PERKATAAN HARI INI
غَاصَ / غَوَصَ Menyelam. 2 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Sambungan kisah Nabi Sulaiman AS (21:82)
- Kisah Nabi Ayub AS (21:83-84)
- Kisah Nabi Ismail AS, Nabi Idris AS dan Nabi Zulkifli AS (21:85-86)
- Kisah Nabi Yunus AS (21:87-88)
- Kisah Nabi Zakaria AS dan Nabi Yahya AS beserta kisah Maryam (21:89-90)
Mukadimah
Tadabbur oleh Ust Safri Mohamed Zein.
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 329 Surah al-Anbiya'.
Mudah-mudahan kisah-kisah ini akan menjadi panduan untuk kita mendapat redha Allah SWT. Kita terus menelusuri ayat-ayat al-Quran dengan membacanya, memahaminya dan sedaya upaya, mengamalkannya.
Di dalam halaman ini ada kisah 9 nabi yang boleh kita pelajari. Ada tiga doa di halaman ini untuk kita jadikan amalan.
Ayat 21:82
وَمِنَ ٱلشَّيَٰطِينِ مَن يَغُوصُونَ لَهُۥ وَيَعْمَلُونَ عَمَلًا دُونَ ذَٰلِكَ وَكُنَّا لَهُمْ حَٰفِظِينَ
Dan (Kami mudahkan) sebahagian dari Syaitan-syaitan untuk menyelam baginya, serta melakukan kerja-kerja yang lain dari itu; dan adalah Kami mengawal mereka (daripada melanggar perintahnya).
Pengajaran
- Allah SWT menceritakan nikmat yang diberi kepada Nabi Sulaiman AS dan ayahnya. Antara nikmat kepada Nabi Daud AS: gunung-ganang, burung-burung bertasbih bersama baginda, dan ilmu membuat baju besi.
- Nabi Sulaiman AS seorang anak yang patuh kepada ayahnya diberi risalah kenabian, mampu menundukkan angin dan syaitan sehingga dapat mencari mutiara di dalam lautan untuk mendirikan kerajaan yang hebat.
Ayat 21:83
وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".
Pengajaran
- Ayat ini memberi motivasi agar kita sentiasa bersabar dan bertakwa. Setiap ujian yang diberikan kepada kita adalah untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
- Allah SWT memberi musibah agar kita kembali kepadaNya. Perhatikan kisah Nabi Ayub AS yang melantunkan doa kepada Allah SWT semasa diuji dengan sakit.
- Menurut Imam Ibnu Kathir, ia adalah merupakan qudwah hasanah, yang patut dicontohi ketika ditimpa ujian oleh Allah SWT. Menurut Imam Qurtubi, setiap ujian adalah untuk memberi kekuatan agar kita menyakini bahawa Allah SWT lebih hebat daripada penyakit yang diberikan oleh Allah SWT.
- Ada orang bila mendapat ujian, mereka semakin jauh dari Allah SWT. Semoga Allah SWT melembutkan hati kita untuk sentiasa berdoa dan kembali kepadaNya sebagaimana Nabi Ayub AS.
Ayat 21:84
فَٱسْتَجَبْنَا لَهُۥ فَكَشَفْنَا مَا بِهِۦ مِن ضُرٍّ وَءَاتَيْنَٰهُ أَهْلَهُۥ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَذِكْرَىٰ لِلْعَٰبِدِينَ
Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).
Pengajaran
- Doa Nabi Ayub AS langsung sahaja dimakbulkan oleh Allah SWT.
- Pada halaman ini 3 kali diulang perkataan لَهُۥ فَٱسْتَجَبْنَا (Maka Kami kabulkan doanya).
- Doa nabi-nabi dikabulkan kerana mereka dekat dengan Allah SWT. Orang yang dekat dengan Allah, lagi besar ujian mereka.
- Penyakitnya Nabi Ayub AS diangkat oleh Allah SWT. Kemudian Allah SWT gandakan harta dan zuriat keturunan baginda dan baginda mendapat rahmat daripada Allah SWT. Ini semua ganjaran kepada orang-orang yang dekat dengan Allah SWT.
Ayat 21:85
وَإِسْمَٰعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا ٱلْكِفْلِ كُلٌّ مِّنَ ٱلصَّٰبِرِينَ
Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.
Pengajaran
- Allah SWT iringi dengan kisah nabi-nabi lain yang penuh dengan kesabaran.
- Nabi Ismail AS diuji oleh Allah SWT sehingga sanggup mengorbankan diri untuk disembelih oleh ayahnya sendiri. Dalam surah as-Soffat Ayat 102 disebut bahawa tahap kesabaran Nabi Ismail AS tinggi kerana memiliki ayah yang hebat. Ayahnya Nabi Ibrahim AS memiliki kekuatan akidah yang tinggi. Bila ayah itu hebat, lahirlah zuriat-zuriat yang hebat yang penuh dengan kesabaran.
- Nabi Idris AS dan Nabi Zulkifli AS adalah orang-orang yang sabar.
Ayat 21:86
وَأَدْخَلْنَٰهُمْ فِى رَحْمَتِنَآ إِنَّهُم مِّنَ ٱلصَّٰلِحِينَ
Dan Kami masukkan mereka dalam (kumpulan yang dilimpahi) rahmat Kami: sesungguhnya mereka adalah dari orang-orang yang soleh.
Pengajaran
- Allah SWT masukkan mereka dalam rahmatNya. Mereka dianugerahkan hati yang soleh, lidah mereka sentiasa zikrullah dan anggota badan mereka sentiasa mengingati Allah SWT.
Ayat 21:87
وَذَا ٱلنُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَٰضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَىٰ فِى ٱلظُّلُمَٰتِ أَن لَّآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبْحَٰنَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ ٱلظَّٰلِمِينَ
Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri".
Pengajaran
- Gelaran bagi Nabi Yunus AS ٱلنُّونِ وَذَا kerana baginda pernah ditelan oleh ikan nun.
- Baginda berzikir merintih kepada Allah SWT dalam perut ikan Nun لَا إلَهَ إلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
- 3 lapis kegelapan yang dilalui oleh Nabi Yunus AS:
- Kegelapan malam
- Kegelapan laut
- Kegelapan dalam perut ikan
- Baginda merayu merintih kepada Allah SWT. Allah SWT Maha Mendengar apa yang disebut oleh hambaNya walaupun baginda berada dalam kegelapan demi kegelapan. Doa Nabi Yunus AS ini sangat hebat.
Ayat 21:88
فَٱسْتَجَبْنَا لَهُۥ وَنَجَّيْنَٰهُ مِنَ ٱلْغَمِّ وَكَذَٰلِكَ نُۨجِى ٱلْمُؤْمِنِينَ
Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).
Pengajaran
- Nabi Yunus AS meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah kerana mereka tidak mahu menerima dakwahnya maka Allah SWT memberikan ujian ketika baginda, ditelan oleh ikan Nun.
- Nabi Yunus AS berdoa dan Allah SWT makbulkan. Baginda diselamatkan oleh Allah SWT daripada kedukaan.
- Begitulah Allah SWT memberikan keselamatan kepada orang-orang yang beriman. Bila kita mengikuti apa yang diamalkan oleh para anbiya', maka Allah SWT akan selamatkan kita juga seperti Allah SWT selamatkan Nabi Yunus AS.
Ayat 21:89
وَزَكَرِيَّآ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥ رَبِّ لَا تَذَرْنِى فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ ٱلْوَٰرِثِينَ
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi".
Pengajaran
- Nabi Zakaria AS adalah seorang nabi yang diutus oleh Allah SWT. Baginda telah tua tetapi tidak ada zuriat.
- Baginda terus berdoa رَبِّ لَا تَذَرْنِى فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ) kepada Allah SWT untuk mendapatkan zuriat.
Ayat 21:90
فَٱسْتَجَبْنَا لَهُۥ وَوَهَبْنَا لَهُۥ يَحْيَىٰ وَأَصْلَحْنَا لَهُۥ زَوْجَهُۥٓ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ يُسَٰرِعُونَ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا۟ لَنَا خَٰشِعِينَ
Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.
Pengajaran
- Oleh kerana kedekatan dan ketaatannya kepada Allah SWT, Allah SWT memberi mereka zuriat walaupun baginda sudah tua dan isterinya tidak mampu melahirkan.
- Kisah-kisah nabi dalam halaman ini adalah pengajaran untuk kita menjadi insan yang terbaik, mengikut qudwah hasanah yang ditunjukkan oleh para anbiya'.
RESOLUSI
Ingat!
- Berdoa dengan positif dan nama positif Allah SWT (Asmaul Husna) (21:83)
- Banyakkan berdoa dan jangan tinggalkannya (21:89)
- Bersegera melakukan kebaikan, nescaya Allah SWT juga segera membantu dalam hidup (21:90)
Saya berasa lega, Allah SWT akan segera bantu dalam hidup saya sekiranya saya bersegera melakukan kebaikan.
Saya jelas untuk berdoa dengan positif dan nama positif Allah SWT (Asmaul Husna). Saya jelas untuk banyakkan berdoa dan jangan tinggalkannya. Saya jelas untuk bersegera melakukan kebaikan, nescaya Allah SWT juga segera membantu dalam hidup.
Ya Allah, bimbing kami untuk berdoa yang positif dengan Asmaul Husna. Ya Allah, jadikan kami orang yang banyak berdoa. Ya Allah, pimpin kami untuk bersegera melakukan kebaikan agar kami segera mendapat bantuan daripada Mu dalam hidup kami.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib