PERKATAAN HARI INI
أَنَسَ Suka ria, ramah tamah manusia.
338 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
Nazar Maryam (19:26)
Kenabian Isa A.S dan kemampuannya berbicara ketika masih bayi dalam buaian (19: 27-33)
Perbezaan pendapat orang Nasrani tentang status Nabi Isa A.S (19:34-38)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat menyambung pembelajaran pada halaman 307. Pada halaman lepas kita telah melihat keperitan Saidatina Maryam melahirkan Nabi Isa AS yang menjadi inspirasi kepda wanita.
Surah ini menandakan Allah SWT mengangkat martabat wanita selain daripada surah al-Nisa'. Surah ini juga adalah satu kritik kepada agama Kristian yang mengutamakan dunia berbanding akhirat. Semoga kita semua terjauh daripada sifat materialism.
Ayat 19: 26
فَكُلِى وَٱشْرَبِى وَقَرِّى عَيْنًا فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ ٱلْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِىٓ إِنِّى نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ ٱلْيَوْمَ إِنسِيًّا
"Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini".
Pengajaran
Pada halaman lepas kita telah melihat Malaikat Jibril memujuk Saidatina Maryam dari jauh untuk menenangkan hatinya. Walaupun pokok tamar adalah kuat, tetapi Saidatina Maryam diberi kekuatan untuk menggoncangkan pokok tamar bagi mendapatkan buah. Ada anak sungai untuk dia minum.
Malikat Jibril mengajar Saidatina Maryam supaya bernazar untuk tidak bercakap dengan manusia.
Ayat 19: 27
فَأَتَتْ بِهِۦ قَوْمَهَا تَحْمِلُهُۥ قَالُوا۟ يَٰمَرْيَمُ لَقَدْ جِئْتِ شَيْـًٔا فَرِيًّا
Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!
Pengajaran
Menurut ulama, selepas 40 hari Saidatina Maryam balik kepada kaumnya dengan mendokong bayinya. Kaumnya mengutuk dengan mengatakan dia telah melakukan perkara mungkar.
Namun Maryam tetap diam kerana dia sedang bernazar.
Yahudi menyatakan Nabi Isa AS adalah anak luar nikah. Orang Kristian pula menyatakan yang baginda adalah anak Tuhan dan terlalu memuliakannya. Umat Islam adalah umat pertengahan, tidak terlalu memuja dan tidak mengutuk berlebihan bila berhadapan dengan situasi sebegini.
Ayat 19: 28
يَٰٓأُخْتَ هَٰرُونَ مَا كَانَ أَبُوكِ ٱمْرَأَ سَوْءٍ وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّا
"Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!"
Pengajaran
Saudara perempuan Harun bukanlah bermakna adik beradik. Ia bermakna dari satu kumpulan.
Kaumnya berkata bahawa ayahnya bukanlah seorang yang berakhlak buruk dan ibunya bukan perempuan jahat.
Ayat 19: 29
فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ قَالُوا۟ كَيْفَ نُكَلِّمُ مَن كَانَ فِى ٱلْمَهْدِ صَبِيًّا
Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): "Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?"
Pengajaran
Saidatina Maryam membuat signal dengan menunjuk kepada anaknya.
Pelajarannya kepada kita, bila dikutuk, jangan bercakap, senyap sahaja.
Dalam keadaan stres jangan cakap banyak. Khuatir percakapan kita adalah percakapan yang merosakkan lagi keadaan. Terus menjadi hamba Allah SWT dan bergantung kepada-Nya.
Ayat 19: 30
قَالَ إِنِّى عَبْدُ ٱللَّهِ ءَاتَىٰنِىَ ٱلْكِتَٰبَ وَجَعَلَنِى نَبِيًّا
Ia menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi."
Pengajaran
Nabi Isa AS yang masih bayi menjawab bahawa baginda adalah hamba Allah SWT dan telah diberi kitab.
Nabi Isa AS di berikan kelebihan untuk pandai membaca dan memahami Taurat semenjak kecil.
Perkataan Abdullah penting kerana ia memberi panduan bahawa baginda adalah hamba Allah SWT. Semua hamba Allah SWT mempunyai kekurangan. Baginda bukan tuhan maka baginda juga tidak sempurna. Kita pun sama. Jangan suka kutuk macam orang Yahudi dan terlalu suka seperti orang Kristian. Jadilah orang Islam.
Ketika berhadapan dengan isu-isu dalam masyarakat, jadilah hamba Allah SWT. Jangan kutuk melampau-lampau dan jangan terpengaruh dengan berita yang belum sahih.
Ayat 19: 31
وَجَعَلَنِى مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنتُ وَأَوْصَٰنِى بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱلزَّكَوٰةِ مَا دُمْتُ حَيًّا
Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.
Pengajaran
Nabi Isa AS terus menjadi hamba Allah SWT. Dalam hidup kita ini teruslah menjadi hamba Allah SWT ketika berinteraksi dengan pelbagai isu. Orang yang menuduh atau mendengar berita, jadilah hamba Allah SWT.
Nabi Isa AS mendapat barakah daripada Allah SWT, dan diperintahkan untuk solat dan memberi zakat.
Nabi Isa AS diangkat ke langit dan akan kembali balik ke bumi dan akan terus solat selagi hidupnya.
Nabi Isa AS diberikan barakah kebaikan. Kalau kita hendakkan barakah kebaikan ambillah panduan daripada al-Quran.
Ayat 19: 32
وَبَرًّۢا بِوَٰلِدَتِى وَلَمْ يَجْعَلْنِى جَبَّارًا شَقِيًّا
"Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.
Pengajaran
Nabi Isa AS diperintah oleh Allah SWT untuk berbuat baik kepada ibunya, tidak sombong atau derhaka.
Kesombongan akan membawa kepada kecelakaan, kesengsaraan dalam hidup. Tanda orang tidak hormat ibu ayah, ia suka kutuk orang.
Ayat 19: 33
وَٱلسَّلَٰمُ عَلَىَّ يَوْمَ وُلِدتُّ وَيَوْمَ أَمُوتُ وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا
Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)".
Pengajaran
Sejahtera dilimpahkan kepada Nabi Isa AS pada hari baginda dilahirkan, pada hari kematiannya kelak dan hari kebangkitannya.
Ini adalah anugerah kepada siapa yang jadi hamba Allah SWT. Kalau tidak jadi hamba Allah betul-betul, kita akan jadi huru-hara dalam kehidupan kita.
Ayat 19: 34
ذَٰلِكَ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ قَوْلَ ٱلْحَقِّ ٱلَّذِى فِيهِ يَمْتَرُونَ
Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya.
Pengajaran
Itulah sifat-sifat sebenar Nabi Isa anak Maryam yang diwasiatkan untuk bersolat, berbuat baik kepada ibunya dan tidak sombong.
Hendaklah kita jelas bahawa Nabi Isa AS adalah seorang hamba Allah SWT yang ada kelebihan tetapi sudah pasti tidak sama dengan Tuhan yang sempurna.
Jangan kita cepat menghukum. Ikut prosedur untuk menentukan kebenaran.
Ayat 19: 35
مَا كَانَ لِلَّهِ أَن يَتَّخِذَ مِن وَلَدٍ سُبْحَٰنَهُۥٓ إِذَا قَضَىٰٓ أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ
Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: "Jadilah engkau", lalu menjadilah ia.
Pengajaran
Nabi Isa AS bukanlah anak tuhan seperti yang dikatakan oleh orang Kristian dan bukan anak luar nikah seperti yang dikatakan oleh Yahudi.
Mudah bagi Allah SWT untuk menetapkkan jadinya sesuatu perkara dengan hanya berkata : "Jadilah engkau" ( كن فيكون ), lalu menjadilah ia.
Ayat 19: 36
وَإِنَّ ٱللَّهَ رَبِّى وَرَبُّكُمْ فَٱعْبُدُوهُ هَٰذَا صِرَٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ
Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan yang betul - lurus ".
Pengajaran
Nabi Isa AS mengatakan bahawa Allah SWT ialah Tuhannya dan Tuhan mereka semua dan menyuruh mereka sembah kepada Allah SWT. Inilah jalan yang lurus.
Hendaklah kita fokus kepada ibadah dan mohon petunjuk ke jalan yang lurus.
Ayat 19: 37
فَٱخْتَلَفَ ٱلْأَحْزَابُ مِنۢ بَيْنِهِمْ فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن مَّشْهَدِ يَوْمٍ عَظِيمٍ
Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.
Pengajaran
Mereka bergaduh dan bertelingkah sesama sendiri hanya kerana seorang manusia.
Kita umat Islam tidak mahu bergaduh kerana manusia. Sepatutnya kita jadi hamba Tuhan, bukannya hamba kepada manusia. Syaitan memang hendak kita bergaduh sebab manusia. Tidak berbaloi.
Ayat 19: 38
أَسْمِعْ بِهِمْ وَأَبْصِرْ يَوْمَ يَأْتُونَنَا لَـٰكِنِ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٱلْيَوْمَ فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ
Sungguh jelas pendengaran dan penglihatan mereka yang kafir itu semasa mereka datang mengadap Kami pada hari akhirat. Tetapi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan kufur dan maksiat) pada masa di dunia ini, berada dalam kesesatan yang nyata
Pengajaran
Di akhirat nanti orang kafir akan dengar dan nampak jelas segala kebenaran.
Hendaklah kita gunakan pendengaran dan penglihatan kita untuk menghadap kepada Allah SWT. Jangan gunakannya untuk tengok cerita orang lain. Jangan bergaduh tentang perkara yang tidak pasti.
Di akhirat nanti akan jelas siapa yang benar.
RESOLUSI
Ingat!
Selalu berbakti kepada ibu bapa dan elakkan menjadi orang yang sombong (19:32)
Serulah kepada Allah SWT agar terus menjadi hamba Allah SWT walaupun ada orang mendewakan (19:36)
Gunakan pendengaran dan penglihatan yang tajam hari ini untuk menghargai kebesaran Allah SWT (19:38)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya saya gunakan pendengaran dan penglihatan saya untuk menghargai kebesaranNya.
Saya jelas untuk selalu berbakti kepada ibu bapa dan elakkan menjadi orang yang sombong. Saya jelas untuk seru kepada Allah SWT agar terus menjadi hamba Allah SWT walaupun ada orang mendewakan. Saya jelas untuk gunakan pendengaran dan penglihatan yang tajam hari ini untuk menghargai kebesaran Allah SWT.
Ya Allah, bimbing kami untuk selalu berbakti kepada ibu bapa dan elakkan menjadi orang yang sombong. Ya Allah, jadikan kami orang yang sentiasa menyeru kepada Mu dan pimpin kami agar terus menjadi hamba Mu walaupun ada orang mendewakan. Ya Allah, bimbing kami untuk gunakan pendengaran dan penglihatan yang tajam hari ini untuk menghargai kebesaran Mu.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.