PERKATAAN HARI INI
وَزَرَ Beban, tanggungjawab.
27 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Pengajaran kisah-kisah dalam al-Quran dan balasan bagi orang yang berpaling daripadanya (20:99-104)
Keadaan bumi, gunung-ganang dan manusia pada hari kiamat (20:105-112)
Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab (20:113)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 319 Surah Taha untuk melihat kesimpulan-kesimpulan akhir kisah Nabi Musa AS mendepani Firaun dan Bani Israel yang menjadi hamba selepas 400 tahun berada di Mesir. Mereka perlu diselamatkan dari segi fizikal dan dari segi akidah.
Pada halaman lepas kita telah lihat Samiri dipulaukan kerana ia adalah satu barah dalam masyarakat bila ada pemimpin ajaran sesat yang boleh merosakkan akidah bagi sesebuah kaum. Yang utama ialah mengesakan Allah SWT.
Surah 20:99
كَذَٰلِكَ نَقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنۢبَآءِ مَا قَدْ سَبَقَ وَقَدْ ءَاتَيْنَٰكَ مِن لَّدُنَّا ذِكْرًا
Demikianlah Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), sebahagian dari kisah-kisah umat manusia yang telah lalu; dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi Kami (sebuah Kitab Al-Quran yang menjadi) peringatan.
Pengajaran
Allah SWT telah menceritakan kisah ini kepada Nabi SAW kisah yang baginda tidak lihat di depan mata.
Nabi Musa AS menguruskan Bani Israel dan Nabi Muhammad SAW menguruskan sahabat-sahabat 1400 tahun lalu dan juga kita. Ini bukanlah sekadar cerita untuk suka-suka, tetapi kisah-kisah ini diturunkan dari sisi Allah SWT untuk kita ambil pelajaran darinya. Setiap babak adalah penting.
Allah SWT memberi ilmu dari sisiNya kepada mereka yang terpilih. Nabi Musa belajar ilmu laduni dari Nabi Khidir AS dan akhirnya kita juga mendapat ilmu itu melalui para rasul.
Sebagai ibu bapa, guru-guru, kita kena berusaha untuk memberi kefahaman mukjizat al-Quran kepada anak-anak dan masyarakat. Orang dapat ilmu macam-macam tetapi sia-sia jika tidak mengikut panduan mukjizat al-Quran.
Surah 20:100
مَّنْ أَعْرَضَ عَنْهُ فَإِنَّهُۥ يَحْمِلُ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ وِزْرًا
Sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan Al-Quran itu, maka sesungguhnya ia pada hari kiamat menanggung beban (dosa) yang berat.
Pengajaran
Sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan al-Quran itu, maka sesungguhnya ia pada hari kiamat menanggung beban dosa yang berat.
Al-Quran bukan sekadar dibaca sahaja. Ia adalah satu tanggungjawab. Jika kita tidak mahu bertanggungjawab di sini, ia akan menjadi beban ('وِزْرً) di akhirat.
Surah 20:101
خَٰلِدِينَ فِيهِ وَسَآءَ لَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ حِمْلًا
Mereka kekal di dalam (azab) dosa itu; dan amatlah buruknya tanggungan itu bagi mereka pada hari kiamat
Pengajaran
Mereka kekal di dalam azab dosa itu; dan amatlah buruknya tanggungan itu bagi mereka pada hari kiamat.
حِمْلًا ialah suatu beban yang kita bawa. Di akhirat, tiada lagi mati. Selepas mati dihidupkan semula untuk disambung azab kerana di atas muka bumi mereka tidak mahu memikul beban daripada Allah SWT.
Semoga Allah SWT tidak memberi kita beban yang tidak sanggup kita tanggung.
Surah 20:102
يَوْمَ يُنفَخُ فِى ٱلصُّورِ وَنَحْشُرُ ٱلْمُجْرِمِينَ يَوْمَئِذٍ زُرْقًا
(Iaitu) hari ditiup Sangkakala, dan Kami akan himpunkan pada hari itu orang-orang yang bersalah dalam keadaan kelabu matanya.
Pengajaran
Pada hari kiamat, hari ditiup Sangkakala, Allah SWT akan himpunkan pada hari itu orang-orang yang bersalah dalam keadaan biru (pucat lesi).
زُرْقًا ialah biru. Muka pucat lesi kerana ketakutan di akhirat. Allah SWT sangat baik, Allah SWT beri kita preview sebelum sampai hari akhirat kepada orang yang berdosa. Umpama emak yang sayang akan menegur sebelum anak jatuh longkang, bukan selepas jatuh. Kalau tegur selepas jatuh, itu emak yang kejam.
Surah 20:103
يَتَخَٰفَتُونَ بَيْنَهُمْ إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا عَشْرًا
Mereka berbisik-bisik sesama sendiri: "Kamu telah tinggal hanya sepuluh sahaja
Surah 20:104
نَّحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَقُولُونَ إِذْ يَقُولُ أَمْثَلُهُمْ طَرِيقَةً إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا يَوْمًا
(Allah berfirman): Kami lebih mengetahui akan kadar masa yang mereka katakan itu, manakala orang yang lebih tepat pendapatnya di antara mereka berkata pula: "Tiadalah kamu tinggal melainkan satu masa yang amat singkat".
Pengajaran Ayat 103-104 (Dialog orang-orang yang berdosa)
Mereka berbisik-bisik sesama mereka, meneka lama mana mereka di sana. Allah SWT gambarkan keadaan orang berdosa kerana Allah SWT sayang kepada kita.
Orang yang berjaya ialah bila mereka dapat membayangkan ke depan dengan positif. Ibu ayah kena borak-borak dengan anak-anak tentang cita-cita masa depan mereka.
Orang yang suka buat baik merasakan masa itu singkat. Bagi orang yang tidak suka buat baik, rasa sangat panjang. Contohnya bila baca al- Quran rasa panjang sangat.
Itu adalah kayu ukur psikologi orang-orang buat salah dan orang-orang yang berada di jalan lurus.
Surah 20:105
وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْجِبَالِ فَقُلْ يَنسِفُهَا رَبِّى نَسْفًا
Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal gunung-ganang; maka jawablah: "Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu ditiup angin.
Surah 20:106
فَيَذَرُهَا قَاعًا صَفْصَفًا
"Lalu Ia membiarkan tapak gunung-gunung itu (di bumi) rata lagi licin".
Surah 20:107
لَّا تَرَىٰ فِيهَا عِوَجًا وَلَآ أَمْتًا
Engkau tidak akan melihat pada tapaknya itu tempat yang rendah atau yang tinggi.
Pengajaran Ayat 105-107
Mereka bertanya hakikat kejadian pada hari kiamat. Tuhan akan menghancurkan gunung-ganang sehancur-hancurnya dan menjadi rata. Semuanya akan jadi padang Mahsyar di samping alam yang seluas-luas 7 petala langit.
Tidak ada lagi tempat yang tinggi. Sangat menakutkan.
Gunung-ganang (Jibal) adalah perkara yang dekat dengan orang musyrik Mekah. Kawasan mereka bergunung ganang. Jibal akan dihancurkan. Bunyi batu dipecahkan waktu renovasi bangunan pun sudah membingitkan. Apatah lagi di hari itu jibal akan dihancurkan. Tsunami, gempa, tanah runtuh yang berlaku adalah gambaran awal hari kiamat.
Keimanan pada hari akhirat itu menyebabkan kita akan mengambilnya amat serius. Semoga kita di selamatkan pada hari yang menggerunkan itu nanti.
Surah 20:108
يَوْمَئِذٍ يَتَّبِعُونَ ٱلدَّاعِىَ لَا عِوَجَ لَهُۥ وَخَشَعَتِ ٱلْأَصْوَاتُ لِلرَّحْمَٰنِ فَلَا تَسْمَعُ إِلَّا هَمْسًا
Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru mereka dengan tidak dapat melencong dari menurutnya; dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.
Pengajaran
Tidak ada manusia yang akan membangkang di sana nanti seperti ketika di dunia ini.
Bila sangkakala kedua ditiupkan semua akan datang, bangun dari kubur masing-masing. Semua akan datang menghadap Allah SWT, senyap, khusyuk. Tidak ada siapa yang sanggup bercakap kecuali mereka dengar bisikan. Kalau jarum peniti jatuh pun boleh dengar, begitulah senyapnya keadaan pada masa itu.
Semua manusia akan dinilai.
Surah 20:109
يَوْمَئِذٍ لَّا تَنفَعُ ٱلشَّفَٰعَةُ إِلَّا مَنْ أَذِنَ لَهُ ٱلرَّحْمَٰنُ وَرَضِىَ لَهُۥ قَوْلًا
Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat (dari dan kepada sesiapapun) kecuali dari orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmatNya, dan kepada orang yang diredai perkataannya.
Pengajaran
Tidak bermanfaat syafaat sesiapa pun yang mereka bergantung di dunia kecuali orang yang diizinkan oleh ar-Rahman.
Hanya Nabi Muhammad SAW yang diberi izin oleh Allah SWT untuk memberi syafaat.
Kita doa, banyak selawat, ikut sunnah Nabi SAW, kita perjuangkan sunnah Nabi SAW dan ikut mukjizat yang ada. Mudah-mudahan kita mendapat syafaat baginda SAW.
Surah 20:110
يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيطُونَ بِهِۦ عِلْمًا
Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (dari hal-hal dunia), dan apa yang di belakang mereka (dari perkara akhirat); sedang mereka tidak mengetahuinya secara meliputi.
Pengajaran
Allah SWT tahu segalanya, termasuk yang di dalam hati kita. Di mahkamah dunia, bukti boleh disembunyi. Tidak di sana nanti.
Ilmu Allah SWT amat luas dan lengkap. Allah SWT tidak lupa segalanya. Semuanya ada rekod.
Surah 20:111
وَعَنَتِ ٱلْوُجُوهُ لِلْحَىِّ ٱلْقَيُّومِ وَقَدْ خَابَ مَنْ حَمَلَ ظُلْمًا
Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada Allah Yang Tetap Hidup, lagi Yang Kekal Mentadbirkan makhluk selama-lamanya; dan sesungguhnya telah rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman.
Pengajaran
Semua wajah akan tunduk kepada Allah Yang Maha Hidup Yang Maha Meneguhkan.
Rugi orang yang membawa dosa kemusyrikan (ظُلْمًا). Dia akan amat takut pada hari itu.
Surah 20:112
وَمَن يَعْمَلْ مِنَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَا يَخَافُ ظُلْمًا وَلَا هَضْمًا
Dan sesiapa yang mengerjakan sebarang apa dari amal-amal yang soleh, sedang ia beriman, maka tidaklah (seharusnya) ia merasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikitpun dari pahalanya.
Pengajaran
Orang-orang yang walaupun sedikit amalnya, tetapi ada iman, mereka tidak akan takut dan tidak akan dikurangkan pahalanya.
Perkataan zalim banyak kali keluar dalam surah ini. Firaun Maha Zalim, berusaha menghancurkan Nabi Musa AS, ahli sihir dan menekan Bani Israel.
Surah 20:113
وَكَذَٰلِكَ أَنزَلْنَٰهُ قُرْءَانًا عَرَبِيًّا وَصَرَّفْنَا فِيهِ مِنَ ٱلْوَعِيدِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ أَوْ يُحْدِثُ لَهُمْ ذِكْرًا
Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab, dan kami telah terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia seluruhnya) bertaqwa, atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan dari faedah mereka.
Pengajaran
Allah SWT menurunkan al-Quran dalam Bahasa Arab.
Allah SWT terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya manusia bertakwa.
Dengan membaca al-Quran, kita sentiasa mendapat peringatan yang releven dengan keadaan semasa.
Jika kita terasa diri kita diperingatkan (seperti ayat itu menghentam kita), bermakna kita sudah berada di landasan keimanan. Semoga kita terus dapat peringatan sampai ke akhir hayat. Insya Allah.
RESOLUSI
Ingat!
Dalami isi kandungan al-Quran agar semakin komited dan tidak berpaling lagi (20:99-100)
Penuhi hidup yang pendek ini dengan perkara yang bermanfaat, bukan dosa (20:104)
Baca al-Quran untuk tingkatkan ketakwaan dan ambil peringatan, bukan sekadar rutin (20:113)
Saya berasa lega, Allah SWT turunkan al-Quran sebagai peringatan supaya saya menjadi orang yang bertakwa.
Saya jelas untuk dalami isi kandungan al-Quran agar semakin komited dan tidak akan berpaling lagi. Saya jelas untuk penuhi hidup yang pendek ini dengan perkara yang bermanfaat, bukan dosa. Saya jelas saya mesti baca al-Quran untuk tingkatkan ketakwaan dan ambil peringatan, bukan sekadar rutin.
Ya Allah, bimbing kami untuk dalami isi kandungan al-Quran agar kami semakin komited dan tidak akan berpaling lagi. Ya Allah, pimpin kami untuk penuhi hidup yang pendek ini dengan perkara yang bermanfaat, bukan dosa. Ya Allah, ajarkan kami al-Quran agar kami dapat tingkatkan ketakwaan dan ambil peringatan, bukan sekadar rutin.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib