Thursday, October 5, 2023

Halaman 441 Yasin (36:13-27)


PERKATAAN HARI INI 

رَجَمَ Merejam. 

14 kali disebut di dalam al-Quran






SINOPSIS   



     1.  Antioch: kisah Ashabul Qaryah [penduduk sebuah kota] (36:13-27)

Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 441 Surah Yasin.

 

Ayat 1 hingga 12 kita telah lihat pembuktian daripada atas iaitu wahyu. Hari ini kita akan lihat pembuktian daripada sejarah iaitu penghujahan daripada belakang.

 

Surah Yasin ini adalah surah dakwah. Ketika kita berdakwah, kadang-kadang ada orang hendak lihat ayat al-Quran, ada yang tidak suka. Jadi kita boleh gunakan kajian kes sejarah, sirah, ‘best practice’. Kalau mereka tidak mahu dengar juga, kita boleh bawa bukti-bukti sains, kimia dan sebagainya iaitu bukti dari ilmu depan.

 

Penghujahan daripada atas, belakang dan depan ini adalah kaedah seorang pendakwah. Inilah tiga sudut yang diajar oleh Surah Yasin.

 

Ayat 36:13

 

وَٱضْرِبْ لَهُم مَّثَلًا أَصْحَٰبَ ٱلْقَرْيَةِ إِذْ جَآءَهَا ٱلْمُرْسَلُونَ

 

Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT membawakan kisah Ashabul Qaryah. Ulamak mengatakan tempat itu adalah Antioch di Turki. Dalam ayat ini tidak dinyatakan nama tempat kerana ia bukan sekadar di Antioch atau di mana tetapi Allah SWT bawakan kisah ini cukup untuk kita ambil manfaat.
  2. Mereka telah didatangi oleh rasul-rasul yang menyampai risalah kebenaran.
  3. Bila kita mendapat kebenaran, kita kena mengikuti jejak rasul dalam menyebarkan kebenaran itu. Lagi kuat baca Yasin, lagi kuat mengikut para rasul.

 

Ayat 36:14

 

إِذْ أَرْسَلْنَآ إِلَيْهِمُ ٱثْنَيْنِ فَكَذَّبُوهُمَا فَعَزَّزْنَا بِثَالِثٍ فَقَالُوٓا۟ إِنَّآ إِلَيْكُم مُّرْسَلُونَ

 

Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu '.

 

Pengajaran

 

  1. Dihantar dua orang kepada negeri tersebut, mereka didustakan dan dihantar seorang lagi rasul yang ketiga.
  2. Rasul-rasul itu memberitahu bahawa mereka diutus kepada kaum tersebut.

 

Ayat 36:15

 

قَالُوا۟ مَآ أَنتُمْ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُنَا وَمَآ أَنزَلَ ٱلرَّحْمَٰنُ مِن شَىْءٍ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا تَكْذِبُونَ

 

Penduduk bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang agama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta".

 

Pengajaran

 

  1. Mereka memperolok-olokan rasul tersebut. Mereka mengatakan rasul itu sama seperti mereka sahaja, mana ada risalah? Semuanya penipu, kata mereka.
  2. Orang musyrik di Mekah juga mengatakan Nabi Muhammad SAW penipu. Zaman sekarang juga ada golongan begini. Dalam menyampaikan dakwah, jika dikutuk, jadikanlah ia sebagai penguat semangat bila kita membaca surah Yasin ini.
  3. Perkataan ar-Rahman tidak biasa didengari oleh orang-orang musyrik pada masa itu. Bila bercakap tentang ar-Rahman ini, kita perlu takut kepada Yang Maha Penyayang. Kita takut kurang kasih sayang Allah SWT beri kepada kita kerana kita tidak menyebarkan rahmat kasih sayang Allah SWT kepada seluruh manusia.
  4. Tanda kita menyebarkan kasih sayang ialah dengan kita berikan peringatan kepada orang-orang yang sedang berbuat bahaya. Allah SWT mengatakan kalau kita ini sayang kepada Allah dan hendak mendapat lebih rahmat daripada Allah SWT, kita kena menyampaikan risalah.  

 

Ayat 36:16

 

قَالُوا۟ رَبُّنَا يَعْلَمُ إِنَّآ إِلَيْكُمْ لَمُرْسَلُونَ

 

Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ajarkan kepada rasul-rasul cara respon kepada orang kafir bahawa Allah SWT tahu mereka adalah rasul-rasul yang diutuskan.
  2. Cukuplah Allah SWT yang menyuruh mereka menyampaikan kebaikan. Kalau apa yang kita hendak sampaikan itu baik, biarlah Allah yang tentukan. Tidak perlu tunggu pengesahan orang lain. Tidak perlu berbalah. Tetap berakhlak yang baik.

 

Ayat 36:17

 

وَمَا عَلَيْنَآ إِلَّا ٱلْبَلَٰغُ ٱلْمُبِينُ

 

"Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata".

 

Pengajaran

 

  1. Tugas rasul ialah menyampaikan risalah dengan kaedah terbaik agar sampai kepada pendengar.
  2. Mubin adalah fakta yang betul (what) mesti disampaikan dengan kaedah (how) yang terbaik.

 

Ayat 36:18

 

قَالُوٓا۟ إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِن لَّمْ تَنتَهُوا۟ لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ

 

Penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya".

 

Pengajaran

 

  1. Penduduk negeri itu menyalahkan para rasul. Mereka kutuk para rasul. Mereka menuduh para rasul menyebabkan mereka mendapat sial.
  2. Kemudian mereka mengancam untuk merejam para rasul.

 

Ayat 36:19

 

قَالُوا۟ طَٰٓئِرُكُم مَّعَكُمْ أَئِن ذُكِّرْتُم بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ

 

Rasul-rasul itu menjawab: "Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau".

 

Pengajaran

 

  1. Rasul-rasul menjawab bahawa nasib malang mereka ialah akibat kekufuran mereka sendiri. Tiada kaitan dengan kedatangan rasul.
  2. Janganlah kita gunakan kekasaran kerana kita umat penuh hujah dengan hidayah daripada Allah SWT.
  3. Kesan membaca Surah Yasin makin lagi kita hendak melaksanakan dakwah. Kita kena keluar daripada zon selesa untuk memperjuangkan mereka yang dizalimi, anak yatim dan kumpulan-kumpulan yang perlu diperjuangkan seperti yang dilakukan oleh para rasul.

 

Ayat 36:20

 

وَجَآءَ مِنْ أَقْصَا ٱلْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَىٰ قَالَ يَٰقَوْمِ ٱتَّبِعُوا۟ ٱلْمُرْسَلِينَ

 

Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu

 

Pengajaran

 

  1. Bila rasul-rasul itu diancam dan dikaitkan sebagai sumber nasib malang mereka, datang seorang pemuda daripada hujung kota dengan berlari.
  2. Ia memberi nasihat supaya mereka turut rasul-rasul itu.
  3. Nama pemuda itu tidak disebut kerana Allah SWT bukanlah hendak naikkan nama individu tetapi Allah SWT mengangkat sifat dan tindakan pemuda itu yang bersegera bersama dengan perjuangan dakwah untuk mengubah kemungkaran.
  4. Pemuda itu bantu buat ‘marketing’ kepada rasul-rasul yang membawa mesej kebaikan.
  5. Dalam hidup kita ini kalau ada kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita, hendaklah kita bergegas lakukan sesuatu untuk mencegah kemungkaran tersebut.

 

Ayat 36:21

 

ٱتَّبِعُوا۟ مَن لَّا يَسْـَٔلُكُمْ أَجْرًا وَهُم مُّهْتَدُونَ

 

"Turutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk".

 

Pengajaran

 

  1. Pemuda itu menyeru kepada penduduk negeri supaya ikut rasul-rasul.
  2. Menurut Imam As-Sa'di, dua sifat tanda pendakwah itu benar:
    • tidak minta upah - hanya hendak sampaikan mesej daripada Allah SWT
    • mereka itu diberi hidayah - buat apa yang mereka cakap. Allah pimpin mereka buat apa yang Allah suruh.

 

Ayat 36:22

 

وَمَا لِىَ لَآ أَعْبُدُ ٱلَّذِى فَطَرَنِى وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

 

Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima ugama mereka? Maka jawabnya): "Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?

 

Pengajaran

 

  1. Ini adalah disiplin menyampaikan dakwah. Seorang pendakwah selalu mengaitkan kesilapan kepada dirinya.
  2. Adab ketika berdakwah itu penting. Jangan menuding jari kepada orang lain, tetapi seorang pendakwah mestilah ambil tindakan untuk diri sendiri atas mesej yang hendak disampaikan.
  3. Pemuda itu mengingatkan penduduk negeri itu bahawa mereka semua akan dikembalikan kepada Tuhan yang mencipta mereka.

 

Ayat 36:23

 

ءَأَتَّخِذُ مِن دُونِهِۦٓ ءَالِهَةً إِن يُرِدْنِ ٱلرَّحْمَٰنُ بِضُرٍّ لَّا تُغْنِ عَنِّى شَفَٰعَتُهُمْ شَيْـًٔا وَلَا يُنقِذُونِ

 

"Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.

 

Pengajaran

 

  1. Pemuda itu terus menyampaikan mesej dengan mengaitkan perbuatan salah kepada dirinya sendiri.
  2. Tidak patut sembah Tuhan selain Allah SWT.
  3. Hanya Allah yang Maha Pemurah boleh memberi syafaat dan menyelamatkan kita apabila ditimpa bahaya.

 

Ayat 36:24

 

إِنِّىٓ إِذًا لَّفِى ضَلَٰلٍ مُّبِينٍ

 

"Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.

 

Pengajaran


1.     Syirik adalah merupakan kesesatan yang nyata.

 

Ayat 36:25

 

إِنِّىٓ ءَامَنتُ بِرَبِّكُمْ فَٱسْمَعُونِ

 

"Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)",.

 

Pengajaran

 

  1. Pemuda itu berkata bahawa dia telah beriman kepada Tuhan mereka lalu menyeru mereka mendengar nasihatnya.

 

Ayat 36:26

 

قِيلَ ٱدْخُلِ ٱلْجَنَّةَ قَالَ يَٰلَيْتَ قَوْمِى يَعْلَمُونَ

 

(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam Syurga". Ia berkata; "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -

 

Pengajaran

 

1.     Pemuda itu syahid dibunuh oleh penduduk bandar itu.

2.     Dia dijemput masuk ke syurga (alam kubur yang indah kerana dia mati syahid).

 

Ayat 36:27

 

بِمَا غَفَرَ لِى رَبِّى وَجَعَلَنِى مِنَ ٱلْمُكْرَمِينَ

 

"Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan".

 

Pengajaran

 

  1. Dia berkata: "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui - Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan".

 

RESOLUSI

 

Ingat!


1.     Sampaikan mesej dengan cara yang berkesan dan jelas faktanya (36:17)

2.     Sentiasa menyokong dan mempromosikan mesej dakwah kebaikan (36:20)

3.     Menggunakan bahasa yang lembut ketika menyampaikan seruan (36:22-24)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan untuk terus menyebarkan dakwah dengan adab-adab yang telah diajarkan.

 

Saya jelas saya mesti sampaikan mesej dengan cara yang berkesan dan jelas faktanya. Saya jelas saya mesti sentiasa menyokong dan mempromosikan mesej dakwah kebaikan. Saya jelas saya mesti menggunakan bahasa yang lembut ketika menyampaikan seruan.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk sampaikan mesej dengan cara yang berkesan dan jelas faktanya. Ya Allah, bantu kami menyokong dan mempromosikan mesej dakwah kebaikan. Ya Allah, bimbing kami untuk menggunakan bahasa yang lembut ketika menyampaikan seruan.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...