Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat menyambung pembelajaran pada halaman 306 Surah Maryam untuk kita sama-sama memaknai hidayah daripada Allah SWT. Dalam surah Maryam ini kita akan lihat kepentingan hubungan kasih sayang antara anak dan kedua orang tua. 



Ayat 19: 12


يَٰيَحْيَىٰ خُذِ ٱلْكِتَٰبَ بِقُوَّةٍ وَءَاتَيْنَٰهُ ٱلْحُكْمَ صَبِيًّا


"Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya Hikmat kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak.


Pengajaran


  1. Nabi Zakaria AS dikurniakan anak yang diberi nama Yahya AS (John dalam agama Kristian). Allah SWT menyeru kepada Nabi Yahya AS supaya berpegang kepada kitab dengan sepenuh kekuatan.

  2. Bila seseorang diberi anak, sebenarnya Allah SWT sedang memberi extention kepadanya untuk menjaga agama. Inilah point yang paling penting untuk kita sedar. Ini adalah seruan kepada ibu ayah untuk menjaga anak. Kalau ibu ayahnya soleh, Allah SWT akan jaga anaknya juga. Jaga amal kita dan teruskan mengajak anak buat yang terbaik.

  3. Nabi Yahya AS diberikan hikmah kenabian sewaktu dia masih kecil (صَبِيًّا). Walaupun kanak-kanak tetapi dia boleh membuat keputusan.

  4. Kepandaian membuat keputusan (decision making) adalah satu anugerah daripada Allah SWT kepada Nabi Yahya AS. Kalau anak kita yang kecil kelihatan matang, itu adalah satu anugerah daripada Allah SWT. 

  5. Satu cara untuk mendapatkan anak kecil yang matang ialah dengan doa. Ibu ayah banyakkan berdoa pada waktu malam, insya Allah anak kecil akan jadi matang.



Ayat 19: 13


وَحَنَانًا مِّن لَّدُنَّا وَزَكَوٰةً وَكَانَ تَقِيًّا


dan (Kami mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami, serta kelebihan yang kembang manfaatnya; dan ia seorang yang bertaqwa.


Pengajaran


  1. Nabi Yahya AS adalah tokoh yang menjadi orang kanan kepada Nabi Isa AS. Baginda mempunyai sifat-sifat yang baik:

    1. bertakwa

    2. suci daripada perkara-perkara dosa

    3. mempunyai sifat kasih sayang

  2. Nabi Yahya AS berjuang kerana ada sifat-sifat ini.  Baginda adalah seorang pengikut yang yang tidak taksub kepada gurunya. 



Ayat 19: 14


وَبَرًّۢا بِوَٰلِدَيْهِ وَلَمْ يَكُن جَبَّارًا عَصِيًّا


Dan ia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya, dan ia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.


Pengajaran


  1. Nabi Yahya AS berbakti kepada ibu bapanya. Tidak sombong, tidak derhaka kepada ibu ayah dan kepada Allah SWT. 

  2. Berbuat baik kepada ibu ayah adalah sifat yang diangkat dalam surah Maryam. Nabi Isa  AS juga berbuat baik kepada ibunya. 

  3. Jangan kita ada rasa sombong atau derhaka kepada ibu ayah untuk selamat dunia akhirat. 



Ayat 19: 15


وَسَلَٰمٌ عَلَيْهِ يَوْمَ وُلِدَ وَيَوْمَ يَمُوتُ وَيَوْمَ يُبْعَثُ حَيًّا


Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari ia diperanakkan, dan pada hari ia mati, serta pada hari ia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).


Pengajaran


  1. Nabi Yahya AS diberikan tiga kesejahteraan:

    1. Kesejahteraan pada hari lahirnya.

    2. Sejahtera pada hari kematiannya. Mengikut sejarah, kepalanya dipotong dan dihidang kerana berpegang kepada Taurat.

    3. Pada hari kebangkitan nanti juga baginda akan sejahtera kerana berpegang kepada Taurat dan berpegang kepada kebaikan dan bertakwa kepada Allah SWT.

  2. Kalau kita berbuat baik kepada ibu ayah, Allah SWT akan memberikan keselamatan dan kesejahteraan dalam kehidupan kita.



Ayat 19: 16


وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَٰبِ مَرْيَمَ إِذِ ٱنتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا مَكَانًا شَرْقِيًّا


Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.


Pengajaran


  1. Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad SAW membacakan kisah Maryam di dalam al-Quran. Raja Najasyi menangis bila dibacakan kisah Maryam kepadanya. 

  2. Maryam adalah istimewa bagi orang Islam kerana dia adalah lambang seorang wanita solehah. Dia merasa dirinya tidak ada apa-apa dan mengasingkan diri di sebuah tempat di sebelah timur kawasan Baitul Maqdis.

 


Ayat 19: 17


فَٱتَّخَذَتْ مِن دُونِهِمْ حِجَابًا فَأَرْسَلْنَآ إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا


Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.


Pengajaran


  1. Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya. 

  2. Kemudian Allah SWT hantarkan kepadanya malaikat Jibril yang menjelma sebagai lelaki yang sempurna.



Ayat 19: 18


قَالَتْ إِنِّىٓ أَعُوذُ بِٱلرَّحْمَٰنِ مِنكَ إِن كُنتَ تَقِيًّا


Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.


Pengajaran


  1. Maryam berkata beliau berlindung kepada Allah ar-Rahman daripada gangguan lelaki itu. 



Ayat 19: 19


قَالَ إِنَّمَآ أَنَا۠ رَسُولُ رَبِّكِ لِأَهَبَ لَكِ غُلَٰمًا زَكِيًّا


Ia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci".


Pengajaran


  1. Malaikat Jibril memberitahu Maryam dia adalah pesuruh Tuhan dan Maryam akan dikurniakan seorang anak yang suci.



Ayat 19: 20


قَالَتْ أَنَّىٰ يَكُونُ لِى غُلَٰمٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِى بَشَرٌ وَلَمْ أَكُ بَغِيًّا


Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?"


Pengajaran


  1. Maryam bertanya bagaimana mungkin beliau mendapat anak lelaki sedangkan dia tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki dan dia pula bukan perempuan jahat (بَغِيًّا).



Ayat 19: 21


قَالَ كَذَٰلِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَىَّ هَيِّنٌ وَلِنَجْعَلَهُۥٓ ءَايَةً لِّلنَّاسِ وَرَحْمَةً مِّنَّا وَكَانَ أَمْرًا مَّقْضِيًّا


Ia menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.


Pengajaran


  1. Malaikat Jibril memberitahu Maryam bahawa dia tidak perlu hairan kerana semuanya mudah bagi Allah SWT. 

  2. Ini adalah bukti yang Allah SWT amat berkuasa. Allah SWT boleh mencipta manusia tanpa ibu bapa iaitu Nabi Adam AS, anak yang lahir daripada ibu bapa yang sudah tua iaitu Nabi Yahya AS dan anak yang lahir tanpa bapa iaitu Nabi Isa AS.



Ayat 19: 22


فَحَمَلَتْهُ فَٱنتَبَذَتْ بِهِۦ مَكَانًا قَصِيًّا


Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.


Pengajaran


  1. Maryam mengandung dan dia mengasingkan diri ke sebuah tempat yang jauh. 

  2. Dia merasa dirinya tidak berharga.



Ayat 19: 23


فَأَجَآءَهَا ٱلْمَخَاضُ إِلَىٰ جِذْعِ ٱلنَّخْلَةِ قَالَتْ يَٰلَيْتَنِى مِتُّ قَبْلَ هَٰذَا وَكُنتُ نَسْيًا مَّنسِيًّا


(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!


Pengajaran


  1. Maryam mengatakan alangkah baiknya jika dia mati sahaja. Perbincangan ulama tentang perkara ini, Maryam bukan hendak membunuh diri. Tetapi kata-kata itu lahir daripada rasa kerendahan hati dan dia bertanggung jawab. Dia hanya mengadu kepada Allah SWT. 

  2. Dia mengharapkan kisahnya dilupakan sahaja. Yang menariknya, namanya diabadikan dalam al-Quran. 



Ayat 19: 24


فَنَادَىٰهَا مِن تَحْتِهَآ أَلَّا تَحْزَنِى قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّا


Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:"Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai."


Pengajaran


  1. Malaikat Jibril menyeru daripada jauh kepada Maryam supaya jangan bersedih. Allah SWT telah menjadikan di bawahnya sebatang anak sungai.

  2. Bila kita berada dalam kepayahan, mengadulah kepada Tuhan. Tuhan akan bagi bantuan yang kita tidak sangka. Kita ada Tuhan yang sentiasa mendengar ketika kita menyeru dengan suara yang lembut.

  3. Inilah terapi pengurusan mental yang perlu dikaitkan dengan solusi daripada al-Quran. Dalam keadaan stres, hendaklah kita bercakap kepada Allah SWT. 



Ayat 19: 25


وَهُزِّىٓ إِلَيْكِ بِجِذْعِ ٱلنَّخْلَةِ تُسَٰقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا


Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.


Pengajaran


  1. Malaikat Jibril menyuruhnya menggegarkan pohon tamar supaya buah tamar yang masak gugur. 

  2. Bagi seorang wanita yang sedang bersalin, kesakitannya itu membawa kepada kekuatan tenaga. Menurut para ulama, ini menunjukkan Allah SWT mahukan Maryam usaha untuk mendapatkan buah tamar itu. 

  3. Allah SWT memberikan berbagai sumber untuk Maryam terus hidup. 

  4. Bagi kita, ketika ada masalah dalam hidup ini kita kena cari sumber luar untuk dapatkan ilham/idea. Jangan duduk sendirian. Kalau tidak, kemungkinan timbul perasaan hendak bunuh diri. Inilah antara tip pengurusan mental di dalam surah Maryam. 


RESOLUSI


Ingat!

  1. Pelajari kitab al-Quran bersungguh-sungguh (19:12)

  2. Minta perlindungan Allah SWT agar dilindungi daripada kejahatan (19:18)

  3. Jika letih atau perit, mengadulah kepada Allah SWT (19:23)


Saya berasa lega, kalau saya letih atau perit, Allah SWT ajar supaya mengadu kepada-Nya.


Saya jelas untuk pelajari kitab al-Quran bersungguh-sungguh. Saya jelas untuk minta perlindungan Allah SWT agar dilindungi daripada kejahatan. Saya jelas, jika letih atau perit, mengadulah kepada Allah SWT.


Ya Allah, bimbing kami untuk pelajari kitab al-Quran bersungguh-sungguh. Ya Allah, lindungi kami daripada kejahatan. Ya Allah, kurniakan kami kekuatan dan ilham yang baik untuk menghadapi segala ujian yang Engkau berikan. 


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...