Friday, August 4, 2023

Halaman 317 : Taha, 77-87

PERKATAAN HARI INI   

 خَسِيَ Takut, gentar. 
48 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Ditenggelamkan Firaun dan bala tenteranya di laut dan nikmat Allah SWT kepada Bani Israel (20:77-82)
  2. Perbincangan Allah SWT dengan Nabi Musa A.S pada waktu yang telah dijanjikan dan fitnah Samiri yang menjadikan patung anak lembu sebagai tuhan (20:83-87)


Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 317 Surah Taha. 

Pada halaman lepas kita telah belajar bahawa ahli-ahli sihir bersujud kerana mereka ini orang berilmu waktu itu dan mereka tahu ada limitasi pada ilmu sihir. Mereka tahu apa yang ditunjukkan oleh Nabi Musa AS bukan sihir. Firaun tidak puas hati, dia ingin bunuh ahli sihir. 


Ayat 20:77


وَلَقَدْ أَوْحَيْنَآ إِلَىٰ مُوسَىٰٓ أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِى فَٱضْرِبْ لَهُمْ طَرِيقًا فِى ٱلْبَحْرِ يَبَسًا لَّا تَخَٰفُ دَرَكًا وَلَا تَخْشَىٰ


Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar mengembara pada waktu malam, kemudian pukullah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam".


Pengajaran


  1. Allah SWT memberi wahyu secara spesifik kepada Nabi Musa AS untuk membawa Bani Israel keluar dari Mesir pada waktu malam. 
  2. Allah SWT memberitahu kepada Nabi Musa AS untuk pukul air laut dengan tongkat baginda untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu dan supaya tidak takut untuk melalui laut bersama lebih setengah juta kaum Bani Israel kerana Dia akan membantu. 
  3. Makin banyak kita membaca al-Quran, kita akan jadi orang yang takut kepada Allah, bukan takut kepada selain daripada Allah, tidak takut kepada ombak badai kehidupan. Allah SWT ingatkan Nabi Musa jangan takut kepada Firaun, jangan takut kepada ombak Laut Merah. Bila ada al-Quran, ada Allah, ia membina keyakinan. 
  4. Sebagai pemimpin kena yakin dengan Tuhan, barulah dia boleh memimpin dengan saksama 600 ribu Bani Israel pada waktu malam menyeberang Laut Merah menuju ke Kan'an Palestin untuk kemenangan.


Ayat 20:78


فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ بِجُنُودِهِۦ فَغَشِيَهُم مِّنَ ٱلْيَمِّ مَا غَشِيَهُمْ


Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya.


Pengajaran


  1. Firaun dan tenteranya mengejar Nabi Musa AS dan Bani Israel lalu mereka digulung ombak yang menenggelamkan Firaun dan tenteranya. Ini adalah ketentuan susunan daripada Allah SWT.


Ayat 20:79


وَأَضَلَّ فِرْعَوْنُ قَوْمَهُۥ وَمَا هَدَىٰ


Dan dengan itu Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan, dan tidaklah ia membawa mereka ke jalan yang benar.


Pengajaran


  1. Firaun adalah pemimpin yang sesat dan menyesatkan kaumnya dengan propaganda untuk menyenangkan dirinya sahaja. 
  2. Bani Israel asal dari Nabi Yusuf AS dan keluarganya. Selepas tiada ketua yang baik, hilang segala ketauhidan, mereka kembali kepada kesyirikan. Dari orang-orang penting, mereka akhirnya menjadi hamba.
  3. Kita perlu beri perhatian kepada ayat ini. Kalau dalam sesebuah negara, pemimpin tidak memperjuangkan hidayah, rakyat akan menjadi hamba. Kalau pemerintah tidak menjaga akidah, itu adalah sangat bahaya, akan digantikan dengan orang yang tidak ada akidah.


Ayat 20:80


يَٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ قَدْ أَنجَيْنَٰكُم مِّنْ عَدُوِّكُمْ وَوَٰعَدْنَٰكُمْ جَانِبَ ٱلطُّورِ ٱلْأَيْمَنَ وَنَزَّلْنَا عَلَيْكُمُ ٱلْمَنَّ وَٱلسَّلْوَىٰ


Wahai Bani lsrail! Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh kamu, dan Kami telah janjikan kamu (dengan memberi wahyu kepada Nabi Musa) di sebelah kanan Gunung Tursina itu, dan kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa",


Pengajaran


  1. Allah SWT selamatkan Bani Israel dengan hidayah. Ini adalah satu nikmat yang besar. Kalau kita dapat hidup dengan aman dan beriman, itu adalah satu nikmat yang besar.
  2. Allah SWT telah janjikan Bani Israel dengan memberi wahyu kepada Nabi Musa AS. Ini adalah satu perjanjian keamanan, keselamatan bagi mereka pada masa akan datang. Syaratnya kena tunaikan janji.
  3. Mereka terhalang dari masuk ke Palestin dan berlegar di padang pasir selama 40 tahun. Mereka itu  masih ada mentaliti dijajah kerana sudah terbiasa menjadi hamba di zaman Firaun. Daya juang mereka kurang. Namun mereka  dianugerahkan oleh Allah SWT  mann (manisan) dan salwa (burung puyuh). 
  4. Nabi Musa AS telah dididik di sekolah elit Firaun dengan tarbiyah oleh Allah SWT yang untuk membawa mereka keluar dari cara pandang yang beku (fixed mindset), kepada minda bebas (growth mindset).


Ayat 20:81


كُلُوا۟ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقْنَٰكُمْ وَلَا تَطْغَوْا۟ فِيهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِى وَمَن يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِى فَقَدْ هَوَىٰ


Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia.


Pengajaran


  1. Allah SWT menyuruh mereka makan apa yang ada dengan sekadarnya dan supaya mereka tidak melampau selama mereka berlegar di padang pasir selama 40 tahun.
  2. Sesiapa yang mendapat kemurkaan Allah SWT, akan direndahkan darjatnya, maka jatuh nilainya. 
  3. Kalau kita melampau, hendak kumpulkan macam-macam, tidak mahu derma kepada orang lain, itu menyebabkan umat Islam akan jatuh nilainya. 


Ayat 20:82


وَإِنِّى لَغَفَّارٌ لِّمَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ صَٰلِحًا ثُمَّ ٱهْتَدَىٰ


Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.


Pengajaran


  1. Allah SWT memberi taubat kepada sesiapa yang bertaubat, beriman dan beramal soleh. 
  2. Ayat ini datang selepas Bani Israel berjaya melarikan diri daripada Firaun. Allah SWT ingatkan kepada mereka yang sudah lama menjadi hamba yang tidak pernah mendapat apa-apa, bila dapat macam-macam, mereka boleh jadi melampau. 
  3. Allah SWT ingatkan supaya jangan melampau dan Allah SWT akan pimpin untuk mendapat kemenangan. 


Ayat 20:83


وَمَآ أَعْجَلَكَ عَن قَوْمِكَ يَٰمُوسَىٰ


Dan apakah yang menyebabkan engkau segera datang ke mari lebih dahulu dari kaum engkau wahai Musa?


Pengajaran


  1. Salah satu daripada sifat melampau batas Bani Israel yang telah berjaya menyeberang Laut Merah; bila nampak orang menyembah berhala, mereka minta Nabi Musa AS buat berhala untuk mereka. Mereka mempunyai jiwa hamba terpengaruh dengan amalan kaum Firaun yang menyembah berhala walaupun mereka asalnya beriman dengan tauhid kepada Allah SWT.
  2. Nabi Musa AS ingin bertemu Allah SWT bersama dengan kaumnya. Nabi Musa AS ditegur oleh Allah SWT kenapa cepat sangat mahu bertemu-Nya sedangkan kaumnya masih belum bersedia untuk ikut baginda.


Ayat 20:84


قَالَ هُمْ أُو۟لَآءِ عَلَىٰٓ أَثَرِى وَعَجِلْتُ إِلَيْكَ رَبِّ لِتَرْضَىٰ


Nabi Musa menjawab: "Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari sini; dan aku segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau reda akan daku".


Pengajaran


  1. Nabi Musa AS menjawab yang kaumnya sedang ikut tidak jauh dari baginda. 
  2. Baginda mahu bersegera bertemu Allah SWT untuk mendapat redhaNya.
  3. Rupa-rupanya bersegera dalam memimpin ditegur oleh Allah SWT, ada kesan sampingan. Pengikut yang masih belum mencapai tahap stamina pemimpin akan cepat letih. 


Ayat 20:85


قَالَ فَإِنَّا قَدْ فَتَنَّا قَوْمَكَ مِنۢ بَعْدِكَ وَأَضَلَّهُمُ ٱلسَّامِرِىُّ


(Setelah selesainya urusan itu) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa: "Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri"


Pengajaran


  1. Allah SWT memberitahu Nabi Musa AS bahawa kaumnya telah diuji semasa Nabi Musa AS tinggalkan mereka. Mereka telah disesatkan oleh Samiri.


Ayat 20:86


فَرَجَعَ مُوسَىٰٓ إِلَىٰ قَوْمِهِۦ غَضْبَٰنَ أَسِفًا قَالَ يَٰقَوْمِ أَلَمْ يَعِدْكُمْ رَبُّكُمْ وَعْدًا حَسَنًا أَفَطَالَ عَلَيْكُمُ ٱلْعَهْدُ أَمْ أَرَدتُّمْ أَن يَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبٌ مِّن رَّبِّكُمْ فَأَخْلَفْتُم مَّوْعِدِى


Maka kembalilah Nabi Musa kepada kaumnya dengan perasaan marah dan dukacita; ia berkata: "Wahai kaumku! Bukankah Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang baik? Patutkah kamu merasa panjang masa pemergianku menerima apa yang dijanjikan itu? Atau kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan dari Tuhan kamu, lalu kamu menyalahi perjanjian kamu denganku?"


Pengajaran


  1. Apabila Nabi Musa AS kembali, baginda sangat marah dan kecewa kepada kaumnya. Baginda ingatkan bahawa Tuhan telah menjanjikan mereka perjanjian yang baik. 
  2. Kali ini bila telah selamat daripada Firaun rupa-rupanya yang menyakiti Nabi Musa AS adalah kaumnya sendiri. 
  3. Pelajaran untuk kita: Kepada ibu ayah kalau hendak ajar anak kadang-kadang anak menyakiti hati kita itu sebenarnya Nabi Musa AS juga disakiti. Tetapi itu tidak melayakkan kita untuk putus asa. 
  4. Inilah ayat-ayat yang memujuk Nabi Muhammad SAW ketika ada sahabat tidak mengikut apa yang dijanjikan. 


Ayat 20:87


قَالُوا۟ مَآ أَخْلَفْنَا مَوْعِدَكَ بِمَلْكِنَا وَلَٰكِنَّا حُمِّلْنَآ أَوْزَارًا مِّن زِينَةِ ٱلْقَوْمِ فَقَذَفْنَٰهَا فَكَذَٰلِكَ أَلْقَى ٱلسَّامِرِىُّ


Mereka menjawab: "Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kuasa dan ikhtiar kami, tetapi kami telah dibebankan membawa barang-barang perhiasan orang-orang (Mesir) itu, supaya kami mencampakkannya ke dalam api lalu kami melakukan yang demikian, maka demikianlah juga "Samiri" mencampakkan apa yang dibawanya.


Pengajaran


  1. Kaum Nabi Musa AS menjawab yang mereka tidak melanggar perjanjian. Mereka terpaksa buat begitu kerana merasa bersalah membawa emas orang-orang Mesir. 
  2. Semasa ketiadaan Nabi Musa AS, Bani Israel yang tawaduk telah dipengaruhi oleh Samiri yang memimpin ajaran sesat. Samiri mencampakkan emas yang dibawanya ke dalam api dan memanipulasi kaumnya untuk turut melemparkan emas ke dalam api. 
  3. Pelajaran: Jangan sampai kita apabila ada rasa tawaduk atau warak tanpa ilmu yang betul, kita yang hendak beragama boleh dimanipulasi oleh pemimpin ajaran sesat.


RESOLUSI


Ingat!

  1. Manfaatkan rezeki yang ada dan jangan melampaui batas agar tidak dimurkai Allah SWT (20:81)
  2. Bina identiti teguh dalam beriman dan jangan terikut-ikut trend buruk (20:86)
  3. Berhati-hati dengan manipulasi kepada keinginan beragama (20:87)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya bina identiti teguh dalam beriman agar tidak terikut trend buruk.

Saya jelas untuk manfaatkan rezeki yang ada dan jangan melampaui batas agar tidak dimurkai Allah SWT. Saya jelas saya mesti bina identiti teguh dalam beriman dan jangan terikut-ikut trend buruk. Saya jelas untuk berhati-hati dengan manipulasi kepada keinginan beragama.

Ya Allah, bimbing kami untuk manfaatkan rezeki yang ada dan jangan melampaui batas agar tidak mendapat kemurkaan-Mu. Ya Allah, bantu kami untuk bina identiti teguh dalam beriman dan tidak terikut-ikut trend buruk. Ya Allah, pimpin kami untuk berhati-hati dengan manipulasi ajaran sesat.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...