PERKATAAN HARI INI
كَرُمَ Mulia, murah hati, dermawan. 47 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Rasul dan wahyu serta kritikan orang musyrik (21:25-29)
- Kecaman lain terhadap orang musyrik kerana tidak merenungi ayat-ayat kosmik yang membuktikan kewujudan Allah SWT Yang Maha Esa (21:30-33)
- Kematian seluruh makhluk dan datangnya Hari Kiamat atau azab neraka secara tiba-tiba (21: 34-35)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 324 Surah al-Anbiya'.
Ayat 21:25
وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِىٓ إِلَيْهِ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعْبُدُونِ
Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu".
Pengajaran
- Rasul diutus supaya kita hidup bertuhan, beragama (beribadah), melaksanakan segala perintah Allah SWT.
- إِلَٰهَ ada banyak maksudnya. Contoh: Kita tenang dengan gaji masuk. Gaji itulah إِلَٰهَ nya. Kita kena jaga-jaga.
- Orang yang beribadah hanya kepada Allah SWT akan rindu hendak bertemu Allah SWT, rindu hendak bertemu Rasul SAW. Rasul SAW membawa hadiah paling mahal, iaitu al-Quran untuk kita. Selepas mendapatnya, kita mestilah mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.
Ayat 21:26
وَقَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱلرَّحْمَٰنُ وَلَدًا سُبْحَٰنَهُۥ بَلْ عِبَادٌ مُّكْرَمُونَ
Dan mereka (yang musyrik) berkata: "(Allah) Ar-Rahman mempunyai anak". Maha Sucilah Ia. Bahkan (mereka yang dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah hamba-hambaNya yang dimuliakan.
Pengajaran
- Antara cabaran rasul, ada orang yang menyatakan tuhan ada anak. Isa itu anak tuhan bagi orang Kristian. Orang Yahudi kata Uzair itu anak tuhan.
- Maha Suci Allah daripada apa yang mereka katakan. Ini adalah penghinaan kepada Allah SWT yang Maha Tinggi, Maha Sempurna. Kita hamba yang lemah.
Ayat 21:27
لَا يَسْبِقُونَهُۥ بِٱلْقَوْلِ وَهُم بِأَمْرِهِۦ يَعْمَلُونَ
Mereka tidak mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang diperintahkanNya.
Pengajaran
- Orang musyrik tidak suka anak perempuan tetapi menyatakan malaikat yang mereka anggap sebagai perempuan, adalah anak tuhan.
- Pelik sungguh cara berfikir mereka. Yang bagus untuk mereka, yang mereka tidak suka, mereka beri kepada Allah SWT.
Ayat 21:28
يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يَشْفَعُونَ إِلَّا لِمَنِ ٱرْتَضَىٰ وَهُم مِّنْ خَشْيَتِهِۦ مُشْفِقُونَ
Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan), dan apa yang di belakang mereka (yang akan mereka lakukan); dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah; dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azabNya.
Pengajaran
- Allah SWT mengetahui segalanya. Malaikat mempunyai tugas macam-macam. Mereka buat seperti yang Allah beritahu. Mereka bukan anak tuhan. Mereka tidak boleh memberi syafaat kepada sesiapa. Malaikat akan mendoakan orang yang menyertai majlis ilmu.
- Malaikat selalu berhati-hati kerana takut kepada Allah SWT. Malaikat akan tolong hamba yang berhati-hati dan takut kepada Allah. Di sini sahaja tempat kita perlu berhati-hati. Di syurga nanti, tidak perlu lagi kita berhati-hati.
- Untuk meningkatkan ‘khosyah’ (takut/berhati-hati), selalulah bersama al-Quran. Kalau kita buat sembrono, malaikat tidak akan tolong. Inilah yang kita perlukan untuk mendapat rahmat Allah SWT.
Ayat 21:29
وَمَن يَقُلْ مِنْهُمْ إِنِّىٓ إِلَٰهٌ مِّن دُونِهِۦ فَذَٰلِكَ نَجْزِيهِ جَهَنَّمَ كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلظَّٰلِمِينَ
Dan (jika ada) sesiapa di antara mereka berkata: "Sesungguhnya aku ialah tuhan selain dari Allah", maka yang berkata sedemikian itu, Kami akan membalasnya dengan (azab) neraka jahannam; demikianlah Kami membalas golongan yang zalim.
Pengajaran
- Allah SWT memberi amaran keras. Sesiapa yang mengatakan ada tuhan selain Allah SWT, mereka akan dibalas dengan azab neraka jahannam.
- Kita tidak mahu menjadi orang yang KP sahaja Islam tetapi perangai sombong dan tidak mengesakan Allah SWT. Kita hamba, apa yang kita ada hanyalah sedikit sahaja. Bila kita rasa kita tahu lebih sedikit, seperti bila mengajar anak, kita mula cepat rasa hendak marah bila anak lambat faham.
- Kita bermula dengan kosong dan akan kembali kepada kosong juga. Kalau hendak dimuliakan, ikut cakap Tuhan dan ikut perintah Tuhan.
Ayat 21:30
أَوَلَمْ يَرَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَنَّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَٰهُمَا وَجَعَلْنَا مِنَ ٱلْمَآءِ كُلَّ شَىْءٍ حَىٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ
Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?
Pengajaran
- Salah satu cabaran beribadah ialah sombong. Cuba perhatikan langit dan bumi atau perhatikan diri sendiri. Buat apa nak sombong? Kenapa mereka tidak mahu beriman dengan Allah SWT yang Esa yang memberi segalanya.
- Setiap makhluk dijadikan daripada air. Tidak ada air sekejap pun kita sudah gelabah. Bayangkan semasa dibawa menghadap Allah nanti tiada air, yang ada hanya nanah, tembaga yang dicairkan dan panasnya sampai putus usus.
- Lihat alam, jangan sekadar kagum dengan alam itu tetapi kagumlah dengan Pencipta alam.
Ayat 21:31
وَجَعَلْنَا فِى ٱلْأَرْضِ رَوَٰسِىَ أَن تَمِيدَ بِهِمْ وَجَعَلْنَا فِيهَا فِجَاجًا سُبُلًا لَّعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ
Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani.
Pengajaran
- Allah SWT menjadikan semua yang di atas muka bumi ini ada fungsi. Gunung-gunung fungsinya untuk menstabilkan dunia. Bila kita lihat gunung-ganung kita tanya diri adakah kita juga berfungsi menstabilkan atau mengamankan keluarga dan masyarakat?
- Di celah gunung-gunung ada jalan yang rata untuk memudahkan perjalanan kita. Tidak perlu kita membina rumah di atas gunung-gunung yang kosnya tinggi. Allah SWT memberi jalan ini supaya kita mendapat petunjuk arah.
- يَهْتَدُونَ ada kaitan dengan hidayah. Kita dapat segala nikmat ini, adakah kita gunakan kelebihan ini menuju kepada akhirat? Seperti Nabi Musa AS, Allah beri cahaya bukan sahaja untuk balik ke Mesir, tetapi petunjuk sampai ke syurga. Bila kita dapat nikmat, hendaklah kita gunakan nikmat itu untuk sampai ke syurga.
Ayat 21:32
وَجَعَلْنَا ٱلسَّمَآءَ سَقْفًا مَّحْفُوظًا وَهُمْ عَنْ ءَايَٰتِهَا مُعْرِضُونَ
Dan Kami telah menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal, sedang mereka (yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang ada padanya.
Pengajaran
- Langit itu sebagai siling (سَقْفًا) yang berfungsi untuk menjaga bumi ini.
- Bila kita melihat sesuatu yang mengkagumkan, ucapkan subhanallah. Pelajar-pelajar sains juga penting untuk ingat ini bila mengkaji. Kita ini lemah, hanya Allah SWT yang mampu membuat segalanya.
Ayat 21:33
وَهُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ كُلٌّ فِى فَلَكٍ يَسْبَحُونَ
Dan Dia lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).
Pengajaran
- Matahari dan bulan beredar beribu-beribu kilometer, bukannya sesuatu yang mudah kecuali dengan bantuan Allah SWT.
- Kita sebagai hamba, cepat penat. Matahari dan bulan tidak penat kerana diuruskan oleh Allah SWT. Kalau bergantung dengan manusia, memang kita penat. Bergantung dan bertasbihlah kepada Allah SWT agar tidak penat.
Ayat 21:34
وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِّن قَبْلِكَ ٱلْخُلْدَ أَفَإِي۟ن مِّتَّ فَهُمُ ٱلْخَٰلِدُونَ
Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?
Pengajaran
- Tiada siapa pun yang kekal di dunia ini.
Ayat 21:35
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
Pengajaran
- Setiap orang akan mati.
- Selagi kita bernafas, kita akan diuji oleh Allah SWT sehingga kita benar-benar bersih untuk menuju syurga.
RESOLUSI
Ingat!
- Hargai hidup bertuhan dan beragama (21:25)
- Lihat pada kejadian alam besar dan alam kecil untuk meningkatkan keimanan (21:30)
- Sentiasa gunakan peluang daripada setiap nafas yang diberikan agar lulus ujian kehidupan (21:35)
Saya berasa lega, Allah SWT beri peluang untuk saya lulus ujian kehidupan agar saya berjaya ke syurga.
Saya jelas untuk hargai hidup bertuhan dan beragama. Saya jelas untuk lihat pada kejadian alam besar dan alam kecil untuk meningkatkan keimanan. Saya jelas untuk sentiasa gunakan peluang daripada setiap nafas yang diberikan agar lulus ujian kehidupan.
Ya Allah, bimbing kami untuk hargai hidup bertuhan dan beragama. Ya Allah, jadikan kami orang yang menghargai kejadian alam besar dan alam kecil agar ianya dapat meningkatkan keimanan kami. Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa gunakan peluang daripada setiap nafas yang diberikan agar lulus ujian kehidupan.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib