PERKATAAN HARI INI
حَسِرَ Menyesal, mengeluh.
12 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
Pentingnya memberi peringatan dan Allah SWT yang mewarisi bumi (19:39-40)
Kisah Nabi Ibrahim AS dan dialog dengan ayahnya tentang penyembahan (19:41-50)
Permulaan Kisah Nabi Musa AS (19:51)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat menyambung pembelajaran pada halaman 308. Teruslah istiqamah bersama al-Quran walaupun ribut membadai kerana ini adalah perkataan daripada Allah SWT yang mencipta kita. Allah SWT lebih mengetahui apakah ubat untuk penyakit di hati kita yang perlu diambil pada setiap hari.
Tema surah Maryam ada kaitan dengan hubungan anak dan ayah, anak dan ibu dan bagaimana kita akan berlaku baik kepada kedua ibu ayah.
Ayat 19: 39
وَأَنذِرْهُمْ يَوْمَ ٱلْحَسْرَةِ إِذْ قُضِىَ ٱلْأَمْرُ وَهُمْ فِى غَفْلَةٍ وَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ
Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman.
Pengajaran
Allah SWT minta kita ingatkan tentang hari penyesalan ( يَوْمَ ٱلْحَسْرَةِ ) iaitu hari diputuskan segala perkara. Segala urusan akan ditentukan, diputuskan dan jelaslah siapa yang betul siapa yang salah. Mahkamah di dunia ini, ada orang yang bersalah pun ada kalanya boleh terlepas.
Di hari penyesalan nanti, orang-orang yang berbuat salah akan menyesal, bertaubat, tetapi taubat sudah tidak berguna kerana dahulu mereka lalai dan tidak beriman kepada Allah SWT.
غَفْلَةٍ bermakna tidak ambil tahu. Bab dunia belajar betul-betul, tetapi bab akhirat kurang diberi perhatian. Semoga kita bersungguh-sungguh belajar bab akhirat dengan tilawah al-Quran secara istiqamah.
Ayat 19: 40
إِنَّا نَحْنُ نَرِثُ ٱلْأَرْضَ وَمَنْ عَلَيْهَا وَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ
Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.
Pengajaran
Semua yang kita ada ini, Allah SWT lah yang mewarisinya. Di bumi ada kawan, ada pangkat, ada rumah, ada macam-macam, akhirnya akan kembali kepada Allah SWT juga.
Di akhirat, orang-orang yang zalim terang benderang matanya dapat melihat bukti kebenaran Allah SWT. Di dunia mereka tidak mahu dengar mesej-mesej kebaikan yang disampaikan oleh Allah SWT melalui rasul atau penceramah-penceramah yang ada.
Ayat 19: 41
وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَٰبِ إِبْرَٰهِيمَ إِنَّهُۥ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.
Pengajaran
Nabi Ibrahim AS membenarkan (صِدِّيقًا) apa yang Allah SWT perintah. Baginda adalah contoh seorang yang buat apa yang Allah SWT perintahkan.
Ayat 19: 42
إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ يَٰٓأَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لَا يَسْمَعُ وَلَا يُبْصِرُ وَلَا يُغْنِى عَنكَ شَيْـًٔا
Ketika ia berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?"
Pengajaran
Menurut Imam As-Sa'di, ada 4-5 tahap percakapan Nabi Ibrahim AS.
Pertamanya, bercakap dengan kasih sayang. Nabi Ibrahim AS bertanya kepada ayahnya dengan cara yang amat lembut mengapa ayahnya menyembah berhala yang tidak boleh mendengar dan melihat. Dia mulakan dengan bertanya soalan.
Ayat 19: 43
يَٰٓأَبَتِ إِنِّى قَدْ جَآءَنِى مِنَ ٱلْعِلْمِ مَا لَمْ يَأْتِكَ فَٱتَّبِعْنِىٓ أَهْدِكَ صِرَٰطًا سَوِيًّا
"Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh itu ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan yang betul.
Pengajaran
Cara kedua, dengan persisten, Nabi Ibrahim AS memberitahu ayahnya yang baginda ada sedikit ilmu dan mengajak ayahnya ke jalan yang lurus.
Ayat 19: 44
يَٰٓأَبَتِ لَا تَعْبُدِ ٱلشَّيْطَٰنَ إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ كَانَ لِلرَّحْمَٰنِ عَصِيًّا
"Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.
Pengajaran
Tahap ketiga, dengan lembut dan penuh kasih sayang, Nabi Ibrahim AS berterus terang memberitahu ayahnya supaya jangan menyembah syaitan.
Apabila seseorang menyembah berhala, atau tidak mahu ikut pada al-Quran, sebenarnya dia sedang mengikut pada syaitan. Di sebalik berhala itu ada syaitan yang mengajak manusia untuk menghambakan diri kepada selain daripada Allah SWT.
Jangan sembah syaitan kerana ia derhaka kepada Allah SWT.
Ayat 19: 45
يَٰٓأَبَتِ إِنِّىٓ أَخَافُ أَن يَمَسَّكَ عَذَابٌ مِّنَ ٱلرَّحْمَٰنِ فَتَكُونَ لِلشَّيْطَٰنِ وَلِيًّا
"Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka".
Pengajaran
Tahap keempat, Nabi Ibrahim AS menyatakan kesan menyembah berhala kepada ayahnya.
Baginda menyatakan rasa bimbang ayahnya akan diazab oleh ar-Rahman kerana ayahnya mengambil syaitan sebagai wali.
Ayat 19: 46
قَالَ أَرَاغِبٌ أَنتَ عَنْ ءَالِهَتِى يَٰٓإِبْرَٰهِيمُ لَئِن لَّمْ تَنتَهِ لَأَرْجُمَنَّكَ وَٱهْجُرْنِى مَلِيًّا
(Bapanya) menjawab: "Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku akan meluntarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa".
Pengajaran
Ayah Nabi Ibrahim menjawab dengan bertanya; "Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim?"
Ayahnya amat marah dan menghalau Nabi Ibrahim AS. Perkataannya amat kasar terhadap anaknya yang sudah bercakap dengan lemah lembut.
Mesejnya: Benar tidak semestinya menyamankan. Hendaklah kita terus menyampaikan kebenaran walaupun ada orang yang tidak suka.
Ayat 19: 47
قَالَ سَلَٰمٌ عَلَيْكَ سَأَسْتَغْفِرُ لَكَ رَبِّىٓ إِنَّهُۥ كَانَ بِى حَفِيًّا
Nabi Ibrahim berkata: "Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.
Pengajaran
Nabi Ibrahim AS menjawab dengan tetap mengekalkan kelembutan percakapannya.
Baginda mengucapkan selamat tinggal dengan ucapan salam dan berkata yang dia akan meminta ampun kepada Allah SWT untuk ayahnya.
Nabi Ibrahim AS menegaskan bahawa Tuhan sentiasa sangat baik (حَفِيًّا) kepada baginda.
Ayat 19: 48
وَأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَأَدْعُوا۟ رَبِّى عَسَىٰٓ أَلَّآ أَكُونَ بِدُعَآءِ رَبِّى شَقِيًّا
Dan aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas; mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan derhaka seperti kamu)".
Pengajaran
Nabi Ibrahim AS lakukan tiga perkara:
Bangkit menjauhkan diri daripada perkara yang tidak baik. Pengajaran bagi kita, kalau ada suasana atau kawan yang tidak baik, kita kena bangkit dan jauhkan diri daripada perkara yang tidak baik itu. Boleh berkawan tetapi bila mereka buat yang tidak baik, jauhkan diri. Inilah yang dibuat oleh pemuda al-Kahf.
Nabi Ibrahim AS memberitahu baginda tidak akan mensyirikkan Allah SWT.
Baginda merendah diri, berdoa dengan ikhlas dan berharap Allah SWT tidak akan mengecewakannya.
Ayat 19: 49
فَلَمَّا ٱعْتَزَلَهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَهَبْنَا لَهُۥٓ إِسْحَٰقَ وَيَعْقُوبَ وَكُلًّا جَعَلْنَا نَبِيًّا
Maka apabila ia berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya); dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi.
Ayat 19: 50
وَوَهَبْنَا لَهُم مِّن رَّحْمَتِنَا وَجَعَلْنَا لَهُمْ لِسَانَ صِدْقٍ عَلِيًّا
Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia.
Pengajaran
Nabi Ibrahim AS berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah.
Kesannya, Nabi Ibrahim AS dianugerahkan Ishak (anak) dan Yaakub (cucu). Anak dan cucunya juga menjadi nabi. Allah SWT menggantikan dengan yang lebih baik.
Nabi Ibrahim AS selalu bersifat jujur (عَلِيًّا صِدْقٍ), maka Allah SWT anugerahkannya anak cucunya juga bersifat jujur.
Pelajaran untuk kita: Ibu ayah yang menjauhkan perkara yang tidak baik akan diberikan anak cucu yang soleh, insya Allah.
Ayat 19: 51
وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَٰبِ مُوسَىٰٓ إِنَّهُۥ كَانَ مُخْلَصًا وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya ia adalah orang pilihan, dan adalah ia seorang Rasul, lagi.
Pengajaran
Allah SWT anugerahkan keturunan yang baik kepada Nabi Ibrahim AS sehingga sampai kepada Nabi Musa AS dari jalur keturunan Nabi Ishak AS.
Semoga kita juga dikurniakan anak cucu yang bahagia dan soleh.
RESOLUSI
Ingat!
Laksanakan tugas memberi peringatan semasa kita masih hidup di sini (19:39)
Bina kemahiran komunikasi menyampaikan kebenaran (19:42)
Menjelaskan risiko apabila berbuat derhaka atau syirik kepada Allah SWT (19:45)
Saya berasa lega, Allah SWT ajarkan kemahiran berkomunikasi bagi menyampaikan kebenaran.
Saya jelas untuk laksanakan tugas memberi peringatan semasa kita masih hidup di sini. Saya jelas untuk bina kemahiran komunikasi menyampaikan kebenaran. Saya jelas saya mesti menjelaskan risiko apabila berbuat derhaka atau syirik kepada Allah SWT.
Ya Allah, pimpin kami untuk laksanakan tugas memberi peringatan semasa kami masih hidup. Ya Allah, bimbing kami untuk bina kemahiran komunikasi menyampaikan kebenaran. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kemahiran untuk menjelaskan kepada keluarga dan masyarakat tentang risiko apabila berbuat derhaka atau syirik kepada Allah SWT.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.