|
PERKATAAN HARI INI مَزَقَMemecahkan, memisahkan. 4 kali disebut di dalam al-Quran |
|
SINOPSIS 1. Kisah Negeri Saba' [Sheba] dan banjir besar [Sailul Arim] (34:15-21) |
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 430, Surah Saba'.
Ayat 34:15
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِى مَسْكَنِهِمْ ءَايَةٌ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ كُلُوا۟ مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لَهُۥ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.
Pengajaran
- Menurut Imam Ibnu Asyur, penamaan surah ini di ambil dari nama kaum Saba' seperti yang disebut dalam ayat ini.
- Pada halaman lepas Allah SWT telah menceritakan tentang Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS yang bersyukur kepada Allah SWT atas anugerah yang diberikan kepada mereka.
- Kaum Saba' diberi nikmat yang luar biasa. Negeri mereka dipenuhi dengan kebun-kebun yang subur. Mereka mempunyai 'food security' yang merupakan ciri penting dalam sesebuah negara. Allah SWT menyuruh mereka bersyukur di atas nikmat-nikmat tersebut kerana Allah SWT kurniakan kepada mereka negeri yang baik.
- Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, "apakah yang dimaksudkan dengan Saba'?". Menurut baginda SAW, Saba' ialah nama seorang lelaki yang dikurniakan 10 orang anak. Dia memajukan kawasan tersebut sehingga menjadi satu kabilah yang besar dengan negara yang makmur. Allah SWT suruh mereka bersyukur.
Ayat 34:16
فَأَعْرَضُوا۟ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ ٱلْعَرِمِ وَبَدَّلْنَٰهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَىْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَىْءٍ مِّن سِدْرٍ قَلِيلٍ
Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.
Pengajaran
- Mereka berpaling dan tidak bersyukur. Lalu Allah SWT hantarkan banjir besar yang membinasakan mereka dan Allah SWT gantikan kebun-kebun mereka yang subur dengan kebun-kebun yang pahit buahnya serta pohon-pohon yang jarang berbuah.
- Sebuah negara yang baik mestilah:
- a. mempunyai sumber makanan yang cukup
- b. mempunyai pemimpin yang baik yang membawa rakyat untuk syukur dan tauhid kepada Allah SWT
- c. mendapat keampunan daripada Allah SWT
- Menurut Ibnu Kathir, kaum Saba’ bukan sahaja dikurniakan kelebihan yang pelbagai tetapi pernah diutuskan juga Nabi dari kalangan kaum mereka.
- Kalau sesebuah negara tidak mengikut panduan dan perintah Allah SWT, ia akan dibinasakan oleh Allah SWT.
- Negeri yang baik bukan sekadar pengurusan yang baik sahaja malah membawa rakyat dan pemimpin patuh tunduk kepada Allah SWT juga.
Ayat 34:17
ذَٰلِكَ جَزَيْنَٰهُم بِمَا كَفَرُوا۟ وَهَلْ نُجَٰزِىٓ إِلَّا ٱلْكَفُورَ
Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang sangat kafir.
Pengajaran
1. Allah SWT binasakan mereka disebabkan kekufuran mereka.
2. Allah SWT ingatkan agar kita menjadi orang yang bersyukur.
3. Orang yang bersyukur adalah orang yang menghambakan diri kepada Allah SWT.
Ayat 34:18
وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ ٱلْقُرَى ٱلَّتِى بَٰرَكْنَا فِيهَا قُرًى ظَٰهِرَةً وَقَدَّرْنَا فِيهَا ٱلسَّيْرَ سِيرُوا۟ فِيهَا لَيَالِىَ وَأَيَّامًا ءَامِنِينَ
Dan - di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), - Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): " Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman".
Pengajaran
- Negara kaum Saba' subur dan tidak seperti Mekah yang tanahnya kering dan tidak sesuai untuk berkebun.
- Mereka bebas berjalan malam dan siang membawa barang dagangan ke bandar-bandar lain dalam keadaan aman.
- Perjalanan mereka mudah dengan adanya tempat-tempat persinggahan di sepanjang perjalanan.
Ayat 34:19
فَقَالُوا۟ رَبَّنَا بَـٰعِدۡ بَیۡنَ أَسۡفَارِنَا وَظَلَمُوۤا۟ أَنفُسَهُمۡ فَجَعَلۡنَـٰهُمۡ أَحَادِیثَ وَمَزَّقۡنَـٰهُمۡ كُلَّ مُمَزَّقٍۚ إِنَّ فِی ذَ ٰلِكَ لَـَٔایَـٰتࣲ لِّكُلِّ صَبَّارࣲ شَكُورࣲ
(Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: "Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan yang lain)", dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri; lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai, serta kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.
Pengajaran
- Kemakmuran dan kemudahan yang Allah SWT berikan itu menyebabkan mereka sombong dan kufur. Mereka bukan sahaja tidak bersyukur kepada Allah SWT bahkan meminta yang pelik-pelik.
- Mereka meminta perjalanan mereka untuk berdagang dijauhkan. Perjalanan kaum Saba' ke Mekah dan tempat yang diberkati untuk berdagang sebenarnya tidak jauh. Mereka menzalimi diri mereka sendiri.
- Allah SWT hancurkan mereka kerana tidak bersyukur.
- Kisah kaum Saba' mempunyai pengajaran yang besar bagi setiap seorang supaya sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.
Ayat 34:20
وَلَقَدْ صَدَّقَ عَلَيْهِمْ إِبْلِيسُ ظَنَّهُۥ فَٱتَّبَعُوهُ إِلَّا فَرِيقًا مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ
Dan sesungguhnya Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada hasutannya).
Pengajaran
- Allah SWT menjelaskan implikasi tidak bersyukur. Golongan yang tidak bersyukur, menyebabkan iblis telah berjaya. Iblis memang bersumpah, bila diturunkan dari syurga, untuk menyesatkan kaum Adam yang tidak bersyukur supaya menjadi geng iblis.
- Rasulullah SAW mendidik para sahabat menjadi hamba yang bersyukur. Rasulullah SAW bersabda:
- أُوصِيكَ يَا مُعَاذُ لاَ تَدَعَنَّ فِى دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ تَقُولُ اللَّهُمَّ أَعِنِّى عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
- “Aku memberikanmu nasihat, wahai Mu’az. Janganlah engkau tinggalkan saat di penghujung solat (di akhir solat setelah sama) bacaan doa: Ya Allah, tolonglah aku agar selalu mengingati-Mu, bersyukur pada-Mu, dan memperbagus ibadah kepada-Mu."
- Kita juga kena didik bukan hanya diri kita, tetapi orang lain juga untuk jadi hamba yang bersyukur.
- Tidak bersyukur kesannya:
- membawa kepada kekufuran seperti kaum Saba'
- menggambarkan keegoan seseorang mirip sifat iblis.
- Orang mukmin hendaklah banyak berdoa dan tidak terpengaruh dengan sifat iblis yang tidak bersyukur. Amalkan doa yang Rasulullah SAW kepada Saidina Mu'az itu.
Ayat 34:21
وَمَا كَانَ لَهُۥ عَلَیۡهِم مِّن سُلۡطَـٰنٍ إِلَّا لِنَعۡلَمَ مَن یُؤۡمِنُ بِٱلۡـَٔاخِرَةِ مِمَّنۡ هُوَ مِنۡهَا فِی شَكࣲّۗ وَرَبُّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءٍ حَفِیظࣱ
Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap sesuatu.
Pengajaran
- Kalau kita pasakkan keimanan dan menjadi orang yang bersyukur, iblis tidak akan dapat mempengaruhi kita.
- Orang yang bersyukur ialah orang yang dekat dengan Allah SWT kerana mereka tahu semua nikmat adalah daripada Allah SWT.
- Allah SWT sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap sesuatu.
Ayat 34:22
قُلِ ٱدْعُوا۟ ٱلَّذِينَ زَعَمْتُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ لَا يَمْلِكُونَ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَلَا فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا لَهُمْ فِيهِمَا مِن شِرْكٍ وَمَا لَهُۥ مِنْهُم مِّن ظَهِيرٍ
Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah makhluk-makhluk yang kamu dakwakan sebagai tuhan selain dari Allah; mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi, dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian (dengan Allah) dalam (mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi, dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka".
Pengajaran
1. Yang berkuasa di atas segalanya ialah Allah SWT.
2. Allah SWT tidak memerlukan pertolongan daripada sesiapa.
RESOLUSI
Ingat!
- Kejar keampunan Allah SWT untuk memastikan kehidupan yang baik (34:15)
- Elakkan berpaling daripada Allah SWT untuk mengelakkan keruntuhan tamadun (34:16)
- Berfikir kesan jangka masa pendek dan panjang sebagai tanda yakin pada Hari Akhirat supaya iblis tidak mampu mengacau (34:21)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya kejar keampunan untuk memastikan kehidupan yang baik.
Saya jelas saya mesti kejar keampunan Allah SWT untuk memastikan kehidupan yang baik. Saya jelas saya mesti elakkan berpaling daripada Allah SWT untuk mengelakkan keruntuhan tamadun. Saya jelas untuk berfikir kesan jangka masa pendek dan panjang sebagai tanda yakin pada Hari Akhirat supaya iblis tidak mampu mengacau.
Ya Allah, ampunkan kami dan kurniakan kami kehidupan yang baik. Ya Allah, bimbing kami agar tidak berpaling daripada-Mu. Ya Allah, kurniakan kami pemimpin yang baik agar negara kami menjadi baik dengan bimbingan-Mu. Ya Allah, ampunkan pemimpin-pemimpin kami, jauhkan negara kami daripada keruntuhan tamadun. Ya Allah, jauhkan kami daripada hasutan iblis. Ya Allah, bimbing kami untuk menjadi orang yang sentiasa bersabar dan bersyukur.
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.