Surah Al-Anbiya’ (Para Nabi) Ayat 1-112
Dinamakan dengan nama ini kerana Surah Al-Anbiya' menyebutkan sebahagian besar nama para nabi Alaihimussalam dengan berturutan dan menyebutkan penjelasan bahawa mereka semua adalah umat yang satu agama.
Diawali dengan penyataan walaupun kiamat sudah hampir, namun manusia masih lalai dan tidak mahu menyediakan bekalan ke akhirat. Diakhiri dengan penyataan Allah SWT tahu apa yang kita nyatakan dan sembunyikan. Jangan pula penangguhan azab itu membuatkan kita menambahkan lagi dosa. Malah jadikan ia sebagai peluang untuk kita minta ampun dan membuat sebanyak mungkin amal kebaikan.
Tema Surah : Peranan Nabi mengingatkan manusia
• Tuduhan orang kafir (1-5)
• Perakuan Allah SWT (6-15)
• Allah SWT tidak cipta alam secara mainan (16-29)
• Bukti kekuasaan Allah SWT (30-50)
- Kita harus memikirkan langit dan bumi. Dijadikan yang hidup dari air (30)
- Gunung-ganang dipasakkan untuk meneguhkan bumi (31)
- Langit terbentang luas, siap dengan pengawalnya sekali (32)
- Allah SWT adakan pertukaran siang dan malam disebabkan matahari dan bulan yang beredar (33)
- Tiada seorang manusia yang diciptakan kekal hidup didunia ini (34)
• Kisah kebijaksanaan Nabi Ibrahim dalam pendekatan dakwahnya (51-70)
• Kisah Nabi Luth (71-82)
• Kisah Nabi Ayub (83-95)
• Apabila kiamat berlaku (96-106)
• Nabi diutus membawa rahmat (107-112)
Surah Al-Hajj (Haji) Ayat 1-78
Al-Hajj bermaksud ibadah Haji. Nama surah ini disebut di dalam ayat 27. Intipati surah adalah tentang Tauhid dan Hari Kiamat. Dimulakan dengan Allah SWT menyeru manusia supaya bertaqwa kepada-Nya kerana kiamat bukan sebarang kejadian. Ketika itu manusia tidak tentu arah, seperti orang mabuk. Diakhiri dengan gesaan supaya berjihadlah dengan ikhlas. Ia bukan mahu menyusahkan, tapi lanjutan daripada syariat Nabi Ibrahim. Nabi Muhammad SAW dan kita sendiri akan menjadi saksi sesama sendiri di akhirat nanti.
Tema: Haji membina umat.
• Keadaan dunia apabila kiamat (1-4)
• Proses kejadian manusia (5-7)
• Kita mempunyai sikap yang tidak tetap (8-13)
- Selalu mempersoalkan keagungan Allah SWT tanpa mempunyai ilmu yang sewajarnya (8)
- Dengan sombong pula kita cuba menyesatkan orang lain daripada mengikut jalan yang benar (9)
- Sikap tidak tetap, beribadat tidak khusyuk, dapat kebaikan melonjak gembira, dapat kesusahan berubah mukanya (11)
- Akibat minta tolong selain daripada Allah SWT (12)
- Lebih suka meminta kepada orang yang lebih banyak memberikan mudarat daripada manafaatnya (13)
• Jika kita taat perintah Allah (14-18)
• Dua kumpulan berbalah tentang tuhan (19-24)
• Pembinaan kaabah dan ibadah haji (25-37)
• Orang beriman diizinkan berperang (38-45)
• Kebinasaan kaum adalah dugaan (46-55)
• Tempat manusia di akhirat nanti (56-62)
- Jika beriman dan beramal soleh akan ditempatkan di syurga (56)
- Orang kafir menolak al-Quran akan menjadi penghuni neraka dan mendapat penghinaan Allah SWT (57)
- Orang Muhajirin yang berpindah ke madinah kemudian ikut berperang bersama-sama akan diberikan layanan yang istimewa di akhirat nanti (58)
- Sesiapa yang mengampunkan kesalahan orang yang menganiayainya, kemudian mereka dianiaya semula, mereka dalam kawalan Allah SWT (60-62)
• Perhatikan ciptaan Allah SWT (63-75)
• Harapan Allah SWT (76-78)
Doa-doa dalam Juzuk 17
لَّآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبۡحَٰنَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ ٱلظَّٰلِمِينَ
Tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri. (Al-Anbiya’ ayat 87)
رَبِّ لَا تَذَرۡنِى فَرۡدًا وَأَنتَ خَيۡرُ ٱلۡوَٰرِثِينَ
Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi. (Al-Anbiya ayat 89)
Wallahua’lam
Rujukan
1. Memahami Al-Quran Petunjuk Kita, Haji Mohamed Ayob Yasin
2. Sinopsis 114 Surah, Fazrul Ismail
3. Kompas 114, Syaari Ab Rahman
4. Tadabbur Al-Quran, Syaikh Adil Muhammad Khalil

