PERKATAAN HARI INI
بَرِحَ Berhenti.
3 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Fitnah patung anak lembu (20:88-89)
Teguran keras Nabi Musa AS kepada Nabi Harun AS kerana Bani Israel menyembah patung lembu dan dilemparnya patung tersebut ke dalam laut serta pengesaan Allah SWT (20:90-98)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 318 Surah Taha. Pada halaman lepas kita telah lihat bagaimana cabaran Samiri kepada Bani Israel yang telah diselamatkan oleh Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS daripada Firaun.
Kita yang inginkan agama, jangan sampai dimanipulasi oleh orang-orang tertentu.
Ayat 20: 88
فَأَخْرَجَ لَهُمْ عِجْلًا جَسَدًا لَّهُۥ خُوَارٌ فَقَالُوا۟ هَٰذَآ إِلَٰهُكُمْ وَإِلَٰهُ مُوسَىٰ فَنَسِىَ
"Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata: "Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!"
Pengajaran
Bani Israel adalah orang jujur yang diamanahkan menyimpan emas orang-orang Mesir. Bila lari, mereka bawa emas bersama dan mereka merasa bersalah kerana itu bukan emas mereka. Bani Israel adalah orang Islam pada zaman Nabi Musa.
Semasa Nabi Musa AS pergi, Samiri memanipulasi perasaan bersalah mereka dengan menawarkan solusi. Mereka disuruh melemparkan emas-emas tersebut ke dalam api yang akhirnya keluar anak lembu yang bertubuh dan bersuara. Mereka merasa kagum. Samiri memberitahu mereka bahawa itulah tuhan yang dilupakan oleh Musa.
Ayat 20: 89
أَفَلَا يَرَوْنَ أَلَّا يَرْجِعُ إِلَيْهِمْ قَوْلًا وَلَا يَمْلِكُ لَهُمْ ضَرًّا وَلَا نَفْعًا
Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka?
Pengajaran
Ini adalah hujah untuk Bani Israel dan untuk kita juga berfikir bahawa lembu itu tidak dapat menjawab pertanyaan dan tidak ada kuasa mendatangkan mudharat atau memberi manfaat.
Mentaliti orang yang membuat syirik, mereka merasakan jika tidak buat seperti yang disuruh oleh Samiri, itu akan datang mudharat kepada mereka. Itu adalah kepercayaan yang sesat.
Ayat 20: 90
وَلَقَدْ قَالَ لَهُمْ هَٰرُونُ مِن قَبْلُ يَٰقَوْمِ إِنَّمَا فُتِنتُم بِهِۦ وَإِنَّ رَبَّكُمُ ٱلرَّحْمَٰنُ فَٱتَّبِعُونِى وَأَطِيعُوٓا۟ أَمْرِى
Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu: "Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu, ikutlah daku dan taatlah akan perintahku".
Pengajaran
Allah SWT jelaskan dahulu status Nabi Harun AS. Baginda telah pun menjalankan tugasnya, bukan seperti yang diteka oleh Nabi Musa AS.
Nabi Harun AS telah ingatkan bahawa Tuhan amat melimpah kasih sayangNya. Baginda telah menyeru Bani Israel supaya ikut dan taat perintahnya.
Orang yang menyembah berhala berkata ia lebih fokus ibadah bila ada berhala. Orang yang yoga boleh fokus berjam-jam lamanya kerana syaitan biarkan mereka khusyuk begitu sedangkan kalau kita solat sekejap sahaja, syaitan berusaha untuk ganggu khusyuk kepada Allah SWT. Syaitan tidak suka kita khusyuk ingat Allah.
Ayat 20: 91
قَالُوا۟ لَن نَّبْرَحَ عَلَيْهِ عَٰكِفِينَ حَتَّىٰ يَرْجِعَ إِلَيْنَا مُوسَىٰ
Mereka menjawab: "Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami".
Pengajaran
Mereka menjawab yang mereka akan terus menyembah anak lembu itu sehingga Nabi Musa AS kembali. Mereka hanya mahu mendengar Nabi Musa AS kerana Nabi Harun AS hanyalah orang biasa seperti mereka. Mereka memilih personaliti.
Zaman ini ada orang yang hanya mahu mendengar penceramah A tetapi tidak penceramah B kerana pengaruhnya. Ini adalah satu penyakit. Kita sepatutnya memberi perhatian kepada isi kebaikan yang disampaikan, jangan memilih-milih penceramah atau guru.
Ayat 20: 92
قَالَ يَٰهَٰرُونُ مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَهُمْ ضَلُّوٓا۟
(Sekembalinya), Nabi Musa berkata: "Wahai Harun, apakah yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat,
Ayat 20: 93
أَلَّا تَتَّبِعَنِ أَفَعَصَيْتَ أَمْرِى
"Daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?
Pengajaran Ayat 92-93
Nabi Musa AS marah kepada abangnya Nabi Harun AS.
Nabi Musa AS mempersoalkan adakah Nabi Harun AS derhaka perintahnya.
Ayat 20: 94
قَالَ يَبْنَؤُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِى وَلَا بِرَأْسِىٓ إِنِّى خَشِيتُ أَن تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِى
Nabi Harun menjawab: "Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: ` Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku! '
Pengajaran
Nabi Musa AS sangat marah sampai tarik janggut abangnya.
Dalam hidup ini, kita lebih cepat marah kepada orang yang dekat dengan kita. Semoga kita terpelihara dari sifat mudah marah.
Nabi Harun AS mententeramkan Nabi Musa AS dengan reflek kepada nostalgia bersama ibu mereka. Bila ibu disebut, akan sejuk rasa hati.
Nabi Harun AS tidak buat lebih daripada yang dikatakanya tadi kerana takut Bani Israel akan berpecah-belah sesama sendiri.
Nabi Musa AS bertanya Nabi Harun AS pendek tetapi Nabi Harun AS menjawab dengan panjang lebar untuk menenangkan Nabi Musa AS dengan memberitahu hakikat sebenarnya.
Ayat 20: 95
قَالَ فَمَا خَطْبُكَ يَٰسَٰمِرِىُّ
(Sesudah itu Nabi Musa hadapkan kemarahannya kepada Samiri lalu) bertanya: "Apa pula halmu, wahai Samiri?"
Pengajaran
Nabi Musa AS bertanya Samiri pendek sahaja kerana masih dalam keadaan marah; "Apa pula halmu, wahai Samiri?"
Ayat 20: 96
قَالَ بَصُرْتُ بِمَا لَمْ يَبْصُرُوا۟ بِهِۦ فَقَبَضْتُ قَبْضَةً مِّنْ أَثَرِ ٱلرَّسُولِ فَنَبَذْتُهَا وَكَذَٰلِكَ سَوَّلَتْ لِى نَفْسِى
Ia menjawab:" Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku".
Pengajaran
Samiri mengatakan yang dia nampak sesuatu yang tidak mereka lihat iaitu kesan jejak Jibril dan dia mengambil tanah yang dijejak oleh Jibril kemudian mencampakkannya.
Pandangan kedua menurut Imam Sya'rawi, ia mengambil jejak Nabi Musa AS dan melemparkannya dan tidak mahu mengikut ajaran Nabi Musa AS.
Mengikut cara Samiri, lempar sahaja emas itu, hilang rasa bersalah itu. Mudah, bagi mereka. Orang-orang begini mudah dimanipulasi oleh pemimpin ajaran sesat. Samiri membongkar ciri pemimpin ajaran sesat.
Salah satu daripada ciri ajaran sesat, bila ada rasa bersalah, bayar Tok Sheikh dan semua kesilapan selesai.
Contoh ajaran sesat: Ada orang yang menggunakan ayat al-Quran yang dicelup dalam air kononnya untuk terang hati anak-anak. Ini amalan sesat yang tidak mengikut ajaran Nabi SAW. Ada orang meletakkan kertas bertulis ayat qursi dalam kereta dan menganggap kertas itu yang melindunginya, bukan percaya kepada Allah SWT.
Ayat 20: 97
قَالَ فَٱذْهَبْ فَإِنَّ لَكَ فِى ٱلْحَيَوٰةِ أَن تَقُولَ لَا مِسَاسَ وَإِنَّ لَكَ مَوْعِدًا لَّن تُخْلَفَهُۥ وَٱنظُرْ إِلَىٰٓ إِلَٰهِكَ ٱلَّذِى ظَلْتَ عَلَيْهِ عَاكِفًا لَّنُحَرِّقَنَّهُۥ ثُمَّ لَنَنسِفَنَّهُۥ فِى ٱلْيَمِّ نَسْفًا
Nabi Musa berkata kepada Samiri: "Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku ', dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.
Pengajaran
Ini adalah cara Nabi Musa AS menguruskan pemimpin ajaran sesat pada masa itu.
Nabi Musa AS menghalau (memulau) Samiri. Pemimpin ajaran sesat pandai bercakap, jadi orang ramai di larang berinteraksi dengan Samiri kerana kesannya sedikit demi sedikit akan terpengaruh.
Azab yang besar akan dikenakan kepada orang yang syirik.
Nabi Musa AS membakar patung emas itu dan membuang abunya ke dalam laut hingga hilang lenyap. Inilah cara untuk menguruskan barang-barang yang membawa kepada amalan syirik.
Ayat 20: 98
إِنَّمَآ إِلَٰهُكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِى لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَسِعَ كُلَّ شَىْءٍ عِلْمًا
"Sesungguhnya Tuhan kamu hanya Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu".
Pengajaran
Nabi Musa AS mengingatkan bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah SWT, yang meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu.
RESOLUSI
Ingat!
Jangan mudah terpengaruh dengan perkara pelik dan khurafat (20:88-89)
Taati Allah SWT yang beri pelbagai rahmat, berbanding perkara pelik yang tidak benar
( 20:90)
Dapatkan kepastian dan jangan cepat naik angin (20:94-95)
Saya berasa lega, Allah SWT beri ajarkan cara untuk menguruskan ajaran sesat.
Saya jelas untuk jangan mudah terpengaruh dengan perkara pelik dan khurafat. Saya jelas untuk taati Allah SWT yang beri pelbagai rahmat, berbanding perkara pelik yang tidak benar. Saya jelas untuk dapatkan kepastian dan jangan cepat naik angin.
Ya Allah, lindungi kami daripada terpengaruh dengan perkara pelik dan khurafat. Ya Allah, jadikan kami orang-orang yang taat kepada Mu, kurniakan kami rahmat dan jauhi kami daripada perkara pelik yang tidak benar. Ya Allah, bimbing kami untuk dapatkan kepastian, jauhi kami daripada cepat naik angin.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib