Thursday, October 5, 2023

Halaman 428 Saba', 34:1-7

 

PERKATAAN HARI INI


عَزَبَ Luput atau menyelinap. 

2 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS 

  1. Kekuasaan dan ilmu Allah SWT (34:1-2)
  2. Pengingkaran orang kafir terhadap kiamat dan sikap manusia terhadap ayat Allah SWT serta balasannya (34:3-6) 
  3. Perli orang kafir ( 34:7)


        

Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 428, Surah Saba'.

 

Di hujung Surah al-Ahzab, Allah SWT menceritakan bagaimana Allah SWT akan mengenakan azab kepada orang munafik dan orang kafir.

 


Ayat 34:1

 

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِی لَهُۥ مَا فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَمَا فِی ٱلۡأَرۡضِ وَلَهُ ٱلۡحَمۡدُ فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِۚ وَهُوَ ٱلۡحَكِیمُ ٱلۡخَبِیرُ

 

Segala puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagiNyalah juga segala puji di akhirat; dan Dia lah sahaja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT memulakan surah Saba' dengan memuji diriNya, mengingatkan kepada orang kafir dan juga munafik bahawa yang memiliki dan menguasai alam semesta ini adalah Allah SWT.
  2. Menurut Imam Ibnu Asyur, orang kafir menafikan kedatangan hari kebangkitan. Allah SWT menemplak mereka di dalam ayat ini.

 

Ayat 34:2

 

يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنزِلُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا وَهُوَ ٱلرَّحِيمُ ٱلْغَفُورُ

 

Ia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya, dan apa yang turun dari langit serta apa yang naik kepadanya; dan Dia lah jua yang Maha Mengasihani, lagi Maha Pengampun.

 

Pengajaran

  1. Antara inti pati penting surah ini ialah tentang akidah. Ia menanamkan keimanan kepada para sahabat bahawa segala pujian adalah milik Allah SWT dan Allah SWT yang menjadikan alam semesta ini.
  2. Kesinambungan mesej dakwah yang telah dimulakan pada zaman Nabi Sulaiman AS lagi. Penceritaan kisah terdahulu itu penting untuk menanam akidah yang kukuh dalam jiwa orang beriman.
  3. Sangat baik untuk kita ambil kaedah penceritaan ini dengan membacakan buku kepada anak-anak sebelum tidur untuk menanamkan keimanan dan mengukuhkan akidah anak-anak.
  4. Surah ini dimulakan dengan Alhamdulillah. Ada empat surah yang dimulakan dengan Alhamdulillah iaitu Surah al-Fatihah, Surah Al-An'am, Surah Saba' dan Surah Fathir. Menurut Iman Ibnu Asyur, konteksnya berbeza di antara surah-surah tersebut. Surah al-Fatihah konteksnya lebih luas, Surah Al-An'am menyebut tentang nikmat-nikmat Allah SWT. Dalam Surah Saba' pula, ada refleksi tentang Surah al-Ahzab dengan mengajak orang Islam bersyukur atas nikmat Allah SWT.
  5. Menurut tafsir, 'Alhamdu' adalah pertengahan dari 'almadhu' dan 'alsyukru'. Pujian kepada Allah SWT melebihi dari pujian kepada segala makhluk lain. 'As syukru',  berterima kasih atas nikmat. 'Alhamdu', dapat nikmat atau tidak, kita perlu bersyukur kepada Allah SWT
  6. Allah SWT tahu setiap perincian yang turun dari langit dan apa yang naik ke langit. Kita mulakan segalanya dengan memuji Allah SWT. Ayat ini mempasakkan keimanan dan rasa tunduk kepada Allah SWT.
  7. Apabila berdoa hendaklah kita mulakan dengan pujian terhadap Allah SWT.

 

Ayat 34:3

 

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَا تَأْتِينَا ٱلسَّاعَةُ قُلْ بَلَىٰ وَرَبِّى لَتَأْتِيَنَّكُمْ عَٰلِمِ ٱلْغَيْبِ لَا يَعْزُبُ عَنْهُ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَلَا فِى ٱلْأَرْضِ وَلَآ أَصْغَرُ مِن ذَٰلِكَ وَلَآ أَكْبَرُ إِلَّا فِى كِتَٰبٍ مُّبِينٍ

 

Dan orang-orang yang kafir berkata:" Hari kiamat itu tidak akan datang kepada kami". Katakanlah (wahai Muhammad): "Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku yang mengetahui segala perkara yang ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang kepada kamu". Tiada tersembunyi dari pengetahuanNya barang seberat debu yang ada di langit atau di bumi, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu atau yang lebih besar melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.

 

Pengajaran

  1. Orang kafir menafikan hari kiamat. Menurut Imam Ibnu Asyur, jarang Allah SWT menyuruh Rasulullah SAW bertegas begini. Allah SWT ajar tentang kepastian hari kiamat dalam tiga surah iaitu Surah Saba', Surah Yunus, Surah Taghabun.
  2. Asas akidah mesti ditegaskan dan dipasakkan dalam jiwa anak-anak kita. Jangan bila besar, mereka mula mempertikaikan perkara akidah. Dari kecil kita sudah azankan di telinga mereka supaya ayat-ayat itu menerobos telinga mereka dengan asas akidah.

 

Ayat 34:4

 

لِّيَجْزِىَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أُو۟لَٰٓئِكَ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

 

(Kedatangan hari kiamat itu) supaya Tuhan membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh; mereka itu akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.

 

Pengajaran

  1. Tujuan manusia dibangkitkan semula ialah untuk diberi ganjaran dan balasan.
  2. Ini adalah proses motivasi untuk orang Islam agar sentiasa berhati-hati apa yang dilakukan setiap hari. 
  3. Surah Sajdah antara inti patinya mengingatkan kita tentang hari akhirat. Orang kafir akan tunduk menyesal pada hari akhirat.
  4. Allah SWT bukan sekadar menyebut beriman sahaja, tetapi perlu disertakan amal soleh. Mereka akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.

 

Ayat 34:5

 

وَٱلَّذِينَ سَعَوْ فِىٓ ءَايَٰتِنَا مُعَٰجِزِينَ أُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مِّن رِّجْزٍ أَلِيمٌ

 

Dan (sebaliknya) orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami sambil menyangka dapat melepaskan diri (dari hukuman Kami), - mereka itu akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

Pengajaran

  1. Orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat Allah SWT, mereka akan beroleh azab yang sangat pedih.
  2. Orang munafik cuba meragukan Islam. Mereka lakukan berbagai-bagai usaha untuk memberi gambaran yang salah tentang Islam. Malah ada yang mahu menulis semula al-Quran kerana dikatakan yang ada sudah tidak relevan.
  3. Hendaklah kita juga berusaha bersungguh-sungguh menyampaikan al-Quran.

 

Ayat 34:6

 

وَيَرَى ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ هُوَ ٱلْحَقَّ وَيَهْدِىٓ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَمِيدِ

 

Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan, mengetahui (dengan yakin, bahawa keterangan-keterangan) yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu (mengenai hari kiamat dan lain-lainnya) itulah yang benar serta yang memimpin ke jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT menceritakan ada ahli kitab dahulu yang berilmu dan beriman. Saidina Abdullah b Salam beriman setelah bertanya tiga soalan kepada Rasulullah SAW:
    • Bila akan datangnya hari kiamat?
    • Apakah makanan pertama ahli syurga?
    • Anak yang lahir, mirip ibu atau ayah?
  2. Rasulullah SWT menjawab:
    • Akan ada api yang keluar dari belah timur.
    • Makanan pertama ahli syurga ialah hati ikan.
    • Benih yang mendahului atau didominasi oleh ayahnya, maka mirip ayahnya lah anak itu. Begitulah sebaliknya.
  3. Kalau kita telah diberi ilmu tetapi kita ego dan ingkar, samalah kita seperti ahli kitab dahulu yang ingkar kepada Rasulullah SAW.

 

Ayat 34:7

 

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ هَلْ نَدُلُّكُمْ عَلَىٰ رَجُلٍ يُنَبِّئُكُمْ إِذَا مُزِّقْتُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ إِنَّكُمْ لَفِى خَلْقٍ جَدِيدٍ

 

Dan orang-orang yang kafir pula berkata (sesama sendiri secara mengejek-ejek): "Mahukah, kami tunjukkan kepada kamu seorang lelaki yang memberitakan kepada kamu: ` (Bahawa apabila kamu dihancurkan sehancur-hancurnya sesudah mati), sesungguhnya kamu akan dihidupkan semula dalam bentuk kejadian yang baru? '

 

Pengajaran

  1. Orang-orang kafir perli Rasulullah SAW tentang hari kebangkitan.
  2. Allah SWT akan perli mereka kembali dalam ayat-ayat akan datang. Allah SWT boleh menghidupkan semula yang telah mati.
  3. Inilah ayat-ayat penegasan tentang hari kiamat dan kebangkitan semula.

 

RESOLUSI

 

Ingat!

  1. Selalu memuji Allah SWT yang empunya dunia akhirat (34:1)
  2. Sentiasa bersedia dengan amal bagi menghadapi hari kiamat (34:3)
  3. Tingkatkan iman dan amal soleh untuk mendapat keampunan dan rezeki yang mulia dari sisi Allah SWT (34:4)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya tingkatkan iman dan amal soleh untuk mendapat keampunan dan rezeki yang mulia dari sisi Allah SWT.

 

Saya jelas saya mesti selalu memuji Allah SWT yang empunya dunia akhirat. Saya jelas saya mesti sentiasa bersedia dengan amal bagi menghadapi hari kiamat. Saya jelas untuk tingkatkan iman dan amal soleh untuk mendapat keampunan dan rezeki yang mulia dari sisi Allah SWT.

 

Ya Allah, kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ingatkan kami untuk selalu memuji-Mu, Tuhan yang empunya dunia akhirat. Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa bersedia dengan amal bagi menghadapi hari kiamat. Ya Allah, bimbing kami untuk tingkatkan iman dan amal soleh, kurniakan kami keampunan dan rezeki yang mulia dari sisi-Mu.

 

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

 

"Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang beriman lebih dahulu dari kami. Janganlah Engkau tanamkan ke dalam hati kami perasaaan dengki kepada orang-orang yang telah beriman lebih dahulu. Wahai tuhan kami, sungguh Engkau Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kepada semua makhluk-Nya." ( al-Hasyr ayat 10)

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


























































Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...