PERKATAAN HARI INI
خَارَ/ خَيَرَ. Memilih, melebihkan.
196 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Peristiwa Nabi Musa AS bertemu Allah SWT (20:13-16)
Berubahnya tongkat Nabi Musa AS menjadi ular, mukjizat pertama Baginda (20:17-21)
Tangan yang bercahaya (mukjizat kedua) (20:22-35)
8 nikmat Allah SWT kepada Nabi Musa AS sebelum diangkat menjadi nabi (20:36-37)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 313 Surah Taha menyambung kisah Nabi Musa AS.
Pada halaman lepas, Nabi Musa AS ternampak api. Baginda tinggalkan keluarganya untuk pergi mendapatkan api atau mendapatkan petunjuk. Di situ Nabi Musa AS diseru oleh Allah SWT.
Ayat 20: 13
وَأَنَا ٱخْتَرْتُكَ فَٱسْتَمِعْ لِمَا يُوحَىٰٓ
"Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.
Pengajaran
Allah SWT pilih Nabi Musa AS untuk baginda datang ke situ disebabkan kebaikannya. Walaupun Nabi Musa AS ada kes terdahulu, pernah membunuh tanpa disengajakan namun baginda tetap dipilih oleh Allah SWT.
Allah SWT perintahkan Nabi Musa AS dengar baik-baik apa yang akan diwahyukan kepadanya.
Pelajaran: Kalau kita boleh dengar al-Quran betul-betul, Allah SWT pilih kita. Itu bermakna ada kebaikan dalam diri kita untuk mendengar wahyu terbaik daripada Allah SWT. Bukan semua orang terpilih untuk mendengar ayat al-Quran.
Ayat 20: 14
إِنَّنِىٓ أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعْبُدْنِى وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكْرِىٓ
"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
Pengajaran
Allah SWT memperkenalkan diri-Nya; tiada Tuhan melainkan Dia; menyuruh Nabi Musa AS menyembah-Nya dan dirikan solat untuk mengingati-Nya.
Nabi Musa AS ke tempat tinggi dapat solat, seperti Nabi Muhammad SAW naik ke langit juga dapat solat.
Kalau kita ingat Allah, Allah akan ingat kita. Kalau kita hendak sentiasa dapat kenangan bersama Allah SWT, dirikan solat.
Ayat 20: 15
إِنَّ ٱلسَّاعَةَ ءَاتِيَةٌ أَكَادُ أُخْفِيهَا لِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍۭ بِمَا تَسْعَىٰ
"Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan.
Pengajaran
Hari kiamat dan solat adalah sangat dekat hubungannya. Orang yang jaga solat maknanya dia sentiasa ingat bahawa kiamat sudah dekat maka tidak bertangguh untuk solat.
Zaman Nabi Muhammad SAW lagi dekat dengan kiamat. Zaman kita lagilah sangat dekat.
Allah SWT sembunyikan tarikh kiamat supaya kita berusaha setiap masa untuk jaga solat. Kita jaga solat sebab hendakkan pengalaman bersama tuhan di sini agar kita dapat bertemu Allah SWT di akhirat.
Ayat 20: 16
فَلَا يَصُدَّنَّكَ عَنْهَا مَن لَّا يُؤْمِنُ بِهَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ فَتَرْدَىٰ
"Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa.
Pengajaran
Janganlah sampai kita dipalingkan daripada mempercayai hari kiamat dan solat disebabkan hal dunia. Orang beriman akan bersolat.
Kalau kita ikut orang yang tidak solat, yang mengikut hawa nafsu, tidak percaya hari kiamat, maka kita akan binasa.
Orang yang tidak jaga solat, tidak stabil. Dalam hidupnya akan ada perkara-perkara yang tidak sesuai kerana dia tidak ingat Allah SWT.
Ayat 20: 17
وَمَا تِلْكَ بِيَمِينِكَ يَٰمُوسَىٰ
"Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?"
Pengajaran
Nama Nabi Musa AS dipanggil di hujung ayat. Dalam ayat ini Allah SWT bertanya dengan lembut kepada Nabi Musa AS apa yang ada di tangannya.
Ayat 20: 18
قَالَ هِىَ عَصَاىَ أَتَوَكَّؤُا۟ عَلَيْهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَىٰ غَنَمِى وَلِىَ فِيهَا مَـَٔارِبُ أُخْرَىٰ
Nabi Musa menjawab: "Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu".
Pengajaran
Nabi Musa AS menjawab dengan panjang lebar, menceritakan apa yang dilakukan dengan tongkatnya. Baginda mengambil peluang bercakap panjang dengan Allah SWT.
Nabi Musa AS menghargai pertemuannya dengan Allah SWT. Begitu juga dengan kita, ambillah masa yang lama untuk bercakap dengan Allah SWT di dalam solat, baca ayat al-Quran yang panjang.
Ayat 20: 19
قَالَ أَلْقِهَا يَٰمُوسَىٰ
Allah Taala berfirman: "Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!"
Ayat 20: 20
فَأَلْقَىٰهَا فَإِذَا هِىَ حَيَّةٌ تَسْعَىٰ
Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar.
Pengajaran
Allah SWT perintahkan Nabi Musa AS campakkan tongkatnya.
Nabi Musa AS campakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya menjadi ular yang merayap.
Ayat 20: 21
قَالَ خُذْهَا وَلَا تَخَفْ سَنُعِيدُهَا سِيرَتَهَا ٱلْأُولَىٰ
Allah berfirman: "Tangkaplah akan dia, dan janganlah engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal.
Pengajaran
Nabi Musa AS diajar untuk ada keyakinan kepada Allah SWT, kemudian dipujuk untuk tidak takut. Allah SWT kembalikan tongkat kepada keadaannya yang asal.
Dalam hidup kita, jalan sahaja dahulu. Jangan takut-takut. Banyak sangat motivasi pun tak jalan juga.
Ayat 20: 22
وَٱضْمُمْ يَدَكَ إِلَىٰ جَنَاحِكَ تَخْرُجْ بَيْضَآءَ مِنْ غَيْرِ سُوٓءٍ ءَايَةً أُخْرَىٰ
"Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain.
Ayat 20: 23
لِنُرِيَكَ مِنْ ءَايَٰتِنَا ٱلْكُبْرَى
"(Berlakunya yang demikian itu) kerana Kami hendak memperlihatkan kepadamu sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar.
Pengajaran
Ini mukjizat Nabi Musa AS yang kedua. Tangan Nabi Musa AS menjadi putih bersinar-sinar.
Allah SWT berikan mukjizat itu kepada Nabi Musa AS kerana Allah SWT hendak memperlihatkan kepada baginda sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya yang besar.
Kita juga ada peluang untuk berjumpa Allah SWT di dalam solat dengan membaca al-Quran yang merupakan mukjizat yang sampai kepada kita.
Ayat 20: 24
ٱذْهَبْ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ
"Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas".
Peringatan
Allah SWT perintahkan Nabi Musa AS untuk pergi kepada Firaun yang telah melampaui batas.
Sudah dapat mukjizat bukan untuk suka-suka sahaja. Ada perjuangan yang datang bersamanya.
Kepada kita yang dapat mukjizat al-Quran, bukan sekadar untuk dengar, baca dan munajat sahaja, tetapi kita bertanggungjawab untuk mengingatkan orang lain seperti mana Nabi Muhammad SAW mengingatkan Quraisy dan Nabi Musa AS mengingatkan Firaun.
Ayat 20: 25
قَالَ رَبِّ ٱشْرَحْ لِى صَدْرِى
Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;
Pengajaran
Nabi Musa AS berdoa kepada Allah SWT supaya dilapangkan dadanya kerana baginda hendak berjumpa Firaun.
Kita memerlukan doa ini supaya dapat mengawal marah apabila berdepan dengan orang lain.
Ayat 20: 26
وَيَسِّرْ لِىٓ أَمْرِى
"Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;
Pengajaran
Nabi Musa AS minta dimudahkan urusannya.
Yang memudahkan urusan bertemu dengan Firaun ialah Allah SWT. Hendak jumpa Firaun bukan mudah. Ia melibatkan banyak prosesnya.
Urusan dakwah ini tanda kita mengikut jejak Nabi Musa AS juga Nabi Muhammad SAW. Sunnah terbesar ialah pergi menyampaikan mesej kepada orang ramai. Tidak boleh duduk syok di masjid atau di rumah membaca al-Quran sahaja tanpa keluar sampaikan mesej al-Quran.
Ayat 20: 27
وَٱحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِى
"Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,
Pengajaran
Nabi Musa AS memohon dilepaskan sebahagian simpulan daripada lidahnya. Baginda minta yang diperlukan sahaja untuk menjalankan misinya. Seperti juga pemuda al-Kahf yang keluar mencari sebahagian sahaja rezeki untuk di makan.
Ayat 20: 28
يَفْقَهُوا۟ قَوْلِى
"Supaya mereka faham perkataanku;
Pengajaran
Baginda minta supaya mereka faham perkataannya secara mendalam (faqeh).
Dalam penyampaian, yang penting ialah orang lain faham apa yang kita cakap. Bukan kita faham sendiri.
Memberi kefahaman bukanlah tugas penyampai, tetapi Allah SWT yang memberi kefahaman.
Ayat 20: 29
وَٱجْعَل لِّى وَزِيرًا مِّنْ أَهْلِى
"Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.
Ayat 20: 30
هَٰرُونَ أَخِى
"Iaitu Harun saudaraku;
Ayat 20: 31
ٱشْدُدْ بِهِۦٓ أَزْرِى
"Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku,
Ayat 20: 32
وَأَشْرِكْهُ فِىٓ أَمْرِى
"Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku,
Ayat 20: 33
كَىْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا
"Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu,
Ayat 20: 34
وَنَذْكُرَكَ كَثِيرًا
"Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;
Ayat 20: 35
إِنَّكَ كُنتَ بِنَا بَصِيرًا
"Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami".
Ayat 20: 36
قَالَ قَدْ أُوتِيتَ سُؤْلَكَ يَٰمُوسَىٰ
Allah berfirman: "Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa!
Ayat 20: 37
وَلَقَدْ مَنَنَّا عَلَيْكَ مَرَّةً أُخْرَىٰٓ
"Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini.
Pengajaran Ayat 29-37
Nabi Musa AS memohon diberi pembantu iaitu abangnya Nabi Harun AS.
Salah satu tugas pembantu ialah supaya kedua-duanya banyak bertasbih, dan banyak mengingati Allah SWT. Boleh bekerjasama.
Bertasbih dan berzikir adalah sumber kekuatan sebagai persediaan untuk bertemu Firaun.
Allah SWT sedia melihat dan mengetahui keadaan mereka.
Doa Nabi Musa AS dimakbulkan.
Allah SWT telahpun mengurniakan kepada Nabi Musa AS berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini.
RESOLUSI
Ingat!
Dirikan solat untuk mengingati Allah SWT adalah tujuan yang amat besar (20:14)
Sentiasa bersedia untuk bertemu hari kiamat (20:15)
Yakin dengan mukjizat walau nampak seperti kita lemah di samping cabaran yang besar (20:21)
Saya berasa lega, Allah SWT akan bantu dalam urusan dakwah kalau saya berdoa kepada-Nya seperti doa yang dibaca oleh Nabi Musa AS.
Saya jelas untuk dirikan solat untuk mengingati Allah SWT adalah tujuan yang amat besar. Saya jelas saya mesti bersedia untuk bertemu hari kiamat. Saya jelas saya mesti yakin dengan mukjizat walau nampak seperti kita lemah di samping cabaran yang besar.
Ya Allah, jadikan kami orang yang mendirikan solat. Ya Allah, bimbing kami untuk membuat persediaan bertemu hari kiamat. Ya Allah, lapangkan dada kami, mudahkan urusan kami, kurniakan kami kekuatan untuk menghadapi cabaran sebagai pendakwah. Ya Allah, jadikan kami orang yang bertasbih dan berzikir kepada Mu.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib