Friday, September 1, 2023

Halaman 328 : Al-Anbiya', 21:73-81

PERKATAAN HARI INI 

زَكَا  / زَكَوَ Baik, suci, bersih, bertambah. 59 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Anak cucu Nabi Ibrahim AS (21:73)
  2. Kisah Nabi Luth AS (21: 74-75)
  3. Kisah Nabi Nuh AS (21:76-77)
  4. Kisah Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS (78-81)

Mukadimah

Tadabbur oleh  Ust Safri Mohamed Zein

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 328 Surah al-Anbiya'.

Ayat 21:73

وَجَعَلْنَٰهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَآ إِلَيْهِمْ فِعْلَ ٱلْخَيْرَٰتِ وَإِقَامَ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءَ ٱلزَّكَوٰةِ وَكَانُوا۟ لَنَا عَٰبِدِينَ

Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.

Pengajaran

  1. Di ayat sebelumnya, tersebut bahawa Allah SWT telah memberi anugerah kepada Nabi Ibrahim AS iaitu keturunan yang soleh yang menjadi pemimpin yang menjalankan perintah Allah SWT. Nabi Ibrahim AS diberi ilmu, hikmah, ketaatan dan rahmat dari Allah SWT. 
  2. Mereka melakukan kebaikan demi kebaikan. Mereka menjaga hubungan dengan Allah SWT melalui ibadah solat dan menjaga hubungan dengan manusia melalui ibadah zakat. Inilah yang menjadi tonggak kepada setiap para nabi yang cintakan kebaikan dan keturunan soleh dan solehah, mereka sentiasa dekat dengan Allah SWT dan dekat dengan manusia.
  3. Banyak kisah nabi yang Allah SWT sebut untuk memberi bimbingan dan kegembiraan kepada Nabi SAW. Perjuangan para nabi adalah sangat susah.

Ayat 21:74

وَلُوطًا ءَاتَيْنَٰهُ حُكْمًا وَعِلْمًا وَنَجَّيْنَٰهُ مِنَ ٱلْقَرْيَةِ ٱلَّتِى كَانَت تَّعْمَلُ ٱلْخَبَٰٓئِثَ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمَ سَوْءٍ فَٰسِقِينَ

Dan kepada Nabi Lut, Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu; dan Kami selamatkan dia dari bandar yang penduduknya selalu melakukan perkara-perkara yang keji; sesungguhnya mereka itu adalah kaum jahat, yang fasik, derhaka.

Pengajaran

  1. Allah SWT memberi kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan kepada Nabi Lut AS. Baginda dapat memimpin, berdakwah, islah, menyampaikan kebenaran kepada kaumnya supaya tidak melakukan maksiat kepada Allah SWT. Allah SWT menyelamatkan mereka yang beriman daripada azab Allah SWT.
  2. Allah SWT memberikan anugerah yang terbaik iaitu Nabi Lut AS dan pengikutnya mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT.  
  3. Kita mendengar kisah para nabi yang melalui ujian di dalam kehidupan, seperti juga kita melaluinya sekarang ini. Penting untuk kita pasakkan kisah-kisah para nabi di dalam diri kita.

Ayat 21:75

وَأَدْخَلْنَٰهُ فِى رَحْمَتِنَآ إِنَّهُۥ مِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ

Dan Kami masukkan Nabi Lut dalam (kumpulan mereka yang dilimpahi) rahmat Kami; sesungguhnya dia dari orang-orang yang soleh.

Pengajaran

  1. Allah SWT masukkan ke dalam rahmatNya kerana baginda sentiasa mengikut perintah Allah SWT.  Sebagai orang yang beriman, hendaklah kita lakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT agar kita mendapat rahmatNya.
  2. Apabila baginda melakukan perintah Allah SWT, maka Allah SWT memberikan ganjaran dan dijadikanNya hamba yang soleh.
  3. Semoga kita dapat menyucikan jiwa agar menjadi insan yang cemerlang dan dimasukkan dalam golongan hambaNya yang soleh.

Ayat 21:76

وَنُوحًا إِذْ نَادَىٰ مِن قَبْلُ فَٱسْتَجَبْنَا لَهُۥ فَنَجَّيْنَٰهُ وَأَهْلَهُۥ مِنَ ٱلْكَرْبِ ٱلْعَظِيمِ 

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Nuh, ketika ia menyeru (berdoa kepada Kami) sebelum (Nabi-nabi yang tersebut) itu, lalu Kami perkenankan doanya serta Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya dari kesusahan yang besar.

Pengajaran

  1. Ini kisah Nabi Nuh AS yang diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul yang pertama untuk membimbing kaumnya yang melakukan kesyirikan. Baginda taat kepada perintah Allah SWT maka segala doa baginda diperkenankanNya.
  2. Disuruh membuat bahtera, baginda terus membuatnya tanpa mempersoalkan. Ini adalah gambaran yang Allah SWT berikan supaya kita taat kepada perintahNya dan menjadi insan yang diredai oleh Allah SWT. 
  3. Nabi Nuh AS diselamatkan dari banjir besar. Semoga dengan ketaatan, kita diberi taufik dan hidayah dan diselamatkan dari wabak yang sedang melanda dunia pada hari ini. 

Ayat 21:77

وَنَصَرْنَٰهُ مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَٰتِنَآ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمَ سَوْءٍ فَأَغْرَقْنَٰهُمْ أَجْمَعِينَ

Dan Kami membelanya dari angkara kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami; sesungguhnya adalah mereka kaum yang jahat; lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya (sehingga mati lemas dengan taufan).

Pengajaran

  1. Nabi Nuh AS dan pengikutnya diselamatkan kerana mereka sentiasa bertakwa kepada Allah SWT.
  2. Kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT ditenggelamkan semuanya.

Ayat 21:78

وَدَاوُۥدَ وَسُلَيْمَٰنَ إِذْ يَحْكُمَانِ فِى ٱلْحَرْثِ إِذْ نَفَشَتْ فِيهِ غَنَمُ ٱلْقَوْمِ وَكُنَّا لِحُكْمِهِمْ شَٰهِدِينَ

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka.

Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan kita kisah Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS. Ini merupakan bimbingan kepada Nabi Muhammad SAW bila menghakimkan sesuatu perkara. 
  2. Ketika Nabi Daud AS didatangi oleh kaumnya tentang kebun yang dirosakkan oleh kambing. Nabi Daud AS memberi hukum. Bila didengar oleh anaknya, Nabi Sulaiman AS baginda memberi pendapat supaya kambing itu diserahkan kepada pemilik kebun. Selagi tanaman itu tidak tumbuh dengan baik, pemilik kebun boleh mengambil hasil dari kambing tersebut. Ini adalah satu contoh keadilan yang diberikan oleh Allah SWT.
  3. Nabi Sulaiman AS diberi petunjuk, diberi ilmu dan diberi kefahaman. Baginda diberikan kenabian, kekuatan dan kehebatan serta baginda dapat menundukkan angin sehingga dapat menjelajah ke mana sahaja. 
  4. Kenapa Nabi Sulaiman AS diberikan kehebatan seperti itu? Sebab baginda adalah anak yang taat kepada ayah Nabi Daud AS. Setiap perkara yang diberi bimbingan oleh Allah SWT, Allah SWT akan memberi ganjaran sesuatu perkara yang tidak pernah kita duga.
  5. Walau diberi kehebatan mukjizat sebagainya, para nabi tidak lupa bersyukur kepada Allah SWT, malah mengembalikannya kepada Allah SWT. Semuanya dengan izin Allah SWT.

Ayat 21:79

فَفَهَّمْنَٰهَا سُلَيْمَٰنَ وَكُلًّا ءَاتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا وَسَخَّرْنَا مَعَ دَاوُۥدَ ٱلْجِبَالَ يُسَبِّحْنَ وَٱلطَّيْرَ وَكُنَّا فَٰعِلِينَ

Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.

Pengajaran

  1. Ini merupakan nikmat besar yang diberikan kepada dua beranak ini, Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS. Semoga kisah ini dapat memberi pengajaran kepada kita sebagai ayah/ibu agar diberikan bimbingan dengan ilmu pengetahuan.
  2. Gunung-ganang, burung-burung tunduk bertasbih bersama Nabi Daud AS dan Allah SWT kurniakan ilmu membuat baju besi kepada baginda.
  3. Bila Nabi SAW membaca al-Quran, hati para sahabat tunduk kerana keindahan ayat Allah  SWT. Rugilah kita kalau tidak baca al-Quran yang telah sampai kepada kita. 
  4. Ambillah kesempatan membaca dan memahami ayat-ayat al-Quran agar kita dapat memperbaiki amalan seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Ayat 21:80

وَعَلَّمْنَٰهُ صَنْعَةَ لَبُوسٍ لَّكُمْ لِتُحْصِنَكُم مِّنۢ بَأْسِكُمْ فَهَلْ أَنتُمْ شَٰكِرُونَ

Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur?

Pengajaran

  1. Nabi Daud AS diajar membuat baju besi untuk melindungi dalam peperangan.
  2. Apabila kita diberi peluang membaca dan mentadabbur sedikit sebanyak ayat al-Quran, hendaklah kita bersyukur atas nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Kecanggihan dan kemodenan zaman ini adalah salah satu rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada hambaNya. Apakah kita termasuk dalam golongan orang yang bersyukur? 
  3. Setiap hamba yang bersyukur akan mendapat lebih banyak nikmat. Gunakanlah nikmat itu untuk menjadi hamba yang bertakwa kepada Allah SWT. Allah SWT mensyukuri usaha hambaNya dengan memberi ganjaran kepada setiap yang kita lakukan.

Ayat 21:81

وَلِسُلَيْمَٰنَ ٱلرِّيحَ عَاصِفَةً تَجْرِى بِأَمْرِهِۦٓ إِلَى ٱلْأَرْضِ ٱلَّتِى بَٰرَكْنَا فِيهَا وَكُنَّا بِكُلِّ شَىْءٍ عَٰلِمِينَ

Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Pengajaran

  1. Ini satu lagi nikmat yang diberikan kepada Nabi Sulaiman AS. Baginda dapat menjelajahi dunia ke mana sahaja sebab angin tunduk kepada kekuasaan baginda.  
  2. Allah SWT Maha Mengetahui segala sesuatu.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Hidupkan tanda hidayah dengan berbuat baik, solat dan zakat (21:73)
  2. Tuntut ilmu dan hikmah berpandukan sumber yang benar agar jauh daripada perkara keji (21:74)
  3. Belajar ilmu pengurusan dalam melaksanakan dakwah (21:79)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan untuk tuntut ilmu dan hikmah berpandukan sumber yang benar agar jauh daripada perkara keji

Saya jelas untuk hidupkan tanda hidayah dengan berbuat baik, solat dan zakat. Saya jelas untuk tuntut ilmu dan hikmah berpandukan sumber yang benar agar jauh daripada perkara keji. Saya jelas untuk belajar ilmu pengurusan dalam melaksanakan dakwah.

Ya Allah, bimbing kami untuk hidupkan tanda hidayah dengan berbuat baik, solat dan zakat. Ya Allah kurniakan kami ilmu dan hikmah berpandukan sumber yang benar agar jauh daripada perkara keji. Ya Allah, bimbing kami untuk belajar ilmu pengurusan dalam melaksanakan dakwah.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...