Friday, August 4, 2023

Halaman 311 : Maryam, 77-95

 PERKATAAN HARI INI  

وَلَدَ  Melahirkan.

102 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Ejekan kaum Musyrikin terhadap hari kebangkitan dan dikumpulkan manusia di Padang Mahsyar (19:77-80)

  2. Bantahan terhadap para penyembah berhala bahawa yang mereka sembah akan menjadi musuh dan tindakan mereka menjadikan syaitan sebagai pembela (19:81-87)

  3. Bantahan terhadap orang yang mengatakan bahawa Allah SWT memiliki anak (19:88-95)


Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat menyambung pembelajaran pada halaman 311 Surah Maryam untuk sama-sama kita menghargai kalam Allah SWT. 


Nikmat paling besar yang kita dapat daripada Allah SWT adalah apabila kita mendapat anugerah al-Kitab yang tidak ada kebengkokan di dalamnya. Ia meluruskan cara kita berfikir dan cara berperasaan. 


Ayat 19: 77


أَفَرَءَيْتَ ٱلَّذِى كَفَرَ بِـَٔايَٰتِنَا وَقَالَ لَأُوتَيَنَّ مَالًا وَوَلَدًا


Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan (wahai Muhammad), akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami serta ia berkata: "Demi sesungguhnya aku akan diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat?"


Pengajaran


  1. Di awal surah Maryam, ayat-ayatnya bersifat 'basyir' iaitu memberikan khabar gembira. Di hujung surah pula diberikan amaran-amaran.

  2. Di dalam Surah al-Kahf kita telah melihat kisah pemuda yang ada dua kebun. Dia rasakan dengan kekayaan dan anak yang ada itu dia dimuliakan. Padahal anak dan harta bukanlah tanda kemuliaan, ia adalah amanah daripada Allah SWT. Kita kena pastikan ia menjadi amal soleh yang akan kekal di akhirat nanti.

  3. Anak untuk disolehkan bukan untuk memuliakan Allah SWT dengan memberi anak kepada-Nya, seperti yang orang Kristian buat.


Ayat 19: 78


أَطَّلَعَ ٱلْغَيْبَ أَمِ ٱتَّخَذَ عِندَ ٱلرَّحْمَٰنِ عَهْدًا


Adakah ia telah mengetahui akan perkara yang ghaib, atau adakah ia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?


Pengajaran


  1. Allah SWT menemplak orang-orang musyrik Mekah yang meremehkan Nabi SAW. 

  2. Mereka rasa mereka kaya, mulia dan elit. Padahal mereka bertindak tanpa asas ilmu yang sebenarnya.


Ayat 19: 79


كَلَّا سَنَكْتُبُ مَا يَقُولُ وَنَمُدُّ لَهُۥ مِنَ ٱلْعَذَابِ مَدًّا


Tidak sekali-kali! Kami akan menulis apa yang dikatakannya, dan Kami akan tambahi baginya dari azab seksa, berganda-ganda.


Pengajaran


  1. Ini adalah ayat yang menakutkan. Segala perkataan kita akan dicatat. 

  2. Allah SWT akan tambah azab atau ganjaran baik, bergantung kepada apa yang dicakap.

  3. Peringatan kepada penceramah-penceramah agar berhati-hati bila bercakap dan pastikan perkataan yang dikeluarkan bersandarkan kepada Allah SWT dan Nabi SAW.


Ayat 19: 80


وَنَرِثُهُۥ مَا يَقُولُ وَيَأْتِينَا فَرْدًا


Dan Kami akan warisi (harta benda dan anak-pinak) yang dikatakannya itu, dan ia akan datang kepada kami dengan seorang diri.


Pengajaran


  1. Ini berkaitan dengan peristiwa Al-Ash Ibnu Wail. Anaknya Amar seorang sahabat Nabi SAW. Al-Ash menyangka dia akan mewarisi anaknya. Anaknya akan kembali kepada Allah SWT dan  masuk ke syurga, sedangkan dia dilaknat dan akan masuk neraka kerana menyatakan sesuatu yang tidak benar. 

  2. Anak dan harta akan dapat diwarisi sehingga ke syurga sekiranya apa yang dilakukan berteraskan al-Quran.

  3. Pasakkan anak dengan iman.


Ayat 19: 81


وَٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ ءَالِهَةً لِّيَكُونُوا۟ لَهُمْ عِزًّا


Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.


Pengajaran


  1. Mereka yang kufur mengambil selain dari Allah SWT sebagai pelindung (عِزًّا) yang akan memuliakan dan menyebabkan mereka lebih berpengaruh. 

  2. Dalam agama Kiristian, mereka mengambil Nabi Isa AS sebagai anak Tuhan. Nabi Isa AS seorang yang mulia. Baginda tidak menyuruh mereka mengidolakannya. 

  3. Percaya kepada zodiak juga adalah syirik. 


Ayat 19: 82


كَلَّا سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا


Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.


Pengajaran


  1. Berhala-berhala pun akan berlepas diri. Tokoh-tokoh yang dipuji akan berlepas diri kerana mereka tidak suruh orang mengidolakan mereka.

  2. Di hadapan Allah SWT, tiada siapa yang dapat melawan-Nya.


Ayat 19: 83


أَلَمْ تَرَ أَنَّآ أَرْسَلْنَا ٱلشَّيَٰطِينَ عَلَى ٱلْكَٰفِرِينَ تَؤُزُّهُمْ أَزًّا


Tidakkah engkau mengetahui (Wahai Muhammad) bahawa Kami telah menghantarkan syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir, untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?


Pengajaran


  1. Allah SWT telah menghantarkan syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh.

  2. Syaitan memesongkan manusia secara tidak sedar. Syaitan membuat manusia tidak merasa berdosa apabila membuat kesalahan. 

  3. Semoga kita dijauhkan daripada dipesongkan oleh syaitan.


Ayat 19: 84


فَلَا تَعْجَلْ عَلَيْهِمْ إِنَّمَا نَعُدُّ لَهُمْ عَدًّا


Oleh itu, janganlah engkau segera marah terhadap mereka yang ingkar itu, kerana sesungguhnya kami hanya menghitung hari yang sedikit sahaja bilangannya untuk mereka.


Pengajaran


  1. Jangan tergesa-gesa marahkan mereka. Allah SWT pasti menghitung segalanya. 

  2. Tugas kita, terus mengajak orang kepada geng takwa.


Ayat 19: 85


يَوْمَ نَحْشُرُ ٱلْمُتَّقِينَ إِلَى ٱلرَّحْمَٰنِ وَفْدًا


(Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertaqwa untuk mengadap (Allah) Ar-Rahman, dengan berpasukan-pasukan.


Pengajaran


  1. Di akhirat, semua orang bertakwa akan dikumpulkan secara berkafilah.

  2. Mereka ini menjaga perkataan semasa di dunia. 

  3. Mereka sangka baik kepada Allah SWT.

  4. Semoga kita termasuk dalam golongan ini.


Ayat 19: 86


وَنَسُوقُ ٱلْمُجْرِمِينَ إِلَىٰ جَهَنَّمَ وِرْدًا


Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga.


Pengajaran


  1. Orang-orang yang berdosa (ٱلْمُجْرِمِينَ) dihalau ke neraka jahannam dalam keadaan dahaga.

  2. Bagi orang Arab, dahaga amat penting kepada mereka kerana mereka perit di padang pasir yang sukar untuk mencari air. Di akhirat nanti, bila berjumpa air nanah dan cairan tembaga yang panas, sudah pasti itu tidak diinginkan.

  3. Keadaan ini berlaku kerana mereka tidak menjaga perkataan untuk mentauhidkan diri kepada Allah SWT semasa di dunia.


Ayat 19: 87


لَّا يَمْلِكُونَ ٱلشَّفَٰعَةَ إِلَّا مَنِ ٱتَّخَذَ عِندَ ٱلرَّحْمَٰنِ عَهْدًا


Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmatNya!.


Pengajaran


  1. Surah ini penuh dengan perkataan ar-Rahman. Orang Kristian, mereka  percaya kepada ar-Rahman tetapi salah konsep. Mereka cuba menyamakan ar-Rahman dengan ayah mak yang sayang kepada anak. 

  2. Tidak ada siapa yang boleh memberi syafaat kecuali orang yang mengikat janji dengan Allah SWT atau yang Allah SWT izinkan seperti Nabi Muhammad SAW.  


Ayat 19: 88


وَقَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱلرَّحْمَٰنُ وَلَدًا


Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak."


Pengajaran


  1. Mereka mengatakan ar-Rahman ada anak.


Ayat 19: 89


لَّقَدْ جِئْتُمْ شَيْـًٔا إِدًّا


Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!


Pengajaran


  1. Mereka melakukan kemungkaran yang besar.


Ayat 19: 90


تَكَادُ ٱلسَّمَٰوَٰتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنشَقُّ ٱلْأَرْضُ وَتَخِرُّ ٱلْجِبَالُ هَدًّا


Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, -


Pengajaran


  1. Langit hampir pecah dan gunung-ganang hampir runtuh kerana perkataan mereka yang rosak.


Ayat 19: 91


أَن دَعَوْا۟ لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدًا


Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak


Pengajaran


  1. Kerana mereka menyatakan ar-Rahman mempunyai anak.


Ayat 19: 92


وَمَا يَنۢبَغِى لِلرَّحْمَٰنِ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا


Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak.


Pengajaran


  1. Padahal tidaklah layak bagi ar-Rahman mempunyai anak.

  2. Nabi Isa sudah cakap bahawa baginda solat, baginda hamba ar-Rahman, baginda berzakat.

  3. Perkataan  تَكَادُ  (hampir sahaja) itu sahajalah yang memberi harapan kepada kita. Allah SWT tidak memberikan kejadian gunung berapi, tsunami setiap hari. Dunia ini terkejut sangat apabila ada orang yang mengatakan ar-Rahman mempunyai anak, menyamakan dengan makhluk.

  4. Syaitan akan masuk sedikit demi sedikit untuk menggoda. Dia menyamakan penyayang  Allah SWT seperti ibu penyayang dan ini membawa kepada kesyirikan. 

  5. Allah SWT sentiasa menjaga alam ini. Allah SWT maafkan dan beri peluang.  


Ayat 19: 93


إِن كُلُّ مَن فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ إِلَّآ ءَاتِى ٱلرَّحْمَٰنِ عَبْدًا


Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.


Pengajaran


  1. Ini rahsia untuk memastikan dunia ini tidak hancur, masih lagi Allah SWT jaga. 

  2. Kalau hendak dekat dengan ar-Rahman, jadilah hamba. Bukannya hamba yang buat-buat, beri nama-nama dan sifat-sifat yang tidak betul kepada tuhan. Ada yang benci tuhan, tidak percaya tuhan seperti golongan atheis. Ada yang samakan tuhan dengan makhluk.

  3. Siapa yang jadi hamba yang sebenar-benarnya maka dia selamat. 


Ayat 19: 94


لَّقَدْ أَحْصَىٰهُمْ وَعَدَّهُمْ عَدًّا


Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu.


Pengajaran


  1. Allah SWT rekodkan segala yang kita katakan dan yang kita tulis termasuk di media sosial.


Ayat 19: 95


وَكُلُّهُمْ ءَاتِيهِ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ فَرْدًا


Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.


Pengajaran


  1. Di akhirat nanti masing-masing akan datang menghadap Allah SWT berseorangan dan semua percakapan akan diperhitungkan. 

  2. Sebagai hamba, selalulah bercakap dengan Tuhan melalui solat dan membaca al-Quran. Jika tidak, kita akan berada dalam keadaan yang amat bahaya.


RESOLUSI


Ingat!

  1. Bersiap sedia dengan amal, bukan dengan anak dan harta (19:80)

  2. Berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan yang bersungguh-sungguh menggoda kita (19:81)

  3. Selalu muhasabah diri bagaimana prestasi ibadah dan kehambaan (19:95)


Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya menjaga percakapan agar tidak termasuk dalam golongan yang akan diazab di neraka jahannam.


Saya jelas untuk bersiap sedia dengan amal, bukan dengan anak dan harta. Saya jelas untuk berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan yang bersungguh-sungguh menggoda kita. Saya jelas untuk selalu muhasabah diri bagaimana prestasi ibadah dan kehambaan.


Ya Allah, bimbing kami untuk bersiap sedia dengan amal, bukan dengan anak dan harta. Ya Allah, lindungi kami daripada syaitan yang bersungguh-sungguh menggoda kami. Ya Allah, pimpin kami untuk muhasabah diri bagaimana prestasi ibadah dan kehambaan.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...