PERKATAAN HARI INI
قَذَفَ Meletakkan, melontar.
9 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Nikmat Allah SWT kepada Nabi Musa AS (20:38-41)
Arahan untuk Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS dalam berdakwah kepada Firaun (20:42-48)
Dialog antara Firaun dan Nabi Musa AS sekitar isu ketuhanan (20:49-51)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 314 Surah Taha untuk memberi inspirasi kepada kita mengenai perjuangan Nabi Musa AS. Ia bukan sekadar kisah Nabi Musa AS beribu tahun lalu, tetapi menjadi motivasi kepada Nabi Muhammad SAW, kepada sahabat-sahabat Nabi SAW dan juga kepada kita pada tahun ini.
Kita telah melihat kepentingan solat kepada Nabi Musa AS, kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada kita umat Nabi Muhammad SAW. Ia bukan sekadar satu kewajipan tetapi ia adalah tanda hubungan yang rapat kita dengan Pencipta kita. Mengingati Allah SWT banyak kali berulang dalam surah Taha ini yang memberikan panduan kebahagiaan kepada kita.
Pada halaman lepas, kita telah lihat Nabi Musa AS berdoa minta macam-macam. Allah SWT mengingatkannya yang Dia telah menganugerahkan macam-macam kepadanya sebelum itu.
Ayat 20: 38
إِذْ أَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ أُمِّكَ مَا يُوحَىٰٓ
"Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:
Pengajaran
Allah SWT telah ilhamkan kepada ibu Nabi Musa AS untuk menyusukan Nabi Musa AS.
Ayat 20: 39
أَنِ ٱقْذِفِيهِ فِى ٱلتَّابُوتِ فَٱقْذِفِيهِ فِى ٱلْيَمِّ فَلْيُلْقِهِ ٱلْيَمُّ بِٱلسَّاحِلِ يَأْخُذْهُ عَدُوٌّ لِّى وَعَدُوٌّ لَّهُۥ وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً مِّنِّى وَلِتُصْنَعَ عَلَىٰ عَيْنِىٓ
"Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.
Pengajaran
Allah SWT mengilhamkan kepada ibunya untuk meletakkan anaknya di dalam peti dan menghanyutkannya ke Sungai Nil. Nanti, Nabi Musa AS akan diambil oleh musuhNya, Firaun.
Mula-mula emaknya letak peti itu dekat tebing sungai, kemudian ditolak jauh. Jika dekat, tidak bergerak sangat. Kalau dijumpai oleh tentera, terus dibunuh. Bila jauh, peti itu mengalir ke istana Firaun dan dia selamat dengan peraturan daripada Allah SWT.
Waktu itu, anak-anak lelaki yang lahir dibunuh oleh Firaun. Asiah, isteri Firaun, sangat suka kepada bayi itu bila dibawa kepadanya. Firaun juga menyukai bayi itu. Inilah مَحَبَّةً Allah SWT yang ditanamkan kepada Nabi Musa AS, kesannya sampai kepada Asiah dan Firaun. Bila مَحَبَّةً telah ditanamkan oleh Allah SWT, maka mudah segalanya.
Nabi Musa AS diasuh oleh Firaun dibawah pengawasan Allah SWT. Nabi Musa AS diberi pendidikan yang istimewa dan dilatih menjadi pemimpin di istana Firaun. Orang-orang dari istana-istana lain juga menghantar anak-anak mereka ke sana untuk belajar.
Ayat 20: 40
إِذْ تَمْشِىٓ أُخْتُكَ فَتَقُولُ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ مَن يَكْفُلُهُۥ فَرَجَعْنَٰكَ إِلَىٰٓ أُمِّكَ كَىْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلَا تَحْزَنَ وَقَتَلْتَ نَفْسًا فَنَجَّيْنَٰكَ مِنَ ٱلْغَمِّ وَفَتَنَّٰكَ فُتُونًا فَلَبِثْتَ سِنِينَ فِىٓ أَهْلِ مَدْيَنَ ثُمَّ جِئْتَ عَلَىٰ قَدَرٍ يَٰمُوسَىٰ
"Ketika saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang memungutmu:" Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh memeliharanya?" Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang hatinya dan supaya ia tidak berdukacita kerana bercerai denganmu; dan semasa engkau membunuh seorang lelaki, lalu Kami selamatkan engkau dari kesusahan pembunuhan itu; dan Kami telah melepaskan engkau berkali-kali dari berbagai-bagai cubaan; kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun dalam kalangan penduduk negeri Madyan; setelah itu engkau sekarang datang dari sana pada masa yang telah ditentukan, wahai Musa!
Pengajaran
Kakak Nabi Musa AS adalah seorang yang bijak. Kakak Nabi Musa AS menyarankan kepada Firaun dan Asiah, orang yang boleh menyusukan bayi itu. Maka, kembalilah Nabi Musa AS ke pangkuan ibunya.
Hal ini diberitahu oleh Allah SWT kepada Nabi Musa AS di atas bukit tersebut. Mesejnya, kegembiraan emak ialah kegembiraan bagi seorang anak. Banyakkanlah menggembirakan emak kita. Ini adalah salah satu uslub yang dibawakan di dalam ayat ini.
Allah SWT mengingatkan Nabi Musa AS peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku kepada baginda. Semua yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. Ini adalah grand design bagi menjalankan misi untuk Allah SWT.
Begitulah kehidupan kita, bila kita ikut ketentuan Allah SWT, kadang-kadang ada naik turun seperti kisah Nabi Musa AS, Nabi Yusuf AS, dan Nabi Muhammad SAW.
Inilah antara kisah yang diceritakan oleh Allah SWT untuk kita. Janganlah kita buat tidak tahu sahaja dan hanya melebihkan kisah-kisah lain selain dari al-Quran. Tidak salah tahu kisah lain tetapi ambil tahu juga kisah-kisah yang Allah SWT bawakan.
Al-Quran mesti dibaca dengan baik kerana ia adalah zikir. Sepanjang Surah Taha, banyak tentang untuk melaksanakan misi kehidupan, kita sendiri kena ada banyak bekalan tazkirah. Selalu ingat kepada Allah SWT dengan solat, al-Quran dan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ayat 20: 41
وَٱصْطَنَعْتُكَ لِنَفْسِى
"Dan Aku telah memilihmu untuk menjadi RasulKu.
Ayat 20: 42
ٱذْهَبْ أَنتَ وَأَخُوكَ بِـَٔايَٰتِى وَلَا تَنِيَا فِى ذِكْرِى
"Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati Daku.
Ayat 20: 43
ٱذْهَبَآ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ
"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.
Pengajaran Ayat 41-42
Allah SWT memilih Nabi Musa AS menjadi rasul.
Allah SWT memerintahkan Nabi Musa AS dan saudaranya membawa mukjizat-mukjizat kurniaan-Nya dan mengingatkan mereka supaya tidak lalai dari mengingatiNya.
Allah SWT menyuruh mereka berdua pergi kepada Firaun kerana dia melampau batas dalam kehidupan.
Ayat 20: 44
فَقُولَا لَهُۥ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".
Pengajaran
Allah SWT memerintahkan mereka berkata kepada Firaun dengan kata-kata yang lemah-lembut ( قَوْلًا لَّيِّنًا). Dari awal hingga ke hujung, lemah-lembut. Semoga Firaun mengambil pelajaran atau dia merasa takut kepada Allah SWT.
Ini adalah panduan untuk kita bercakap bila ada orang 'provoke' kita. Jangan cepat melenting. Inilah cara bercakap untuk mengajak kepada kebaikan.
Rahsia seseorang itu mengambil tazkirah bukanlah milik Nabi Musa AS atau milik kita. Ia adalah milik Allah SWT yang mengetahui sesuatu yang tersembunyi.
Ayat 20: 45
قَالَا رَبَّنَآ إِنَّنَا نَخَافُ أَن يَفْرُطَ عَلَيْنَآ أَوْ أَن يَطْغَىٰ
Mereka berdua berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera menyeksa kami, atau ia akan melampau batas".
Ayat 20: 46
قَالَ لَا تَخَافَآ إِنَّنِى مَعَكُمَآ أَسْمَعُ وَأَرَىٰ
Allah berfirman: "Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya.
Pengajaran
Nabi Musa AS berkata yang mereka takut kepada Firaun.
Allah SWT memujuk mereka supaya tidak takut. Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.. Allah SWT dekat dan Dia membantu mereka pada setiap masa.
Ayat 20: 47
فَأْتِيَاهُ فَقُولَآ إِنَّا رَسُولَا رَبِّكَ فَأَرْسِلْ مَعَنَا بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ وَلَا تُعَذِّبْهُمْ قَدْ جِئْنَٰكَ بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكَ وَٱلسَّلَٰمُ عَلَىٰ مَنِ ٱتَّبَعَ ٱلْهُدَىٰٓ
"Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya, kemudian katakanlah: "Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami, dan janganlah engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk ugama Allah.
Pengajaran
Nabi Musa AS diajar supaya berkata kepada Firaun tentang 4 perkara yang pasti buat Firaun marah:
beritahu Firaun mereka adalah Rasul
bebaskan Bani Israel. Jangan hukum mereka
mereka membawa mukjizat dari Tuhanmu
keselamatan bagi siapa yang mengikut petunjuk
Ayat 20: 48
إِنَّا قَدْ أُوحِىَ إِلَيْنَآ أَنَّ ٱلْعَذَابَ عَلَىٰ مَن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ
"Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa di dunia dan di akhirat ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya".
Ayat 20: 49
قَالَ فَمَن رَّبُّكُمَا يَٰمُوسَىٰ
(Setelah mereka menyampaikan perintah Allah itu), Firaun berkata: "Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa?"
Pengajaran
Nabi Musa AS terus memberi peringatan kepada Firaun tentang azab yang akan ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya.
Firaun bertanya kepada Nabi Musa AS sahaja, "Siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa". Dia tidak langsung menyebut nama Nabi Harun AS kerana Nabi Harun AS adalah hamba abdi.
Ayat 20: 50
قَالَ رَبُّنَا ٱلَّذِىٓ أَعْطَىٰ كُلَّ شَىْءٍ خَلْقَهُۥ ثُمَّ هَدَىٰ
Nabi Musa menjawab: "Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semula jadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya".
Ayat 20: 51
قَالَ فَمَا بَالُ ٱلْقُرُونِ ٱلْأُولَىٰ
Firaun bertanya lagi: "Jika demikian, bagaimana pula keadaan kaum-kaum yang telah lalu?
Pengajaran
Nabi Musa AS menjawab bahawa Tuhannya ialah Tuhan yang menciptakan segala-galanya dan memberikan hidayah. Contoh: Mencipta lembu dan lembu makan rumput, itulah hidayah.
Lembu ikut hidayah, manusia kena segan kepada lembu yang dicipta oleh Allah SWT kalau tidak mahu ikut hidayah Allah SWT.
Firaun menyerang Nabi Musa dengan bertanya tentang kaum-kaum terdahulu.
RESOLUSI
Ingat!
Sentiasa yakin Allah SWT akan membantu kita walau kita pernah berbuat silap (20:40)
Ketika melaksanakan misi dakwah, jangan lalai daripada berzikir (20:42)
Utamakan kelembutan dalam berdakwah kerana ia akan memberi kesan tazkirah atau takut (20:44)
Saya berasa lega, Allah SWT akan membantu walaupun saya pernah buat silap.
Saya jelas untuk sentiasa yakin Allah SWT akan membantu saya walau saya pernah berbuat silap. Saya jelas ketika melaksanakan misi dakwah, jangan lalai daripada berzikir. Saya jelas untuk utamakan kelembutan dalam berdakwah kerana ia akan memberi kesan tazkirah atau takut.
Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa yakin akan bantuan Mu walaupun kami pernah berbuat silap. Ya Allah, pimpin kami agar tidak lalai daripada berzikir ketika melaksanakan misi dakwah. Ya Allah, bimbing kami untuk utamakan kelembutan dalam berdakwah kerana ia akan memberi kesan tazkirah atau takut.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib