Thursday, October 5, 2023

Halaman 440 Yasin (36:1-12)


PERKATAAN HARI INI 


  قَمَحَ Mendongak. 

1 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS    

  1. Al-Quran, rasul dan Al-Mursal Ilaihim [umat manusia yang rasul diutus kepada mereka] (36:1-12)



Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 440 memulakan surah Yasin yang juga dipanggil sebagai jantung al-Quran.

 

Dengan degupan jantung yang hidup dengan al-Quran ini, maka insya Allah kita akan mampu untuk sihat dalam hidup kita. Kalau jantung al-Quran ini tidak difahami ataupun tidak dihidupkan dengan baik maka akan berlakulah sakit jantung dalam masyarakat. Kita tidak mahu ia berlaku.

 

Surah Yasin adalah amat indah dan ia amat penting untuk kita ambil pelajaran bagi menguatkan jati diri kita pada setiap masa. Al-Quran lagi dibaca, tidak faham pun ia mengindahkan hati kita. Bila kita faham, kita kena baca lagi. Puncak kepada bacaan al-Quran ialah ia dibaca ketika solat. Bahasa Arab al-Quran itu sendiri dapat memberi kesan kepada hati kita kerana ia adalah mukjizat daripada Allah SWT.

 

Allah SWT menurunkan Surah Yasin untuk memberi kekuatan kepada Nabi SAW dan para sahabat apabila mereka ditentang oleh kafir Quraisy. Nabi SAW digelar sebagai pendusta dan sebagainya. Allah SWT turunkan surah Yasin untuk memujuk kepada Nabi SAW untuk terus berdakwah.

 

Ayat 36:1

 

يسٓ

 

Yaa, Siin.

 

Pengajaran

  1. Ini adalah Huruf muqotto'ah. Hanya Allah SWT yang tahu maknanya.
  2. Dengan sikap tidak tahu inilah kita memulakan Qalbun Quran ini. Kalau hendak sihat dalam kehidupan kita, dan masyarakat, kita kena ada sikap tidak tahu. Allah yang tahu.

 

Ayat 36:2

 

وَٱلْقُرْءَانِ ٱلْحَكِيمِ

 

Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,

 

Pengajaran

  1. Untuk mendapat ilmu yang kita tidak tahu itu, kita kena baca al-Quran untuk mendapat hikmah-hikmah dan kebenaran yang terdapat dalam al-Quran.
  2. Allah SWT bersumpah di dalam ayat ini untuk menegaskan bahawa al-Quran ini mengandungi hikmah-hikmah dan kebenaran yang tetap kukuh.
  3. Kita akan mendapat hikmah demi hikmah, apabila dibaca berulang kali.

 

Ayat 36:3

 

إِنَّكَ لَمِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ

 

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,

 

Pengajaran

  1. Selepas sumpah, Allah SWT bawakan satu topik yang besar menegaskan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah seorang rasul yang telah diutuskan oleh Allah SWT.
  2. Allah tegaskan tentang kerasulan Nabi SAW kerana orang-orang kafir mengatakan Nabi SAW penipu, dan mempersoalkan Nabi SAW.
  3. Allah SWT mengatakan cukuplah al-Quran sebagai saksi sebagai bukti kerasulan, tidak perlu bergantung kepada orang musyrik yang ada pada waktu itu. Sudah cukup kebenaran daripada al-Quran. Setiap ayat dalam al-Quran ini menunjukkan risalah ataupun kerasulan. Contoh: Dalam surah al-Ahzab ada kisah rumah tangga Nabi SAW. Ini bukti bahawa bukan Nabi SAW yang menulis al-Quran kerana Nabi SAW tentu tidak menceritakan hal rumah tangga kepada orang.
  4. Ini adalah pujukan kepada Nabi SAW yang Allah SWT mengiktiraf kerasulan Nabi SAW.
  5. Kalau kita baca ayat ini, kesannya ialah kita akan rasa bahawa kita ini pengikut rasul. Jadi kita kena kuat semangat dalam kehidupan untuk terus berdakwah.

 

Ayat 36:4

 

عَلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

 

Yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam).

 

Pengajaran

  1. Para rasul berada di atas jalan yang lurus. Mereka amat komited menyampaikan risalah.
  2. Dengan membaca Surah Yasin ini menyebabkan kita makin lagi komited berada di atas jalan yang lurus, bukannya semakin layu. Kita kena semakin bersemangat mencontohi para rasul daripada zaman Nabi Adam AS hingga kepada Nabi Muhammad SAW.

 

Ayat 36:5

 

تَنزِيلَ ٱلْعَزِيزِ ٱلرَّحِيمِ

 

Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,

 

Pengajaran

  1. Al-Quran diturunkan oleh ٱلرَّحِيمِ ٱلْعَزِيزِ. Dua nama Allah SWT dalam ayat ini: Al-Aziz dan Al-Rahim
  2. Al-Aziz: Allah Yang Maha Perkasa yang akan jaga al-Quran. Maka al-Quran tidak akan dapat diubah. Dengan al-Quran yang tidak diubah ini, jika kita baca, kita akan dapat rahmat daripada Allah SWT yang akan dibawa sampai ke akhirat nanti.
  3. Bila kita dapat baca al-Quran ini, sebenarnya kita dilindungi oleh al-Aziz dan kita disayangi oleh al-Rahim. Selagi kita baca, ikut peraturan dalam al-Quran maka kita akan sentiasa diberikan rahmat yang berpanjangan. Dengan izin Allah SWT kita dapat masuk ke syurga.

 

Ayat 36:6

 

لِتُنذِرَ قَوْمًا مَّآ أُنذِر ءَابَآؤُهُمْ فَهُمْ غَٰفِلُونَ

 

Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.

 

Pengajaran

  1. Kaum musyrik Mekah tidak pernah mendapat peringatan dan mereka lalai. Fungsi al-Quran ialah sebagai pemberi peringatan (inzar) kepada orang yang lalai.
  2. Bila kita tahu al-Quran sebagai satu peringatan, maka Nabi SAW bawa mesej itu untuk mengingatkan manusia. Bila kita dapat mesej ini kita tidak boleh simpan untuk diri sendiri. Kita kena ingatkan, kena kongsikan.
  3. Inzar maksudnya memberi peringatan kepada perkara-perkara yang tidak betul di dalam masyarakat. Contoh: Zaman sekarang ini ramai yang lalai, sibuk main game pagi, petang, siang, malam.  Kalau asyik main game waktu kerja, dapat gaji yang tidak halal kerana tidak jalankan amanah. Kalau kaum yang lalai ini bermaharajalela, masyarakat akan rosak.
  4. Allah SWT ingatkan pasti berlaku hukuman ke atas orang yang tidak beriman. Ketentuan Allah SWT memang benar tetapi ramai yang tidak ambil kisah. Contoh: Dengan dosa manusia, ia menyebabkan ada binatang atas muka bumi ini mati kerana manusia buang sampah dalam sungai yang menyebabkan sungai tercemar.
  5. Al-Quran perlu dimanfaatkan untuk beri peringatan kepada diri kita, keluarga dan masyarakat.

 

Ayat 36:7

 

لَقَدْ حَقَّ ٱلْقَوْلُ عَلَىٰٓ أَكْثَرِهِمْ فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

 

Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.

 

Pengajaran

 

1.     Mereka yang tidak beriman akan diazab.

 

Ayat 36:8

 

إِنَّا جَعَلْنَا فِىٓ أَعْنَٰقِهِمْ أَغْلَٰلًا فَهِىَ إِلَى ٱلْأَذْقَانِ فَهُم مُّقْمَحُونَ

 

Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT berikan belenggu kepada leher mereka sehingga ke dagu membuat leher mereka terdongak ke atas.

 

Ayat 36:9

 

وَجَعَلْنَا مِنۢ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَٰهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ

 

Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)

 

Pengajaran

  1. Mereka diazab begitu kerana semasa di dunia mereka sombong.  Orang yang sombong tidak akan nampak kebenaran. Kaum musyrik Mekah mengatakan Nabi SAW penipu dan sebagainya. Mereka sombong tidak mahu terima peringatan yang Nabi SAW sampaikan. Kesannya mereka tidak nampak kebenaran daripada Allah SWT.
  2. Dalam hidup kita ini, kita ada al-Quran yang mengajar kita kepada pelbagai kebenaran yang datang daripada:
    • Depan - kita nampak alam sekitar seperti matahari, pokok, burung, sungai, awan dan sebagainya. Bagi orang yang sombong ada dinding (سَدًّا). Mereka tidak nampak kebenaran. Mereka tidak nampak daripada awan itu turun air yang menghidupkan tanah tandus. Pokok rendang keluar buah yang sedap dimakan, memberi manfaat kepada dunia. Bagi orang yang ada halangan (سَدًّا), mereka tidak ambil kisah. Apabila kita nampak pokok memberi manfaat buah yang sedap, tanyalah diri kita yang dapat wahyu apa manfaat yang kita sebarkan kepada seluruh dunia?
    • Belakang - kisah daripada kaum-kaum terdahulu seperti kaum Aad, Thamud, Firaun dan sebagainya untuk diambil pelajaran.
  3. Kerana kesombongan itu, Allah SWT tutup pandangan mereka sehingga mereka tidak nampak kebenaran.

 

Ayat 36:10

 

وَسَوَآءٌ عَلَيْهِمْ ءَأَنذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

 

Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya - mereka tidak akan beriman.

 

Pengajaran

  1. Orang yang sombong itu kalau diberi peringatan atau tidak diberi peringatan, langsung tidak memberi kesan apa pun kepada mereka. Mereka tidak akan beriman.

 

Ayat 36:11

 

إِنَّمَا تُنذِرُ مَنِ ٱتَّبَعَ ٱلذِّكْرَ وَخَشِىَ ٱلرَّحْمَٰنَ بِٱلْغَيْبِ فَبَشِّرْهُ بِمَغْفِرَةٍ وَأَجْرٍ كَرِيمٍ

 

Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.

 

Pengajaran

  1. Peringatan dan amaran akan memberi kesan kepada orang yang ada dua sifat ini:
    • Sedia ikut peringatan al-Quran.  Contohnya, bila kita terbau bau makanan yang sedap, kita akan cari dari mana datangnya bau itu. Begitulah orang yang menghargai al-Quran. Dapat peringatan, mereka terus ikut.
    • Takut kepada ar-Rahman ketika tidak nampak ar-Rahman atau tidak nampak kesan berbuat baik/jahat (pahala, azab). Orang yang dapat peringatan, dia akan rasa takut.
  2. Kenapa digunakan perkataan ar-Rahman? Kita kena takut kepada Allah yang Maha Penyayang, kerana kita tidak mahu kekurangan kasih sayang Allah SWT.
  3. Allah ini adalah yang Maha Pemurah, yang kita perlukan rahmat pada setiap masa untuk diri, keluarga dan masyarakat kita. Bagi orang yang takut kepada ar-Rahman, dia takut Allah tidak beri kasih sayang yang cukup kepadanya sehingga dia kena uruskan hidup sendirian, maka orang ini akan mendapat peringatan daripada al-Quran.
  4. Mereka mendapat dua perkara:
    • keampunan daripada Allah SWT. Kita perlukan keampunan kerana kita banyak silap. Kalau tidak dapat keampunan kita akan didenda/dihukum oleh al-Aziz.
    • ganjaran yang mulia. Semasa zaman Nabi SAW di Mekah, mereka yang beriman dihina, dipukul. Bila ikut al-Quran mereka redha tidak mulia di dunia tetapi akan dapat kemuliaan di akhirat.
  5. Dengan semangat itulah Nabi SAW dan sahabat-sahabat bersemangat berdakwah dalam kehidupan mereka.

 

Ayat 36:12

 

إِنَّا نَحْنُ نُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا۟ وَءَاثَٰرَهُمْ وَكُلَّ شَىْءٍ أَحْصَيْنَٰهُ فِىٓ إِمَامٍ مُّبِينٍ

 

Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.

 

Pengajaran

  1. Allah SWT menghidupkan tanah yang tandus dengan air yang turun dari langit dan dengan al-Quran Allah SWT menghidupkan hati yang mati.
  2. Allah SWT tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Kalau kita viralkan perkara yang baik atau tidak baik, semua yang viral itu dicatat oleh Allah SWT.
  3. Di akhirat nanti kita akan jumpa kitab yang panjang (مُّبِينٍ إِمَامٍ) yang tercatat segala apa yang telah kita lakukan dan yang kita cakapkan semasa di dunia. Kalau yang tercatat itu perkara yang baik, maka kita akan gembira kerana akan mendapat ganjaran yang mulia, sebaliknya, akan mendapat azab yang sengsara.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Baca al-Quran untuk mendapat lebih banyak hikmah darinya (36:2)
  2. Hargai alam dan sejarah untuk kembali kepada Allah SWT dan agar tidak menyombong diri (36:9)
  3. Bina rasa ingin mengikuti kebaikan dan sentiasa takutkan Allah SWT tidak kira di mana jua kita berada (36:11)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya baca al-Quran untuk dapat lebih banyak hikmah.

 

Saya jelas saya mesti baca al-Quran untuk mendapat lebih banyak hikmah darinya. Saya jelas saya mesti hargai alam dan sejarah untuk kembali kepada Allah SWT dan agar tidak menyombong diri. Saya jelas saya mesti bina rasa ingin mengikuti kebaikan dan sentiasa takutkan Allah SWT tidak kira di mana jua saya berada.

 

Ya Allah, bimbing kami baca al-Quran untuk mendapat lebih banyak hikmah darinya. Ya Allah, bimbing kami hargai alam dan sejarah untuk kembali kepada Mu. Ya Allah jauhkan kami daripada sifat sombong. Ya Allah, pandu kami untuk bina rasa ingin mengikuti kebaikan dan sentiasa takutkan Mu tidak kira di mana jua kami berada.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...