Friday, August 4, 2023

Halaman 309 : Maryam, 52-64

PERKATAAN HARI INI

وَهَبَ Mengurniakan, menganugerahkan.

25  kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   


  1. Kisah Nabi Musa AS (19:52-53)

  2. Kisah Nabi Ismail AS (19:54-55)

  3. Kisah Nabi Idris AS (19:56-57)

  4. Beberapa sifat para nabi (19:58)

  5. Sifat segolongan manusia selepas para nabi dan balasan bagi mereka, serta sifat orang yang bertaubat dan orang yang berhak mendapatkan syurga (19:59-63)

  6. Wahyu diturunkan berdasarkan perintah Allah SWT (19:64)




Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat menyambung pembelajaran pada halaman 309 Surah Maryam. 


Pada ayat 51, Allah SWT suruh kita ingat kepada Nabi Musa AS untuk mengingatkan kembali fitrah yang sudah ada dalam diri kita.



Ayat 19: 52


وَنَٰدَيْنَٰهُ مِن جَانِبِ ٱلطُّورِ ٱلْأَيْمَنِ وَقَرَّبْنَٰهُ نَجِيًّا


Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami.


Pengajaran


  1. Allah SWT telah memanggil Nabi Musa AS ke Gunung Tursina untuk diberikan nasihat. Ini adalah satu kemuliaan kepada Nabi Musa AS.



Ayat 19: 53


وَوَهَبْنَا لَهُۥ مِن رَّحْمَتِنَآ أَخَاهُ هَٰرُونَ نَبِيًّا


Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi.


Pengajaran


  1. Nabi Musa AS dianugerahkan oleh Allah SWT seorang pembantu iaitu abangnya Nabi Harun AS yang juga berpangkat nabi. 

  2. Mereka adalah dari jalur keturunan Nabi Ibrahim AS.



Ayat 19: 54


وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَٰبِ إِسْمَٰعِيلَ إِنَّهُۥ كَانَ صَادِقَ ٱلْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا


Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi


Pengajaran


  1. Juga disebut tentang Nabi Ismail AS. Baginda adalah seorang yang menepati janji         (ٱلْوَعْدِ صَادِقَ) dan dia seorang rasul.

  2. Dia diangkat kerana jujur dengan Allah SWT seperti ayahnya Nabi Ibrahim AS. 

  3. Kalau seorang ayah itu soleh, Allah SWT akan jaga anak-anaknya. Kalau ayah tidak soleh, kitalah yang kena jadi soleh dan doakan untuk ibu ayah.



Ayat 19: 55


وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُۥ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱلزَّكَوٰةِ وَكَانَ عِندَ رَبِّهِۦ مَرْضِيًّا


Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!


Pengajaran


  1. Nabi Ismail AS mengajak keluarganya bersolat, berzakat dan baginda adalah seorang yang diredhai oleh Allah SWT. 

  2. Dakwah pertama adalah kepada ahli keluarga. Pastikan keluarga solat dan zakat.

  3. Dalam ayat ini, zakat juga bermakna pembersihan diri. Jangan cakap kotor, jangan tengok benda-benda yang kotor, atau jaga kebersihan diri dan memastikan hati dibersihkan.

  4. Makna zakat yang lain ialah mengeluarkan zakat harta dan zakat fitrah.  

  5. Nabi Muhammad SAW adalah daripada jalur keluarga Nabi Ismail AS yang membawa kepada kita sebagai umat Nabi SAW.



Ayat 19: 56


وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَٰبِ إِدْرِيسَ إِنَّهُۥ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا


Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah ia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta ia seorang Nabi.


Pengajaran


  1. Dibawakan pula perihal Nabi Idris AS yang datang selepas Nabi Adam AS. Baginda adalah seorang yang jujur. 

  2. Disebutkan nabi-nabi ini sebagai tanda mereka adalah orang baik-baik. Semuanya berasal daripada Nabi Adam AS yang tidak ada ibu ayah.



Ayat 19: 57


وَرَفَعْنَٰهُ مَكَانًا عَلِيًّا


Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.


Pengajaran


  1. Nabi Idris AS diangkat ke tempat yang tinggi. Ada dua maksud: tinggi dari segi sosial dan ada yang kata diangkat ke langit.


Ayat 19: 58


أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّۦنَ مِن ذُرِّيَّةِ ءَادَمَ وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ وَمِن ذُرِّيَّةِ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْرَٰٓءِيلَ وَمِمَّنْ هَدَيْنَا وَٱجْتَبَيْنَآ إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتُ ٱلرَّحْمَٰنِ خَرُّوا۟ سُجَّدًا وَبُكِيًّا ۩


Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.


Pengajaran


  1. Ini adalah penerangan bagaimana kita sepatutnya berakhlak.

  2. Nabi-nabi yang disebut dalam halaman ini adalah orang-orang yang diberikan nikmat. Mereka adalah keturunan orang baik-baik. Daripada Nabi Adam AS hingga kepada dua jalur iaitu Nabi Ishak dan Nabi Ismail AS hingga Nabi Muhammad SAW

  3. Mereka adalah satu kumpulan yang diberi hidayah oleh Allah SWT. Tanda diberi hidayah ialah apabila diingatkan ayat-ayat kebesaran Allah Yang Maha Penyayang mereka merendah diri dan menangis seperti Raja Najashi yang mengalir air mata dan berdoa menjadi orang yang merendah diri.

  4. Kita kena semak ahli keluarga kita solat atau tidak. Kalau ahli keluarga tidak solat, itu tandanya kurang dapat hidayah. 

  5. Solat bukan hanya sekadar rukuk dan sujud, tetapi ia tanda kita merendah diri mengaku Tuhan itu hebat. 



Ayat 19: 59


فَخَلَفَ مِنۢ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَٱتَّبَعُوا۟ ٱلشَّهَوَٰتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا


Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),


Pengajaran


  1. Nabi Isa AS solat dan berzakat. Nabi Ismail AS juga bersolat dan berzakat. Solat dan zakat ini adalah ciri-ciri orang-orang yang mengikut para nabi. 

  2. Allah SWT memberi panduan bahawa hendaklah jaga keluarga kita dengan solat dan zakat. Mendidik anak-anak zaman ini amat mencabar. Masa mereka perlu diuruskan dengan baik. Jangan biar mereka lalai dengan game sehingga mengabaikan solat. 

  3. Kalau solat diabaikan, akan lahir keturunan yang spiritual dan intelek jadi mati (خَلْفٌ). Mereka tidak mampu membawa perubahan kerana mensia-siakan solat (أَضَاعُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ). Mereka tidak rasa bahawa solat ialah peluang untuk bertemu dengan Yang Maha Kaya. Mereka mungkin solat hanya sebagai rutin, tidak rasa semasa solat itu adalah masa untuk  minta kepada Pencipta Yang Maha Kaya, maka mereka mensia-siakan peluang untuk maju ke depan.

  4. Mereka mencuaikan solat dan mengikut hawa nafsu kerana tidak mengeluarkan zakat dan tidak melakukan pembersihan diri. Ini membawa kepada kepimpinan yang boleh menyebabkan kerosakan yang amat besar kepada keluarga, negeri dan negara kerana mereka jauh terbabas daripada kebenaran (غَيًّا). Mereka ini akan menghadapi azab dalam neraka.



Ayat 19: 60


إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ صَٰلِحًا فَأُو۟لَٰٓئِكَ يَدْخُلُونَ ٱلْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْـًٔا


Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, -


Pengajaran


  1. Kita kena pastikan kita bertaubat, beriman dan beramal soleh, supaya dapat membawa keluarga selamat sampai ke syurga. 

  2. Penghujung kehidupan kita amat penting. Sempurnakan solat agar dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.



Ayat 19: 61


جَنَّٰتِ عَدْنٍ ٱلَّتِى وَعَدَ ٱلرَّحْمَٰنُ عِبَادَهُۥ بِٱلْغَيْبِ إِنَّهُۥ كَانَ وَعْدُهُۥ مَأْتِيًّا


(Iaitu) Syurga "Adn" yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hambaNya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib; sesungguhnya Tuhan itu, janjiNya tetap berlaku.


Pengajaran


  1. Ini adalah ayat pujukan kepada kita untuk memastikan solat, zakat dan pembersihan diri ditunaikan dengan baik dalam diri dan keluarga.

  2. Ar-Rahman menjanjikan kepada hambaNya syurga ‘Adn walaupun perkara ini tidak nampak. Di sebalik janji Allah SWT itu ada harapan. Orang yang tidak ada harapan, rasa lebih baik mati sahaja. 

  3. Untuk membangkitkan harapan, anak kita, keluarga kita, masyarakat kita mesti dipasakkan dengan keimanan kepada janji Tuhan dan akhirat. 

  4. Yakinlah, janji Allah SWT akan tetap berlaku.



Ayat 19: 62


لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَٰمًا وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا


Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik; dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang masa)


Pengajaran


  1. Di sana tidak ada yang sia-sia dan semuanya sejahtera.

  2. Makan minum untuk mereka disediakan sepanjang masa.

  3. Inilah pengalaman indah di syurga yang Allah SWT bawakan sebagai motivasi untuk kita agar solat pagi dan petang.



Ayat 19: 63


تِلْكَ ٱلْجَنَّةُ ٱلَّتِى نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَن كَانَ تَقِيًّا


Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami.


Pengajaran


  1. Itulah gambaran taman Syurga yang akan diberikan sebagai warisan pusaka kepada hamba-hamba Allah SWT yang bertaqwa.

  2. Hendaklah kita solat, zakat dan membersihkan diri di waktu pagi dan petang agar dapat ganjaran hidup kekal di taman syurga yang indah. 



RESOLUSI


Ingat!

  1. Segera mengerjakan amal kebaikan seperti Nabi Ismail A.S (digelar sebagai Sadiq) (19:54)

  2. Sentiasa membina budaya keluarga yang segera mengerjakan kebaikan agar diredai Allah SWT (19:55)

  3. Tingkatkan amal agar dapat bersama para nabi di syurga walau syurga tidak dapat dilihat sekarang (19:61)


Saya berasa lega, Allah SWT akan beri ganjaran syurga sekiranya saya dan keluarga solat, zakat dan menyucikan diri.


Saya jelas untuk segera mengerjakan amal kebaikan seperti Nabi Ismail AS yang digelar sebagai Sadiq. Saya jelas untuk sentiasa membina budaya keluarga yang segera mengerjakan kebaikan agar diredai Allah SWT. Saya jelas saya mesti tingkatkan amal agar dapat bersama para nabi di syurga walau syurga tidak dapat dilihat sekarang.


Ya Allah, bimbing kami untuk mengerjakan amal kebaikan seperti Nabi Ismail AS yang digelar sebagai Sadiq. Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa membina budaya keluarga yang segera mengerjakan kebaikan agar kami mendapat redha-Mu. Ya Allah, bantu kami untuk tingkatkan amal agar dapat bersama para nabi di syurga walau syurga tidak dapat dilihat sekarang.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...