Friday, August 4, 2023

Halaman 312 : Maryam, 96-98 dan Taha, 1-12

PERKATAAN HARI INI   

وَدَّوَدَدَ   Cinta, mengharapkan dengan bersungguh-sungguh.

29 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Rasa cinta kepada orang Mukmin, dimudahkannya al-Quran dan dibinasakan orang jahat (19:96-98)

  2. Al-Quran sebagai sebab tercapainya kebahagiaan (20:1-8)

  3. Pembicaraan Allah SWT dengan Nabi Musa A.S (atau munajat Nabi Musa A.S) dan awal wahyu yang disampaikan kepadanya di lembah yang suci (20: 9-12)



Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat menyambung pembelajaran pada halaman 312 untuk melihat bahagian akhir Surah Maryam dan awal Surah Taha. Surah Taha yang indah ini memberi kesan kepada Saidina Umar sehingga beliau memeluk agama Islam. 


Hubungan yang baik dengan Allah SWT tanpa perantaraan adalah perkara yang akan mengundang berbagai barakah daripada Allah SWT sepertimana dimuliakan kepada Saidatina Maryam yang dinyatakan dalam surah Maryam.


Pada ayat 95, Allah SWT mengingatkan bahawa semua orang akan datang kepada hari kiamat berseorangan untuk menghadap Allah SWT. Itulah mahkamah yang akan menentukan pergi ke syurga atau masuk dalam neraka Allah SWT.


Ayat 19: 96


إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ ٱلرَّحْمَٰنُ وُدًّا


 Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.


Pengajaran


  1. Allah SWT menerbitkan rasa cinta (وُدًّا) yang mendalam di dalam hati orang beriman. 

  2. Di dalam Surah Maryam, banyak kali disebut perkataan ar-Rahman. Ini adalah kritik kepada agama Kristian. Mereka gunakan 'love', mendakwa Tuhan hantar anak sebagai tanda cinta untuk menyelamatkan seluruh manusia. Itu adalah konsep yang salah. 

  3. Allah memang penyayang. Dalam agama Islam kita memang mengutamakan kasih sayang Allah tetapi bukannya kita samakan dengan ayah, mak dan anak dalam hubungan kemanusiaan.

  4. Allah itu Esa, yang menciptakan Nabi Isa AS seperti menciptakan Nabi Adam AS tanpa ayah dan ibu. Itulah bukti mengapa kita kena kagum sangat kepada Allah SWT yang mencipta Nabi Isa AS.

  5. Perkataan وُدًّا ialah perasaan cinta yang mendalam yang ditanamkan oleh ar-Rahman kepada orang yang beriman dan beramal soleh. 

  6. Orang beriman dan beramal soleh ada cahaya tersendiri. Kalau kita ada rasa dengki atau perasaan tidak puas hati kepada orang yang beriman dan beramal soleh, itu bermakna kita tidak cukup beriman dan beramal soleh untuk mendapat وُدًّا daripada ar-Rahman. Semoga kita dapat bina perasaan ini dalam diri kita.


Ayat 19: 97


فَإِنَّمَا يَسَّرْنَٰهُ بِلِسَانِكَ لِتُبَشِّرَ بِهِ ٱلْمُتَّقِينَ وَتُنذِرَ بِهِۦ قَوْمًا لُّدًّا


Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.


Pengajaran


  1. Allah SWT mudahkan untuk memberi khabar gembira dengan al-Quran ini kepada orang yang bertakwa. 

  2. Khabar gembira, rasa kasih sayang ada kaitan rapat di antara iman, amal soleh dan juga al-Quran. Bila baca al-Quran akan menyebabkan hati makin lama makin mengenal iman dan amal soleh. Jumpa orang sahaja dia sudah ada perasaan وُدًّا tersebut. 

  3. Kalau tidak baca al-Quran, cahaya itu akan semakin malap, kita mungkin susah hendak menghargai iman dan amal soleh yang ada, walaupun orang itu sedang berbuat kebaikan.

  4. Al-Quran juga memberi peringatan kepada kaum yang suka membantah. Kaum Kristian suka membantah kepada kebenaran. Mereka terlampau cintakan Nabi Isa AS, berbantah bahawa ini adalah anak tuhan. Kaum Yahudi juga membantah menyatakan yang Nabi Isa AS adalah anak luar nikah. Tetapi bagi orang beriman, Allah SWT mengatakan Dia yang cipta Nabi Isa AS, kita percaya itu tidak mustahil bagi Allah SWT.


Ayat 19: 98


وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّن قَرْنٍ هَلْ تُحِسُّ مِنْهُم مِّنْ أَحَدٍ أَوْ تَسْمَعُ لَهُمْ رِكْزًۢا


Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka; engkau tidak menyedari ataupun mendengar suara yang sayup bagi seorang pun dari orang-orang yang telah dibinasakan itu.


Pengajaran


  1. Allah SWT mengingatkan, kalau kita hendak berbisik, biarlah berbisik itu membesarkan Allah SWT, berdoa dengan suara yang lembut. Jangan sampai bisikan kita itu tidak diterima kerana  berbuat syirik kepada Allah SWT.

  2. Orang yang tidak beragama, tidak bertuhan atau mensyirikkan Allah SWT sebelum sampai di akhirat sana, mereka sudah rasai azab-Nya sampai orang itu sanggup membunuh diri dan dia rasakan itu penghujung kehidupan, rupanya itulah azab awal sebelum didatangkan azab-azab yang kita tidak dapat bayangkan kerana dosa syirik kepada Allah SWT. 

  3. Syirik adalah perkara yang ditegur dalam surah Maryam dan surah al-Kahf untuk orang Kristian.


SURAH KE-20: TAHA


Surah ini banyak cerita tentang Nabi Musa AS.


Ayat 20: 1


طه


Taa' Haa.


Pengajaran


  1. Surah ini dimulakan dengan huruf mukhoto'ah untuk mengingatkan bahawa kita tidak tahu. Hanya Allah SWT yang tahu.


Ayat 20: 2


مَآ أَنزَلْنَا عَلَيْكَ ٱلْقُرْءَانَ لِتَشْقَىٰٓ


Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.


Pengajaran


  1. Al-Quran ini diturunkan bukan untuk menyusahkan. 

  2. Ia bukan hanya untuk dibaca tetapi ada tanggungjawab yang besar sebagaimana tanggungjawab dalam surah Maryam kepada Nabi Isa AS untuk membawa kebenaran Taurat. 


Ayat 20: 3


إِلَّا تَذْكِرَةً لِّمَن يَخْشَىٰ


Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah


Pengajaran


  1. Al-Quran bukan hanya untuk kita. Kita bertanggungjawab untuk sampaikan al-Quran kepada seluruh dunia. 

  2. Allah SWT turunkan al-Quran bukan untuk memberatkan kita. Ia adalah untuk peringatan. Ia ingatkan balik kepada fitrah. Orang bukan Islam sudah ada fitrah kebaikan. Kalau kita bawakan al-Quran kepada mereka walaupun mereka membantah, tetapi sebenarnya al-Quran sudah ada hujah untuk ingatkan balik kepada fitrah mereka. Kita tidak perlu cari hujah, cara dan sebagainya. 

  3. Al-Quran ini menjadi peringatan kepada orang yang takut kepada Allah SWT. 

  4. Perasaan takut (يَخْشَىٰ) seseorang itu terbenam di dalam hati. Ia mungkin memerlukan masa yang lama untuk timbul. Tugas kita, teruslah beri peringatan sepertimana Nabi SAW terus beri peringatan sehingga Abu Sufiyan yang menentang Nabi SAW akhirnya memeluk Islam pada tahun 8 Hijrah.


Ayat 20: 4


تَنزِيلًا مِّمَّنْ خَلَقَ ٱلْأَرْضَ وَٱلسَّمَٰوَٰتِ ٱلْعُلَى


(Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.


Pengajaran


  1. Al-Quran diturunkan oleh pencipta bumi dan langit. 


Ayat 20: 5


ٱلرَّحْمَٰنُ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱسْتَوَىٰ


Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.


Pengajaran


  1. Iaitu Ar-Rahman bersemayam di Arasy.


Ayat 20: 6


لَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَمَا تَحْتَ ٱلثَّرَىٰ


Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi.


Pengajaran


  1. Allah SWT memiliki segala apa yang ada di langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya. 

  2. ٱلثَّرَىٰ  تَحْتَ  وَمَاialah apa yang ada di bawah tanah. Contoh: Permata, petrolium. Ini adalah petanda kepada kisah yang ada dalam ayat-ayat dihadapan. Iaitu tentang Firaun yang merasakan dirinya amat tinggi, dijerluskan ke dasar laut. Firaun yang didakwahkan oleh Nabi Musa AS rasa dia amat tinggi di atas muka bumi ini.


Ayat 20: 7


وَإِن تَجْهَرْ بِٱلْقَوْلِ فَإِنَّهُۥ يَعْلَمُ ٱلسِّرَّ وَأَخْفَى


Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.


Pengajaran


  1. Tidak perlulah lantangkan suara apabila berdoa kepada Allah SWT. 

  2. Allah SWT  tahu apa yang rahsia dan tersembunyi. ٱلسِّرَّ adalah rahsia kita yang ada orang tahu. وَأَخْفَى adalah rahsia yang kita sendiri pun tidak tahu, hanya Allah SWT yang tahu.

  3. Ini adalah satu peringatan besar untuk kita kerana inilah adalah syarat untuk kita bahagia. Rupanya untuk bahagia, kita kena kenal bahawa Allah tahu yang rahsia, tahu yang tersembunyi, termasuklah siapa yang takut ketika disampaikan tazkirah. Yang tahu kelumit dalam hati seseorang hanyalah Allah SWT. 


Ayat 20: 8


ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ لَهُ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ


Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik.


Pengajaran


  1. Allah-lah satu-satunya yang disembah. Tidak ada Tuhan kecuali-Nya. 

  2. Adanya Tuhan ini menyebabkan kita ini tidak mudah berasa gagal atau berat dalam hidup kita. Keadaan di Mekah itu amat perit, tetapi bila tahu ada Allah, Nabi SAW mendapat motivasi adanya kejayaan di hadapan selepas hijrah ke Madinah Al-Munawwarah. 

  3. Itu diwakili oleh tawakkal Nabi SAW apabila selalu berdoa dengan nama-nama Allah yang baik (ٱلْحُسْنَىٰ  ٱلْأَسْمَآءُ). Bila berdoa kita kena betul-betul percaya dan tawakkal dengan nama-nama Allah yang kita berdoa. Itulah sifat 'yakhsya' yang perlu ada dalam diri.


Ayat 20: 9


وَهَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ مُوسَىٰٓ


Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa?


Pengajaran


  1. Allah SWT sampaikan berita terkini kepada Nabi Muhammad SAW mengenai Nabi Musa AS.


Ayat 20: 10


إِذْ رَءَا نَارًا فَقَالَ لِأَهْلِهِ ٱمْكُثُوٓا۟ إِنِّىٓ ءَانَسْتُ نَارًا لَّعَلِّىٓ ءَاتِيكُم مِّنْهَا بِقَبَسٍ أَوْ أَجِدُ عَلَى ٱلنَّارِ هُدًى


Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: "Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalan.


Pengajaran


  1. Dalam perjalanan ke Madyan dari Mesir, Nabi Musa AS nampak api.

  2. Baginda menyuruh kelurganya berhenti sementara baginda pergi untuk mendapatkan api atau mungkin dapat petunjuk jalan. 


Ayat 20: 11


فَلَمَّآ أَتَىٰهَا نُودِىَ يَٰمُوسَىٰٓ


Maka apabila ia sampai ke tempat api itu (kedengaran) ia diseru: "Wahai Musa! " 


Pengajaran


  1. Apabila sampai ke tempat api, Nabi Musa AS diseru oleh satu suara.


Ayat 20: 12


إِنِّىٓ أَنَا۠ رَبُّكَ فَٱخْلَعْ نَعْلَيْكَ إِنَّكَ بِٱلْوَادِ ٱلْمُقَدَّسِ طُوًى


"Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci.


Pengajaran


  1. Allah SWT menyuruh Nabi Musa AS membuka kasutnya. 

  2. Pelajarannya: Wahyu pertama Nabi Muhammad SAW ialah iqra' iaitu ilmu. Membuka kasut ini adalah tentang adab. Ilmu dan adab dua perkara yang penting. Kalau orang ada ilmu tanpa adab, akhirnya ia tidak beradab kepada Tuhan dan manusia. Kalau dia belajar adab, maka itu adalah akses penting untuk dia terus mendapat lebih banyak ilmu. 



RESOLUSI


Ingat!

  1. Tingkatkan komitmen kepada al-Quran sebagai sumber khabar gembira kepada orang bertakwa (19:97)

  2. Ambil pelajaran daripada mereka yang sudah Allah SWT hancurkan sebelum ini (19:98)

  3. Pastikan ada tazkirah setiap hari dengan al-Quran (20:2-3)


Saya berasa lega, Allah SWT berikan khabar gembira di dalam al-Quran.


Saya jelas untuk tingkatkan komitmen kepada al-Quran sebagai sumber khabar gembira kepada orang bertakwa. Saya jelas untuk ambil pelajaran daripada mereka yang sudah Allah SWT hancurkan sebelum ini. Saya jelas untuk pastikan ada tazkirah setiap hari dengan al-Quran.


Ya Allah, tingkatkan komitmen kami kepada al-Quran. Jadikan kami orang yang bertakwa. Jadikan al-Quran sebagai sumber khabar gembira kepada kami. Ya Allah, bimbing kami untuk ambil pelajaran daripada mereka yang sudah Engkau hancurkan sebelum ini. Ya Allah, kurniakan kami tazkirah setiap hari dengan al-Quran.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...