Friday, August 4, 2023

Halaman 320 : Taha, 114-125

PERKATAAN HARI INI   

قَضَى  Menentukan keputusan.

63 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Jangan tergesa ketika belajar al-Quran (20:114)

  2. Kisah Nabi Adam AS ketika di syurga, kisah Baginda dikeluarkan dari syurga dan hidayah Allah SWT kepadanya (20:115-125)



Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 320 Surah Taha. Kita terus merentas halaman demi halaman di dalam al-Quran ini untuk membuktikan kepada Allah SWT bahawa kita adalah betul-betul komited kepada al-Quran.


Semoga kita istiqamah mengingat kepada Allah SWT setiap masa. Hidupkan rumah kita, kereta kita dengan al-Quran. 


Pada halaman lepas kita telah belajar bahawa al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab dengan berbagai cara bacaan agar kita makin bertakwa atau kita mengambil peringatan. Ia bukan sekadar peringatan semasa untuk kita, tetapi ia juga meruntun perasaan kita. 


Jangan jadi seperti Firaun, bila mendapat mukjizat dia tidak bertakwa dan tidak mengambil peringatan.


Ayat 20: 114


فَتَعَٰلَى ٱللَّهُ ٱلْمَلِكُ ٱلْحَقُّ وَلَا تَعْجَلْ بِٱلْقُرْءَانِ مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰٓ إِلَيْكَ وَحْيُهُۥ وَقُل رَّبِّ زِدْنِى عِلْمًا


Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku".


Pengajaran


  1. Allah SWT adalah raja sebenarnya. Firaun itu adalah raja sementara sahaja. Akhirnya mati, tinggal tulang sahaja. Allah SWT yang menguasai segalanya dengan sebenar-benarnya.

  2. Makin berzikir kepada Allah SWT, kita makin rendah diri.  Cara rendah diri ialah kita rasa rindu kepada Tuhan. Begitulah Nabi SAW, rindu sangat kepada al-Quran sehingga ditegur oleh Allah SWT bila mengulang sebelum Jibril habis mengajar. 

  3. Adab belajar al-Quran kita ambil sedikit demi sedikit dalam mempelajarinya. Janganlah rasa sombong bila sudah tahu sedikit. 

  4. Kita mohon Allah SWT tambahkan berkat, akhlak yang terpuji, rezeki, melalui ilmu yang kita belajar. Kita minta Allah SWT tambahkan akhlak mahmudah dalam diri kita. Dengan ilmu yang bertambah, akhlak kita lebih baik, perkataan lebih teratur, tidak mudah marah-marah. 

  5. Kita kena pilih guru. Jangan cari guru yang sombong yang merasa serba tahu. 


Ayat 20: 115


وَلَقَدْ عَهِدْنَآ إِلَىٰٓ ءَادَمَ مِن قَبْلُ فَنَسِىَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُۥ عَزْمًا


Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa; dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.


Pengajaran


  1. Allah SWT mengingatkan kita pada kali ke enam di dalam al-Quran tentang kisah Nabi Adam AS dengan iblis. Nabi Adam AS dimuliakan. Tetapi bila telah berjanji dengan Allah SWT, baginda terlupa. 

  2. Allah SWT melindungi Nabi Adam AS. Sebenarnya semasa mendekati pohon itu baginda tidak ada kemahuan yang kuat. Allah SWT memeliharanya. Janganlah kita salahkan Nabi Adam AS pula yang menyebabkan kita tidak berada di syurga. 


Ayat 20: 116


وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِءَادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ أَبَىٰ


Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud, melainkan Iblis, ia enggan sujud.


Pengajaran


  1. Malaikat bersujud kepada Nabi Adam AS melainkan iblis yang enggan ikut perintah Allah SWT.


Ayat 20: 117


فَقُلْنَا يَٰٓـَٔادَمُ إِنَّ هَٰذَا عَدُوٌّ لَّكَ وَلِزَوْجِكَ فَلَا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ ٱلْجَنَّةِ فَتَشْقَىٰٓ


Maka, Kami berfirman: "Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.


Pengajaran


  1. Adam dan Hawa mendekati pohon itu. Ayat ini menunjukkan iblis yang menggoda kedua-keduanya untuk mengabaikan perintah Allah SWT. Bukan Hawa yang menggoda Nabi Adam seperti yang dikatakan oleh Kristian.

  2. Iblis amat dekat untuk menjadi musuh kepada Nabi Adam ( عَدُوٌّ لَّكَ) dan isterinya. Ada tanggungjawab yang besar kepada Nabi Adam AS. Dalam sebuah rumah tangga, suami perlu sangat mengingatkan pada dirinya dan mendidik pasangannya tentang musuh mereka, iaitu iblis. Tanggungjawab adalah kepada ketua keluarga.

  3. Ibu-ibu hendaklah didik anak lelaki supaya menjadi suami yang bertanggungjawab. Bukan isteri yang mengajar suami.

  4. Allah SWT tahu, kalau keluar dari syurga memang susah.

  5. Al-Quran adalah talian syurga. Siapa yang ambil al-Quran, dia akan kembali ke syurga.


Ayat 20: 118


إِنَّ لَكَ أَلَّا تَجُوعَ فِيهَا وَلَا تَعْرَىٰ


"Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang.


Pengajaran


  1. Di syurga tidak ada lapar dan tidak ada yang tidak berpakaian. 

  2. Berpakaian itu adalah ciri ahli syurga.

  3. Di syurga kita tidak lapar. Buah-buahan adalah untuk berhibur, bukan kerana lapar. 


Ayat 20: 119


وَأَنَّكَ لَا تَظْمَؤُا۟ فِيهَا وَلَا تَضْحَىٰ


"Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari".


Pengajaran


  1. Di syurga, tidak dahaga dan tidak panas. 

  2. Semoga kita dapat talian syurga untuk ke sana dengan membaca al-Quran.


Ayat 20: 120


فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ ٱلشَّيْطَٰنُ قَالَ يَٰٓـَٔادَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ ٱلْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَىٰ


Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: "Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?"


Pengajaran


  1. Syaitan menggoda dengan meniupkan was-was kepada kita yang menyebabkan idea-idea pelik disampaikan. 

  2. Syaitan mewas-waskan Nabi Adam AS tentang pohon khuldi. Bila kita kritikal, tidak dijawab oleh al-Quran, dan dijawab oleh was-was daripada syaitan, rupa-rupanya itulah menyebabkan kebinasaan yang disampaikan oleh syaitan. 


Ayat 20: 121


فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْءَٰتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ ٱلْجَنَّةِ وَعَصَىٰٓ ءَادَمُ رَبَّهُۥ فَغَوَىٰ


Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya)


Pengajaran


  1. Dua-dua makan, dua-dua bertanggungjawab tetapi ketua keluarga sepatutnya lebih bertanggungjawab. 

  2. Ada perkara yang tidak dibenarkan di syurga waktu itu. Dalam hidup kita ini pun ada perkara yang tidak dibenarkan.

  3. Bila mendekati pohon tersebut, dia derhaka dan jauh daripada jalan kebenaran.  


Ayat 20: 122


ثُمَّ ٱجْتَبَٰهُ رَبُّهُۥ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَىٰ


Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.


Pengajaran


  1. Allah SWT memilih Nabi Adam AS untuk bertaubat dan Allah SWT beri petunjuk. 

  2. Dalam hidup ini, kita memang ada kesilapan, ada dosa. Kalau tersilap segeralah bertaubat. 

  3. Nabi Adam AS turun ke bumi bukan dengan dosa. Taubatnya telah diterima. Kita berada di muka bumi ini bukan kerana dosa tetapi kerana kita dipilih oleh Allah SWT menjadi khalifah.


Ayat 20: 123


قَالَ ٱهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًۢا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّى هُدًى فَمَنِ ٱتَّبَعَ هُدَاىَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ


Allah berfirman: "Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.


Pengajaran


  1. Ayat ini memberi panduan bagaimana hendak menguruskan cabaran bila kita sesama kita bermusuh atau bergaduh. 

  2. Lelaki boleh bermusuh pada perempuan, perempuan boleh bermusuh dengan lelaki kerana kita ada musuh utama namanya iblis. Rumah tangga perlu dididik agar jangan diberi ruang kepada pihak ketiga yang tidak mahu melihat rumah tangga atau organisasi kita bahagia.

  3. Kalau kita ikut al-Quran betul-betul, insya Allah, kita tidak akan bingung bila ada konflik dan tidak malang sampai bergaduh hingga ke lubang kubur. Ada juga yang berpisah tetapi mereka tetap baik sahaja.


Ayat 20: 124


وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ أَعْمَىٰ


"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".


Pengajaran


  1. Sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk Allah SWT, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit. 

  2. Di akhirat mereka dihimpunkan dalam keadaan buta.


Ayat 20: 125


قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِىٓ أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا


Ia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?"


Pengajaran


  1. Mereka bertanya kenapa mereka dihina? Di dunia dahulu mereka ada pangkat dan sebagainya. 


RESOLUSI


Ingat!

  1. Teratur dan bertenang ketika mendalami al-Quran (20:114)

  2. Kuatkan semangat ketika melayari kehidupan (20:115)

  3. Banyakkan bersujud kepada Allah SWT agar syaitan tidak berjaya menyebabkan hidup kita merana (20:116-117)


Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya mendalami al-Quran dengan tenang, banyak bersujud agar saya tidak mudah digoda oleh syaitan.


Saya jelas untuk teratur dan bertenang ketika mendalami al-Quran. Saya jelas untuk kuatkan semangat ketika melayari kehidupan. Saya jelas saya mesti banyakkan bersujud kepada Allah SWT agar syaitan tidak berjaya menyebabkan hidup saya merana.


Ya Allah, pimpin kami agar teratur dan bertenang ketika mendalami al-Quran. Ya Allah, kuatkan semangat kami ketika melayari kehidupan. Ya Allah, pimpin kami untuk banyakkan bersujud kepada Mu agar syaitan tidak berjaya menyebabkan hidup kami merana.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...