Thursday, October 5, 2023

Halaman 429 Saba', 34:8-14

 

PERKATAAN HARI INI


 جَنَّ / جَنَنَ Menutupi. 

201 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS 

  1. Orang kafir memandang Hari Kiamat sebagai hal yang tidak akan terjadi, sikap mereka yang mengejek Rasulullah SAW serta bukti tentang hari kebangkitan (34:8-9)
  2. Nikmat Allah SWT kepada Nabi Daud A.S (34:10-11)
  3. Pelbagai nikmat Allah SWT kepada Nabi Sulaiman A.S (34:12-14)

         

Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 429, Surah Saba'.

 


Ayat 34:8

 

أَفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَم بِهِۦ جِنَّةُۢۗ بَلِ ٱلَّذِینَ لَا یُؤۡمِنُونَ بِٱلۡـَٔاخِرَةِ فِی ٱلۡعَذَابِ وَٱلضَّلَـٰلِ ٱلۡبَعِیدِ

 

"Adakah ia berdusta terhadap Allah, atau ia kena penyakit gila?" (Tidak ada satupun) bahkan orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat tetap beroleh (di sana) azab seksa yang seburuk-buruknya dan (di sini) tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.

 

Pengajaran

  1.  Ayat ini berkaitan dengan Ayat ke 7 bagaimana orang kafir memerli Rasulullah SAW. Dalam ayat ini mereka membuat dua pertuduhan terhadap Rasulullah SAW:
    • berdusta.
    • penyakit gila.
  2. Prof William Montgomery Watt dari Edinburgh University, Scotland yang mengkaji al-Quran berkata ada empat pertuduhan yang dikatakan oleh orang Quraisy kepada Nabi Muhammad SAW:
    • ahli syair yang mengeluarkan kata-kata yang memukau.
    • boleh menilik masa depan.
    • majnun (possessed)
    • ahli sihir
  3. Orang kafir percaya bahawa Rasulullah SAW memang ada elemen luar biasa, namun mereka masih tidak mahu menerima baginda sebagai rasul.  

 

Ayat 34:9

 

أَفَلَمۡ یَرَوۡا۟ إِلَىٰ مَا بَیۡنَ أَیۡدِیهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُم مِّنَ ٱلسَّمَاۤءِ وَٱلۡأَرۡضِۚ إِن نَّشَأۡ نَخۡسِفۡ بِهِمُ ٱلۡأَرۡضَ أَوۡ نُسۡقِطۡ عَلَیۡهِمۡ كِسَفࣰا مِّنَ ٱلسَّمَاۤءِۚ إِنَّ فِی ذَ ٰ⁠لِكَ لَـَٔایَةࣰ لِّكُلِّ عَبۡدࣲ مُّنِیبࣲ

 

(Setelah mereka mengejek-ejek dan membuat tuduhan-tuduhan itu) tidakkah mereka melihat apa yang ada di hadapan mereka dan yang ada di belakang mereka dari langit dan bumi (dapatkah mereka melarikan diri)? Jika Kami kehendaki nescaya Kami timbuskan mereka di bumi, atau Kami gugurkan atas mereka ketul-ketul dan serpihan-serpihan dari langit (yang akan membinasakan mereka). Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang memberi keinsafan) bagi tiap-tiap hamba Allah yang mahu kembali kepadanya (dengan taat dan berbakti).

 

Pengajaran

  1. Allah SWT mendidik Rasulullah SAW berfikir secara rasional.
  2. Orang kafir disuruh untuk melihat langit dan bumi. Jika Allah SWT kehendaki, nescaya Allah timbuskan mereka di bumi atau Allah SWT gugurkan atas mereka serpihan dari langit yang akan membinasakan mereka.
  3. Semua yang Allah SWT jadikan itu mengandungi tanda yang memberi keinsafan bagi tiap-tiap hamba yang mahu kembali kepada Allah SWT.

 

Ayat 34:10

 

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا دَاوُۥدَ مِنَّا فَضْلًا يَٰجِبَالُ أَوِّبِى مَعَهُۥ وَٱلطَّيْرَ وَأَلَنَّا لَهُ ٱلْحَدِيدَ

 

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): "Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!" Dan juga telah melembutkan besi baginya;

 

Pengajaran

  1. Allah SWT bawakan pula bukti sejarah melalui kisah Nabi Daud AS yang dikurniakan kebaikan dan keberkatan (فَضْلًا).
  2. Nabi Daud AS boleh berinteraksi dengan makhluk yang lain seperti gunung-ganang, burung-burung dan dilembutkan besi untuknya.
  3. Menurut Imam Ibnu Kathir ada 4 kelebihan Nabi Daud AS:
    • Kelebihan yang nyata
    • Kenabian dan kerajaan
    • Kekuatan tentera yang luar biasa
    • Suara yang hebat. Bila baginda bertasbih, seluruh alam bertasbih bersamanya.
  4. Abu Musa Al-Ashaari dipuji oleh Rasulullah SAW bila membaca al-Quran kerana suaranya merdu seperti suara Nabi Daud AS.
  5. Seterusnya baginda juga mempunyai kelebihan dapat melembutkan besi.
  6. Imam Hasan Al-Basri mengatakan baginda dapat melembutkan besi seakan-akan tanpa gunakan api.

 

Ayat 34:11

 

أَنِ ٱعْمَلْ سَٰبِغَٰتٍ وَقَدِّرْ فِى ٱلسَّرْدِ وَٱعْمَلُوا۟ صَٰلِحًا إِنِّى بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

 

(Serta Kami wahyukan kepadanya): "Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki; dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan".

 

Pengajaran

  1. Menurut Ibnu Kathir, Nabi Daud AS mempunyai kelebihan melembutkan besi tanpa api dan boleh menganyam besi. Tidak perlu pengetuk untuk buat baju-baju besi.
  2. Allah SWT mengingatkan baginda untuk melakukan amal soleh. Dengan nikmat yang banyak itu Nabi Daud AS semakin dekatkan diri kepada Allah SWT.
  3. Jangan sampai nikmat yang banyak menyebabkan kita jauh daripada Allah SWT.
  4. Allah SWT menceritakan ini kepada orang-orang kafir Quraisy supaya hati mereka lembut untuk menerima risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
  5. Kalau ada anak-anak kita yang nakal, eloklah kita ceritakan kisah-kisah nabi mudah-mudahan mereka mengambil pelajaran daripada kisah tersebut.

Ayat 34:12

 

وَلِسُلَيْمَٰنَ ٱلرِّيحَ غُدُوُّهَا شَهْرٌ وَرَوَاحُهَا شَهْرٌ وَأَسَلْنَا لَهُۥ عَيْنَ ٱلْقِطْرِ وَمِنَ ٱلْجِنِّ مَن يَعْمَلُ بَيْنَ يَدَيْهِ بِإِذْنِ رَبِّهِۦ وَمَن يَزِغْ مِنْهُمْ عَنْ أَمْرِنَا نُذِقْهُ مِنْ عَذَابِ ٱلسَّعِيرِ

 

Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan; dan Kami alirkan baginya mata air dari tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka.

 

Pengajaran

  1. Nikmat yang diberi kepada Nabi Sulaiman AS sangat luar biasa:
    • Allah SWT tundukkan angin untuk perjalanan baginda. Perjalanannya dipantaskan 30 kali ganda dengan bantuan angin.
    • Boleh menempa tembaga dengan mudah.
    • Binatang dan jin bekerja untuknya.
  2. Orang yang kufur nikmat akan di azab dalam neraka. Semoga kita tidak menjadi orang yang kufur nikmat.

 

Ayat 34:13

 

يَعْمَلُونَ لَهُۥ مَا يَشَآءُ مِن مَّحَٰرِيبَ وَتَمَٰثِيلَ وَجِفَانٍ كَٱلْجَوَابِ وَقُدُورٍ رَّاسِيَٰتٍ ٱعْمَلُوٓا۟ ءَالَ دَاوُۥدَ شُكْرًا وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِىَ ٱلشَّكُورُ

 

Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): "Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.

 

Pengajaran

  1. Nikmat-nikmat ini diceritakan kepada kaum Quraisy supaya mereka bersyukur dan mahu menerima wahyu.
  2. Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS bersyukur atas nikmat yang mereka dapat.
  3. Janganlah kemewahan menyebabkan kita kufur kepada Allah SWT.
  4. Lakukanlah amal soleh seperti para nabi terdahulu sebagai tanda syukur di atas nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita.

 

Ayat 34:14

 

فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ ٱلْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَىٰ مَوْتِهِۦٓ إِلَّا دَآبَّةُ ٱلْأَرْضِ تَأْكُلُ مِنسَأَتَهُۥ فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ ٱلْجِنُّ أَن لَّوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ ٱلْغَيْبَ مَا لَبِثُوا۟ فِى ٱلْعَذَابِ ٱلْمُهِينِ

 

Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.

 

Pengajaran 

  1. Setelah Allah SWT tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, jin tidak tahu tentang kematiannya melainkan anai-anai yang telah memakan tongkatnya.
  2. Apabila ia tumbang, barulah golongan jin tahu Nabi Sulaiman AS telah wafat. Ini menunjukkan jin tidak mengetahui perkara yang ghaib.
  3. Kalau jin tahu perkara ghaib nescaya mereka tidak kekal dalam azab yang menghinakan.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Beriman kepada Hari Akhirat agar kita sentiasa dipandu ke jalan hidayah (34:8)
  2. Perhatikan apa yang ada di sekitar dan melangkau langit bumi untuk menimbulkan rasa kehambaan (34:9)
  3. Semakin mempunyai kemahiran, semakin bersyukur (34:13)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya beriman kepada hari akhirat agar sentiasa dipandu ke jalan hidayah.

 

Saya jelas saya mesti beriman kepada Hari Akhirat agar saya sentiasa dipandu ke jalan hidayah. Saya jelas saya mesti perhatikan apa yang ada di sekitar dan melangkau langit bumi untuk menimbulkan rasa kehambaan. Saya jelas untuk semakin bersyukur apabila semakin mempunyai kemahiran.

 

Ya Allah, pimpin kami untuk beriman kepada Hari Akhirat agar kami sentiasa dipandu ke jalan hidayah. Ya Allah, bimbing kami untuk perhatikan apa yang ada di sekitar dan melangkau langit bumi untuk menimbulkan rasa kehambaan. Ya Allah, bimbing kami untuk menjadi semakin bersyukur apabila semakin mempunyai kemahiran.

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...