Friday, August 4, 2023

Halaman 321 : Taha, 126-135

 PERKATAAN HARI INI

جَزَى Membalas, memberi ganjaran.

118 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   


  1. Balasan kepada mengabaikan peringatan Allah SWT (20:126-127)

  2. Mengambil pelajaran daripada kehancuran umat terdahulu, bersabar terhadap gangguan orang musyrik, tidak melihat kenikmatan dunia yang dimiliki dan memerintahkan keluarga untuk mendirikan solat (20:128-132)

  3. Permintaan orang musyrik agar didatangkan mukjizat atau diutusnya rasul dan ancaman terhadap mereka berupa masa depan yang buruk (20:133-135)



Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman terakhir Surah Taha. Semoga Allah SWT menerima amalan kita. Nabi Musa merindui bercakap dengan Allah SWT. Nabi Muhammad SAW juga merindui bercakap dengan Allah SWT. Diharapkan kita juga umat yang rindu untuk mendengar perkataan nasihat bukan daripada manusia tetapi daripada pencipta kita yang lebih mengetahui apa yang kita rasa. Semoga kita tidak menjadi insan-insan yang lupa kepada Allah SWT.


Ayat 20:126


قَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتْكَ ءَايَٰتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَٰلِكَ ٱلْيَوْمَ تُنسَىٰ


Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan".


Pengajaran


  1. Jawapan kepada persoalan mereka yang dibangkitkan buta. Ini peristiwa di akhirat. 

  2. Berlaku demikian kerana mereka melupakan ayat-ayat Allah SWT. Di dunia, mereka sibuk sehingga tidak dapat belajar al-Quran dan mendengar tazkirah ayat-ayat Allah SWT. 

  3. Janganlah kita buat-buat lupa atau beri alasan bila ada orang ajak untuk apa-apa majlis al-Quran. Peranan kita adalah untuk menyambut ayat-ayat tersebut. Jangan pula kita elak majlis al-Quran tapi sanggup bayar mahal untuk program lain. 

  4. Orang yang lupakan tanggungjawab kepada ayat-ayat Allah SWT, maka Allah SWT lupakan mereka di akhirat. 

  5. Semoga kita tidak lupa ayat-ayat Allah SWT. Kalau kita sentiasa bersama al-Quran, apabila melancong kita akan dapat melihat ayat-ayat Allah SWT dalam lensa al-Quran.


Ayat 20:127


وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى مَنْ أَسْرَفَ وَلَمْ يُؤْمِنۢ بِـَٔايَٰتِ رَبِّهِۦ وَلَعَذَابُ ٱلْءَاخِرَةِ أَشَدُّ وَأَبْقَىٰٓ


Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.


Pengajaran


  1. Mereka melampau batas (أَسْرَفَ). Contoh: Masa PKP ini melampau main game, cerita Korea,  sibuk dengan online shopping, sibuk tidur. Semoga kita tidak menjadi orang-orang yang melampau.

  2. Allah SWT balas balik apa yang diucapkan oleh Firaun kepada ahli sihir. Sebenarnya Firaun yang melampau dalam urusannya. Contoh: Pemimpin yang mencarut untuk mendapatkan kuasa.

  3. Azab di akhirat lebih sengsara dan lebih kekal. Menurut Sheikh As-Sa'di, ujian di dunia ini kecil dan ringan. Di akhirat, azabnya lebih keras dan lebih kekal. Contoh: Di dunia kadang-kadang sedih, lapar, kecewa kadang-kadang tidak. Di akhirat nanti, sedih, kecewa  berpanjangan dan berkekalan.


Ayat 20:128


أَفَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ كَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّنَ ٱلْقُرُونِ يَمْشُونَ فِى مَسَٰكِنِهِمْ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّأُو۟لِى ٱلنُّهَىٰ


Adakah tersembunyi serta belum jelas lagi kepada mereka: berapa banyak Kami telah binasakan dari kamu-kaum yang terdahulu daripada mereka, sedang mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya pada yang demikian ada tanda-tanda (untuk mengambil iktibar) bagi orang-orang yang berakal fikiran.


Pengajaran


  1. Dalam surah Taha ini 8 kali bercakap tentang zikir. Bila banyak berzikir, kesannya seseorang itu akan jadi لِّأُو۟لِى ٱلنُّهَىٰ ialah orang yang tajam dalam berfikir dan membuat kesimpulan. Bila tengok persitiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidup, melihat kawasan kesan tempat-tempat azab dahulu, mereka mengambil pelajaran bahawa di akhirat nanti lebih dahsyat lagi. Jadi mereka akan buat persediaan dalam kehidupan.


Ayat 20:129


وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَكَانَ لِزَامًا وَأَجَلٌ مُّسَمًّى


Dan jika tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah Tuhanmu (wahai Muhammad), dan satu tempoh yang ditentukan nescaya balasan jenayah mereka sudah semestinya berlaku.


Pengajaran


  1. Ada orang yang rasa kalau tidak baca al-Quran pun tak apa. Semasa pandemik COVID-19 kita nampak kapal terbang tersusun di airport, kedai-kedai tutup sahaja. Kita kena sedar bahawa Allah SWT sedang menjentik kita. Allah SWT bagi satu makhluk yang kecil sahaja, kita sudah kacau bilau.

  2. Hendaklah kita ingat, kita kena rentas negeri dengan membawa mesej al-Quran. Paling kurang pada diri, pada keluarga dan ajak orang kepada kebaikan.


Ayat 20:130


فَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ ٱلشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا وَمِنْ ءَانَآئِ ٱلَّيْلِ فَسَبِّحْ وَأَطْرَافَ ٱلنَّهَارِ لَعَلَّكَ تَرْضَىٰ


Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik balasan).


Pengajaran (Formula mantap mencari bahagia)


  1. Ini adalah peringatan untuk Nabi SAW bila menyampaikan kebaikan ada sahaja cabaran,   maka hendaklah bersabar.

  2. Cara mendapatkan kekuatan dan kesabaran ialah dengan bertasbih dan tahmid siang dan malam dengan mengerjakan solat fardhu pada lima waktu yang ditetapkan.

  3. Dengan solat, kita redha. Maksudnya dengan sabar dan solat kita akan rasa tenang apabila orang kecam atau kutuk ketika kita hendak buat kebaikan. 

  4. Semoga Allah SWT ampunkan kita dengan cara kita kembali mengingat kepada ayat Allah SWT.


Ayat 20:131    


وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِۦٓ أَزْوَٰجًا مِّنْهُمْ زَهْرَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ


Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.


Pengajaran


  1. Salah satu cabaran kita ini gembira dengan solat ialah kita tidak teruja melihat orang lain yang kaya atau elit yang diuji dengan kesenangan. Mereka saling bergantung (أَزْوَٰجًا).

  2. Menurut Imam Qurtubi, jangan fokus untuk mendapatkan kesenangan dunia. Ia umpama bunga yang akhirnya layu. Jangan beri perhatian kepada kesenangan orang yang tidak kembali kepada Allah SWT. 

  3. Apa sahaja rezeki yang Allah SWT berikan kepada kita itu adalah lebih baik kalau kita pasangkan dengan solat atau mengingat Allah SWT. Jangan tertipu dengan dunia yang sementara ini.


Ayat 20:132


وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْـَٔلُكَ رِزْقًا نَّحْنُ نَرْزُقُكَ وَٱلْعَٰقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ


Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.


Pengajaran


  1. Kesimpulan segala-galanya, Allah SWT mengingatkan supaya Nabi SAW perintahkan keluarga serta umat baginda mengerjakan solat dan tekun bersabar menunaikannya. Nabi Musa AS menjaga keluarganya. Nabi Adam AS juga mendidik isterinya. Nabi Muhammad SAW juga sama.

  2. Siapa pun kita, ibu, ayah pemimpin, kita kena solat dan sabar yang lebih (وَٱصْطَبِرْ) serta ajak keluarga. 

  3. Grand design untuk Nabi Musa AS ialah kerana baginda ingat kepada Allah SWT. Untuk dapat grand design hidup kita yang dipandu oleh Allah SWT kita kena sabar yang lebih untuk mengajak ahli keluarga, organisasi dan negara untuk solat.

  4. Allah SWT tidak meminta rezeki daripada kita. Allah SWT yang memberi rezeki kepada hambaNya. Menurut Imam Qurtubi, kalau ada sahabat yang miskin, Nabi SAW suruh solat. 

  5. Kita perlukan ekonomi negara ini untuk bangkit semula, selain buka bisnes, jangan lupa ajak ahli keluarga, organisasi untuk solat. Anak kita, staf kita kena diingatkan berkali-kali untuk menjaga solat. 

