Friday, September 1, 2023

Halaman 323 : Al-Anbiya', 21:11-24

PERKATAAN HARI INI 

قَصَم Membinasakan, menghancurkan. Sekali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Peringatan tentang azab kemusnahan dan keajaiban ciptaan-Nya (21:11-20)
  2. Kecaman terhadap orang musyrik dan penegasan keesaan Allah SWT (21:21-24)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada hari Jumaat yang penuh barakah ini untuk memanjatkan doa dan rasa bersyukur dengan al-Kitab yang tiada kebengkokkan di dalamnya. Kitab ini penuh dengan panduan yang lurus yang akan memberi hidayah apabila kita terus mencari dan meminta daripada Allah SWT untuk ditambahkan kebaikan dengan ilmu.

Di bulan Rabiulawal ini, kita mahu mengingati perjuangan Nabi SAW, yang ketika diturunkan al-Quran, baginda SAW dihalau, dikejar oleh mereka yang tidak mahu menerima kebenaran. 

Kita telah pun berada di Juz 17 dan terasa sangat cepat. Seolah-olah kita sedang menurun bukit setelah mendaki ke puncaknya. 

Ayat 21: 11


وَكَمْ قَصَمْنَا مِن قَرْيَةٍ كَانَتْ ظَالِمَةً وَأَنشَأْنَا بَعْدَهَا قَوْمًا ءَاخَرِينَ

Dan berapa banyak Kami telah pecah-belahkan dan binasakan penduduk negeri yang melakukan kezaliman, dan Kami telah menjadikan sesudah mereka, kaum yang lain sebagai gantinya.

Pengajaran

  1. Mesej dalam surah ini ialah ulangan kepada apa yang kita telah belajar sebelum ini. 
  2. Allah SWT hancurkan (قَصَمْنَا) mereka yang kufur kerana kezaliman yang dibuat oleh penduduk sesebuah negeri. Kezaliman yang paling besar ialah syirik kepada Allah SWT. Itulah punca yang menyebabkan kezaliman-kezaliman yang kecil dalam kehidupan.
  3. Allah SWT pernah hancurkan kaum Nabi Nuh AS. Diselamatkan insan yang beriman, seperti anak Nabi Nuh AS iaitu Sam dan Ham. Keturunan merekalah yang menggantikan generasi sebelumnya. Begitu juga di zaman Firaun, 400 tahun selepas zaman Nabi Yusuf AS Bani Israel yang mulanya amat mulia, jatuh menjadi hamba abdi. 
  4. Pengajarannya,  kita juga boleh  menjadi hamba di negara sendiri kalau kita tidak menjaga iman dan berjuang untuk kebaikan.
  5. Allah SWT mengingatkan kita kalau ada kumpulan yang pernah dihancurkan sebelum ini, kita jangan jadi orang begitu. Kalau kita tidak mahu dihancurkan di akhirat nanti, maka kita kena ambil pengajaran daripada orang-orang terdahulu. Mereka dahulu tidak ada tujuan hidup kecuali bermain-main macam kucing. Atau lebih teruk lagi Allah SWT beritahu, mereka lalai seperti binatang ternakan, makan minum, tengok langit tidak ada kesan apa-apa, tengok matahari sudah gelincir tidak ada seekor lembu pergi solat.
  6. Bagi seorang manusia yang tidak bermain-main, Allah SWT kata ada al-Haq dalam kehidupan seharian.

Ayat 21: 12


فَلَمَّآ أَحَسُّوا۟ بَأْسَنَآ إِذَا هُم مِّنْهَا يَرْكُضُونَ

Maka ketika mereka merasai (kedatangan) azab Kami, mereka dengan serta-merta lari keluar dari negeri itu.

Pengajaran

  1. Ketika mereka merasai kedatangan azab daripada Allah SWT, mereka dengan serta-merta lari keluar dari negeri itu.
  2. بَأْسَنَآ ialah azab yang amat pedih.

Ayat 21: 13


لَا تَرْكُضُوا۟ وَٱرْجِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَآ أُتْرِفْتُمْ فِيهِ وَمَسَٰكِنِكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْـَٔلُونَ

(Lalu dikatakan kepada mereka): "Janganlah kamu lari, dan sebaliknya kembalilah kepada kemewahan hidup yang telah diberikan kepada kamu, dan ke tempat-tempat tinggal kamu, supaya kamu dapat ditanya mengenai apa yang berlaku".

Pengajaran

  1. Allah SWT perli kepada orang mewah tetapi kufur kepada Allah SWT. 

Ayat 21: 14


قَالُوا۟ يَٰوَيْلَنَآ إِنَّا كُنَّا ظَٰلِمِينَ

(Akhirnya) mereka berkata: "Aduhai celakanya kami! Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berlaku zalim!"

Pengajaran

  1. Mereka mengaku bahawa mereka adalah orang yang zalim.

Ayat 21: 15


فَمَا زَالَت تِّلْكَ دَعْوَىٰهُمْ حَتَّىٰ جَعَلْنَٰهُمْ حَصِيدًا خَٰمِدِينَ

Maka demikianlah seterusnya jeritan dan keluhan mereka, sehingga Kami jadikan mereka hancur lebur dan sunyi-sepi.

Pengajaran

  1. Mereka mengeluh kerana semuanya hancur lebur. 
  2. Dengan kejadian pandemik COVID-19, kita sekarang dapat melihat perkara ini sedang berlaku. Allah SWT memberi azab sedikit sahaja dan bisnes habis hancur.
  3. Semua ini berlaku kerana kezaliman yang dilakukan oleh manusia. Ada orang yang sibuk hingga tidak kisah solat dan al-Quran.

Ayat 21: 16


وَمَا خَلَقْنَا ٱلسَّمَآءَ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا لَٰعِبِينَ

Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main.

Pengajaran

  1. Allah SWT menjadikan langit dan bumi, termasuk diri kita, bukan main-main tanpa tujuan. Mesti ada tujuan yang perlu kita perhatikan.
  2. Soalan kepada kita: Apa tujuan hidup kita? Apa misi hidup kita?

Ayat 21: 17


لَوْ أَرَدْنَآ أَن نَّتَّخِذَ لَهْوًا لَّٱتَّخَذْنَٰهُ مِن لَّدُنَّآ إِن كُنَّا فَٰعِلِينَ

Sekiranya Kami hendak mengambil sesuatu untuk hiburan, tentulah Kami akan mengambilnya dari sisi Kami; Kami tidak melakukannya.

Pengajaran

  1. Hidup kita bukan untuk main-main seperti kucing atau haiwan peliharaan kita yang kerjanya makan dan tidur sahaja.
  2. Manusia yang dibekalkan dengan berbagai kemudahan langit dan bumi sudah pasti bukan untuk main-main.

Ayat 21: 18


بَلْ نَقْذِفُ بِٱلْحَقِّ عَلَى ٱلْبَٰطِلِ فَيَدْمَغُهُۥ فَإِذَا هُوَ زَاهِقٌ وَلَكُمُ ٱلْوَيْلُ مِمَّا تَصِفُونَ

Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah dia. Dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami).

Pengajaran

  1. Nabi SAW amat serius membawa al-Haq yang membawa dua maksud: a) kebenaran b) tujuan (purpose). Tujuan hidup ini ialah untuk menuju kepada Allah SWT, kembali balik kepada daerah keamanan tanpa ada ketakutan dan kesedihan.
  2. Hidup di dunia ini ada sedikit kekalutan, sedih, bimbang. Nabi SAW juga rasai begitu. Tapi al-Quran lah yang menjadi taman kepada hati-hati kita semua yang perlu diambil pelajaran berterusan. 
  3. Bila kita belajar ilmu daripada al-Quran ia akan menghancurkan kebatilan lenyap berkecai. Allah SWT jadikan hidup kita, bumi ini ada kebenaran dan ada tujuan (al-haq), bukan main-main.
  4. Mereka yang kufur menyamakan Allah SWT dengan makhluk.

Ayat 21: 19


وَلَهُۥ مَن فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَنْ عِندَهُۥ لَا يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِهِۦ وَلَا يَسْتَحْسِرُونَ

Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua; dan malaikat-malaikat yang ada di sisiNya tidak membesarkan diri dan tidak enggan daripada beribadat kepadaNya, dan tidak pula mereka merasa penat dan letih.

Pengajaran

  1. Menyambung kefahaman kita tentang siapa Allah SWT dan siapa makhluk-makhluk yang Allah SWT puji dalam al-Quran.
  2. وَٱلْأَرْضِ  ٱلسَّمَٰوَٰتِ berkali-kali disebut di dalam al-Quran, ini bermakna ia adalah perkara besar. Ketika kita rasa buntu dalam kehidupan kita, lihatlah ciptaan Allah SWT. Orang-orang yang kufur menyatakan Tuhan banyak, tiga dalam satu, antaranya. Ini adalah cara berfikir yang rosak. 
  3. Kita serahkan kepada Allah SWT yang Maha Hebat berbanding dengan orang yang sombong. Padahal di sisi Allah SWT malaikat tidak sombong. 
  4. Allah SWT memberi ruang kepada kita untuk kita sama-sama tahu tujuan. Tujuan manusia dijadikan ialah untuk mengesakan Allah SWT seperti para malaikat juga mengesakan Allah SWT. Bezanya kita ada pilihan, malaikat tidak ada pilihan.

Ayat 21: 20


يُسَبِّحُونَ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ لَا يَفْتُرُونَ

Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti.

Pengajaran

  1. Malaikat selalu bertasbih pada malam dan siang dengan tidak berhenti-henti.  
  2. Kita pun juga cuba mengambil inspirasi daripada hamba yang tidak sombong ini, untuk sentiasa beribadah, bertasbih kepada Allah SWT. Itu tandanya kita tahu hala tuju hidup kita. Kita bukan hanya dicipta untuk main-main atau kita dicipta tanpa tujuan. 
  3. Bosan hanya bagi orang yang tidak tahu tujuan hidup. Sebenarnya tujuan kita ialah untuk menjadi hamba yang beribadah kepada Allah SWT. Kalau habis satu projek ibadah, teruskan dengan projek ibadah yang lain. Yang penting ialah kita adalah orang yang sentiasa berbuat baik dan tidak pernah berhenti.

Ayat 21: 21


أَمِ ٱتَّخَذُوٓا۟ ءَالِهَةً مِّنَ ٱلْأَرْضِ هُمْ يُنشِرُونَ

Adakah benda-benda dari bumi yang mereka jadikan tuhan-tuhan itu, dapat menghidupkan semula sesuatu yang mati?

Pengajaran

  1. Berhala dibuat daripada tanah. Allah SWT menemplak mereka yang menyembah berhala.
  2. Tidak ada perantaraan dalam agama kita. Beribadah terus kepada Allah SWT. 

Ayat 21: 22


لَوْ كَانَ فِيهِمَآ ءَالِهَةٌ إِلَّا ٱللَّهُ لَفَسَدَتَا فَسُبْحَٰنَ ٱللَّهِ رَبِّ ٱلْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.

Pengajaran

  1. Para anbiya' bawa berita besar iaitu berita tentang ketauhidan agar kita selamat di dunia dan di akhirat.
  2. Kalau ada tuhan-tuhan yang lain, pasti rosaklah pentadbiran di langit dan di bumi.
  3. Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.

Ayat 21: 23


لَا يُسْـَٔلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْـَٔلُونَ

Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.

Pengajaran

  1. Menurut Tafsir Al-Qurtubi, ini adalah dalil untuk kita mengikut syariat walaupun tiada perkataan syariat di dalamnya. 
  2. Jangan persoalkan apa yang Allah SWT buat, tetapi persoalkan diri kita apa yang kita buat. 

Ayat 21: 24


أَمِ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ ءَالِهَةً قُلْ هَاتُوا۟ بُرْهَٰنَكُمْ هَٰذَا ذِكْرُ مَن مَّعِىَ وَذِكْرُ مَن قَبْلِى بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ ٱلْحَقَّ فَهُم مُّعْرِضُونَ

Patutkah mereka menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah keterangan dan bukti kamu; kandungan Al-Quran ini menjadi peringatan dan bukti tauhid umatku, juga peringatan dan bukti tauhid umat-umat yang dahulu daripadaku". (Kaum musyrik tidak mempunyai sebarang keterangan) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah, dengan sebab itulah maka mereka berpaling ingkar.

Pengajaran

  1. Ayat ini adalah solusi kepada jiwa manusia yang mempunyai dendam atau tidak puas hati dengan institusi Tuhan ini sendiri.
  2. Kerana orang tidak mendalami ilmu, dia tidak berkenalan dengan kebenaran, maka dia akan berpaling. 
  3. Dalam hidup ini, kita kena terus mencari ilmu agar dapat kebenaran. Al-Quran adalah mukjizat daripada Allah SWT, diperjuangkan oleh Nabi SAW. Hendaklah kita dalami al-Quran agar hati kita tidak lagi mudah dikelirukan.

RESOLUSI


Ingat!
  1. Rancang kehidupan dan jangan main-main (21:16)
  2. Fahami dan ikuti kebenaran serta jauhi kebatilan (21:18)
  3. Yakin kehebatan Allah SWT dan sering bergantung kepada-Nya dalam apa jua tindakan kita laksanakan (21:22)

Saya berasa lega, Allah SWT kurniakan al-Quran sebagai petunjuk kebenaran.

Saya jelas untuk rancang kehidupan dan jangan main-main. Saya jelas saya mesti fahami dan ikuti kebenaran serta jauhi kebatilan. Saya jelas saya mesti yakin kehebatan Allah SWT dan sering bergantung kepada-Nya dalam apa jua tindakan yang saya laksanakan.

Ya Allah, bimbing kami untuk rancang kehidupan agar kami tidak main-main. Ya Allah, kurniakan kami kefahaman dari al-Quran dan jauhkan kami dari kebatilan. Ya Allah, kurniakan kami keyakinan tentang kehebatan Mu, dan jadikan kami orang-orang yang sering bergantung kepada-Mu dalam apa jua tindakan yang kami laksanakan.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...