PERKATAAN HARI INI
كَفَّ / كَفَفَ Tidak dapat mengelak. 15 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Orang kafir mengejek Nabi Muhammad SAW (21:36)
- Psikologi manusia & azab neraka secara tiba-tiba (21:37-41)
- Penjagaan dan pemeliharaan Allah SWT terhadap manusia (21:42-44)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 325 untuk meneruskan Surah al-Anbiya' bagi menghargai nabi-nabi. Surah ini menceritakan tentang keimanan kepada Allah SWT dan Rasul. Di zaman nabi-nabi dahulu, orang yang mengikut mereka ditentang oleh orang kafir.
Pada ayat 35, Allah SWT ingatkan bahawa setiap diri akan merasa kematian. Setiap kali kita menghela nafas, kita sepatutnya merasakan kematian semakin dekat. Di tengah-tengah kehidupan dan kematian, Allah SWT akan uji dengan keburukan dan kebaikan. Ujian adalah untuk pembersihan kepada diri kita. Pembakaran emas yang amat panas akan menghasilkan emas tulin. Begitu juga kita, apabila sudah dibersihkan di dunia, tidak perlu lagi dibersihkan apabila sampai di akhirat.
Ayat 21:36
وَإِذَا رَءَاكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِن يَتَّخِذُونَكَ إِلَّا هُزُوًا أَهَٰذَا ٱلَّذِى يَذْكُرُ ءَالِهَتَكُمْ وَهُم بِذِكْرِ ٱلرَّحْمَٰنِ هُمْ كَٰفِرُونَ
“Dan apabila orang-orang kafir itu melihatmu, mereka hanyalah menjadikan perkara yang engkau sampaikan itu sebagai ejek-ejekan sahaja, sambil berkata sesama sendiri: "Inikah dia orangnya yang mencaci tuhan-tuhan kamu?" (Mereka berkata demikian) sedang mereka sendiri kufur ingkar kepada al-Quran yang mengandungi peringatan Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.”
Pengajaran
- Orang yang tidak takut mati, suka mengejek orang yang berbuat kebaikan. Di akhirat nanti, ejekan mereka itu tidak akan menyelamatkan mereka. Perkataan ejekan atau fitnah mereka tidak menambah keselamatan di akhirat. Ramai yang terlupa dia akan mati.
- Mereka ini tetap tidak mahu beriman dengan Allah SWT. Mereka kufur ingkar kepada al-Quran yang mengandungi peringatan Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.
Ayat 21:37
خُلِقَ ٱلْإِنسَٰنُ مِنْ عَجَلٍ سَأُو۟رِيكُمْ ءَايَٰتِى فَلَا تَسْتَعْجِلُونِ
“Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya).”
Pengajaran
- Psikologi manusia memang suka tergesa-gesa. Allah SWT akan menampakkan tanda-tandanya sebagai peringatan.
- Orang yang suka mengejek, akan menjadi orang yang tergesa-gesa (عَجَلٍ) dalam kehidupan.
- Jangan terlalu cepat menghukum ataupun me-‘neraka’-kan orang lain. Berhati-hati kerana dalam berbuat baik pun kita boleh jadi ‘isti’jal’ (tergesa-gesa).
- Membaca al-Quran menjadikan kita tidak tergesa-gesa. Jangan harapkan orang lain cepat berubah bila kita beri peringatan.
Ayat 21:38
وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا ٱلْوَعْدُ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ
“Dan (kerana tabiat terburu-burunya) mereka berkata: "Bilakah berlakunya janji azab itu, jika betul kamu orang-orang yang berkata benar?".”
Pengajaran
- Orang yang suka tergesa-gesa bertanya bilakah datangnya azab?
- Ini adalah kesan daripada:
- Tidak takut mati
- Memperolok-olok ayat-ayat Allah SWT dan Rasul SAW
- Psikologi manusia yang tergesa-gesa
Ayat 21:39
لَوْ يَعْلَمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ حِينَ لَا يَكُفُّونَ عَن وُجُوهِهِمُ ٱلنَّارَ وَلَا عَن ظُهُورِهِمْ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ
“Kalaulah orang-orang kafir itu mengetahui apa yang akan menimpa mereka ketika mereka tidak dapat menahan atau mengelakkan api neraka dari muka dan belakang mereka, dan mereka pula tidak diberi pertolongan, (tentulah mereka segera beriman, dan tidak berkata demikian).”
Pengajaran
- Ini adalah peringatan yang penting daripada Allah SWT.
- Jika mereka tahu azab yang akan diterima, mereka mesti tidak akan mengabaikan persediaan kematian, tidak akan memperolok-olokkan, dan tidak akan 'isti’jal'. Proses untuk mendapat hidayah ialah satu perkara pada satu masa, untuk memudahkan mereka faham atau menerima.
- Ini adalah satu risiko yang Allah SWT ingatkan. Mereka tidak akan dapat mengelak dari disambar oleh api neraka. Jika ada orang mahu mencederakan kita, bahagian muka adalah perkara yang kita akan selamatkan terlebih dahulu. Muka kita adalah lambang kemuliaan dan perlu diselamatkan. Orang yang suka membuka aib dan menghukum orang lain tanpa asas, mereka sebenarnya menyiapkan diri mereka untuk dihina oleh Allah SWT.
- Jagalah diri kita dari perkara ini. Menurut Imam Ibnu Athiah, muka dan belakang bermakna keseluruhan badan mereka tidak ada pertolongan dan diazab kerana mereka mempersendakan mesej yang diperolehi daripada Nabi SAW.
Ayat 21:40
بَلْ تَأْتِيهِم بَغْتَةً فَتَبْهَتُهُمْ فَلَا يَسْتَطِيعُونَ رَدَّهَا وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ
“(Mereka tidak diberitahu akan masa itu) bahkan (yang dijanjikan) itu akan datang kepada mereka secara mengejut, serta terus membingungkan mereka; maka mereka tidak akan terdaya menolaknya, dan tidak akan diberi tempoh bertaubat.”
Pengajaran
- Hari kiamat datang secara tiba-tiba (بَغْتَةً) dan tiada lagi ruang untuk membuat persiapan. 'Lockdown' kerana COVID-19 diumumkan beberapa hari sebelumnya, pun kita panik mahu beli beras dan lain-lain. Ini pula jika tidak ada masa untuk bersedia dan ia terus sahaja sampai. Peringatan buat kita, buatlah persediaan dari sekarang dan ingatlah berita besar itu, an-Naba'.
- Seseorang yang diazab di akhirat tidak akan dapat mengelak lagi, akibat mengabaikan persediaan untuk kematian, mempersendakan mesej Nabi SAW dan tergesa-gesa semasa di dunia.
- Cuba kita bayangkan jika kita berada di zaman Nabi Musa AS. Apakah kita ikut Nabi Musa AS atau mengikut Firaun? Kita beruntung diberi mukjizat al-Quran.
- Semoga Allah SWT memenuhi hati kita, di lapisan paling dalam, dengan iman. Di akhir zaman ini, kita sangat perlu menguatkan iman kita. Semoga kita dapat mengikut Nabi Muhammad SAW.
Ayat 21:41
وَلَقَدِ ٱسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبْلِكَ فَحَاقَ بِٱلَّذِينَ سَخِرُوا۟ مِنْهُم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ
“Dan demi sesungguhnya, telah diperolok-olokkan beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka, ditimpakan balasan azab bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.”
Pengajaran
- Azab itu datang tiba-tiba. Rasul-rasul dan nabi-nabi dahulu juga pernah diejek kerana membawa kebenaran.
- Ini adalah pujukan kepada Nabi SAW kerana para nabi sebelumnya juga diejek kerana menyampaikan kebenaran, dan mereka yang didakwah tidak dapat menerima teguran yang dibawa oleh para nabi tersebut.
- Ini adalah tugas kita untuk mengingatkan diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat. Jika sesebuah masyarakat sudah tidak ada sesiapa pun yang mengajak kepada kebenaran dan menegur serta mencegah kemungkaran, Allah SWT akan mengazab mereka. Contohnya di zaman sekarang, kalau tiada orang menegur bab rasuah dan ia berleluasa, Allah SWT akhirnya akan mengazab masyarakat itu, mungkin dari sudut ekonominya.
- Sesiapa yang mempermain-mainkan rasul sebenarnya dia mempermain-mainkan risalah daripada Allah SWT, padahal Allah SWT sangat hebat.
Ayat 21:42
قُلْ مَن يَكْلَؤُكُم بِٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ مِنَ ٱلرَّحْمَٰنِ بَلْ هُمْ عَن ذِكْرِ رَبِّهِم مُّعْرِضُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang dapat menjaga keselamatan kamu pada malam dan siang daripada azab Tuhan yang bersifat Maha Pemurah?" (Mereka tidak memikirkan yang demikian) bahkan mereka tetap berpaling ingkar dari pengajaran Tuhan mereka.”
Pengajaran
- Seruan daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.
- Perkataan ar-Rahman digunakan dalam ayat ini. Perjuangan Nabi SAW ialah untuk membawa masyarakat kepada kasih sayang Allah SWT yang disalah tanggap oleh mereka yang musyrik.
- Menurut Imam Ibnu Asyur, malam disebut dahulu kerana malam itu ada elemen bahaya, ketakutan dari orang, makhluk, diri sendiri dan takut kegelapan.
- Sebenarnya, Allah SWT menjaga kita pada waktu malam. Waktu kita tidur, tidak ada semut pun yang masuk ke dalam telinga kita. Semasa kita bawa kereta, jika Allah SWT tidak menjaga kita, orang yang matanya silau akan terus kemalangan. Jika Allah SWT tidak menjaga kita ketika naik kapal terbang, bila lalu di 'air pocket', tidak selamat kita. Bayangkan jika burung masuk ke dalam enjin dan merosakkan enjin, tetapi dengan pemeliharaan dan kasih sayangNya, Allah SWT menjaga kita. Beberapa kes kemalangan yang berlaku sepatutnya mengingatkan kita semua agar tidak mengambil semua perkara secara mudah, ‘take for granted.’
- Tetapi ramai orang yang masih degil dan berpaling. Mengapa mereka berpaling? Antara sebabnya ialah tidak memberi perhatian kepada ilmu dan kebesaran Allah SWT. Mereka menganggap ada tuhan selain Allah yang boleh menjaga mereka, dan, tidak mahu mentadabbur al-Quran.
- Sambil memandu kereta balik ke kampung, cuba fikirkanlah tentang pemeliharaan Allah SWT. Orang yang melihat kebesaran Allah SWT akan berfikir tentang ini.
Ayat 21:43
أَمْ لَهُمْ ءَالِهَةٌ تَمْنَعُهُم مِّن دُونِنَا لَا يَسْتَطِيعُونَ نَصْرَ أَنفُسِهِمْ وَلَا هُم مِّنَّا يُصْحَبُونَ
“Tidak ada bagi mereka tuhan-tuhan yang dapat melindungi mereka dari azab Kami. Mereka yang dipertuhankan itu tidak dapat menolong dirinya sendiri, dan tidak pula mereka dibantu dengan pertolongan dari pihak Kami.”
Pengajaran
- Allah SWT melindungi kita daripada segala keburukan. Ingatlah bahawa Allah yang sama akan melindungi kita dari azab, bukan tuhan-tuhan yang lain daripada Allah SWT.
- Guru-guru perlu menjelaskan perkara ini kepada anak-anak murid mereka. Bawakan nilai-nilai ini agar anak murid dapat menghargai pengalaman-pengalaman hidup bahawa sebenarnya ada Tuhan yang Esa menjaga kita. Contoh: Allah sayang kita dengan memberi mekanism untuk membolehkan makanan kita ditelan dan diproses dengan lancar.
Ayat 21:44
بَلْ مَتَّعْنَا هَٰٓؤُلَآءِ وَءَابَآءَهُمْ حَتَّىٰ طَالَ عَلَيْهِمُ ٱلْعُمُرُ أَفَلَا يَرَوْنَ أَنَّا نَأْتِى ٱلْأَرْضَ نَنقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَآ أَفَهُمُ ٱلْغَٰلِبُونَ
“(Bukan benda-benda yang dipertuhankan itu yang memberi kesenangan kepada mereka) bahkan Kami biarkan mereka dan datuk-nenek mereka menikmati (kesenangan hidup) hingga berlanjutanlah umur mereka (dalam keadaan yang menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini mereka). Maka tidakkah mereka melihat bahawa kami datangi daerah bumi yang mereka kuasai dengan menguranginya sedikit demi sedikit dari sempadan-sempadannya? Jika demikian halnya, maka adakah mereka yang akan menang?”
Pengajaran
- Allah SWT memberi mereka nikmat hidup, panjang umur tetapi mereka tidak mengendahkan anugerah itu.
- Kesannya, mereka akan kalah kerana tidak mengikut formula daripada Allah SWT.
RESOLUSI
Ingat!
- Berjuang menegakkan kebenaran biarpun diejek atau disakiti (21:36)
- Bersegera tetapi jangan tergesa-gesa dalam sesuatu urusan (21:37)
- Selalu berdoa agar sedar risiko azab daripada Allah SWT untuk dijauhi (21:39)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan saya agar jangan tergesa-gesa dalam sesuatu urusan.
Saya jelas untuk berjuang menegakkan kebenaran biarpun diejek atau disakiti. Saya jelas untuk bersegera tetapi jangan tergesa-gesa dalam sesuatu urusan. Saya jelas saya mesti selalu berdoa agar sedar risiko azab daripada Allah SWT untuk dijauhi.
Ya Allah, bimbing kami berjuang menegakkan kebenaran biarpun diejek atau disakiti. Ya Allah, jadikan kami orang yang bersegera tetapi jangan biarkan kami tergesa-gesa dalam sesuatu urusan. Ya Allah, ingatkan kami untuk selalu berdoa agar kami sedar risiko azab daripada Mu untuk dijauhi.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib