Friday, August 4, 2023

Halaman 310 : Maryam, 65-76

 PERKATAAN HARI INI

مَاتَ  / مَوَتَ  Mengakhiri hidup, mati.

165 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   


  1. Ibadah kepada Allah SWT yang memiliki alam ini (19:65)

  2. Syubhah (kesilapan berfikir) orang Musyrik yang mengingkari hari kebangkitan (19:66-72)

  3. Kekeliruan realiti kehidupan (19:73-76)



Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat menyambung pembelajaran pada halaman 310 Surah Maryam. Ini adalah satu rahmat daripada Allah SWT. 


Pada halaman lepas kita telah belajar bahawa solat, menunaikan zakat dan membersihkan diri adalah satu perjuangan para Nabi dan Rasul sebagai lambang kita hidup bertuhan.



Ayat 19:64


وَمَآ أَنزَلْنَا عَلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ إِلَّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ ٱلَّذِى ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ  وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ


Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.


Pengajaran


  1. Jibril dan para malaikat membawa wahyu dengan perintah daripada Allah SWT.

  2. Wahyu itu berat tetapi ia adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh Nabi Muhammad SAW. Apabila wahyu tidak turun beberapa ketika, Allah SWT memerintahkan Jibril menerangkan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan.

  3. Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.



Ayat 19: 65


رَّبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا فَٱعْبُدْهُ وَٱصْطَبِرْ لِعِبَٰدَتِهِۦ هَلْ تَعْلَمُ لَهُۥ سَمِيًّا


"Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadaNya; adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding denganNya?"


Pengajaran


  1. Tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya. 

  2. Allah SWT tidak pernah melupakan kita. Mungkin kita yang lupakan Tuhan. Solat itu pakej yang lengkap untuk kita mengingati Allah SWT. Dalam solat ada al-Quran dan zikir  untuk kita membina hubungan dengan Allah SWT. 

  3. Beribadahlah banyak-banyak dan bersabar dengan bersungguh-sungguh melakukan solat, zakat, menyucikan diri dan bantu orang lain.

  4. Ada orang tahu Allah SWT amat penyanyang tetapi dia menggunakan nama Ar-Rahman itu dengan konsepnya salah.



Ayat 19: 66


وَيَقُولُ ٱلْإِنسَٰنُ أَءِذَا مَا مِتُّ لَسَوْفَ أُخْرَجُ حَيًّا


Dan manusia (yang kafir) berkata: "Apa! Apabila aku mati, adakah aku akan dibangkitkan hidup semula?"


Pengajaran


  1. Bila kita beriman dengan Allah SWT, kita mesti juga beriman dengan hari akhirat. Kita akan dibangkitkan kembali. Ada orang yang tidak percaya.

  2. Jika tidak percaya hari akhirat, seseorang itu akan menjadi amat sombong. 



Ayat 19: 67


أَوَلَا يَذْكُرُ ٱلْإِنسَٰنُ أَنَّا خَلَقْنَٰهُ مِن قَبْلُ وَلَمْ يَكُ شَيْـًٔا


Patutkah manusia itu berkata demikian dan tidak memikirkan bahawa Kami telah menciptakan dia dahulu sedang ia pada masa itu belum ada sebarang apapun?


Pengajaran


  1. Allah SWT menjadikan manusia dari tiada kepada ada tetapi mereka masih tidak mahu percaya kepada Allah SWT.

  2. Kalau sayang kepada keluarga, hendaklah kita bimbing mereka untuk beriman kepada Allah dan hari akhirat.



Ayat 19: 68


فَوَرَبِّكَ لَنَحْشُرَنَّهُمْ وَٱلشَّيَٰطِينَ ثُمَّ لَنُحْضِرَنَّهُمْ حَوْلَ جَهَنَّمَ جِثِيًّا


Oleh itu, demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka yang kafir itu beserta syaitan-syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka duduk berlutut di keliling neraka Jahannam.


Pengajaran


  1. Amat mengerikan, Allah SWT mengingatkan kepada orang yang tidak mahu solat, tidak mahu bayar zakat, tidak mahu bersihkan diri, tidak mahu menjadi hamba kepada Allah SWT dengan berlutut menyembah-Nya di dunia ini.

  2. Di akhirat nanti mereka akan melutut di sekitar neraka jahannam bersama syaitan-syaitan mereka iaitu pemimpin-pemimpin yang mempengaruhi masyarakat atas dasar keburukan.  



Ayat 19: 69


ثُمَّ لَنَنزِعَنَّ مِن كُلِّ شِيعَةٍ أَيُّهُمْ أَشَدُّ عَلَى ٱلرَّحْمَٰنِ عِتِيًّا


Sesudah itu, sesungguhnya kami akan cabut dari tiap-tiap golongan, mana-mana orang yang sangat derhaka kepada (Allah) Ar-Rahman, di antara mereka.


Pengajaran


  1. Kemudian, ketua-ketua mereka yang sangat derhaka akan ditarik kepada Ar-Rahman. 



Ayat 19: 70


ثُمَّ لَنَحْنُ أَعْلَمُ بِٱلَّذِينَ هُمْ أَوْلَىٰ بِهَا صِلِيًّا


Kemudian, sesungguhnya Kami lebih mengetahui akan orang-orang yang lebih patut diseksa dan dibakar dangan api neraka itu.


Pengajaran


  1. Kalau kita jadi ketua, kena jaga-jaga kerana ketua yang memimpin atas keburukan akan ditarik dahulu untuk dibakar dalam api neraka.



Ayat 19: 71


وَإِن مِّنكُمْ إِلَّا وَارِدُهَا كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتْمًا مَّقْضِيًّا


Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.


Pengajaran


  1. Menurut tafsir Ibnu Kathir, Abdullah Ibnu Rawahah seorang sahabat, menangis di pangkuan isterinya dan isterinya turut menangis bila membaca ayat ini. 

  2. Ada dua maksud ayat ini: 

    1. Semua orang akan melintas neraka dan nampak keadaan neraka. 

    2. Ada juga yang menyatakan semua orang, termasuk orang Islam juga, akan masuk ke neraka.

  3. Ketika melalui titian sirat, yang seperti rambut dibelah tujuh, orang yang bertakwa dan beramal akan melintas dengan laju. Kalau banyak hutang, banyak kesilapan, terpaksa merangkak di atas titian sirat, akan lambat dan ditakuti akan terjatuh ke dalam neraka. 

  4. Semua orang akan melintas titian sirat kerana Allah SWT beri peluang untuk manusia melihat benar adanya neraka. Analoginya, bila kita sakit, kemudian sihat kembali, kita akan rasa sangat bersyukur diberi kesihatan, berbanding  dengan orang yang  tidak pernah merasa sakit. 

  5. Semoga Allah SWT terima amal kita dan dijauhkan daripada azab neraka.



Ayat 19: 72


ثُمَّ نُنَجِّى ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوا۟ وَّنَذَرُ ٱلظَّٰلِمِينَ فِيهَا جِثِيًّا


Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.


Pengajaran


  1. Allah SWT selamatkan orang bertakwa. Makin lagi banyak amal takwa kita, makin cepat kita diselamatkan. Kalau boleh, kita hendak lalu titian sirat  itu selaju yang mungkin. Kita minta kepada Allah SWT tunjukkan kita jalan yang lurus.  

  2. Orang yang zalim dibiarkan berlutut kerana di dunia dia biarkan sahaja Tuhan memanggil. 

  3. Perpektif solat bukan sekadar wajib hukumnya tetapi kita menyahut seruan Tuhan supaya Allah SWT selamatkan kita dan ahli keluarga di akhirat nanti.  



Ayat 19: 73


وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتُنَا بَيِّنَٰتٍ قَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَىُّ ٱلْفَرِيقَيْنِ خَيْرٌ مَّقَامًا وَأَحْسَنُ نَدِيًّا


Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang kafir kepada orang-orang yang beriman: "Puak yang manakah (dari kami dan kamu) yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih elok majlis perhimpunannya?


Pengajaran


  1. Apabila dibacakan al-Quran kepada orang-orang kafir, mereka perlekehkan orang-orang beriman. Mereka sombong dengan pangkat dan kekayaan. 

  2. Tempat pertemuan mereka cantik sedangkan Nabi SAW hanya berjumpa sahabat-sahabat di tepi padang pasir atau di rumah yang buruk. Pengikut Nabi SAW orang muda, miskin, tidak elit.

  3. Mereka sibuk respon pada status mereka. Sibuk meeting sampai tidak sempat baca al-Quran. Kita mesti pentingkan al-Quran di dalam kehidupan. Jangan respon dengan cara yang sombong disebabkan kita sibuk, ada pangkat dan sebagainya.



Ayat 19: 74


وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّن قَرْنٍ هُمْ أَحْسَنُ أَثَٰثًا وَرِءْيًا


Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) sebelum mereka, kami telah binasakan, sedang mereka lebih elok alat-alat kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada pandangan mata.


Pengajaran


  1. Allah SWT ingatkan bahawa orang terdahulu lebih hebat. Contoh: Di Mesir, kita lihat piramid-piramid mereka lebih besar dari sesetengah istana. Mereka lebih hebat tetapi Allah SWT hancurkan kerana mereka sombong, bila Allah SWT panggil mereka tidak kisah, bila dibacakan ayat-ayatnya mereka tidak respon. 

  2. Orang berpangkat, berharta, jika tidak kembali kepada al-Quran, solat, zakat mereka akan bersama syaitan atau mereka sendiri menjadi wakil syaitan.

  3. Menurut Dr Yusuf Al Qardawi, orang yang hendak khusyuk solat bayangkan mereka sedang melalui titiian sirat.



Ayat 19: 75


قُلْ مَن كَانَ فِى ٱلضَّلَٰلَةِ فَلْيَمْدُدْ لَهُ ٱلرَّحْمَٰنُ مَدًّا حَتَّىٰٓ إِذَا رَأَوْا۟ مَا يُوعَدُونَ إِمَّا ٱلْعَذَابَ وَإِمَّا ٱلسَّاعَةَ فَسَيَعْلَمُونَ مَنْ هُوَ شَرٌّ مَّكَانًا وَأَضْعَفُ جُندًا


Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, - sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya."


Pengajaran


  1. Allah SWT panjangkan umur seseorang untuk dua tujuan:

    1. memberi peluang untuk melihat azab di dunia

    2. memberi peluang untuk bertaubat

  2. Allah SWT beri peluang umur kepada pemimpin-pemimpin untuk melihat kesan perbuatan mereka yang merosakkan masyarakat kerana mereka tidak menjalankan amanah. 



Ayat 19: 76


وَيَزِيدُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ٱهْتَدَوْا۟ هُدًى وَٱلْبَٰقِيَٰتُ ٱلصَّٰلِحَٰتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ مَّرَدًّا


Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk; dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.


Pengajaran


  1. Allah SWT akan menambah hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk.

  2. Orang-orang yang membuat amalan yang baik akan mendapat kesudahan yang baik. 

  3. Sesiapa yang cari hidayah dan berbuat amal soleh, kebaikan itu akan kembali kepadanya, begitu juga sebaliknya.   



RESOLUSI


Ingat!

  1. Beribadah dengan sungguh-sungguh kerana Allah SWT (19:65)

  2. Beriman dan tidak menjadi seperti orang kafir yang mempersoalkan adanya kehidupan selepas mati (19:66)

  3. Mohon kepada Allah SWT agar diselamatkan dari neraka (19:71-72)


Saya berasa lega, Allah SWT berikan peringatan tentang azab neraka agar saya beribadah banyak-banyak dan bersabar dengan bersungguh-sungguh melakukan solat, zakat, menyucikan diri dan bantu orang lain.


Saya jelas untuk beribadah dengan sungguh-sungguh kerana Allah SWT. Saya jelas untuk beriman dan tidak menjadi seperti orang kafir yang mempersoalkan adanya kehidupan selepas mati. Saya jelas untuk mohon kepada Allah SWT agar diselamatkan dari neraka.


Ya Allah, bimbing kami untuk beribadah dengan sungguh-sungguh hanya kerana Mu. Ya Allah, jadikan kami orang yang beriman dan tidak menjadi seperti orang kafir yang mempersoalkan adanya kehidupan selepas mati. Ya Allah, selamatkan kami dari neraka.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...