  6. Surah Taha ini mengingatkan kita betapa penting untuk ingat Allah SWT. Masjid dan surau sebaga lembaga solat. AJK masjid/surau perlu mengambil ayat ini sebagai formula untuk mengajak masyarakat bertakwa. Apabila masyarakat bertakwa, Allah SWT akan berikan keberkatan kepada keluarga, masyarakat dan negara.


Ayat 20:133


وَقَالُوا۟ لَوْلَا يَأْتِينَا بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّهِۦٓ أَوَلَمْ تَأْتِهِم بَيِّنَةُ مَا فِى ٱلصُّحُفِ ٱلْأُولَىٰ


Dan mereka yang kafir berkata: "Mengapa ia tidak membawa kepada kami satu tanda mukjizat dari Tuhannya yang membuktikan kebenarannya?" Bukankah telah datang kepada mereka berbagai-bagai keterangan dan khasnya Al-Quran yang menjadi kenyataan yang menerangkan apa yang terkandung dalam Kitab-kitab yang dahulu?


Pengajaran


  1. Orang-orang yang degil meminta mukjizat yang lain daripada Nabi SAW.


Ayat 20:134


وَلَوْ أَنَّآ أَهْلَكْنَٰهُم بِعَذَابٍ مِّن قَبْلِهِۦ لَقَالُوا۟ رَبَّنَا لَوْلَآ أَرْسَلْتَ إِلَيْنَا رَسُولًا فَنَتَّبِعَ ءَايَٰتِكَ مِن قَبْلِ أَن نَّذِلَّ وَنَخْزَىٰ


Dan sekiranya Kami binasakan mereka dengan sesuatu azab sebelum datangnya Rasul Kami membawa Al-Quran ini, tentulah mereka akan berkata pada hari kiamat: "Wahai Tuhan Kami! Mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada kami seorang Rasul supaya kami menurut ayat-ayat keteranganMu yang dibawanya, sebelum kami menjadi hina (dengan azab di dunia), dan mendapat malu (dengan azab di akhirat)?"


Pengajaran


  1. Al-Quran adalah mesej risalah dan rasul adalah utusan. Walaupun kita tidak nampak rasul, kita bersyukur kita ada rasul yang berjuang untuk kita. 

  2. Kita tahu sejarah al-Quran bukan dengan karpet merah. Banyak cabaran yang nabi-nabi dan rasul lalui untuk memperjuangkan al-Quran.

  3. Semoga kita hargai al-Quran yang sampai kepada kita.


Ayat 20:135


قُلْ كُلٌّ مُّتَرَبِّصٌ فَتَرَبَّصُوا۟ فَسَتَعْلَمُونَ مَنْ أَصْحَٰبُ ٱلصِّرَٰطِ ٱلسَّوِىِّ وَمَنِ ٱهْتَدَىٰ


Katakanlah (wahai Muhammad): "Tiap-tiap seorang (di antara kita) sedang menunggu; maka tunggulah kamu! Kemudian kamu akan mengetahui kelak siapakah orang-orang yang berada atas jalan yang lurus, dan juga siapa yang mendapat petunjuk".


Pengajaran


  1. Bila kita mengingatkan manusia kepada kebaikan, biarkan mereka, sama ada mereka mahu percaya atau tidak kerana bukan kita yang menentukan. 

  2. Allah SWT yang menentukan siapa yang berada di jalan lurus dan siapa yang mendapat petunjuk.



RESOLUSI


Ingat!

  1. Jangan abaikan ayat Allah SWT agar tidak diabaikan di akhirat kelak (20:126)

  2. Manfaatkan akal untuk berasa gerun pada azab Allah SWT (20:128)

  3. Sabar dan tasbih untuk terus mendapat ketenangan dalam ujian melanda (20:130)


Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya sabar dan solat agar saya terus mendapat ketenangan dalam ujian melanda. 


Saya jelas untuk jangan abaikan ayat Allah SWT agar tidak diabaikan di akhirat kelak. Saya jelas saya mesti manfaatkan akal untuk berasa gerun pada azab Allah SWT. Saya jelas saya mesti sabar dan tasbih untuk terus mendapat ketenangan dalam ujian melanda.


Ya Allah, bimbing kami supaya kami tidak abaikan ayat-ayat Mu. Janganlah kami diabaikan di akhirat kelak. Ya Allah, pimpin kami untuk manfaatkan akal agar kami berasa gerun pada azab Mu. Ya Allah, pimpin kami untuk sabar dan tasbih agar kami mendapat ketenangan dalam ujian melanda.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...